Arkib Kategori: MALAYSIA

iCaur 03 2026 kini unit pemasangan tempatan (CKD), harga RM129,880

iCaur Malaysia mengumumkan SUV elektrik iCaur 03 versi CKD bakal tiba di pengedar menjelang akhir bulan Mei ini.

Program pemasangan model CKD tersebut telah bermula pada suku kedua 2026 di kilang Chery Corporate Malaysia di Shah Alam.

Spesifikasi kekal tidak berubah

iCaur 03 CKD akan ditawarkan dalam varian tunggal iWD tanpa sebarang perubahan spesifikasi.

Ia dipacu tetapan dwi-motor menghasilkan 279 PS dan 385 Nm, sementara pek bateri 69.8 kWh pula menawarkan jarak pandu sejauh 418 km (data NEDC).

SUV ini menyokong pengecasan AC 6.6 kW, pengecasan pantas DC 80 kW, serta fungsi Vehicle-to-load (V2L) 3.2 kW.

Harga jualan bermula dari RM129,880 atas jalan tanpa insurans.

iCaur Malaysia turut menawarkan pakej merangkumi pengecas rumah AC 7 kW serta pakej servis berjadual percuma selama 2-tahun atau had perbatuan 45,000 km yang mana tiba dahulu.

Prestasi jualan April 2026

Sepanjang April 2026, iCaur merekodkan 547 unit berdaftar merentasi modelnya.

Pencapaian ini menandakan minat pasaran yang semakin meningkat terhadap kenderaan tenaga baharu (NEV) keluarannya yang menggabungkan rekaan retro, teknologi pintar dan praktikal.

Menurut Francis Chin selaku Pengarah Kanan iCaur Malaysia menjelaskan peralihan kepada pemasangan tempatan merupakan satu langkah penting.

“Ia menggabungkan kebanggaan tempatan dengan teknologi global, sambil membolehkan kami memenuhi permintaan yang semakin meningkat tanpa mengubah apa yang pelanggan sedia gemari pada iCaur 03,” ujarnya lagi.

iCaur Malaysia kekal fokus terhadap strategi jangka panjang untuk memperkenalkan lebih banyak model NEV pada masa akan datang.

Spesifikasi penuh iCaur 03 boleh baca di SINI.

iCaur 03 CBU

Foton Tunland V7 & V9 2026 rasmi di Malaysia, harga dari RM123,800

Handal BCM Sdn Bhd selaku pengedar eksklusif Foton di Malaysia melancarkan trak pikap saiz penuh Tunland.

Harga jualan adalah seperti berikut:

  • Foton Tunland V7 – RM123,800
  • Foton Tunland V9 – RM143,800

888 pelanggan pertama akan menerima rebat tunai RM2,000 serta pakej penyelenggaraan 2-tahun percuma.

Dimensi & Casis

Sebagai sebuah trak pikap saiz penuh, Tunland membawakan ukuran dimensi panjang sehingga 5,677 mm, lebar 2,090 mm, tinggi 1,955 mm dengan jarak antara roda 3,355 mm.

Jarak kelegaan tanah pula setinggi 240 mm.

Tunland V7 dilengkapi dengan tetapan suspensi double wishbone/spring dedaun serta sistem stereng hidraulik.

Manakala Tunland V9 pula hadir dengan tetapan multi-link di belakang serta sistem stereng kuasa elektronik.

Trak dengan enjin diesel hibrid pertama di Malaysia

Kedua-dua trak ini dipacu enjin diesel 2.0 liter turbo menghasilkan kuasa 163 PS @ 3,600 rpm dan daya kilas 450 Nm @ 1,500-2,400 rpm.

Sistem hibrid 48V pula menambah kuasa 12 PS/50 Nm, menyumbang kepada kadar penggunaan bahan api 8.8L/100 km.

Kuasa itu tadi disalurkan kepada sistem pacuan 4 roda menerusi transmisi automatik 8-kelajuan.

Dengan tangki bahan api 76 liter, trak ini boleh bergerak sejauh 950 km.

Terdapat pilihan pacuan 2H, 4H, 4L dan juga Auto, serta pilihan mod pemanduan Eco, Sport, Normal, Sand, Mud dan Snow.

Dengan unit pacuan itu tadi, trak Tunland V7 & V9 mampu menarik beban seberat 3.5 tan dan muatan maksimum 895 kg.

Kelengkapan

Di bahagian luar, Tunland V7 hadir dengan kelengkapan seperti berikut:

  • lampu Bi-beam LED dengan fungsi auto-sensing
  • lampu nyalaan siang (DRL) LED
  • lampu belakang LED
  • cermin sisi dengan fungsi pemanas
  • rim aloi 18 inci

Masuk ke dalam kabin, trak ini mendapat ciri seperti:

  • upholsteri kulit palsu
  • tempat duduk pemandu larasan kuasa 10-tahap
  • tempat duduk penumpang larasan manual 4-tahap
  • meter analog dengan skrin MID
  • skrin infohibur 14.6 inci
  • sokongan Apple CarPlay & Android Auto
  • sistem audio 4-pembesar suara

Sementara Tunland V9 pula mendapat tambahan ciri seperti:

  • pengelap cermin automatik
  • fungsi memori untuk cermin sisi
  • lampu utama dengan fungsi Auto-Levelling
  • bumbung kaca panorama
  • rak barangan
  • rim aloi gaya sport 18 inci
  • tempat pemijak pada pintu tailgate

Ruang kabin Tunland V9 mendapat tambahan ciri:

  • tempat duduk penumpang hadapan larasan kuasa 4-tahap
  • skrin kluster digital 12.3 inci
  • cermin pandang belakang auto kelam
  • bumbung kaca panorama
  • kawalan iklim dua zon automatik
  • sistem penapis udara
  • sistem audio 6-pembesar suara
  • soket Vehicle-2-load (V2L)

Keselamatan

Secara standard, Tunland V7 hadir dengan kelengkapan keselamatan seperti:

  • dua beg udara
  • kawalan jelajah
  • kamera undur
  • bantuan menurun cerun (HDC)
  • sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS)

Tunland V9 pula mendapat tambahan ciri seperti:

  • enam beg udara SRS
  • sistem pengecaman muka
  • sistem pemantauan tumpuan pemandu
  • kawalan jelajah adaptif (ACC)
  • brek kecemasan autonomi (AEB)
  • bantuan pengekalan lorong (LKA)
  • bantuan pemusatan lorong (LCC)
  • sistem pemantauan titik buta (BSM)
  • amaran lintasan trafik belakang (RCTA)
  • amaran bukaan pintu (DOW)
  • sistem pemantauan keliling panorama dengan Transparent Chassis

Foton Tunland V9 2026

Foton Tunland V7 2026

Mercedes-Benz Malaysia lancar pusat 4S Autohaus Kuantan, terbesar di Pantai Timur

Mercedes-Benz Malaysia secara rasmi membuka pusat 4S Autohaus Kuantan serba baharu yang terletak di Indera Mahkota, Pahang.

Ia merupakan Autohaus Mercedes-Benz yang terbesar di Pantai Timur.

Kemudahan

Dikendalikan oleh Asbenz Stern Sdn Bhd, pusat 4S ini dibina atas tanah seluas 65,340 kaki persegi.

Daripada jumlah tersebut, ruang seluas 26,565 kaki persegi dikhususkan untuk pameran sehingga enam unit kenderaan, ruang Star Lounge dan akses kepada Mercedes-Benz Lifestyle Collection.

Selain itu, Autohaus Kuantan juga turut menempatkan perkhidmatan pusat badan & cat secara bersepadu.

Dengan 16 ruang kerja lengkap, fasiliti ini mampu menangani kerja-kerja penyelenggaraan berkala hinggalah kerja pembaikan yang lebih besar.

Kesemuanya dikendalikan oleh juruteknik bertauliah Mercedes-Benz bagi memastikan kualiti kerja yang konsisten.

Selain itu, terdapat juga kemudahan pengecasan pantas DC sehingga 120 kW yang boleh digunakan oleh dua kenderaan secara serentak.

Komitmen berterusan untuk Pantai Timur

Martin Schulz, CEO dan Presiden Mercedes-Benz Cars Malaysia berkata, pembukaan Autohaus baharu ini mencerminkan komitmen berterusan dalam meningkatkan pengalaman pelanggan di Pantai Timur.

“Ketika meraikan 140 tahun inovasi, kami kekal fokus bukan sahaja untuk kecemerlangan automotif, tetapi juga mencipta pengalaman pelanggan yang lancar dan diperibadikan pada setiap sentuhan,” tambahnya lagi.

Goh Chuan Kiong, Pengarah Urusan Asbenz Stern menjelaskan Kuantan sentiasa menjadi lokasi penting bagi syarikatnya.

“Dengan pelaburan pada fasiliti yang serba lengkap termasuk perkhidmatan badan dan cat, kami mampu untuk memberikan perkhidmatan yang lebih menyeluruh dan cekap kepada pelanggan.”

Sehingga kini, Asbenz Stern telah melabur sejumlah RM35 juta dalam rangkaiannya, termasuk RM23 juta untuk Autohaus Kuantan.

Selain Pahang, Asbenz Stern mempunyai dua lagi cawangan Autohaus yang terletak di Kedah dan Terengganu.

BYD Malaysia rasmi buka BYD Mansion Macalister di Pulau Pinang

BYD Malaysia secara rasmi melancarkan pembukaan BYD Mansion Macalister di tengah-tengah bandar George Town, Pulau Pinang.

Majlis pelancaran tersebut dihadiri oleh YAB Tuan Chow Kon Yeow, Ketua Menteri Pulau Pinang dan YB H’ng Mooi Lye, ahli Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa Pulau Pinang.

Turut diraikan pemilik BYD yang ke-5,000 di wilayah utara menunjukkan keyakinan yang semakin meningkat terhadap EV di luar Lembah Klang.

Kemudahan di BYD Mansion Macalister

BYD Mansion mempunyai keluasan binaan sekitar 9,000 kaki persegi yang dibina atas tanah seluas 26,994 kaki persegi.

Ia mempunyai kemudahan ruang pameran yang boleh menempatkan empat model BYD, ruang konsultansi serta bilik serahan peribadi.

Sementara pusat servis pula mempunyai lima ruang kerja, satu ruang penjajaran dan tiga ruang penerimaan servis.

Terdapat juga hab pengecasan pantas DC 60 kW dan tujuh pengecas AC bagi menyokong ekosistem EV yang semakin berkembang.

Perkukuh kedudukan di Malaysia

BYD Malaysia dan Sime Motors terus memperkukuh pengalaman pemilikan EV menerusi rangkaian 40 bilik pameran dan lebih 30 pusat perkhidmatan selepas jualan di seluruh negara.

Selain infrastruktur fizikal, BYD Malaysia dan Sime Motors terus membuat pelaburan besar dalam modal insan.

Program latihan untuk juruteknik, penasihat jualan, dan profesional lepas jualan terus diperkembangkan secara aktif untuk memastikan rakyat Malaysia memanfaatkan kepakaran EV bertauliah global di dalam negara.

Disokong oleh kadar ketersediaan alat ganti selepas jualan sebanyak 95%, pelanggan dapat menikmati sokongan yang lebih pantas serta pengalaman pemilikan yang lebih lancar.

Liu Xueliang, Naib Presiden BYD Co. Ltd dan Pengurus Besar Bahagian Jualan Auto BYD Asia Pasific berkata, komitmen BYD terhadap Malaysia mencerminkan wawasan global BYD untuk menjadikan pengangkutan lestari mudah dicapai oleh semua.

“Kami terus menyalurkan inovasi teknologi dan keupayaan penyelidikan kami ke dalam pasaran ini kerana kami yakin terhadap masa depan elektrik Malaysia.

“BYD Mansion Macalister mencerminkan komitmen ini yang menggabungkan inovasi bertaraf dunia dengan penghormatan kepada warisan tempatan.”

Jeffrey Gan, Pengarah Urusan Asia Tenggara Sime Motors berkata pihaknya membina rangkaian tempatan bagi memastikan sokongan terhadap pemilik BYD yang memuaskan dan meyakinkan.

“Disokong lebih 30 pusat lepas jualan, pasukan juruteknik bertauliah dan penasihat servis dari Malaysia, di samping bilik pameran bersepadu seperti BYD Mansion Macalister, kami mengutamakan pelanggan dalam teras ekosistem ini.”

 

Volvo Car Malaysia lancar ‘Kalkulator Selamat’, ajak rakyat Malaysia nilai semula erti keselamatan

Volvo Car Malaysia memperkenalkan Kalkulator Selamat, sebuah platform refleksi interaktif yang dibangunkan bersama Mr Money TV.

Platform ini direka untuk memberi kesedaran mendalam tentang erti keselamatan sebagai sebahagian daripada misi kempen Selamat yang dilaksanakan pada ketika ini.

Bukan sekadar alat kira-kira

Kalkulator Selamat bukanlah sekadar alat kira-kira, akan tetapi ia memberikan satu pengalaman yang membuka mata tentang nilai sebenar di sebalik sebuah kehilangan.

Ia bermula dengan satu persoalan yang cukup berat: “Apakah yang akan terjadi jika anda tidak lagi sempat mengucapkan, atau membalas ucapan “Selamat” untuk selamanya?”

Platform ini kemudian akan membina profil risiko keselamatan individu berdasarkan faktor umur, kerjaya, pendapatan, tanggungan, gaya hidup dan nilai peribadi.

Ia turut menganggarkan impak kewangan dan emosi yang bakal ditingalkan daripada beban kewangan hinggalah impian masa depan yang tidak sempat direalisasikan.

Hasil daripada penilaian tersebut akan mengkategorikan peserta dalam empat fasa kehidupan:

  • tulang belakang keluarga
  • rakan hidup dalam perkahwinan
  • individu solo yang bebas dengan masa depan yang cerah
  • seorang pendaki kerjaya yang gigih membina kehidupan masa kini

Lebih penting lagi, penilaian kendiri ini berfungsi sebagai satu peringatan yang cukup tajam bahawa sikap sambil lewa akan menyebabkan kehilangan detik-detik indah dan masa depan yang tidak kesampaian.

Insan yang tersayang juga akan hilang tempat bergantung sekiranya satu hari nanti kita tidak lagi pulang dengan selamat.

Tamparan kesedaran untuk semua pemandu

Patricia Yaw, Pengarah Jualan & Pemasaran Volvo Car Malaysia menegaskan:

“Selamat Calculator bukan untuk meletakkan harga pada sebuah nyawa, tetapi sebagai peringatan agar kita menghargai kehadiran kita dan insan yang kita sayangi.”

Peter Yong, Ketua Pegawai Eksekutif & Pengasas Bersama Mr Money TV menyifatkan platform ini sebagai satu realiti yang perlu dihadapi.

“Celik kewangan bukan sekadar mengurus angka. Ia tentang menghargai aset paling berharga — nyawa kita sendiri.

“Kadangkala pilihan terbaik dalam hidup adalah perkara paling mudah: memakai tali pinggang keledar, cukup rehat, dan memandu dengan sabar.”

Sebahagian daripada kempen Selamat Volvo

Kalkulator Selamat merupakan sebahagian daripada inisiatif kempen Selamat bersama acara utama Selamat Driving Experience pada 16-17 Mei yang lalu.

Ia bermatlamat untuk untuk mengubah persepsi keselamatan jalan raya daripada sekadar kepatuhan undang-undang kepada satu tanggungjawab bersama.

Kalkulator Selamat boleh diakses menerusi pautan: volvocarmalaysia.com/selamat

GAC GS3 Emzoom 2026 dikemas kini, harga kekal tidak berubah

WTC Automotif (M) Sdn Bhd selaku pengedar rasmi kenderaan GAC di Malaysia mengumumkan kemas kini bagi model GS3 Emzoom.

Penambahbaikan bersifat kosmetik itu menampilkan ciri seperti jeriji hadapan Flowing Diamond Star serta pilihan warna dua tona baharu bagi varian Premium R.

Untuk info, Emzoom kini ditawarkan dengan empat pilihan warna:

  • Graphite Grey (bumbung hitam)
  • Super Star Silver (bumbung hitam)
  • Frost White (bumbung hitam)
  • Asphalt Black

Dari segi kuasa, GS3 Emzoom masih kekal dengan enjin 1.5 liter turbo menghasilkan 177 PS dan 270 Nm dipadankan dengan transmisi dwi-klac 7-kelajuan.

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas lapan saat dan bacaan penggunaan bahan api serendah 5.9 liter/100 km.

Ciri yang tersedia termasuklah skrin paparan berkembar, bumbung panorama, kamera 360 darjah, sistem ADAS dan bantuan parkir FAPA.

Varian Premium R pula hadir dengan sistem ekzos sukan dan kit aero.

Harga jualan adalah seperti berikut:

  • GS3 Emzoom Exclusive – RM116,800
  • GS3 Emzoom Premium R – RM126,800

Untuk tempoh terhad, pelanggan boleh menikmati rebat sehingga RM18,500 dengan ansuran bulanan serendah RM912.

JAC N90 2026 rasmi dilancarkan di Malaysia, harga dari RM118,000

JAC Auto (Malaysia) Sdn Bhd secara rasmi melancarkan trak tugas ringan JAC N90 serba baharu untuk pasaran Malaysia.

Trak tersebut dilancarkan sempena acara Malaysia Commercial Vehicle Expo (MCVE) 2026 yang berlangsung baru-baru ini.

Spesifikasi

JAC N90 dipacu enjin Cummins B4.5 yang mematuhi piawaian Euro 5, menghasilkan kuasa 160 hp @ 2,600 rpm dan 540 Nm @ 1,100-1,800 rpm.

Trak ini ditawarkan dalam pelbagai pilihan jarak roda antara 3,365 mm hingga 4,800 mm untuk disesuaikan dengan pelbagai kegunaan komersial yang meluas.

Kabin N90 dilengkapi dengan ciri-ciri seperti:

  • tempat duduk dengan suspensi udara
  • perehat tangan boleh laras
  • skrin sentuh multimedia 10.4 inci
  • skrin kluster instrumen LCD

Ciri keselamatan termasuklah:

  • Sistem Brek Anti-Kunci (ABS)
  • Aturan Gelincir Pecutan (ASR)
  • Bantuan Mula Mendaki (HAS)
  • Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC)

Trak JAC N90 ini tersedia di semua pengedar sah JAC di seluruh negara pada harga RM118,000 (casis kosong).

Setiap pembelian didatangkan dengan jaminan enam-tahun atau had perbatuan 300,000 km.

Pelanggan juga akan mendapat manfaat program servis 10,000 km percuma yang membantu menjimatkan lagi kos pemilikan dan penyelenggaraan.

Perodua rancang pasang Ativa Hybrid di Malaysia

Perodua merancang untuk melakukan pengeluaran model Ativa Hybrid secara tempatan, lapor Bernama.

Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad, Presiden dan CEO Perodua berkata, pihaknya sedang memuktamadkan perbincangan membabitkan perkara termasuklah tempoh pengeluaran, penetapan harga dan butiran lain.

“Sebaik sahaja dapat memuktamadkan perkara-perkara berkaitan, kami akan membuat pengumuman rasmi kemudiannya.

“Apa yang pasti, model Ativa hibrid ini akan dikeluarkan di peringkat tempatan,” katanya pada sidang media bersempena lawatan Duta Besar Jepun ke Malaysia, Noriyuki Shikata ke kilang Perodua baru-baru ini.

Difahamkan, Perodua menerima pelaburan bernilai 1.5 bilion yen (lebih RM37 juta) daripada Global South Fund bagi menyokong teknologi hibrid Jepun di sini.

Perodua Ativa dilancarkan secara rasmi pada tahun 2021, dan merupakan model pertama Perodua yang dibina berdasarkan platform DNGA.

Buat masa ini, Ativa hanya ditawarkan dengan enjin 1.0 liter turbo 1KR-VET yang dipadankan dengan transmisi D-CVT.

Ativa Hybrid pernah ada di Malaysia

Pada September 2022, Perodua melancarkan kajian terhadap mobiliti kenderaan elektrik melibatkan 300 orang pelanggan.

Menerusi program ini, sebanyak 300 unit Ativa Hybrid disediakan di mana kesemuanya merupakan unit CBU daripada pasaran Jepun.

Perodua Ativa Hybrid menggunakan trenkuasa sistem hibrid bersiri di mana hanya motor elektrik digunakan untuk menggerakkan roda kenderaan.

Manakala enjin 1.2 liter WA-VEX hanya bertindak sebagai unit penjana kuasa untuk mengecas bateri dan menggerakkan motor elektrik.

Kembarnya di Jepun (Daihatsu Rocky Hybrid) ditawarkan dengan e-Smart Hybrid terdiri daripada:

  • enjin tiga-silinder 1.2 liter WA-VEX (102 hp/105 Nm)
  • motor elektrik 106 hp/170 Nm
  • pek bateri 4.3 Ah

Foton Aumark S Euro 5 AMT 2026 rasmi di Malaysia, harga dari RM128,000

Angka-Tan Motor Sdn Bhd melancarkan trak tugas ringan Foton Aumark S AMT 2026 dengan spesifikasi Euro 5 di Malaysia.

Trak tersebut dilancarkan bersempena Malaysia Commercial Vehicle Expo 2026.

Foton Aumark S AMT merupakan trak tugas ringan jenama China yang pertama di Malaysia dilengkapi dengan sistem Automated Manual Transmission (AMT).

Ia direka untuk penukaran gear yang lancar, mengurangkan kelesuan pemandu dan penggunaan bahan api yang lebih baik di dalam bandar.

Spesifikasi

Foton Aumark S AMT ini dipacu enjin Cummins ISF 3.8 liter menghasilkan 154 PS @ 2,600 rpm dan 500 Nm @ 1,200-1,900 rpm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda belakang menerusi transmisi AMT ZF enam-kelajuan.

Dari segi dimensi, trak ini berukuran 6,930 mm panjang, 2,060 mm lebar, 2,250 mm tinggi dan jarak antara roda 3,800 mm.

Berat kasar kenderaan pula dari 7,500 kg hingga 9,900 kg.

Dari segi keselamatan, trak ini dilengkapi dengan ciri seperti:

  • Brek anti-kunci (ABS)
  • Anti-Slip Regulation (ASR)
  • Hill Start Assist (HSA)

Trak ini juga menampilkan struktur badan tegar yang menepati standard antarabangsa ECE R29.

Foton Aumark S Euro 5 AMT ini dijual pada harga RM128,800, disokong dengan jaminan enam-tahun atau had perbatuan 300,000 km.

Lebih banyak pilihan untuk pengguna

Foton Aumark S Euro 5 AMT ini merupakan penambahan terbaharu selepas Foton Auman R Euro 5 AMT diperkenalkan pada November tahun lepas.

Berbanding Aumark S yang direka untuk logistik bandar, Auman R pula direka untuk pengangkutan jarak jauh.

Foton turut mempunyai penyelesaian mobiliti penumpang menerusi Foton Bus, dan altenatif yang lebih mesra alam menerusi Foton eAumark.

Kia Sales Malaysia umum pelan penyelenggaraan untuk Sportage & Carnival, harga serendah RM2,980

Kia Sales Malaysia mengumumkan ‘Kia Maintenance Plan’ untuk model terpilih Kia Sportage dan Kia Carnival pada harga serendah RM2,980.

Pelan ini direka untuk memberikan kemudahan lebih baik, kos servis lebih terancang dan ketenangan minda untuk jangka panjang.

Selain itu, ia juga membolehkan pelanggan memiliki kos servis tetap sepanjang tempoh perlindungan tanpa dipengaruhi kenaikan kos buruh, alat ganti dan minyak enjin.

Kia Maintenance Plan merangkumi perkara berikut:

  • minyak enjin sintetik penuh dan penapis minyak
  • penapis udara enjin
  • penapis udara kabin
  • cecair brek
  • palam pencucuh
  • pemeriksaan kenderaan pelbagai titik secara menyeluruh

Berikut merupakan pelan yang ditawarkan oleh Kia Sales Malaysia:

Kia Sportage 1.6T

  • RM2,980 untuk tempoh 5-tahun atau 50,000 km
  • berdasarkan sela servis satu tahun/10,000 km

Kia Sportage 2.0

  • RM3,680 untuk tempoh 5-tahun atau 75,000 km
  • berdasarkan sela servis satu tahun/15,000 km

Kia Carnival 2.2D (7,8 dan 11-tempat duduk)

  • RM3,580 untuk tempoh 5-tahun atau 50,000 km
  • berdasarkan sela servis satu tahun/10,000 km

Kia Ownership Experience @ Glenmarie

Bertempat di Pusat 3S Utama Kia Glenmarie, Kia Sales Malaysia turut menganjurkan program Kia Ownership Experience.

Inisiatif ini berlangsung selama seminggu bermula dari 7 hingga 11 Mei 2026.

Ia memberikan peluang kepada semua pihak untuk melihat usaha berterusan KSM dalam memperkukuh perkara berikut:

  • operasi selepas jualan
  • piawaian perkhidmatan
  • penjagaan pelanggan jangka panjang

Semua ini demi memberikan pengalaman pemilikan yang terbaik kepada semua pelanggan di Malaysia.

Terdapat demonstrasi teknikal yang diketuai oleh Hyung Gyu Choi, Pengurus Kanan Teknikal bagi Operasi Pemilikan Kia.

Beliau menyertai Kia sejak 1993 dan memiliki pengalaman tahap global dalam perkhidmatan selepas jualan dan teknikal melebihi 34 tahun.

Choi bersama pasukan teknikal KSM akan memeriksa lebih 100 kenderaan Kia termasuklah:

  • Forte
  • Cerato
  • Optima
  • Picanto
  • Sorento
  • Grand Carnival
  • Sportage
  • Sephia

Ia bertujuan untuk membantu pemilik memahami keadaan kenderaan mereka dengan lebih baik di samping menangani isu penyelenggaraan dan pertanyaan teknikal tertentu.

Pelanggan yang mengambil bahagian akan menerima minyak enjin percuma, pengelap cermin hadapan serta cucian kereta selepas pemeriksaan dibuat.

Inisiatif ini turut mendapat sokongan daripada beberapa pihak seperti TotalEnergies, Goodyear, TRAPO dan EV Connection (EVC).

Sepanjang program berlangsung, pengunjung boleh menikmati promosi eksklusif, tawaran istimewa dan hadiah daripada rakan industri yang mengambil bahagian.

Pusat 3S Glenmarie dikendalikan Cycle & Carriage

Pusat 3S Kia Glenmarie kini dikendalikan oleh kumpulan pengedar baharu, Cycle & Carriage.

Dengan keluasan 39,240 kaki persegi, fasiliti ini mempunyai ruang pameran boleh memuatkan lapan kenderaan pada satu-satu masa.

Fasiliti selepas jualan mempunyai kemudahan seperti:

  • 20 ruang servis
  • sistem diagnostik terkini
  • peralatan penyelenggaraan khusus
  • kelengkapan teknikal

Dengan kemudahan tersebut, Kia Sales Malaysia dapat memastikan piawaian kualiti servsi dan penjagaan pelanggan pada tahap tertinggi.

Peugeot Motocycles rasmi buka pusat pengedar pertama di Pulau Pinang

Jenama motosikal Perancis Peugeot Motocycles merasmikan pembukaan pusat pengedar pertamanya yang terletak di Bukit Tambun, Pulau Pinang.

Pusat pengalaman bertaraf mercu itu dikendalikan oleh Chuan Keat Motor Trading Sdn Bhd, menawarkan kemudahan lengkap seperti:

  • pusat servis khusus
  • bahagian alat ganti
  • aksesori rasmi
  • ruang barangan gaya hidup

Bersempena dengan pembukaan, tiga model motosikal turut disediakan untuk sesi tunggang uji, iaitu XP400 GT, Django dan Speedfight 4+.

Chan Keat Motor turut mengumumkan pakej eksklusif untuk 30 orang pelanggan pertama sebagai meraikan pelanggan yang membuat tempahan awal.

Laurent Lilti selaku CEO Peugeot Motocycle melahirkan rasa bangga dengan sambutan yang diterima.

“Menerima pelanggan pertama untuk XP400 GT dan Speedfight 4+ merupakan detik membanggakan. Ia membuktikan penunggang Malaysia sudah lama menantikan alternatif premium dalam segmen skuter.

Tan Soon Wei, Pengurus Besar Aveta International berkata, pihaknya akan memastikan liputan penuh Aveta Care on Wheels bagi memastikan pengalaman pemilikan yang lancar.

Selepas pembukaan pusat pengalaman di Pulau Pinang, Peugeot Motocycles akan memberikan tumpuan kepada pengembangan rangkaian di Johor, Lembah Klang, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang.

Pelancaran dijadualkan berlangsung sepanjang Jun hingga suku ketiga 2026.

Proton X50 raja SUV, Perodua Traz kalah 10 unit dengan Ativa pada April 2026

Pasaran SUV Malaysia bagi bulan April 2026 terus memperlihatkan penguasaan Proton X50 yang sukar digugat.

Meskipun pasaran kini dibanjiri dengan pelbagai model baharu sama ada dari jenama tempatan atau China, Proton X50 membuktikan kredibilitinya apabila kekal konsisten sebagai SUV paling laris di tanah air.

Sementara itu, dalam kem Perodua, perhatian terarah kepada model baharu Traz, yang kini secara rasmi memintas kedudukan pendaftaran terkumpul (YTD) saudaranya, Ativa.

Prestasi Proton X50 April 2026

Berdasarkan data pendaftaran sehingga 30 April 2026, Proton X50 kekal stabil dengan pendaftaran sebanyak 2,468 unit bagi bulan April.

Meskipun mencatat penurunan berbanding Mac, momentum X50 masih jauh di hadapan pencabar SUV segmen-B yang lain secara individu.

Prestasi konsisten ini menunjukkan model pembakaran dalaman (ICE) dengan kuasa turbo keluaran Proton masih memegang kepercayaan tinggi pengguna Malaysia.

Berikut adalah prestasi bulanan Proton X50 (Januari – April 2026):

  • Januari: 1,891 unit
  • Februari: 2,340 unit
  • Mac: 2,858 unit
  • April: 2,468 unit
  • Jumlah Terkumpul (YTD): 9,557 unit

Perodua Traz Mula Memintas Ativa

Satu perkembangan yang sangat menarik bagi suku kedua (Q2) 2026 adalah prestasi Perodua Traz yang bersaing dengan Perodua Ativa.

Model ini mempamerkan momentum yang cukup kuat apabila merekodkan pendaftaran sebanyak 2,220 unit pada bulan April, sekali gus memintas kedudukan YTD Ativa.

Data pendaftaran bulanan bagi model Perodua Traz:

  • Januari: 1,520 unit
  • Februari: 1,850 unit
  • Mac: 1,720 unit
  • April: 2,220 unit
  • Jumlah Terkumpul (YTD): 7,310 unit

Manakala prestasi Perodua Ativa menyaksikan persaingan yang cukup sengit sejak Januari 2026:

  • Januari: 1,650 unit
  • Februari: 1,254 unit
  • Mac: 1,380 unit
  • April: 2,230 unit
  • Jumlah Terkumpul (YTD): 6,514 unit

Berdasarkan jualan April, dapat diperhatikan kedua-dua model ini sama kuat dengan Ativa berjaya memintas Traz sebanyak 10 unit.

Strategi SUV Perodua dan Penguasaan Pasaran

Bagi Perodua, kewujudan serentak Traz dan Ativa sebenarnya merupakan satu kelebihan taktikal yang sangat berbisa.

Persaingan sihat antara kedua-dua model ini memberikan kepelbagaian pilihan dalam segmen SUV kompak buat pembeli di Malaysia.

Pengguna boleh memilih sama ada mahukan teknologi turbo pada Ativa atau praktikaliti enjin 1.5L NA pada Traz.

Secara strategik, gabungan pendaftaran Traz dan Ativa kini mencecah 13,824 unit (YTD).

Angka ini ternyata jauh lebih tinggi berbanding pencapaian individu Proton X50 yang mencatatkan 9,557 unit (YTD).

Malah, jika dibandingkan dengan gabungan tiga model SUV utama Proton (X50, X70, X90) sebanyak 12,761 unit (YTD), duo SUV Perodua ini masih lagi mendahului dengan kelebihan 1,063 unit.

Setakat April, penguasaan Perodua dalam pendaftaran keseluruhan sudah pun mencecah angka 106,298 unit.

Gabungan Traz dan Ativa terbukti menjadi penyumbang dalam mengukuhkan cengkaman Perodua dalam pasaran SUV negara.

Statistik Pendaftaran Kenderaan (YTD April 2026)

Berikut adalah kedudukan 10 model paling popular mengikut pendaftaran terkumpul bagi tempoh Januari hingga April 2026:

  1. Perodua Bezza: 32,386 unit
  2. Proton Saga: 29,897 unit
  3. Perodua Axia: 24,955 unit
  4. Perodua Myvi: 19,478 unit
  5. Perodua Alza: 12,806 unit
  6. Proton X50: 9,557 unit
  7. Proton e.MAS 5: 8,473 unit
  8. Proton S70: 8,175 unit
  9. Perodua Traz: 7,310 unit
  10. Honda City: 6,730 unit

Sumber Data: data.gov.my

KTM Malaysia lancar 4 model 390 Series di Malaysia, harga dari RM27,300

Eurotech Wheel Distribution Sdn Bhd selaku pengedar eksklusif jenama KTM melancarkan 4 model terbaharu siri KTM 390 untuk pasaran Malaysia.

Berikut merupakan senarai model berserta harga jualan:

  • KTM 390 SMC R – RM27,300
  • KTM 390 Enduro R – RM27,300
  • KTM 390 Adventure X – RM29,300
  • KTM 390 Adventure R – RM33,300

Difahamkan, sebuah lagi model dijangka masuk pada suku keempat tahun ini, iaitu KTM 390 Duke dengan harga jualan RM30,300.

Spesifikasi kuasa

Kesemua model dalam siri KTM 390 dipacu enjin silinder tunggal 399 cc yang mampu menjana kuasa 45 PS dan 39 Nm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda menerusi transmisi enam kelajuan.

KTM 390 SMC R

Supermoto 390 SMC R ini dilengkapi dengan tetapan fork hadapan WP Apex 43 mm (jarak pergerakan roda 230 mm) dan penyerap hentak belakang WP Apex Separate Piston.

Brek pula menggunakan tetapan angkup Bybre dengan rotor radial 320 mm di depan, diikuti angkup omboh tunggal dan rotor 240 mm di belakang.

Ciri lain termasuklah:

  • skrin paparan TFT 4.2 inci
  • Sistem ABS Bosch & opsyen Supermoto ABS
  • dua mod tunggangan (Street & Sport)

KTM 390 Enduro R

Ia merupakan varian Enduro R dengan sesaran terkecil dalam barisan dual-sport KTM, mengambil inspirasi daripada KTM 690 Enduro R.

Dengan berat sekitar 159 kg, ia turut dilengkapi rim jejari 21 inci/18 inci.

Ia menggunakan tetapan suspensi yang sama seperti 390 SMC R.

Ciri lain termasuklah:

  • skrin paparan TFT 4.2 inci
  • sistem ABS Bosch & opsyen Offroad ABS
  • tuil brek, klac dan tempat letak kaki boleh laras

KTM 390 Adventure X

Ini merupakan model aras mula bagi segmen kembara KTM, dengan reka bentuk inspirasi rali.

Tetapan suspensi terdiri daripada fork WP Apex di depan dan WP Apex Emulsion di belakang.

Ia turut dilengkapi dengan ciri Offroad ABS.

Antara kelengkapan lain:

  • skrin paparan LCD 5-inci
  • tinggi pelana 825 mm
  • tangki bahan api 14 liter

KTM 390 Adventure R

Tidak seperti model X, 390 Adventure R merupakan model yang lebih hardcore.

Ia hadir dengan tiga mod tunggangan iaitu Street, Off-road dan Rain, serta cermin penghadang angin gaya rali.

Suspensi terdiri daripada fork WP Apex Open Cartridge 43 mm dengan jarak pergerakan roda 230 mm, diikuti penyerap hentak belakang WP Apex Separate Piston.

Ciri lain termasuklah:

  • skrin paparan TFT 5-inci
  • Motorcycle Traction Control (MTC)
  • Cornering ABS & Offroad ABS

Suzuki V-Strom 1050 2026 kini dengan 3 warna baharu – harga RM78,900

Suzuki Malaysia mengumumkan ketibaan 3 warna baharu untuk jentera adventure touring V-Strom 1050 2026.

Tiga warna yang dimaksudkan ialah:

  • Metallic Oort Gray
  • Metallic Mat Steel Green
  • Glass Sparkle Black

Harga jualan bermula dari RM78,900 tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran.

Setiap pembelian akan disertakan dengan set kotak pannier aluminium tulen Suzuki (37 liter setiap satu) yang dapat meningkatkan praktikaliti dan kemampuan kembara.

Spesifikasi

V-Strom 1050 dipacu oleh enjin V-twin 1,037 cc sejukan cecair DOHC yang dipadankan dengan transmisi 6-kelajuan dan fungsi quickshifter dua arah.

Kuasa dihasilkan sekitar 106 hp @ 8,500 rpm dan 100 Nm @ 8,000 rpm.

Suspensi terdiri daripada fork teleskopik jenis terbalik di depan, dibantu dengan penyerap hentak tunggal di belakang.

Antara ciri yang dimuatkan termasuklah:

  • skrin paparan TFT 5-inci
  • rim 19 inci depan/17 inci belakang
  • tinggi pelana 855 mm boleh laras
  • tangki bahan api 20 liter

Ciri bantuan elektronik pula seperti:

  • ABS dua-saluran dengan dua mod
  • sistem kawalan cengkaman
  • sistem pendikit ride-by-wire
  • kawalan jelajah
  • Motion Track Brake System
  • Hill Hold Control System
  • Load Dependent Control System
  • Slope Dependent Control System

Denza B8 bakal dilancarkan di Malaysia bulan ini

Denza Malaysia mengesahkan model baharu Denza B8 bakal dilancarkan pada bulan ini.

Ia sekaligus menandakan kemasukan jenama itu ke dalam segmen SUV off-road mewah.

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang perlu anda tahu tentang SUV Denza B8 ini.

Model plug-in hybrid pertama Denza di Malaysia

Tidak seperti D9, B8 merupakan model plug-in hybrid (PHEV) pertama jenama itu di sini.

Ia dibangunkan berasaskan tiga teras utama:

  • Platform DMO (Dual Mode Off-road) Super Hybrid
  • Sistem suspensi pintar DiSus-P Intelligent Body Control
  • Pengalaman kabin premium

Prestasi sistem DMO

Denza B8 dipacu oleh sistem DMO yang terdiri daripada:

  • enjin 2.0 liter turbo
  • dua motor elektrik
  • pek bateri Blade

Sistem ini mampu menjana kuasa 603 hp dan 760 Nm.

Jarak pemanduan sifar emisi pula boleh mencecah 115 km, sementara jarak pemanduan keseluruhan sehingga 1,040 km (data NEDC).

Terdapat mod pemanduan Pure EV, HEV Series dan Parallel Mode yang berfungsi secara pintar di belakang tabir untuk melaraskan penghantaran kuasa mengikut situasi semasa.

Sistem DiSus-P

Denza B8 turut dipadankan dengan tetapan suspensi DiSus-P Intelligent Hydraulic Body Control.

Sistem ini direka untuk bertindak balas secara aktif bergantung kepada perubahan permukaan jalan dan keadaan pemanduan.

Ia bertujuan untuk mengekalkan kestabilan dinamik kenderaan dan keselesaan, serta memastikan gangguan yang minimum di dalam kabin.

Elemen premium tetap diutamakan

SUV ini membawakan bahasa reka bentuk ‘Starship Mecha’ untuk penampilan yang gagah dan futuristik di atas jalan.

Ia hadir dengan grafik lampu siang LED ‘Starship Wing’ serta lampu belakang inspirasi ‘Energy Thruster’.

Ruang kabin pula hadir dengan kemasan kulit Nappa, sistem audio premium Devialet dengan 18 pembesar suara, skrin kluster digital 12.2 inci dan skrin tengah sebesar 17.3 inci.

Bakal dipamerkan hujung bulan ini

Denza B8 akan dilancarkan secara rasmi pada hujung bulan ini.

Rakyat Malaysia yang berminat boleh berkunjung ke Bangsar Shopping Centre bermula 22-24 Mei 2026 di mana SUV ini akan dipertontonkan kepada umum buat kali pertama.

Honda N-BOX cecah jualan 3 juta unit!

Siri kereta kecil kei-car Honda N-BOX merekodkan pencapaian baharu apabila berjaya mencatat jualan sebanyak 3,009,248 unit setakat akhir April 2026.

Pencapaian ini direkodkan dalam tempoh 14 tahun 4 bulan selepas pelancaran generasi pertama N-BOX pada Disember 2011.

Rekod ini sekali gus memintas rekod siri FIT (247 bulan) untuk menjadi rekod terpantas bagi mana-mana kenderaan empat roda Honda.

Kejayaan tersebut menyaksikan N-BOX menguasai kedudukan pertama jualan keseluruhan kenderaan empat roda di Jepun bagi hampir setiap tahun sejak 2017 sehingga 2026.

Evolusi Tiga Generasi Honda N-BOX

Sejak pelancaran pada Disember 2011, N-BOX telah mengubah konsep konvensional kereta kei melalui penggunaan susun atur tangki tengah unik Honda.

Reka bentuk ini menghasilkan ruang dalaman antara yang terbesar dalam kategori kereta penumpang kei setakat April 2026.

N-BOX kedua mencapai prestasi pemanduan dan kecekapan bahan api yang cemerlang melalui badan yang ringan dan rangkaian kuasa yang direka baharu.

Ia turut dilengkapi sistem bantuan pemanduan keselamatan canggih Honda SENSING yang merupakan ciri standard pada semua varian.

N-BOX ketiga yang dilancarkan pada Disember 2023 terus diterima baik kerana kemudahan pemanduan melalui medan penglihatan terbuka dan ruang dalaman selesa.

Pada September 2024, varian N-BOX JOY telah ditambah bagi menawarkan pilihan gaya hidup aktif kepada pengguna.

Prestasi Jualan dan Pasaran Jepun

Berdasarkan data Persatuan Peniaga Automobil Jepun dan Persatuan Kenderaan Bermotor Ringan Jepun, N-BOX mencatatkan jualan konsisten melebihi 180,000 unit setahun sejak 2015.

Pada tahun 2019, model ini mencatatkan jualan tertinggi tahunan sebanyak 253,500 unit.

Bagi tempoh Januari hingga April 2026 sahaja, sebanyak 69,042 unit telah terjual di pasaran Jepun.

N-BOX kekal di kedudukan pertama dalam carta keseluruhan kenderaan empat roda dari tahun 2022 sehingga April 2026.

Rangkaian Kuasa Honda N-BOX

N-BOX digerakkan oleh dua jenis enjin iaitu i-VTEC aspirasi semulajadi (NA) dan unit turbo bagi pelanggan yang mahukan lebih kuasa. Kedua-dua enjin ini digandingkan dengan transmisi CVT.

Semua varian ditawarkan dalam pilihan pacuan roda hadapan 2WD (FF) atau 4WD. Gabungan ini memberikan fleksibiliti kepada pengguna mengikut keperluan pemanduan mereka di pelbagai kawasan.

Harga Jualan Siri N-BOX

Di pasaran Jepun, harga bagi siri N-BOX bermula daripada 1,739,100 yen bagi varian N-BOX FF (RM43,494.89).

Bagi varian tertinggi iaitu N-BOX CUSTOM Turbo Coordinate Style (dua tona) 4WD, ia dijual pada harga 2,475,000 yen (kira-kira RM61,899.75).

Spesifikasi Teknikal Honda N-BOX

Enjin i-VTEC NA (S07B)

  • Jenis: 660cc SOHC 3-silinder
  • Kuasa: 58 ps (57 hp) @ 7,300 rpm
  • Tork: 65.6Nm @ 4,800 rpm

Enjin Turbo (S07C)

  • Jenis: 660cc DOHC 3-silinder Turbo
  • Kuasa: 64 ps (63 hp) @ 6,000 rpm
  • Tork: 104Nm @ 2,600 rpm

PETRONAS Lubricants lancar pelincir sintetik penuh Sprinta Scooter Extreme +Ester 5W-40 untuk skuter moden

PETRONAS Lubricants Marketing Malaysia (PLMM) melancarkan produk minyak pelincir Sprinta Scooter Extreme +Ester 5W-40 baru-baru ini.

Minyak enjin sintetik penuh premium ini direka untuk memenuhi keperluan penunggang skuter moden yang mementingkan prestasi terbaik dan perlindungan maksimum.

Ciri-ciri utama & Kelebihan

PETRONAS Sprinta Scooter Extreme +Ester 5W-40 ini menampilkan ciri-ciri berikut:

  • Teknologi +Ester – memberikan lapisan perlindungan magnetik untuk mengurangkan geseran secara drastik, memastikan pecutan lebih reponsif dan perlindungan komponen enjin daripada haus
  • Gred kelikatan 5W-40 – memastikan aliran minyak yang pantas semasa mula menghidupkan enjin dan mengekalkan kecekapan pelinciran pada suhu tinggi ekstrem
  • Kestabilan UltraFlex™ – melindungi enjin daripada deposit dan penebalan minyak, sekali gus memanjangkan jangka hayat enjin

Pelincir terbaharu ini direka untuk memenuhi dan melebihi piawaian industri tertinggi yang dapat memberikan ketenangan minda kepada pemilik skuter.

Zameer Zahur Hussain, Ketua Pengawai Eksekutif PLMM berkata, “Kami memahami penunggang skuter hari ini bukan sekadar mahukan pengangkutan, tetapi mahukan pengalaman tunggangan yang lancar dan berkuasa.

Jelasnya lagi, produk PETRONAS Sprinta Scooter Extreme +Ester ini membawakan teknologi terbaik untuk perlindungan enjin serta pengurangan haba yang dapat memberikan keyakinan dalam setiap perjalanan.

 

Cycle & Carriage dilantik sebagai pengedar baharu Kia Sales Malaysia

Kia Sales Malaysia Sdn Bhd (KSM) mengumumkan pelantikan Cycle & Carriage (C&C) sebagai rakan pengedar sah baharu.

Ini sekali gus menandakan satu pencapaian penting dalam strategi pertumbuhan jangka panjang dan peluasan rangkaian Kia di Malaysia.

Kerjasama antara dua kuasa utama ini menawarkan manfaat selaras standard global terkini Kia seperti berikut:

  • akses jualan yang lebih meluas
  • sokongan selepas jualan yang dipertingkatkan
  • pengalaman pemilikan lebih premium

Menurut Hyung Ho Kim selaku Ketua Pegawai Eksekutif KSM, “Pelantikan C&C yang mempunyai legasi menjangkau lebih 125 tahun mencerminkan komitmen untuk memperkukuh rangkaian jualan Kia.

“Usaha ini bertujuan untuk meningkatkan pengalaman pelanggan di seluruh negara, sekali gus meletakkan jenama Kia pada kedudukan yang lebih kompetitif.

Adrian Short, Ketua Pegawai Eksekutif C&C menambah, “sebagai salah satu pengeluar kereta terbesar di dunia, Kia merupakan penambahan kukuh kepada portfolio kami.

Dengan kepakaran dan kecemerlangan perkhidmatan pelanggannya, C&C berharap dapat memperluas rangkaian Kia dan memberikan pengalaman pemilikan yang luar biasa kepada pelanggan di Malaysia.

Inilah masa yang sesuai untuk sambar Chery O5 & Chery Tiggo Cross Turbo!

Chery Malaysia kini menawarkan peluang terbaik untuk rakyat Malaysia memiliki dua model pentingnya, iaitu Chery O5 dan Chery Tiggo Cross.

Ini kerana sepanjang bulan Mei, Chery menawarkan rebat sehingga RM8,888 untuk O5 dan sehingga RM7,888 untuk Tiggo Cross Turbo.

Untuk makluman, promosi ini terhad untuk model tahun 2025 sahaja.

Sesuai untuk mereka yang sedang mencari SUV terbaik yang kena dengan bajet, dan sarat dengan pelbagai ciri moden.

Chery o5 facelift

Chery O5 versi facelift telah pun dilancarkan secara rasmi pada tahun lepas kira-kira dua tahun selepas pertama kali diperkenalkan pada tahun 2023.

SUV segmen B ini masih kekal dengan enjin 1.5 liter turbo menghasilkan 156 PS dan 230 Nm.

Antara perubahan yang dibuat ialah menggantikan transmisi CVT yang asal kepada kotak gear DCT enam-kelajuan, diikuti tetapan suspensi multi-link di belakang.

Ciri-ciri berikut membuatkan Chery o5 facelift ini lebih berbaloi untuk dimiliki:

  • Sistem audio premium Sony 8-pembesar suara
  • Sokongan Apple CarPlay & Android Auto tanpa wayar
  • Sistem kamera panorama HD 540°
  • kaca akustik menyumbang kepada kabin yang lebih senyap dan selesa
  • pintu tailgate bebas tangan

Chery Tiggo Cross Turbo

Sebuah lagi SUV menarik ditawarkan oleh Chery Malaysia ialah Chery Tiggo Cross Turbo.

Ia dipacu enjin 1.5 liter turbo dengan talaan kuasa 147 PS dan 210 Nm, dipadankan dengan transmisi DCT 6-kelajuan.

Kadar penggunaan bahan api dicatatkan sekitar 6.3 liter/100 km.

Tiggo Cross turut dilengkapi dengan ciri-ciri yang buatkannya rasa mahal dan berbaloi untuk dimiliki:

  • Tetapan skrin melengkung 20.5 inci yang menghimpunkan skrin kluster digital dan infohibur
  • Skrin ketiga untuk kawalan sistem pendingin hawa dua zon
  • Corong pendingin hawa baris kedua
  • Slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar 15W
  • Sistem kamera panorama HD 360°

Sebelum beli, pandu uji dulu

Atas kertas, spesifikasi bagi kedua-dua model ini sememangnya mengujakan dan membuatkannya berbaloi untuk dimiliki.

Untuk membuatkan pembelian yang lebih bermakna, Chery Malaysia menyarankan rakyat Malaysia untuk berkunjung ke pusat pameran dan pandu uji sendiri Chery O5 dan Tiggo Cross.

Daripada situ baharulah kita dapat menilai ‘perangai’ sebenar kereta idaman seperti keselesaan, respons pengendalian, dan kepuasan pemanduan.

Inilah masa yang sesuai!

Lepas pandu uji, usah berfikir panjang.

Kalau kena dengan bajet, terus sambar promosi rebat yang ditawarkan oleh Chery Malaysia sepanjang Mei ini.

Promosi ini hanya sah untuk model tahun 2025, sementara stok masih tersedia.

Toyota Yaris Cross 2026 rasmi dilancarkan di Malaysia – 2 varian, harga dari RM99,900

UMW Toyota Motor (UMWT) hari ini secara rasmi melancarkan SUV segmen B Toyota Yaris Cross serba baharu.

Terdapat dua varian ditawarkan, harga jualan adalah seperti berikut:

  • Yaris Cross 1.5S – RM99,900
  • Yaris Cross 1.5S HEV – RM109,900

Sama seperti Vios HEV yang dilancarkan sebelum ini, Yaris Cross juga merupakan unit pemasangan tempatan (CKD) dari kilang Bukit Raja, Selangor.

Dua pilihan enjin

Yaris Cross ditawarkan dengan pilihan enjin petrol dan tetapan sistem hibrid generasi keempat Toyota.

Versi petrol dipacu dengan enjin 1.5 liter 2NR-VE yang mampu menjana kuasa 106 PS dan 138 Nm, dipadankan dengan transmisi CVT.

Versi HEV pula dilengkapi dengan:

  • enjin 1.5L 2NR-VEX (91 PS/121 Nm)
  • motor elektrik (80 PS/141 Nm)
  • bateri lithium-ion

Secara keseluruhan, Yaris Cross HEV menjana kuasa 111 PS, dipadankan dengan transmisi e-CVT.

Dimensi

SUV ini membawakan ukuran dimensi sepanjang 4,310 mm, lebar 1,770 mm, tinggi 1,655 mm dengan jarak antara roda 2,620 mm.

Kedua-dua hadir dengan rim saiz 18 inci (tayar 215/55 R18).

Ruang kargo pula adalah sebesar 471 liter untuk varian petrol, sementara varian hibrid diberikan ruang 465 liter.

Tangki bahan api sebesar 42 liter untuk versi petrol, dan 36 liter untuk varian hibrid.

Casis

Yaris Cross dibina berdasarkan platform DNGA yang sama digunakan pada model Vios dan Veloz, serta kembarnya Perodua Traz.
Suspensi terdiri daripada topang MacPherson di depan, diikuti dengan tetapan torsion beam di belakang.
Tetapan ini memberikan keseimbangan antara ruang, keselesaan dan kestabilan, dan dalam masa yang sama menyediakan jarak kelegaan tanah setinggi 210 mm.
Kelebihan utama Yaris Cross ialah radius putaran sekecil 5.2 meter.

Kelengkapan luaran

Yaris Cross membawakan penampilan yang sedikit berbeza berbanding Perodua Traz, terutama pada bahagian jeriji trapezoid dan rekaan rim 18 inci.

Antara ciri lain termasuklah:

  • lampu LED berserta lampu nyalaan siang LED
  • lampu belakang LED
  • cermin sisi boleh lipat automatik
  • antena sirip jerung

Yaris Cross hadir dengan pilihan warna berikut:

  • Spicy Scarlet S.E
  • Dark Turquoise S.E
  • Platinum Pearl White
  • Silver Metallic
  • Attitude Black

Kelengkapan kabin

Untuk ruang kabin, Yaris Cross mendapat ciri roda stereng balutan kulit dengan larasan tilt & teleskopik, serta skrin kluster digital 7-inci dengan 4 tema paparan.
Skrin tengah pula sebesar 10.1 inci yang menyokong Apple CarPlay & Android Auto tanpa wayar.
Antara ciri lain termasuklah:
  • tempat duduk pemandu larasan kuasa 8-tahap
  • upholsteri kulit
  • slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar
  • port pengecasan USB Type-C
  • sistem audio dengan 4-pembesar suara dan 2-tweeter
  • pintu tailgate berkuasa dengan penderia kaki

Keselamatan

Secara standard, Yaris Cross didatangkan dengan kelengkapan keselamatan Toyota Safety Sense (TSS), merangkumi fungsi berikut:

  • Sistem Pra-Pelanggaran
  • Sistem Brek Pra-Pelanggaran
  • Kawalan Jelajah Adaptif Kelajuan Penuh
  • Amaran Keluar Lorong
  • Pengelakan Keluar Lorong
  • Bantuan Pengekalan Lorong
  • Amaran Pergerakan Kenderaan Hadapan
  • Kawalan Salah Operasi Pedal
  • Bantuan Suluhan Tinggi

Ciri lain termasuklah enam beg udara SRS, cagak ISOFIX, sistem pemantauan keliling panorama, sistem pemantauan titik buta dan amaran lintasan trafik belakang.