Mitsubishi ASX VR-e: SUV EV untuk Australia dan New Zealand, dibekalkan oleh Foxtron
Mitsubishi Motors Corporation akan melancarkan Mitsubishi ASX VR-e di Australia dan New Zealand pada 2026.
ASX VR-e merupakan sebuah kenderaan elektrik bateri (BEV) yang dibekalkan kepada Mitsubishi Motors secara OEM oleh Foxtron Vehicle Technologies Co., Ltd.
Foxtron merupakan anak syarikat kepada Hon Hai Precision Industry Co., Ltd. (Foxconn).
ASX VR-e akan diperkenalkan dalam segmen SUV kecil di Australia dan New Zealand, di mana permintaan terhadap kenderaan elektrik bateri (BEV) terus berkembang, khususnya di kawasan bandar.
Model ini diposisikan sebagai pilihan baharu untuk pelanggan yang mencari teknologi canggih, prestasi pemanduan dan gaya tersendiri, selain menawarkan prestasi alam sekitar yang baik.
Mitsubishi ASX VR-e 2026 Bawa Nama Ikonik
Nama ASX diteruskan daripada model kompak SUV Mitsubishi yang membawa maksud Active Sports Crossover dan sudah lama digunakan di Australia serta New Zealand.
Sementara itu, nama VR-e mengambil inspirasi daripada Galant VR-4, sedan berprestasi tinggi ikonik Mitsubishi Motors.
Nama VR-e menggabungkan karakter sporti yang dikaitkan dengan warisan VR, huruf “e” yang merujuk kepada teknologi elektrifikasi serta ciri-ciri teknologi terkini.
Mitsubishi turut menekankan aspek pemanduan pada ASX VR-e.
Jurutera syarikat menjalankan ujian secara meluas di jalan raya tempatan dan menghasilkan talaan suspensi khusus untuk model ini.
Talaan tersebut bertujuan menghasilkan pengendalian yang responsif serta tahap cengkaman di jalan raya yang tinggi, selain membolehkan kenderaan bertindak balas dengan tepat terhadap input pemandu.
Mitsubishi menyifatkan ASX VR-e sebagai sebuah model yang menawarkan pengalaman pemanduan sporti dan menyeronokkan, selari dengan nama VR yang dibawanya.
Reka Bentuk Fokus Aerodinamik
Bahagian luaran ASX VR-e pula direka dengan penekanan terhadap prestasi aerodinamik.
Antara ciri utama ialah S-duct pada bahagian hadapan. Saluran ini mengarahkan aliran udara dari bahagian tengah bampar hadapan ke atas permukaan hud.
Mitsubishi turut memasang active grille shutters yang membantu mengurangkan seretan aerodinamik bergantung kepada keadaan pemanduan.
Reka bentuk ASX VR-e turut menggunakan corak jalur mendatar pada beberapa bahagian, termasuk lampu hadapan dan belakang, tiang C dan roda.
Elemen-elemen tersebut membentuk identiti reka bentuk yang lebih tersusun dan berorientasikan teknologi.
Fokus Mitsubishi Terhadap Elektrifikasi
Pengenalan ASX VR-e merupakan sebahagian daripada usaha Mitsubishi Motors untuk mengukuhkan barisan produknya di bawah Mid- to Long-Term Vision.
Mitsubishi memberi tumpuan kepada portfolio kenderaan off-road dan model strategik ASEAN, manakala dalam bidang elektrifikasi, syarikat memanfaatkan kerjasama dengan rakan-rakan dalam Perikatan bagi pembangunan EV.
Pada masa sama, Mitsubishi Motors memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi HEV dan PHEV miliknya sendiri.
Melalui pendekatan tersebut, Mitsubishi menyasarkan gabungan prestasi alam sekitar dengan karakter pemanduan yang menjadi identiti jenama berkenaan.
Mitsubishi berkata syarikat akan terus memperkukuh barisan produknya melalui kerjasama dengan Perikatan serta rakan-rakan lain, di samping mempercepatkan usaha elektrifikasi.
Buat masa ini, Mitsubishi Motors hanya mengumumkan bahawa ASX VR-e akan dilancarkan di Australia dan New Zealand pada 2026.
Maklumat seperti spesifikasi rangkaian kuasa, kapasiti bateri, jarak perjalanan, output kuasa dan harga tidak dinyatakan dalam pengumuman ini.
