Sistem hibrid Subaru janjikan pemanduan cecah 1,000 km untuk setangki penuh


Subaru bakal melancarkan crossover hibrid Subaru Crosstrek Hybrid 2025 untuk pasaran Jepun pada Disember ini.
Model crossover tersebut akan menjadi model pertama menggunakan sistem hibrid generasi baharu yang mampu menjanjikan pemanduan sejauh 1,000 km untuk setangki bahan api penuh.
Unit rangkaian kuasa itu terdiri daripada enjin boxer 2.5 liter yang dibangunkan serba baharu, menghasilkan 158 hp dan 209 Nm yang dipadankan dengan dua motor elektrik dan pek bateri lithium-ion 1.1 kWh.
Salah satu daripada motor itu digunakan untuk menggerakkan roda dengan kuasa 118 hp/270 Nm, manakala sebuah lagi motor bertindak sebagai unit motor-generator.
Subaru menyebut motor elektrik penggerak itu boleh digunakan sebagai sumber kuasa utama dalam pelbagai situasi.
Seperti yang anda jangkakan pada sebuah Subaru, Crosstrek Hybrid masih lagi mengekalkan tetapan sistem pacuan semua roda (Symmetrical AWD).
Sistem hibrid itu tadi dikatakan 20 peratus lebih cekap berbanding sistem hibrid sedia ada.
Digandingkan dengan tangki bahan api yang lebih besar (63 liter), Subaru mendakwa model Crosstrek Hybrid boleh dipandu sejauh 1,000 km sebelum perlu membuat pengisian semula.
Biarpun hadir dengan pek bateri berkapasiti agak kecil, Subaru Crosstrek Hybrid tetap menawarkan mod pemanduan sifar emisi biarpun jarak yang tersedia tidak begitu jauh seperti kereta PHEV yang ada di pasaran.
Selain daripada manfaat jarak pemanduan yang agak jauh dan mod EV, Subaru Crosstrek Hybrid turut menyediakan outlet kuasa AC100V/1500W pada ruang kargo yang boleh digunakan untuk aktiviti luar grid.
Beberapa bulan lepas, ketua pegawai teknologi Subaru, Tetsuo Fujinuki mengakui enjin boxer bukanlah penyelesaian yang ideal untuk mencapai kecekapan yang diinginkan.
“Sekiranya anda mahukan kecekapan, enjin bentangan mendatar tidak semestinya menjadi pilihan yang terbaik. Tapi apa yang Subaru akan jadi tanpanya (enjin boxer)?”
“Bila difikirkan kembali, kami merupakan satu-satunya jenama pasaran besar yang masih lagi menghasilkan enjin bentangan mendatar pada hari ini,” ujarnya lagi.

Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.