fbpx

Ulasan: Keputusan Rossi ‘angkat kaki’ tepat, elak calar status “legend”

Nama Valentino Rossi bukan suatu yang asing bagi seluruh peminat MotoGP. - Foto ihsan Malaymail
Nama Valentino Rossi bukan suatu yang asing bagi seluruh peminat MotoGP. - Foto ihsan Malaymail

TEKA-TEKI mengenai masa depan karier Valentino Rossi selaku pelumba MotoGP akhirnya terjawab menerusi satu sidang media baru-baru ini.

Majoriti peminat MotoGP sudah menjangkakan keputusan persaraan dibuat pelumba yang terkenal dengan jolokan The Doctor itu.

Walaupun ramai berasa sedih dengan pengumuman itu, Rossi pastinya mempunyai alasan tersendiri.

Setelah hampir 30 tahun bergelumang dalam perlumbaan, penulis juga merasakan sudah tiba masa bagi pelumba berusia 42 tahun itu meninggalkan MotoGP.

Berikut lima sebab mengapa Rossi perlu bersara daripada perlumbaan MotoGP musim 2022:

Status legend

Mula menyertai perlumbaan MotoGP pada tahun 1996, Rossi berjaya menempa nama sebagai pelumba legend.

Rossi telah bergelar juara dunia saingan MotoGP sebanyak tujuh kali selain pernah meraih lebih 89 kemenangan Grand Prix.

Sudah pasti, rekod ini telah menjadikan Rossi sebagai antara pelumba legend dalam dunia MotoGP.

Oleh itu, dengan kejayaan yang pernah dikecapi sudah tiba masa Rossi berundur dan memberi tumpuan kepada perkara lain.

Valentino Rossi ketika memenangi Grand Prix Australia pada tahun 2014. - Foto ihsan Malay Mail
Valentino Rossi ketika memenangi Grand Prix Australia pada tahun 2014. – Foto ihsan Malay Mail

Faktor usia

Ramai yang mengagumi Rossi kerana masih mampu bersaing dalam perlumbaan MotoGP walaupun telah mencapai usia “four series”.

Penulis juga kagum dengan kudrat yang ditampilkan pelumba asal Itali itu.

Bagaimanapun, usaha Rossi tidak cukup untuk bersaing dengan pelumba lain yang berusia jauh lebih muda.

Contohnya, Fabio Quartararo yang kini bersama pasukan Monster Energy Yamaha MotoGP dilihat cukup perform pada usia yang sangat muda berbanding Rossi.

Tumpu pada pembangunan MotoGP

Pengalaman dimiliki Rossi selama tiga dekad sebagai pelumba MotoGP amat berguna kepada pembangunan sukan itu.

Penulis yakin, Rossi juga mahu mencurahkan ilmu dan pengalaman yang ada demi kemajuan sukan MotoGP dari masa ke masa.

Maka, keputusan tidak menyertai MotoGP sebagai pelumba membolehkan Rossi membina karier baharu sebagai ‘mastermind’ dalam perlumbaan itu.

Valentino Rossi bakal menamatkan karier bersama pasukan Yamaha Sepang Racing Team selepas membuat keputusan untuk bersara bagi musim depan. - Foto ihsan Malay Mail
Valentino Rossi bakal menamatkan karier bersama pasukan Yamaha Sepang Racing Team selepas membuat keputusan untuk bersara bagi musim depan. – Foto ihsan Malay Mail

Elak kecederaan akibat kemalangan

Pada usia 42 tahun dan masih jatuh pada kelajuan 200km/j sudah pasti suatu yang bukan mudah untuk dihadapi.

Justeru, penulis yakin Rossi juga ingin elak daripada terus berdepan faktor kemalangan pada usia yang semakin ‘senja’.

Beberapa insiden kemalangan dalam sukan perlumbaan motosikal sehingga meragut nyawa mungkin menjadi faktor boleh diambil kira oleh Rossi untuk bersara.

MotoGP kian kompetitif

Saingan MotoGP semakin kompetitif bukan sahaja dengan teknologi jentera tetapi cara tunggangan para pelumba.

Sejak beberapa musim lalu, corak tunggangan Rossi dilihat sedikit ‘longgar’ berbanding pelumba lain yang boleh dikatakan agak agresif.

Contoh mudah, Rossi bukan sahaja gagal menaiki podium dalam kebanyakan perlumbaan bahkan, pelumba itu juga tidak mampu mencatatkan masa terbaik pada sesi ujian masa.

Demikian antara lima sebab mengapa sudah tiba masa Rossi mengundur diri dalam perlumbaan MotoGP.

Kesemua faktor yang dinyatakan adalah hanya pandangan peribadi penulis dan jika anda punya pendapat tersendiri sila tinggalkan komen di semua platform media sosial Engear.

Kami di Engear mengucapkan selamat bersara kepada Rossi untuk musim 2022 dan terima kasih di atas persembahan cukup memukau selama bergelar sebagai pelumba MotoGP.

Grazie Rossi!

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved