Geely Auto catat hasil separuh pertama tertinggi, cecah RMB173.6B (RM104.4B) pada H1 2026!
Geely Auto Group, syarikat automotif global yang beribu pejabat di Hangzhou, China dan sebahagian daripada Zhejiang Geely Holding Group, mencatat prestasi yang menggagumkan bagi separuh pertama 2026 (H1 2026).
Geely Auto mencatatkan hasil RMB173.6 bilion (RM107.28 bilion) pada separuh pertama (H1) 2026, sekali gus merekodkan pencapaian separuh pertama tertinggi dalam sejarah syarikat.
Ini juga kali pertama hasil kumpulan melepasi RMB170 bilion (RM102.31 bilion) selain pertumbuhan hasil bagi enam tahun berturut-turut pada separuh pertama.
Keuntungan teras yang boleh diagihkan kepada pemilik syarikat induk meningkat 46 peratus tahun ke tahun kepada RMB9.68 bilion (RM5.83 bilion).
Margin kasar pula meningkat kepada 17.9 peratus. Keuntungan teras bagi setiap kenderaan turut meningkat 45 peratus kepada RMB6,806 (RM4,095.85).
Setakat 30 Jun 2026, rizab pembiayaan Geely Auto berada pada RMB69.56 bilion (RM41.86 bilion), hampir kepada paras tertinggi dalam sejarah kumpulan.
Jualan Geely melebihi 1.42 juta unit
Jumlah jualan kenderaan Geely Auto pada H1 2026 melebihi 1.42 juta unit.
Prestasi jualan mengikut jenama dan siri adalah seperti berikut*:
- Geely Galaxy: hampir 520,000 unit.
- Geely China Star: lebih 580,000 unit.
- Zeekr: lebih 178,000 unit atau kira-kira 12.5 peratus daripada jumlah jualan kumpulan.
- Lynk & Co: lebih 144,000 unit.
Geely Galaxy turut mengukuhkan kedudukannya dalam kalangan jenama kenderaan tenaga baharu terkemuka dunia.
*Galaxy dan China Star ialah nama jenama produk yang digunakan dalam pasaran Tanah Besar China.
Perbelanjaan R&D meningkat
Geely Auto terus mempercepatkan pembangunan penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Jumlah perbelanjaan R&D bagi H1 2026 meningkat 8 peratus tahun ke tahun kepada RMB9.06 bilion (RM5.45 bilion).
Bagaimanapun, nisbah perbelanjaan R&D kepada hasil menurun 0.3 mata peratusan kepada 5.2 peratus hasil peningkatan kecekapan operasi.
Bagi separuh kedua 2026, Geely akan memperluaskan rangkaian produknya menerusi:
- Geely TT untuk pasaran sedan sport elektrik C-segment berasaskan AI.
- Geely Zhanjian 700 untuk kategori kenderaan lasak luar jalan.
- Teknologi HEV baharu bagi mempercepatkan elektrifikasi rangkaian model berenjin pembakaran dalaman (ICE).
Geely menyasarkan jualan bulanan melebihi 30,000 unit i-HEV menjelang akhir tahun.
Syarikat turut menyasarkan jualan tahunan satu juta unit bagi siri Geely China Star sebagai persediaan untuk pelancaran i-HEV di pasaran antarabangsa pada 2027.
Eksport melonjak 158 peratus
Pasaran antarabangsa menjadi antara pemacu utama pertumbuhan Geely Auto.
Jumlah eksport bagi H1 2026 mencapai 474,000 unit, melonjak 158 peratus tahun ke tahun dan menjangkaui jumlah eksport sepanjang 2025 sebanyak 420,000 unit.
Susulan eksport bulanan melebihi 100,000 unit pada Jun dan Julai, Geely Auto menaikkan sasaran eksport 2026 daripada 640,000 unit kepada 920,000 unit.
Kumpulan itu menyasarkan jumlah eksport menghampiri satu juta unit bagi keseluruhan 2026.
Geely kini beroperasi di 114 pasaran luar China dengan rangkaian jualan dan perkhidmatan antarabangsa melebihi 2,000 lokasi.
Bagi menyokong pertumbuhan global, Geely menggunakan strategi pengembangan berasaskan kerjasama bersama Volvo Cars, Proton, Renault Group dan Ford dalam bidang pembuatan tempatan, R&D serta rantaian bekalan.
Geely turut menyatukan pasukan kejuruteraannya di Sweden dan Jerman bagi memendekkan tempoh pelancaran produk antara China dan pasaran global.
Dalam segmen premium, Zeekr 9X akan diperkenalkan ke lebih banyak pasaran antarabangsa.




