fbpx

M-Hero M-Hunter bakal buat kemunculan di Auto China 2024

Dongfeng M-Hero M-Hunter 01

ACARA Auto China 2024 yang akan berlangsung di Beijing pada bulan ini akan menyaksikan kemunculan pelbagai kenderaan menarik dari negara itu, termasuk M-Hero M-Hunter.

Menruut CarNewsChina, M-Hero merupakan jenama di bawah Dongfeng yang mengkhususkan kepada SUV elektrik mewah.

Jenama ini diberi jolokan ‘Hummer China’ kerana ia mendapat popularitinya setelah melancarkan kenderaan tentera versi orang awam iaitu trak pikap enjin pembakaran dalaman yang dikenali sebagai M50.

Menariknya, M-Hunter akan menjadi EV kedua jenama itu selepas M-Hero 917, sebuah SUV off-road dengan 1,088 hp yang dilancarkan pada Ogos tahun lalu.

Menurut laporan media tempatan, M-Hunter akan dijual pada harga bermula dari 1 juta yuan, menjadikannya antara kereta China yang termahal. Malah mungkin lebih mahal berbanding kereta-kereta mewah seperti BYD YangWang U8.

Perincian teknikalnya tidak diketahui namun seperti yang boleh dilihat, M-Hunter adalah sebuah jentera off-road yang serius dengan casis yang terdedah, fender lebar dan bampar besi pada bahagian hadapan dan belakang.

Selain itu, ia juga didatangkan dengan lampu LED, rak bumbung dan sepasang tayar simpanan – tidak ubah seperti buggy yang bertanding dalam Dakar Rally.

Ada kemungkinan yang M-Hunter menawarkan trenkuasa bateri elektrik (BEV) atau range extender (EREV) yang sama dengan 917.

Versi BEV menggunakan bateri NMC dari CATL berkapasiti 140 kWj dan mempunyai motor elektrik berkuasa 1,072 hp (800 kW) yang membolehkan SUV itu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.2 saat.

Sementara itu, versi EREV pula mempunyai 805 hp (600 kW) menampilkan gabungan motor elektrik dan enjin 1.5 liter yang bertindak sebagai penjana kuasa untuk bateri 66 kWj.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved