Arkib Kategori: MALAYSIA

Bridgestone Potenza Adrenalin RE005 kini di Malaysia – 46 saiz, harga dari RM351

Bridgestone Tyre Sales (Malaysia) Sdn Bhd hari ini melancarkan produk tayar baharu Potenza Adrenalin RE005 untuk pasaran tempatan.

Michael Chung, Pengarah Urusan Bridgestone Tyre Sales (Malaysia) Sdn Bhd berkata, “Potenza Adrenalin RE005 mencerminkan komitmen kami untuk menawarkan prestasi mengujakan yang memenuhi jangkaan pemandu masa kini.

“Dibangunkan dengan DNA sukan permotoran Bridgestone, tayar ini direka untuk memberikan kawalan yakin, pengendalian responsif dan keseronokan pemanduan yang sesuai dengan jalan serta cuaca Malaysia.”

Tersedia dalam 46 saiz untuk rim saiz 15 hingga 20 inci, tayar ini dijual pada harga dari RM351 hingga RM1,543.

Teruskan legasi model RE004

Tayar generasi kelima ini dibangunkan berdasarkan legasi model terdahulu, iaitu Adrenalin RE004.

Ia menawarkan peningkatan cengkaman kering 8 peratus dan cengkaman basah sebanyak 10 peratus.

Hasilnya, pretasi yang lebih konsisten dalam pelbagai keadaan pemanduan.

Rekaan blok lebar juga membantu mengagihkan tekanan secara sekata untuk memastikan cengkaman lebih kukuh dan kawalan lebih tepat di jalan kering mahupun basah.

Blok penyambung yang dioptimumkan serta alur berbentuk A menyumbang kepada kestabilan ketika membelok dan mengambil selekoh.

Selain itu, rekaan rusuk dalaman yang lebih lebar memberikan tindak balas stereng yang lebih pantas.

Kawalan lebih yakin di jalan basah

Rekaan alur yang direka khas meningkatkan keupayaan menyalirkan air sekali gus mengurangkan risiko hidroplaning.

Selain itu, kompaun getah generasi baharu meningkatkan kadar cengkaman dan respons dalam semua keadaan.

Kompaun ini menawarkan rintangan haba yang lebih baik untuk memastikan prestasi yang konsisten dan boleh diharap.

Selain itu, kompaun getah baharu ini membantu mengurangkan rintangan golekan, menyumbang kepada kecekapan bahan api yang lebih baik.

Rekaan Multi-Round Block mengoptimumkan tekanan sentuhan pada bahu tayar untuk memaksimumkan jangka hayat bunga dan prestasi yang konsisten.

Sedia untuk pelbagai model termasuk EV

Tayar Bridgestone Potenza Adrenalin RE005 kini ditawarkan di pengedar sah Bridgestone di seluruh negara.

Ia sesuai untuk pelbagai jenis kenderaan termasuklah sedan, EV dan kereta berprestasi tinggi.

 

Lepas tandatangani perjanjian pengedaran bersama 20 rakan industri dari Malaysia

Jenama kenderaan tenaga baharu (NEV) Lepas menandatangani perjanjian pengedaran strategik bersama 20 rakan industri dari Malaysia.

Majlis tersebut berlangsung ketika Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Lepas yang berlangsung di Wuhu pada 26-28 April lalu.

Perjanjian ini mengesahkan komitmen kukuh Lepas terhadap pasaran Malaysia, dan dalam masa yang sama mempercepat peluasan rangkaian global jenama tersebut.

Lepas turut mengiktiraf nilai besar rangkaian rakan niaga ini meliputi operasi seluruh negara, standard perkhidmatan yang konsisten dan rekod operasi terbukti.

Sebagai entiti baris depan segmen NEV premium, kefahaman mendalam mereka terhadap landskap tersebut selari dengan strategi pembangunan global Lepas.

Sarah Choo, Pengarah Kanan Jenama Lepas berkata, “Kami percaya bahawa elegan menggerakkan dunia, dan pengalaman elegan memerlukan perjalanan pelanggan yang benar-benar diperhalusi.

“Dengan bergerak sebagai satu pasukan, Lepas sedang membina sistem rangkaian standard yang menjanjikan pengalaman produk menyeluruh, diikuti jualan, serahan dan penjagaan selepas jualan yang lancar.

“Lepas komited untuk membawakan gaya hidup mobiliti yang elegan kepada pelanggan di seluruh Malaysia,” ujarnya lagi.

Volvo Car Malaysia anjur Selamat Driving Experience di Sepang 16-17 Mei ini

Volvo Car Malaysia bakal menganjurkan Selamat Driving Experience bertempat di Pusat Pengalaman Pemanduan, Litar Sepang pada 16 hingga 17 Mei ini.

Ia merupakan sebahagian daripada kempen Selamat yang dilancarkan oleh VCM pada Januari 2026 yang lalu.

Kempen ini bermatlamat untuk menjadikan keselamatan jalan raya sebagai satu budaya bersama, serta meletakkan aspek keselamatan sebagai kriteria utama dalam pemilihan kereta.

Menurut Patricia Yaw, Pengarah Jualan & Pemasaran VCM, “Selamat Driving Experience direka untuk mencetuskan kesedaran di kalangan peserta untuk menilai semula tabiat di jalan raya.”

Jelasnya lagi, menerusi simulasi pemanduan yang imersif peserta dapat memahami kesan buruk yang timbul akibat sikap sambil lewa.

Tempat terhad

Penyertaan adalah terhad kepada 192 orang peserta sahaja berdasarkan prinsip siapa cepat dia dapat.

Sepanjang dua hari, peserta dapat merasai pengalaman berdepan situasi cemas dalam persekitaran yang selamat dan terkawal.

Mereka juga berpeluang menguji ciri keselamatan tercanggih Volvo termasuklah Safe Space Technology yang menggunakan kecerdasan buatan (AI).

Yuran pendaftaran adalah seperti berikut:

  • Pemilik Volvo – RM150
  • Bukan pemilik Volvo – RM300
  • Tidak ambil bahagian dalam pemanduan – RM100

Setiap pemilik kereta Volvo dibenarkan untuk menggunakan nombor VIN yang didaftarkan sekali sahaja.

Ibu bapa dinasihatkan supaya tidak membawa kanak-kanak bawah umur 18 tahun atas faktor keselamatan.

Pendaftaran boleh dibuat melalui volvocarmalaysia.com/selamat-driving-experience

Peugeot Motocycles rasmi masuk pasaran Malaysia, lancar 4 model skuter bergaya

Aveta International mengumumkan ketibaan jenama motosikal Perancis, iaitu Peugeot Motocycles untuk pasaran Malaysia.

Serentak dengan pengenalan tersebut, empat buah model skuter dilancarkan serentak, terdiri daripada:

  • XP400 GT – RM43,990
  • Django Cafe Racer 150 – RM16,990
  • Django Classic 150 – RM14,990
  • Speedfight 4+ – RM9,990

Steven Lim, Pengarah Urusan Kumpulan Aveta International mengesahkan beberapa model (termasuk Django dan Speedfight 4+) akan dipasang secara CKD di bawah inisiatif Eco 5 Aveta.

Sepanjang tahun 2026, Peugeot Motocycles Malaysia menyasarkan pembukaan 10 hingga 15 pengedar eksklusif di beberapa lokasi urban.

Pusat pengalaman mercu pertama yang terletak di Bukit Tambun, Pulau Pinang akan dibuka 9 Mei ini, diikuti di Johor Bahru dan Lembah Klang seawal Jun 2026.

Berikut merupakan informasi untuk setiap model yang dilancarkan:

Peugeot Speedfight 4+

  • Enjin silinder tunggal 150 cc sejukan cecair
  • Kuasa 12.5 hp @ 7,500 rpm, 13.2 Nm @ 5,500 rpm
  • Fork teleskopik terbalik depan, penyerap hentak tunggal belakang
  • Skrin paparan digital LCD
  • Sistem ABS dua-saluran
  • Rim 13 inci
  • Tangki bahan api 7.4 liter
  • Tinggi pelana 780 mm

Peugeot Django Classic 150

  • Enjin silinder tunggal 150 cc sejukan cecair
  • Kuasa 12.5 hp @ 7,500 rpm, 13.2 Nm @ 5,500 rpm
  • Fork teleskopik depan, penyerap hentak tunggal belakang
  • Skrin paparan digital TFT
  • Sistem ABS dua-saluran
  • Rim 12 inci
  • Tangki bahan api 8.5 liter
  • Tinggi pelana 780 mm

Peugeot Django Cafe Racer 150

  • Enjin silinder tunggal 150 cc sejukan cecair
  • Kuasa 12.5 hp @ 7,500 rpm, 13.2 Nm @ 5,500 rpm
  • Fork teleskopik depan, penyerap hentak tunggal belakang
  • Skrin paparan digital TFT
  • Sistem ABS dua-saluran
  • Rim 12 inci
  • Tangki bahan api 8.5 liter
  • Tinggi pelana 780 mm
  • Cermin sisi pada penghujung bar hendal
  • Penutup pelana pembonceng
  • Penghadang angin yang lebih tinggi

Peugeot XP400 GT

  • Enjin silinder tunggal 400 cc PowerMotion sejukan cecair
  • Kuasa 36.7 hp @ 8,150 rpm, 38.1 Nm @ 5,400 rpm
  • Fork teleskopik terbalik depan, penyerap hentak tunggal belakang
  • Skrin paparan TFT lima inci
  • Sistem ABS dua-saluran
  • Rim jejari 17 inci
  • Tangki bahan api 13.5 liter
  • Tinggi pelana 815 mm
  • Cermin penghadang angin
  • Sistem kunci pintar

Subaru Crosstrek 2026 rasmi dilancarkan di Malaysia – unit CBU, harga RM190,788

TC Subaru Sdn Bhd secara rasmi melancarkan model Subaru Crosstrek 2026 untuk pasaran tempatan.

Unit import sepenuhnya (CBU) Jepun ini ditawarkan pada harga RM190,788 tanpa insurans.

Spesifikasi kuasa

Generasi ketiga Subaru Crosstrek (sebelum ini dikenali dengan nama XV) telah pun wujud di pasaran global sejak tahun 2022 lagi.

Untuk pasaran Malaysia, hanya satu sahaja varian yang ditawarkan, iaitu Crosstrek 2.0i-S EyeSight.

Ia dipacu enjin boxer 4-silinder 2.0 liter dengan kuasa 156 PS @ 6,000 rpm dan daya kilas 196 Nm @ 4,000 rpm.

Kuasa itu disalurkan kepada semua roda menerusi transmisi Lineartronic CVT dan sistem pacuan Symmetrical AWD.

Crosstrek turut dilengkapi dengan ciri mod pemanduan SI Drive serta X-Mode dwi-fungsi.

Dimensi

Crosstrek berukuran sepanjang 4,480 mm, lebar 1,800 mm, tinggi 1,600 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,670 mm.

Jarak kelegaan tanah pula setinggi 220 mm.

Ruang kargo pula mampu mencecah sehingga 1,261 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.

Luaran

Subaru Crosstrek menggunakan tetapan suspensi topang MacPherson di depan, diikuti tetapan double wishbone di belakang.

Dari segi penampilan, Crosstrek 2026 dilengkapi dengan sistem lampu LED automatik, lampu kabus LED depan dan belakang, penyeka kaca sensitif hujan, rim aluminium 18 inci dan bumbung suria.

Menjadikannya lebih agresif ialah padanan plastik pelindung pada keempat-empat gerbang roda, spoiler bumbung serta rel bumbung.

Kelengkapan kabin

Untuk ruang kabin, Crosstrek dilengkapi dengan upholsteri kulit yang membaluti roda stereng, tombol gear dan tempat duduk.

Kerusi pemandu didatangkan dengan ciri larasan 10 tahap serta sokongan tulang belakang.

Model ini hanya dilengkapi dengan panel meter analog, skrin paparan LCD 4.2 inci, serta skrin tengah sebesar 11.6 inci yang menyokong sambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

Ciri lain termasuklah:

  • port pengecasan USB Type-A dan Type-C depan dan belakang
  • slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar
  • kawalan iklim dua zon automatik
  • sistem pencahayaan ambien
  • paddle shifter
  • pedal kaki aluminium

Keselamatan

Secara standard, Crosstrek dilengkapi dengan lapan beg udara, Kawalan Kestabilan Dinamik Kenderaan (VDCS), Auto Hold, Kawalan Menurun Cerun (HDC) serta sistem pemanduan tumpuan pemandu.

Kelengkapan EyeSight pula merangkumi fungsi seperti:

  • Sistem Brek Pra-Pelanggaran
  • Stereng Kecemasan Autonomi
  • Kawalan Jelajah Adaptif
  • Kawalan Pemusatan Lorong
  • Pengelakan Keluar Lorong
  • Kawalan Pendikit Pra-Pelanggaran
  • Amaran Pergerakan Kenderaan Hadapan
  • Bantuan Suluhan Tinggi

Audi Q5 2026 rasmi dilancarkan di Malaysia – 2 varian, harga dari RM352,990

PHS Automotive Malaysia (PHSAM) mengumumkan ketibaan model SUV terbaharu Audi Q5 untuk pasaran tempatan.

Berikut merupakan harga jualan bagi SUV generasi ketiga ini:

  • Audi Q5 Advanced – RM352,990
  • Audi Q5 Sportback S line – RM421,990

Enjin sama, talaan berbeza

Kedua-dua model ini dipacu enjin 2.0 liter TFSI, dengan talaan kuasa 199 PS/340 Nm untuk model Q5 Advanced dan 272 PS/400 Nm untuk Q5 Sportback.

Kuasa itu disalurkan kepada roda menerusi transmisi klac berkembar S tronic 7-kelajuan dan bantuan sistem Audi Drive Select.

Secara standard, Audi Q5 hadir dengan sistem pacuan roda depan dan talaan suspensi yang selesa namun untuk Q5 Sportback diberikan sistem pacuan semua roda quattro dan talaan suspensi yang lebih sporti.

Kelengkapan Audi Q5 Advanced

Bahagian luar Audi Q5 Advanced dilengkapi dengan ciri seperti lampu LED matriks, lampu digital yang boleh disesuaikan, lampu belakang LED serta rim 19 inci Aero.

Untuk ruang kabin pula didatangkan dengan ciri berikut:

  • upholsteri balutan kulit
  • tempat duduk hadapan larasan elektrik
  • roda stereng balutan kulit lengkap dengan paddle shifter
  • sistem lampu suasana
  • skrin paparan OLED 14.5 inci
  • skrin kluster digital Audi Virtual Cockpit Plus 11.9 inci
  • sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar
  • Audi Assistant dengan ChatGPT
  • port pengecasan USB Type-C
  • slot pengecasan tanpa wayar dengan sistem penyejukan adaptif
  • kawalan iklim 3-zon automatik
  • sistem bunyi Audi
    ruang kargo 520/1,473 liter

Kelengkapan Audi Q5 Sportback S line

Varian yang lebih sporti ini hadir dengan rim Audi Sport saiz 20 inci, kemasan luaran S line yang lebih menyerlah, serta angkup brek berwarna merah.

Kemasan S line turut dipadankan pada ruang kabin, diikuti dengan ciri eksklusif seperti:

  • tempat duduk hadapan sport serta logo S timbul
  • roda stereng sport jenis bawah rata
  • pedal kaki keluli tahan karat
  • kemasan Carbon Micro Twill
  • pakej pencahayaan ambien plus
  • logo S bercahaya pada ambang pintu
  • sistem bunyi Bang & Olufsen 3D Premium
  • ruang kargo 515/1,415 liter

Keselamatan

Kedua-dua varian dilengkapi dengan sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) Audi Pre Sense serta ciri seperti:

  • Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
  • Sistem Pemantauan Titik Buta (BSM) dengan Amaran Keluar
  • Amaran Keluar Lorong (LDW)
  • kamera keliling 360 darjah
  • sistem pengesanan penumpang belakang (ROD)

Akhir sekali, fungsi Digital Key yang membolehkan pengguna mengunci, membuka kunci dan menghidupkan kenderaan menerusi peranti pintar tanpa kunci fizikal.

Audi Q5 Advanced 2026

Audi Q5 Sportback S line 2026

MG Motor Malaysia rai ulang tahun kedua dengan pertumbuhan positif Q1 2026

Bersempena dengan ulang tahun kedua, MG Motor Malaysia meraikan permukaan cemerlang bagi tahun 2026.

Sepanjang tempoh suku pertama tahun ini, MG Motor Malaysia berjaya menjual sebanyak 807 unit kenderaan.

Ini diterjemahkan kepada peningkatan 57 peratus berbanding suku keempat 2025, dan peningkatan 39 peratus berbanding suku pertama 2025.

Pencapaian ini mencerminkan minat pasaran yang berterusan serta keyakinan yang semakin meningkat terhadap jenama tersebut.

Selain itu, MG Cyberster turut dianugerahkan sebagai ‘Performance Car of The Year’ oleh MARii.

MGS5 EV CKD mula dijual

Pada bulan Mac, MG Motor mencatatkan satu pencapaian penting menerusi Majlis Pelancaran MGS5 EV versi pemasangan tempatan (CKD) di fasiliti EP Manufacturing Berhad (EPMB) di Melaka.

MGS5 EV versi CKD kini ditawarkan di pasaran Malaysia pada harga RM116,900.

SUV elektrik ini mendapat naik taraf kuasa, di mana motor elektrik pacuan belakang mampu menjana kuasa sehingga 202 hp dan 350 Nm.

Selain itu, ciri lain termasuklah:

  • pengecasan pantas DC 150 kW (10-80 peratus dalam 26 minit)
  • tempat duduk hadapan kuasa elektrik dan fungsi ventilasi
  • pek bateri 62 kWh
  • jarak pandu sehingga 446 km (data WLTP)
  • pintu tailgate berkuasa
  • 7-beg udara SRS
  • fungsi ADAS 2.5

Model ini sedia untuk tontonan dan pandu uji di semua bilik pameran MG, serta tampil dengan promosi khas bernilai RM9,000.

MG di KLIMS 2026

MG Motor Malaysia akan menyertai acara Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) yang bakal berlangsung tahun ini.

Naib Presiden Reka Bentuk Global SAIC Motor, Jozef Kaban juga akan turut hadir dan berkongsi pandangan tentang falsafah reka bentuk serta evolusi identiti reka bentuk global MG.

Melangkah ke depan, MG Motor Malaysia akan memperkukuh rangkaian serta keupayaan selepas jualan, seperti penambahan pusat 3S MG di Kuantan dan Pahang.

Dengan 11 pusat badan & cat di seluruh negara, MG akan memastikan pelanggan menerima sokongan selepas jualan yang lebih menyeluruh dan berkualiti tinggi sepanjang tempoh pemilikan.

Continental Tyres lancar tayar all-terrain CrossContact A/T² untuk SUV, trak ringan & 4×4

Continental Tyres mengumumkan ketibaan tayar all-terrain terbaharu CrossContact A/T² untuk SUV, trak ringan dan 4×4 di Malaysia.

Tayar ini direka untuk memenuhi gaya hidup moden dan aktif, dan lebih keyakinan untuk menempuh laluan yang lebih mencabar.

Kelebihan

Tayar ini menggabungkan kedalaman bunga tayar yang dipertingkat, isipadu rongga tinggi serta bahu tayar dengan ciri pembersihan sendiri.

Ia menyumbang kepada kawalan yang lebih tepat, kestabilan kenderaan lebih baik serta cengkaman lebih kukuh di permukaan yang tidak rata.

Corak bunga kukuh dengan ketebalan dinding sisi membantu menahan hentakan tinggi, sekaligus mengurangkan risiko tusukan dan kerosakan di laluan lasak.

Akhir sekali, kompaun BlackPaw™ mengoptimumkan cengkaman berterusan dengan keupayaan adaptif yang sesuai untuk pelbagai keadaan cuaca dan permukaan jalan.

Saiz dan ketersediaan

Tayar CrossContact A/T² kini boleh didapati di semua pusat jualan Continental, serta kedai rasmi dalam talian di Shopee, Lazada, TikTok dan TnG eWallet.

Terdapat 42 pilihan saiz, merangkumi diameter rim 15-22 inci untuk SUV, 4×4 dan trak ringan.

Volvo Car Malaysia tawar 100 unit SUV pra-milik Volvo Selekt – harga serendah RM153k

Susulan sambutan luar biasa, Volvo Car Malaysia sekali menawarkan peluang kepada pelanggan untuk mendapatkan barisan SUV terpakai menerusi Volvo Selekt Certified Used Car.

Untuk tempoh masa terhad, sebanyak 100 unit kenderaan pra-milik kini tersedia di semua bilik pameran Volvo di seluruh negara.

Tidak seperti penawaran kereta terpakai biasa, 100 unit eksklusif ini datang terus daripada armada korporat eksekutif VCM serta unit demo pengedar.

Kelebihan kenderaan Volvo Selekt

Setiap unit dipastikan menjalani pemeriksaan ketat 125 poin oleh juruteknik terlatih Volvo, kemas kini perisian terkimi dan dipasang alat ganti tulen Volvo.

Kenderaan yang ditawarkan dalam program ini hadir dalam jarak perbatuan serendah 7,000 km dan tidak melebihi 16,000 km.

Selain itu, setiap unit masih lagi dilindungi baki jaminan lima tahun tanpa had perbatuan, bantuan tepi jalan 24 jam dan sambungan perkhidmatan digital.

Antara model yang tersedia:

  • Volvo EX30 – serendah RM153,000
  • Volvo EC40 – serendah RM183,000
  • Volvo XC60 – serendah RM249,000
  • Volvo XC90 – serendah RM283,000
  • Volvo EX90 – serendah RM339,000

Pelanggan juga boleh membandingkan kos penggunaan kenderaan semasa dengan model elektrik atau hibrid Volvo menerusi laman web volvocarmalaysia.com/calculator.

Hyundai Ioniq 5 N & Ioniq 6 N dibuka untuk tempahan – harga dari RM450k

Hyundai Motor Malaysia (HMY) mengumumkan pembukaan tempahan bagi dua model elektrik berprestasi tinggi, iaitu Hyundai Ioniq 5 N dan Ioniq 6 N.

Ini menandakan kemasukan pertama jenama tersebut ke dalam segmen mobiliti elektrik berprestasi tinggi di Malaysia.

Berikut merupakan harga anggaran bagi kedua-dua model tersebut:

  • Hyundai Ioniq 5 N – dari RM450,000
  • Hyundai Ioniq 6 N – dari RM460,000

Hyundai Ioniq 5 N

Ini merupakan varian tertinggi untuk crossover kompak Ioniq 5, dipacu dengan dua motor elektrik menghasilkan 609 PS dan 740 Nm.

Ia turut hadir dengan mod N Grin Boost yang mampu melonjakkan angka tersebut kepada 650 PS dan 770 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.4 saat.

Kelajuan maksimum dihadkan kepada 260 km/j.

Pek bateri 84 kWh pula membenarkan jarak pandu sejauh 448 km (data WLTP).

Antara ciri yang hadir pada Ioniq 5 N termasuklah:

  • fungsi e-shift N yang mensimulasikan transmisi automatik 8-kelajuan
  • N Drift Optimiser Pro
  • N Active Sound+ yang memainkan beberapa tema bunyi berdasarkan posisi pendikit

Hyundai Ioniq 6 N

Sedan fastback ini turut dipacu dengan motor elektrik berkembar yang mampu menjana 650 PS dan 770 Nm (dalam mod N Grin Boost).

Pecutan 0-100 km/j pula adalah sepantas 3.2 saat dan kelajuan maksimum dihadkan kepada 257 km/j.

Dengan pek bateri 84 kWh, Ioniq 6 N boleh bergerak sejauh 487 km mengikut data WLTP.

Antara kelengkapan eksklusif termasuklah spoiler leher angsa dan cagak pemasangan kamera aksi pada ruang kabin.

Pengedar terpilih

Tempahan boleh dibuat menerusi pengedar Hyundai N bertauliah:

  • Sime Darby Auto Hyundai Sdn Bhd (Tengah)
  • Goh Brothers Motor Sdn Bhd (Utara)
  • Heng Lian Enterprise Bhd (Malaysia Timur)

Lokasi pengedar tambahan akan diumumkan kemudian.

Setiap tempahan yang dibuat akan disertakan barangan rasmi Hyundai N bernilai RM2,000.

Mitsubishi Malaysia catat serahan sebanyak 900 unit Xforce kepada pelanggan akhir April

Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) mengumumkan permulaan yang sangat memberangsangkan bagi model baharu Mitsubishi Xforce.

Tidak sampai sebulan selepas dilancarkan pada 8 April 2026, sebanyak 900 unit telah diserahkan kepada pelanggan akhir April.

Takashi Sakamaki, Ketua Pegawai Eksekutif MMM berkata, sambutan luar biasa ini membuktikan keyakinan pelanggan terhadap jenama Mitsubishi dan model baharu tersebut.

Jelasnya lagi, MMM terus komited untuk memastikan proses penghantaran berjalan lancar.

Mitsubishi Xforce 2026 dijual pada harga RM109,980 untuk varian Urban, dan RM119,980 untuk varian Ultimate.

SUV ini dipacu enjin empat silinder sebaris 1.5 liter MIVEC menghasilkan 103 hp dan 141 Nm.

Kuasa tersebut disalurkan kepada roda depan menerusi transmisi CVT.

 

Dunlop buka lembaran baharu di Malaysia, pamer barisan tayar sedia-EV

Dunlop mengumumkan pihaknya membuka lembaran baharu di Malaysia dengan Toyotsu Binter Malaysia Sdn Bhd (TBM) dilantik sebagai pengedar eksklusif.

Bertempat di Malaysia Autoshow 2026, Dunlop turut mengumumkan hala tuju baharu dengan fokus kepada kesediaan ke arah era elektrifikasi.

Perkukuh kehadiran di Malaysia

Dunlop sudah lama bertapak di Malaysia sejak era 1960‑an lagi.

Inisiatif baharu ini membina semula kekuatan warisan tersebut dengan strategi produk dan pasaran yang lebih sejajar dengan standard global, dipacu pengalaman serantau Toyotsu Binter di ASEAN.

Arah baharu ini turut diperkukuh melalui rangkaian Toyota Tsusho Corporation serta kerjasama rapat dengan Sumitomo Rubber Industries.

TBM kini bekerjasama dengan lebih 190 pengedar sah Dunlop di seluruh negara, dengan rancangan pengembangan rangkaian dalam tempoh dua tahun akan datang.

Mereka juga bakal memperkenalkan konsep runcit khusus Dunlop sebagai sebahagian strategi pembangunan rangkaian jangka panjang.

TBM turut mengukuh kedudukan Dunlop dalam segmen penggantian dan OEM bagi meningkatkan kehadiran jenama dalam program pembekalan pengeluar kenderaan.

Antara pengeluar OEM yang menggunakan tayar Dunlop termasuklah:

Produk sedia-EV

Antara tumpuan utama pameran ialah tayar Blue Response TG.

Blue Response TG merupakan tayar kereta penumpang yang direka untuk menawarkan keselesaan dan kestabilan pengendalian dalam masa yang sama mengoptimumkan rintangan golekan dan kesenyapan kabin – ciri yang penting untuk kenderaan berelektrik.

Dunlop turut merancang untuk memperkenalkan e.Sport Maxx sebagai inisiatif untuk memperkukuh penawaran produk sedia-EV di pasaran Malaysia.

Selain itu, produk tayar lain yang sesuai digunakan pada EV termasuklah Sport Maxx Lux dan SP Sport Maxx 060+.

Proton e.MAS 5 dapat warna baharu Jade Green

Pro-Net selaku anak syarikat milik penuh Proton mengumumkan warna baharu untuk Proton e.MAS 5, iaitu warna Jade Green.

Model itu dipamerkan bersama Proton e.MAS 7 PHEV warna Emerald Green yang turut baru diperkenalkan untuk pasaran Malaysia.

Setakat tahun 2026, Proton telah berjaya menjual lebih 8,000 unit e.MAS 5.

Ia juga merupakan model yang popular di wilayah Utara dengan pegangan pasaran sebanyak 64.2 peratus setakat Mac 2026.

Pamer platform GMA buat kali pertama di Utara

Pro-Net juga mengambil kesempatan mempamerkan platform Global Modular Architecture (GMA) di Utara.

Inisiatif ini memberikan peluang kepada pengunjung melihat dengan lebih dekat teknologi yang menjadi asas kepada rangkaian EV dan PHEV Proton.

Kempen Golden Test Drive Proton e.MAS yang masih berlangsung menjemput orang ramai merasai sendiri pengalaman memandu e.MAS dan berpeluang menerima ganjaran menarik.

Kempen dari 13 April hingga 17 Mei ini menawarkan ganjaran mingguan berupa 30 bar emas 3g yang akan diberikan sepanjang tempoh lima minggu.

Yamaha YZF-R25 2026 dapat dua warna baharu, harga dari RM23,098

Hong Leong Yamaha Motor mengumumkan dua warna baharu untuk sportbike popular Yamaha YZF-R25 tahun 2026.

Dua warna yang dimaksudkan itu ialah Icon Blue dan Mint Green.

Spesifikasi asas kekal tidak berubah

Yamaha YZF-R25 kekal dengan enjin dua silinder 249 cc DOHC menghasilkan kuasa 35.4 hp @ 12,000 rpm dan 22.6 Nm @ 10,000 rpm.

Suspensi terdiri daripada fork teleskopik jenis terbalik di depan, diikuti penyerap hentak tunggal di belakang.

Ia dilengkapi dengan pelbagai ciri berguna seperti:

  • sistem brek anti-kunci (ABS) dua-saluran
  • lampu LED penuh
  • rekaan tempat duduk dan panel sisi untuk ergonomik lebih baik
  • klac Assist & Slipper
  • sokongan Y-Connect

Kapasiti tangki bahan api adalah sebesar 14.3 liter sementara tinggi pelana pula 780 mm.

Hongqi bakal masuk Malaysia menerusi Quill Group – CKD, pelancaran menjelang pertengahan 2026

Quill Group telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan FAW Group, menyaksikan kumpulan itu dilantik sebagai pengimport rasmi dan pengedar kenderaan pemasangan tempatan (CKD) bagi jenama automotif mewah China, Hongqi.

Kerjasama strategik ini membuka laluan kepada Hongqi untuk menembusi pasaran kenderaan ultra-mewah dan kenderaan elektrik (EV) premium di Malaysia.

Bakal lancar menjelang pertengahan tahun ini

Hongqi, yang bermaksud “Bendera Merah,” terkenal sebagai kenderaan rasmi pemimpin negara China dan melambangkan kebanggaan industri automotif negara itu. Jenama ini dijangka dilancarkan secara rasmi di Malaysia menjelang pertengahan tahun 2026.

Melalui MoU ini, Quill Group akan bertindak sebagai rakan strategik dan pengedar utama, di samping menerajui aspek pengimportan, operasi CKD, serta pelantikan pengedar sah di seluruh negara.

Quill Group manfaat kepakaran untuk pemasaran dan sokongan perkhidmatan

Pengarah Urusan Quill Group, Dato’ Dr. Jennifer Low berkata pelantikan ini mencerminkan keyakinan Hongqi terhadap kepakaran korporat Quill Group serta potensi pasaran Malaysia.

“Dengan memanfaatkan kepakaran korporat luas Quill Group serta komitmen terhadap kecemerlangan, kami akan memperkukuh keyakinan pengguna melalui program pemasaran yang komprehensif, sokongan perkhidmatan selepas jualan yang menyeluruh tanpa kompromi, serta ketersediaan alat ganti yang lancar,” katanya.

Model apa yang bakal dilancar?

FAW Group kini mengeksport kenderaan Hongqi ke lebih 87 negara dan wilayah di seluruh dunia. Pelaksanaan operasi CKD di Malaysia turut mencerminkan keyakinan terhadap keupayaan industri automotif tempatan serta kedudukan strategik negara dalam rantau ASEAN.

Maklumat lanjut mengenai tarikh pelancaran rasmi, barisan model awal dan rangkaian pengedar akan diumumkan dalam masa terdekat.

Yamaha TMAX Tech Max 2026 hadir dengan warna Crystal Graphite – harga RM75,888

Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd mengumumkan penawaran warna baharu Crystal Graphite untuk Yamaha TMAX Tech Max 2026.

Skuter maxi dengan warna baharu ini ditawarkan pada harga RM75,888 tidak termasuk yuran pendaftaran dan insurans.

Spesifikasi asas tidak berubah

Yamaha TMAX Tech Max masih dipacu dengan enjin dua silinder 562 cc DOHC sejukan cecair dengan kuasa 46.9 hp @ 7,000 rpm dan 55 Nm @ 5,250 rpm.

Sistem suspensi terdiri daripada fork teleskopik di depan, diikuti penyerap hentak tunggal di belakang.

Ia turut dilengkapi dengan beberapa ciri premium seperti:

  • kawalan jelajah
  • sistem kawalan cengkaman (TCS)
  • sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS)
  • Unit kawalan komunikasi (CCU) yang serasi dengan aplikasi Y-Connect

Tangki bahan api berkapasiti 15 liter sementara tinggi pelana pula sekitar 800 mm.

Selain warna Crystal Graphite, pembeli masih boleh mendapatkan warna Ceramic Grey.

Pusat 3S Isuzu Autoexec Corporation Kuala Lumpur mula beroperasi

Isuzu Malaysia mengumumkan pembukaan rasmi Pusat 3S Autoexec Corporation, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Terletak berhampiran dengan Pusat Dagangan Dunia KL, lokasinya mudah diakses untuk pelanggan mencari kenderaan Isuzu yang ideal.

Pembukaan Pusat 3S Isuzu Autoexec Corporation Jalan Tun Razak yang baharu ini juga menandakan perpindahan serta pengembangan operasi dari cawangan 1S sebelum ini yang terletak di Jalan Semarak.

Ini merupakan cawangan ketiga Isuzu yang dikendalikan oleh Autoexec Corporation di Kuala Lumpur.

Sempena majlis perasmian, Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Tomoyuki Yamaguchi berkata, “Pembukaan Pusat 3S Isuzu ini dijangka akan meningkatkan lagi minat terhadap barisan produk kami yang mempunyai tarikan khusus bagi pengguna di kawasan bandar.

“Saya percaya bahawa kenderaan Isuzu turut mampu memenuhi keperluan pengguna urban,” kata Yamaguchi.

Pembukaan Pusat 3S baharu ini juga sangat bertepatan dengan pengenalan model Isuzu D-Max 2.2 liter turbodiesel baharu yang turut ditawarkan dalam varian Single Cab Automatic pertama di Malaysia.

Fasiliti ini menawarkan kemudahan seperti ruang pameran utama dengan teknologi digital, ruang serahan kenderaan pelanggan, ruang menunggu serta sudut cenderahati.

Ia turut menawarkan sokongan selepas jualan termasuklah servis untuk trak pikap dan trak komersial.

Pusat 3S ini beroperasi setiap Isnin hingga Sabtu dari jam 9.00 pagi hingga 6.00 petang.

Perodua, UTM jalin kerjasama laksana Program Kejuruteraan xEV

Perodua baru-baru ini menandatangani memorandum perjanjian (MoA) dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi pelaksanaan Program Kejuruteraan xEV Perodua-UTM.

Kolaborasi strategik selama lima tahun ini memfokuskan kepada pemerkasaan modal insan dan penyelidikan teknologi kenderaan elektrik (xEV).

Program khas di bawah seliaan Perodua

Seramai 10 hingga 15 pelajar cemerlang daripada program Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dengan Kepujian akan dipilih setiap tahun untuk program khas ini.

Program selama satu tahun setengah ini akan bermula pada semester kedua tahun ketiga pengajian.

Antara manfaat yang bakal diterima oleh pelajar yang menyertai program ini ialah:

  • Peluang untuk menjalani latihan industri di Perodua selama 10 minggu
  • Peluang memperoleh pensijilan antarabangsa Tahap 3 daripada Institute of the Motor Industry (IMI)
  • Projek Sarjana Muda (FYP) akan diselia secara bersama oleh jurutera pakar Perodua

Perodua sumbang 2 QV-E untuk tujuan pembelajaran

Sebagai sokongan kepada program tersebut, Perodua akan menyumbangkan peralatan teknikal untuk digunakan di Makmal Kejuruteraan xEV Perodua-UTM.

Tidak cukup dengan itu, dua unit EV Perodua QV-E akan turut disumbangkan untuk tujuan pembelajaran praktikal.

Pelaburan jangka panjang

Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Abdul Rahim menyifatkan kolaborasi ini sebagai anjakan paradigma dalam merapatkan jurang antara akademik dan keperluan industri.

“Melalui penubuhan Makmal Kejuruteraan xEV Perodua-UTM yang dilengkapi peralatan canggih, graduan kami akan memiliki kelebihan daya saing yang tinggi.

“Integrasi kursus elektif kejuruteraan kenderaan elektrik bateri (BEV) dalam kurikulum dan akses kepada teknologi simulasi terkini seperti sistem Hardware in the Loop (HIL) pula akan menjadikan graduan UTM sentiasa relevan dan ‘future-ready‘,” jelas beliau.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad berkata, inisiatif itu adalah langkah proaktif syarikat dalam membina ekosistem xEV yang mampan serta kompetitif di peringkat global.

“Kerjasama ini bukan sekadar pemindahan teknologi, malah ia adalah pelaburan jangka panjang untuk melahirkan jurutera ‘masa hadapan’ yang mahir dalam kejuruteraan EV.

“Dengan bimbingan terus daripada jurutera kami, pelajar akan didedahkan kepada realiti sebenar industri automotif moden,” katanya.

Porsche Cayenne 2026 rasmi dilancarkan di Malaysia – harga dari RM609k

Porsche Malaysia mengumumkan ketibaan model SUV Porsche Cayenne versi pemasangan tempatan (CKD) yang dinaik taraf untuk tahun 2026.

Harga jualan adalah seperti berikut:

  • Porsche Cayenne 2026: RM609,000
  • Porsche Cayenne S E-Hybrid Coupé 2026: RM739,000

Porsche Cayenne 2026

Porsche Cayenne 2026 kini diberikan rim RS Spyder 21 inci secara standard, diikuti dengan penawaran warna baharu Arctic Grey.

Warna tersebut pertama kali diperkenalkan pada model 718 Cayman GT4 RS dan ia ditawarkan sebagai opsyen untuk model 911.

Warna lain tersedia termasuklah:

  • Carrara White Metallic
  • Chromite Black Metallic
  • Quarzite Grey Metallic

Keupayaan digital turut diperingkatkan dengan perkhidmatan Porsche Connect yang kini menawarkan tempoh sehingga 10 tahun.

Ia membolehkan pemandu mendapat akses kepada sistem navigasi, maklumat masa nyata, serta perkhidmatan jarak jauh menerusi aplikasi tersedia.

SUV ini dipacu oleh enjin 3.0 liter turbo V6 menghasilkan 353 PS dan 500 Nm.

Antara kelengkapan lain termasuklah:

  • Porsche Active Suspension Management (PASM)
  • skrin digital 12.6 inci
  • skrin tengah Porsche Communication Management (PCM) 12.3 inci
  • ruang kargo sebesar 772 liter-1,708 liter

Porsche Cayenne S E-Hybrid Coupé 2026

Turut dilancarkan untuk pasaran Malaysia ialah SUV coupé hybrid dengan garis bumbung ala 911 dan rim RS Spyder 21 inci.

Tidak seperti Cayenne biasa, versi coupé ini didatangkan dengan gandingan enjin V6 dan motor elektrik 177 PS, menghasilkan kuasa keseluruhan 519 PS.

Pakej Exclusive Manufaktur

Pelanggan juga boleh mendapatkan pakej Exclusive Manufaktur untuk menyerlahkan lagi karakter dinamik kedua-dua SUV ini.

Antara ciri yang ditawarkan:

  • perumah lampu belakang LED yang lebih gelap berserta jalur cahaya
  • cermin sisi warna badan
  • pakej kit badan Sport Design
  • lampu logo Porsche pada pintu
  • ukiran Porsche Crest pada perehat tangan konsol tengah
  • kunci eksklusif

Castrol umum tajaan dalam Cub Prix, lancar minyak enjin Power1 Ultimate Scooter 10W-40

Castrol Malaysia umum perluasan penajaan dalam Kejuaraan Cub Prix Malaysia MAM menerusi program perlumbaan bersama Yuzy Racing.

Pada masa sama, mereka turut memperkenalkan minyak enjin baharu Castrol POWER1 ULTIMATE Scooter 10W-40.

Ia menegaskan komitmen berterusan Castrol terhadap kejuruteraan prestasi untuk perlumbaan dan mobiliti harian.

Tajaan dalam Cub Prix

Bersama Yuzy Racing, penajaan Castrol merangkumi dua kelas utama iaitu CP150 (tiga jentera) dan CP125 (satu jentera).

Joshua Tan, Ketua Pemasaran Castrol Malaysia, Singapura dan Filipina berkata, Cub Prix merupakan platform perlumbaan dua roda paling kompetitif di negara ini.

“Dengan memperluas penajaan ke CP150 dan CP125, kami mengukuhkan kehadiran dalam persekitaran yang benar-benar menguji prestasi, sambil menyokong pasukan dan bakat baharu yang memacu kejuaraan,” katanya.

Minyak enjin skuter baharu

Pihak Castrol turut melancarkan Castrol Power1 Ultimate Scooter 10W-40, minyak enjin sintetik penuh premium untuk skuter.

Dengan teknologi Full Synthetic 5-dalam-1, ia menawarkan operasi enjin lebih lancar serta perlindungan haba dan kehausan dalam situasi sebenar seperti kesesakan trafik dan perjalanan jauh.

Selain itu, minyak enjin ini membantu mengekalkan perlindungan konsisten untuk tunggangan dalam bandar yang lebih lama.

Gan Wee Kiong, Pengarah Jualan Castrol Malaysia, Singapura dan Filipina berkata, “Apa yang kami pelajari dalam sukan permotoran membantu kami membangunkan produk lebih baik untuk penunggang harian.

“Dengan segmen skuter yang terus berkembang, Power1 Ultimate Scooter hadir sebagai penyelesaian yang memenuhi keperluan prestasi dan standard kualiti pasaran Malaysia,” jelasnya.

Produk tersebut kini dalam fasa akhir kelulusan peraturan dan dijangka dipasarkan mulai Mei 2026 selepas pensijilan SIRIM.

Ia sudah pun dalam proses pengeluaran di fasiliti Castrol di Pelabuhan Klang.