Arkib Kategori: BERITA

Kenderaan elektrik mampu milik bakal dipasarkan di Malaysia?

IMPIAN bagi sebilangan besar rakyat Malaysia memiliki kenderaan elektrik dengan harga mampu milik semakin hampir menjadi kenyataan.

Terbaharu, syarikat pengeluar kenderaan elektrik iaitu EV Innovations dilaporkan sedang berusaha mengeluarkan kenderaan elektrik dengan harga berpatutan di pasaran negara ini.

Selain itu, EV Innovations yang berpangkalan di Malaysia juga dikhabarkan berminat untuk menembus pasaran beberapa negara Asean yang lain.

Setakat ini, dipercayai kenderaan yang dihasilkan akan dijual sekitar harga RM30,000 sehingga RM40,000.

Bagaimanapun, EnGear masih belum menerima maklumat bila tarikh sebenar pelancaran kenderaan keluaran EV Innovations untuk pasaran negara ini.

Ngeri! Foto kenderaan penduduk musnah kena peluru tular

BAYANGKAN jika anda bangun pagi dan menyedari kenderaan yang diparkir luar kediaman musnah akibat dirosakkan pihak tidak bertanggungjawab.

Pastinya ia menjadi satu mimpi ngeri bukan?

Bagaimanapun, insiden itu memang benar terjadi dalam satu kejadian di Yangon, Myanmar baru-baru ini.

Menerusi ciapan dimuatnaik seorang pengguna media sosial, insiden didakwa didalangi kumpulan dipercayai anggota tentera yang berpihak kepada kerajaan.

Walaupun tidak dapat disahkan dakwaan itu namun, insiden tersebut menimbulkan kemarahan penduduk yang kecewa dengan perbuatan pihak tidak bertanggungjawab.

Antara kemusnahan yang berlaku termasuk cermin kenderaan dipecahkan, tayar dipancitkan, pintu dikemekkan dan pelbagai lagi kerosakkan.

Apa yang paling menggerunkan, penduduk juga menemui serpihan kelonsong peluru hidup dipercayai digunakan untuk menembak kenderaan yang diparkir di tepi jalan raya.

Myanmar berdepan situasi tidak menentu sejak Februari lalu apabila kebanyakan pemimpin politik ditahan pihak tentera.

Sejak berlaku insiden terbabit, pelbagai kerosakan terjadi sehingga mengakibatkan kerugian kepada harta benda penduduk.