fbpx

Alfa Romeo Milano – EV dengan jarak gerak 410 km, kuasa sehingga 240 hp, jeriji unik

Alfa Romeo Milano 01

Ucapkan selamat datang kepada Alfa Romeo Milano 2024.

Ia merupakan cubaan jenama Itali itu untuk menguasai secebis pegangan di dalam pasaran crossover segmen B yang sudah tersedia padat di benua Eropah.

Berikut merupakan beberapa fakta yang perlu anda tahu pasal ‘baby’ Alfa Romeo Milano ini:

 

1. Kongsi platform dengan banyak model Stellantis

 

Alfa Romeo Milano dibina berdasarkan pelantar CMP, atau Common Modular Platform yang banyak digunakan untuk model-model segmen B serta model segmen C aras mula.

Secara asasnya, Milano merupakan kembar tidak seiras kepada model-model Stellantis lain seperti DS 3 Crossback, Fiat 600e, Jeep Avenger, Lancia Ypsilon dan Opel Mokka B.

Di dalam keluarga Alfa Romeo, Milano akan menjadi pengganti secara terus kepada model MiTo dan Giuletta.

 

2. Dimensi

 

Crossover subkompak ini membawakan ukuran dimensi sepanjang 4,170 mm, lebar 1,780 mm, dan tinggi 1,500 mm.

Di belakang tempat duduk baris kedua, Milano menawarkan ruang kargo sebesar 400 liter, antara yang terbaik di dalam kelasnya.

 

3. Rekaan unik

Alfa Romeo Milano membawakan pendekatan bahasa rekaan baharu yang nyata berbeza berbanding model-model Alfa yang terdahulu (Stelvio, Giulia & Tonale).

Ia menampilkan unit lampu utama “3+3” berbentuk C, diikuti dengan dua rekaan jeriji yang agak unik.

Model berkuasa elektrik dipadankan dengan jeriji dengan potongan rekaan logo ikonik Alfa Romeo, manakala model hibrid pula membawakan struktur jeriji yang lebih konvensional berserta perkataan klasik Alfa Romeo.

Secara standard, Milano mempunyai rim bersaiz 18 inci, sementara rim 20 inci pula tersedia untuk varian berprestasi tinggi.

 

4. Milano EV mampu gerak sejauh 410 km

 

Seperti yang disebutkan, Milano boleh didapati dalam versi EV dan hibrid.

Milano EV didatangkan dengan motor elektrik tunggal berkuasa 156 hp, pek bateri 54 kWh dengan jarak gerak sejauh 410 km untuk sekali cas penuh.

Trim Veloce pula meningkatkan output motor elektrik kepada 240 hp, diikuti dengan pembeza kekunci sendiri mekanikal, sistem stereng yang telah ditala semula, sistem gantungan yang dinaik taraf, sistem brek yang lebih besar, serta rim 20 inci.

Kedua-dua versi elektrik ini menyokong pengecasan pantas DC 100 kW, di mana bateri boleh dicas 10-80 peratus dalam masa 30 minit sahaja.

 

5. Milano Hybrid

 

Mereka yang tidak mahukan versi elektrik boleh mendapatkan Milano Hybrid.

Versi ini menampilkan enjin tiga silinder sebaris 1.2 liter turbo yang dipadankan dengan motor elektrik 28 hp yang dimuatkan dalam kotak gear klac berkembar enam nisbah kelajuan.

Secara keseluruhan, Milano Hybrid mampu menjana kuasa setinggi 136 hp yang dipadankan dengan sistem pacuan roda depan atau semua roda (trim Ibrida Q4).

Selain itu, Milano Hybrid turut menyokong pemanduan sifar emisi pada kelajuan sehingga 150 km/j.

 

6. Ruang kabin

 

Tidak banyak info didedahkan untuk kelengkapan ruang kabin, melainkan ia membawakan tetapan kokpit digital dengan skrin berkembar 10.25 inci, pengecas peranti tanpa wayar, serta paparan grafik yang spesifik untuk model Alfa Romeo.

Alfa Romeo turut menawarkan pakej sports termasuklah tempat duduk Sabelt yang dibaluti bahan Alcantara, roda stereng balutan kulit, serta kelengkapan keselamatan ADAS Tahap 2.

 

Fakta Ekstra: Alfa Romeo Milano tidak boleh dipasang di luar Itali

 

Menteri Perindustrian Itali, Adolofo Urso dalam satu kenyataan melarang Stellantis daripada memasang model Milano di luar Itali.

Ujarnya, “sebuah kereta yang digelar Milano tidak boleh diproduksikan di Poland. Terdapat undang-undang yang menetapkan pengeluar untuk tidak memberikan petunjuk yang bakal mengelirukan pengguna.

“Jadi, sebuah kereta yang digelar Milano mesti dihasilkan di Itali.”

Ia merupakan susulan daripada kenyataan ketua eksekutif Stellantis Carlos Tavares yang mengumumkan kedua-dua versi EV dan hibrid Milano akan dipasang di Poland.

Langkah tersebut membolehkan Alfa Romeo Milano dijual pada harga €10,000 lebih murah berbanding harga asal €40,000 (RM203,195) sekiranya ia dipasang di Itali.

 

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved