Bermaz Xpeng umum kempen panggil semula ganti suspensi udara Xpeng X9
Bermaz Xpeng, pengedar rasmi kenderaan Xpeng di Malaysia mengumumkan kempen panggil semula melibatkan model Xpeng X9.
Ini adalah susulan kepada kempen panggil semula sukarela di China melibatkan X9 yang dipasang sebelum 11 Ogos 2025 bagi menangani masalah berkaitan suspensi udara hadapan.
Bagi kenderaan yang disahkan terjejas, Bermaz Xpeng akan menggantikan keseluruhan komponen tersebut secara percuma.
Malah, sistem suspensi udara yang digantikan itu akan dilanjutkan tempoh jaminannya sehingga 8 tahun atau 160,00 km bermula dari tarikh pendaftaran kenderaan.
Lanjutan jaminan ini juga boleh dipindahkan kepada pemilik seterusnya.
Bermaz Xpeng juga sedang berhubung dengan rakan serantau bagi memastikan bekalan alat ganti, prosedur teknikal dan kapasiti servis sedia untuk pelaksanaan segera.
Tidak dinyatakan berapa unit Xpeng X9 yang terjejas dalam kempen panggil semula ini, namun syarikat itu menjelaskan kenderaan daripada kelompok pengeluaran lain tidak terjejas.
Maklumat lanjut boleh didapati menerusi talian khidmat pelanggan Xpeng Malaysia di +603-7627 3883.
Pelanggan juga boleh membuat temu janji di pusat servis bertauliah menerusi aplikasi mudah alih Xpeng bagi memudahkan proses penggantian.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.
