fbpx

Helikopter AW139 milik APMM terhempas, semua kru selamat

w139 apmm terhempas

SEBUAH helikopter Leonardo AW139 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dilaporkan terhempas di perairan Klang, kira-kira lima batu nautika dari Pulau Angsa, pagi tadi.

Menurut siaran rasmi oleh APMM, pesawat dengan nombor pendaftaran M72-01 itu melakukan pendaratan cemas di Perairan Pulau Angsa, Selangor lebih kurang pada jam 9.55 pagi tadi ketika melakukan latihan menyelamat.

Maklumat awal diterima menerusi panggilan MERS 999 oleh pemancing yang berada di sekitar lokasi kejadian.

Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) telah diaktifkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Maritime Rescue Coordination Centre (MRCC) Putrajaya pada jam 10.15 pagi tadi.

AW139 milik APMM. Gambar oleh: helis.com

Pesawat yang mendarat cemas diterbangkan oleh Leftenan Komander Maritim Tengku Mohd Nizam bin Tengku Zakaria, Leftenan Komander Maritim Mohamad Azrol bin Saidi bersama seorang kru udara Pegawai Waran I Maritim John bin Ibno dan seorang Perenang Penyelamat, Bintara Muda Maritim Muhamad Nurhayyat bin Hashim.

Airbus AS365 N3 Dauphin. Gambar oleh: Jetphotos

Aset Maritim Malaysia yang diatur gerak ke lokasi kejadian ialah BOT PENGAWAL 25 dari Maritim Negeri Selangor, bot RH 16 dan PSC 39 daripada Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang dan sebuah pesawat AS365N3 Dauphin APMM dari Stesen Udara Maritim Subang (SUMS).

Semua kru AW139 telah diselamatkan dan telah diterbangkan ke SUMS.

Sebelum itu, bot pemancing yang berada di lokasi berkenaan telah memberi bantuan awal kepada kru yang terbabit dan 10 anggota Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) dan KM BAGAN DATUK juga diatur gerak ke lokasi bagi melakukan kawalan keselamatan di lokasi kejadian.

Maritim Malaysia akan melakukan siasatan lanjut untuk mengenalpasti punca-punca kejadian.

Maritim Malaysia juga mengucapkan terima kasih atas maklumat dan tindakan pantas daripada komuniti maritim yang membantu CARILAMAT kejadian ini.

Operasi CARILAMAT telah ditamatkan oleh CAAM pada jam 11:15 pagi sebentar tadi.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved