fbpx

GAC GS3 Emzoom dilancarkan di Malaysia – 2 varian CBU, harga dari RM119k

01 GAC GS3 EMZOOM

WTC Automotif (WTCA), anak syarikat Warisan TC Holdings, telah melancarkan GAC GS3 Emzoom 2024 untuk pasaran Malaysia. Jika anda masih ingat, SUV kompak itu telah dipertontonkan buat pertama kali Januari lalu.

Ia didatangkan versi import sepenuhnya (CBU) dan boleh didapati dalam dua varian iaitu Exclusive (RM118,900) dan Premium R (RM128,900).

Bagaimanapun menurut WTCA, mereka telah pun memulakan produksi versi pemasangan tempatan (CKD) di Segambut.

Bakal bersaing dengan Honda HR-V dan Proton X50, GS3 Emzoom Exclusive mempunyai ukuran panjang 4,410 mm, lebar 1,850 mm dan tinggi 1,600 mm. Ukuran jarak roda 2,650 mm adalah yang terpanjang dalam segmennya.

Dengan adanya kit badan R Style Sport Package yang agresif, panjang varian Premium R bertambah sedikit menjadi 4,446 mm. Varian ini juga boleh dibezakan menerusi ekzos sport berkembar yang keluar pada bahagian tengah bampar.

Masuk ke dalam, anda akan menemui upholsteri kulit biru dan hitam, balutan kulit pada stereng, dan tombol gear kristal, serta kelengkapan seperti skrin sentuh berukuran 10.25 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto wayarles, kamera keliling kenderaan dan parkir brek elektronik dengan Auto Hold.

Premium R mendapat beberapa kelengkapan tambahan termasuk pendingin hawa automatik, pelarasan enam hala untuk kerusi pemandu, pencahayaan ambien, pengecas wayarles, tailgate kuasa bebas tangan, Fusion Automatic Parking Assist dan bumbung suria panoramik.

Di belakang, terdapat ruang but dengan kapasiti 341 liter yang boleh dibesarkan menjadi 1,271 liter dengan melipat tempat duduk belakang.

Kedua-dua varian dikuasakan oleh enjin 1.5-liter turbo empat silinder dengan 177 PS pada 5,500 rpm dan 270 Nm dari 1,400 hingga 4,500 rpm. Kuasa disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi klac berkembar basah tujuh kelajuan.

Dari segi prestasi, ia boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 8.0 saat, 0.1 saat lebih perlahan jika dibandingkan dengan X50 TGDi yang mempunyai 177 PS dan 255 Nm. Tahap kecekapan bahan api adalah 5.9 liter per 100 km.

Sistem bantuan pemandu ADAS dengan pemanduan autonomi Tahap 2 didatangkan secara standard. Ia merangkumi Adaptive Cruise Control (ACC), Automatic Emergency Braking (AEB), Front  Collision Warning (FCW), Traffic Sign Recognition System (TSR), Lane Departure Warning (LDW) dan Intelligent Speed Limit Control (ISLC).

Apa yang menarik, Premium R mendapat dua ciri tambahan iaitu High Beam Assist (HMA) and Fusion Automatic Parking Assist.

GS3 Emzoom boleh didapati dalam empat warna iaitu Salt Lake Blue, Ivory White, Graphene Grey dan Super Star Silver.

Untuk 2,000 pelanggan pertama yang mendaftarkan kereta mereka, WTCA menawarkan pakej istimewa yang merangkumi waranti enjin dan trenkuasa selama tujuh tahun/180,000 km (tambahan kepada waranti standard lima tahun/150,000 km), serta servis berjadual percuma sebanyak tiga kali termasuk kos buruh, alat ganti dan minyak pelincir.

Bukan itu sahaja, pembeli-pembeli terawal juga akan menerima kunci jam pintar GAC secara percuma. Ia berfungsi seperti kunci kereta biasa dengan ciri tambahan jam pintar.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved