Nippon Paint Malaysia baru-baru ini memperkenalkan sistem perlindungan cat automotif dengan teknologi pulih sendiri yang pertama di Malaysia.
Sistem ini digelar sebagai Self-Healing Invisible Armor Paint Protective Spray-On (AI-PPS).
Manfaat AI-PPS berbanding PPF konvensional
AI-PPS menawarkan lapisan perlindungan lutsinar untuk menahan serpihan batu, calar, bahan kimia dan sinaran UV.
Dalam masa yang sama, ia dapat mengekalkan warna asal kenderaan dengan kemasan bersih.
Teknologi ini turut menetapkan penanda aras baharu dalam industri aftermarket automotif tempatan.
Tidak seperti filem PPF konvensional yang memerlukan pemasangan rumit, AI-PPS boleh disembur terus dalam proses pembaikan badan dan pengecatan.
Ia memberikan liputan lebih sekata pada permukaan kompleks, lebih cepat digunakan, dan mudah ditanggalkan tanpa sisa pelekat — sekali gus meningkatkan kecekapan bengkel.
Bantu bengkel kecil dan sederhana
Menurut Pengurus Besar Nippon Paint Malaysia, Tay Sze Tuck, AI-PPS bukan sahaja memacu inovasi, tetapi membantu bengkel kecil dan sederhana menawarkan perlindungan cat premium tanpa pelaburan besar.
Bagi pemilik kenderaan, sistem ini memberi perlindungan tambahan tanpa mengubah rupa asal, dengan teknologi pulih sendiri yang membantu mengurangkan kecacatan kecil dari masa ke masa.
Luar biasa! Landskap automotif Malaysia menyaksikan anjakan besar pada pembukaan tahun 2026. Selepas bertahun-tahun memberi laluan kepada Perodua, Proton Saga baharu merampas takhta sebagai kereta paling laris di Malaysia bagi bulan Januari 2026.
Bukan itu sahaja, model elektrik e.MAS 5, turut mencipta sejarah apabila berjaya memecah masuk ke kelompok lima teratas.
Kebangkitan Strategik Proton Melalui Saga Baharu
Sektor automotif Malaysia membuka tirai tahun 2026 dengan perubahan landskap yang signifikan. Data pendaftaran kenderaan bagi bulan Januari menunjukkan kebangkitan luar biasa jenama nasional Proton melalui model ikoniknya, Proton Saga.
Proton Saga Menguasai Takhta No. 1
Selepas sekian lama, Proton Saga secara rasmi menduduki carta model paling laris di Malaysia.
Peralihan kepada spesifikasi yang lebih moden serta penambahbaikan nilai keseluruhan telah melonjakkan permintaan sehingga mencatatkan 10,285 unit pendaftaran dalam tempoh sebulan.
Kejayaan ini disokong oleh momentum tempahan terkumpul yang kini dilaporkan telah mencecah angka 100,000 unit.
Fenomena e.MAS 5 dan Penerimaan EV Massa
Kejutan terbesar dalam carta lima model teratas adalah kemunculan Proton e.MAS 5. Sebagai model elektrik (EV) kompak pertama syarikat, pencapaian 3,068 unit pendaftaran dalam masa sebulan adalah rekod bersejarah.
Ia bukan sahaja membuktikan keberkesanan strategi elektrifikasi Proton, malah menandakan bermulanya era di mana kenderaan elektrik mula diterima secara meluas oleh pengguna arus perdana di Malaysia.
Statistik Pendaftaran Kenderaan (Januari 2026)
10 Model Paling Popular:
Proton Saga: 10,285 unit
Perodua Bezza: 8,431 unit
Perodua Axia: 6,581 unit
Perodua Myvi: 4,819 unit
Proton e.MAS 5: 3,068 unit
Perodua Alza: 3,012 unit
Proton X50: 2,411 unit
Perodua Traz: 1,901 unit
Proton S70: 1,604 unit
Toyota Hilux: 1,338 unit
Peralihan Kuasa: Kemaraan Jenama China Menghimpit Jenama Jepun
Analisis data menunjukkan perubahan dinamik dalam kategori jenama bukan nasional. Jenama dari China seperti Chery dan BYD kini dilihat mula mengambil alih pegangan pasaran yang dahulunya dikuasai secara tradisi oleh jenama Jepun.
Honda, sebagai contoh, kini berada di bawah tekanan hebat apabila tiada model individu mereka berjaya menembusi kelompok Top 10 pada bulan Januari.
Daripada sepuluh model paling popular pada Januari, Toyota Hilux menduduki tangga kesepuluh dan satu-satunya jenama asing di dalam senarai.
Kedudukan Jenama Januari 2026:
Perodua: 26,128 unit
Proton: 19,750 unit
Toyota: 6,598 unit
Honda: 3,177 unit
Chery: 2,968 unit
Mitsubishi: 1,191 unit
BYD: 913 unit
Mazda: 841 unit
Mercedes-Benz: 677 unit
Jetour: 593 unit
Prestasi Perodua Traz & Hala Tuju Proton
Meskipun Perodua Traz menerima pelbagai kritikan di platform media sosial mengenai spesifikasi teknikalnya, model ini terbukti mendapat sambutan dengan pendaftaran mencecah 1,901 unit.
Ini menunjukkan faktor kepercayaan terhadap jenama Perodua masih mengatasi sentimen negatif di dunia maya.
Bagi pihak Proton, sasaran jualan sebanyak 200,000 unit pada tahun 2026 (berbanding 157,976 unit pada 2025) dilihat sangat realistik.
Keyakinan ini diperkukuhkan lagi dengan perancangan pelancaran model kedua daripada platform AMA 02, yang sering dirujuk sebagai Saga Cross.
Dengan prestasi kukuh daripada model sedia ada seperti X50 dan S70, serta lonjakan daripada Saga baharu dan e.MAS 5, Proton kini dilihat berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran jualan 2026.
GWM Malaysia mengumumkan model MPV Wey G9 mencatatkan tempahan lebih 800 buah dalam tempoh seminggu selepas dilancarkan.
Pencapaian ini menunjukkan permintaan yang kukuh terhadap MPV tenaga baharu mewah pertama yang dipasang secara tempatan (CKD).
Bukti keupayaan ekosistem tempatan
Menurut Encik Roslan Abdullah selaku Ketua Pegawai Operasi GWM Malaysia berkata, “Pencapaian ini turut menggambarkan keupayaan ekosistem pemasangan tempatan di Malaysia.
“Dengan kelebihan tenaga kerja mahir dan rangkaian vendor sedia ada, kami membuktikan bahawa Malaysia menepati standard global di samping menjana nilai jangka panjang untuk industri tempatan.
Jarak pandu Wey G9 lebih 1,000 km
GWM Wey G9 dikuasakan oleh sistem hibrid pintar Hi4 PHEV yang mampu menjanjikan jarak pemanduan sifar emisi sejauh 170 km.
Jarak pandu keseluruhan pula mampu melebihi 1,000 km, di samping menawarkan pengalaman pemanduan yang cekap dan senyap.
Honda Malaysia mengumumkan perancangan untuk memperkenalkan sehingga enam model baharu untuk tahun 2026.
Selari dengan hala tuju perniagaannya, Honda Malaysia turut menetapkan sasaran jualan 60,000 unit sepanjang tahun ini.
Pengenalan teknologi baharu
Selain mengumumkan enam model baharu, Honda turut sama mengesahkan pengenalan teknologi S+ Shift buat kali pertama untuk pasaran Malaysia.
Ia merupakan satu teknologi kawalan unit kuasa dalam sistem hibrid e:HEV yang mampu mensimulasikan penukaran gear persis pemanduan kereta manual.
Setakat ini, terdapat beberapa model yang dilengkapi dengan S+ Shift termasuklah Honda Prelude dan Honda Super ONE.
Ciri ini bakal diperluaskan kepada model-model e:HEV Honda pada masa akan datang.
Perluas barisan model e:HEV
Honda Malaysia juga dijangka akan mengembangkan lagi barisan model e:HEV untuk pasaran tempatan.
Sebagai peneraju di dalam segmen sejak 2004, pendekatan ini merupakan bukti usaha Honda Malaysia untuk terus mendapatkan teknologi hibrid yang cekap, boleh dipercayai dan berprestasi.
Semangat ‘Fun to Drive’
Teras utama strategi Honda Malaysia ialah komitmen untuk terus menawarkan pengalaman ‘Fun to Drive’ kepada pelanggan.
Menurut Pengarah Urusan dan CEO Honda Malaysia, Narushi Yazaki berkata, “semangat ‘Fun to Drive’ mencerminkan komitmen kami untuk terus menawarkan kenderaan yang dapat menghubungkan emosi pelanggan.
“Pengenalan teknologi S+ Shift buat pertama kali merupakan satu contoh jelas hala tuju kami,” ujarnya lagi.
Hyundai Motor Malaysia bakal melancarkan beberapa buah model baharu sepanjang tahun 2026.
Antara model yang bakal diperkenalkan kelak termasuklah Tucson dan Santa Fe versi pemasangan tempatan (CKD).
Jenama itu turut mengesahkan kehadiran sebuah MPV segmen B pada suku keempat tahun ini, iaiatu Hyundai Stargazer.
Selain itu, Hyundai juga bakal memperkenalkan dua buah model berprestasi tinggi, iaitu Ioniq 5 N dan Ioniq 6 N serta barisan produk di bawah sub-jenama N-Line.
Sasar 25 pusat jualan & servis
Hyundai Malaysia juga turut menyasarkan sehingga 25 buah pusat jualan dan servis termasuklah di Malaysia Timur.
Setakat ini, Hyundai Malaysia mempunyai 12 cawangan dengan lima LOI ditandatangani pada tahun 2025 dan satu pada awal tahun ini.
Pengalaman pemilikan dipertingkatkan
Hyundai turut mahu meningkatkan lagi pengalaman pemilikan pelanggan menerusi program myHyundaiCare.
Antara inisiatif di bawah program ini termasuklah:
pelarasan semula pakej servis dan penyelenggaraan untuk menjadikan kos pemilikan lebih rendah
kos bateri hibrid lebih rendah, dan hanya menggantikan modul bateri yang rosak berbanding penggantian penuh
kempen pemeriksaan dan servis kenderaan percuma sempena perayaan
pasukan sokongan teknikal bergerak
klinik servis dan bengkel pemilik untuk tingkatkan keyakinan dan pengetahuan produk
jaminan 8-tahun/160,000 km diteruskan
perlindungan nilai kenderaan menerusi Hyundai Protection Plan yang disokong oleh rakan insurans termasuklah Allianz, Berjaya Sompo, Etiga General Takaful, Takaful Ikhlas dan Tokio Marine
stok alat ganti ditambah baik melalui gudang di Glenmarie
Program rujukan Staria All-Star
Program rujukan Staria All-Star ini menawarkan manfaat berikut:
kredit servis RM500 untuk perujuk
penjimatan sehingga RM1,500 untuk pelanggan baharu ke atas promosi sedia ada
Shell Malaysia menyambut ulang tahun ke-135 dengan melancarkan kempen ‘Mencetus Potensi Sejati’.
Kempen terbaharu ini akan menghadiahkan ganjaran bernilai RM1.35 juta untuk pelanggan di seluruh negara melalui peraduan peringkat nasional.
Pelbagai rangkaian produk moden Shell
Daripada permulaan sebagai pedagang minyak tanah, Shell kini menawarkan rangkaian produk moden.
Antaranya termasuklah Shell FuelSave, Shell V-Power hasil kerjasama dengan Scuderia Ferrari HP, serta rangkaian pengecas EV berprestasi tinggi Shell Recharge.
Pelincir Shell juga terus mengukuhkan reputasi global sebagai Pembekal Pelincir No.1 dunia selama 19 tahun berturut-turut.
Di stesen minyak, Shell Select dan Shell Café menawarkan kopi barista, pastri segar dan pelbagai pilihan makanan serta keperluan harian.
Hadiah utama bernilai RM135,000
Sempena ulang tahun ini, Shell memperkenalkan tawaran nilai baharu di Shell Select dan melancarkan kempen ‘Shell Select Ganjaran water2go Berjuta’.
Bermula 16 Mac hingga 10 Mei 2026, dengan setiap pembelian Water2go pelanggan berpeluang memenangi hadiah berikut:
Hadiah utama RM135,000
Hadiah saguhati sehingga RM13,500
Pelbagai ganjaran mingguan serta bulanan
Komitmen Shell bantu rakyat Malaysia
Menurut Seow Lee Ming, Pengurus Besar Shell Mobiliti dan Kemudahan Malaysia, ulang tahun ini menandakan komitmen Shell untuk terus menawarkan nilai, kemudahan dan pengalaman lebih baik kepada rakyat Malaysia — bukan sahaja hari ini, tetapi juga untuk masa depan.
Selepas 135 tahun, Shell kekal komited untuk terus berinovasi, memperluas penawaran dan memperkukuh hubungan dengan komuniti di seluruh negara.
Omoda | Jaecoo Malaysia mengumumkan pakej menarik bagi bakal pembeli dua SUV baharunya, iaitu Jaecoo J5 dan Omoda C9 PHEV.
Jaecoo J5 bakal dilancarkan tidak lama lagi, manakala Omoda C9 PHEV pula akan dilancarkan pada suku kedua tahun ini.
Ganjaran Ekslusif Super Early Bird
Bernilai sehingga RM8,888, berikut merupakan ganjaran yang bakal dinikmati para pembeli Jaecoo J5:
insurans tahun pertama (RM3,000)
aksesori subwoofer, mikrofon tanpa wayar dan lampu suluh pelbagai fungsi (bernilai RM2,000)
rebat Angpow CNY (bernilai RM3,888)
Bagi Omoda C9 PHEV pula disediakan ganjaran berikut:
rebat Angpow CNY (bernilai RM3,888)
kabel V2L percuma (bernilai RM730)
Kempen ini sah bagi pelanggan yang membuat tempahan awal sebelum pelancaran rasmi bulan depan.
Lebih banyak model Omoda | Jaecoo bakal dilancarkan
Omoda | Jaecoo Malaysia turut mengumumkan harga jualan anggaran bagi dua model yang disebutkan tadi:
Jaecoo J5: RM110,000
Omoda C9 PHEV: RM220,000
Selain Jaecoo J5 dan Omoda C9 PHEV, Omoda | Jaecoo Malaysia bakal memperkenalkan dua model baharu pada suku ketiga dan dua lagi pada suku keempat tahun ini.
Toyo Tyre Sales and Marketing Malaysia Sdn Bhd (Toyo Tyre Malaysia) mengumumkan kehadiran Proxes Comfort serba baharu.
Tayar ini dibangunkan dengan teknologi moden dan rekaan termaju untuk menawarkan pengalaman pemanduan yang lebih selamat, selesa dan meyakinkan.
Ciri-ciri utama Proxes Comfort
Teras utama Proxes Comfort terletak pada gabungan sebatian bunga tayar termaju, struktur dalaman diperkukuh serta corak bunga tayar yang dioptimumkan.
Kesannya, ia dapat memastikan sentuhan permukaan jalan yang lebih konsisten terutama ketika menukar lorong, mengambil selekoh tajam dan pemanduan berkelajuan tinggi di lebuh raya.
Aspek kestabilan brek turut dititikberatkan menerusi Dynamic Taper Design yang dapat mengekalkan sentuhan lebih konsisten dengan permukaan jalan.
Berbanding Proxes CF 2 yang terdahulu, Proxes Comfort mampu mencapai jarak brek 8 peratus lebih pendek di litar kering dan 13 peratus lebih pendek di jalan basah.
14 saiz tersedia
Tayar Proxes Comfort tersedia dalam 14 saiz bermula dari diameter rim 16 inci hingga 19 inci.
Kebanyakan varian memiliki penarafan XL (Extra Load) yang menyokong keperluan berat bagi kenderaan elektrik (EV), hibrid (HEV) dan plug-in hybrid (PHEV).
Harga tayar dari RM279
Bergantung kepada saiz, harga jualan bagi satu unit Proxes Comfort bermula dari RM279 hingga RM698.
UMW Toyota Motor (UMWT) memulakan tahun 2026 dengan permulaan yang stabil, di mana sebanyak 4,700 unit kenderaan telah terjual sepanjang bulan Januari.
Pencapaian ini menunjukkan penerimaan pasaran yang konsisten dan disokong oleh rangkaian produk yang meluas dalam pasaran Malaysia.
Berpandukan pendekatan “Best in Town”, UMWT komited untuk menyediakan pengalaman pemilikan yang boleh dipercayai disokong oleh produk berkualiti dan rangkaian sokongan di seluruh negara.
Perluas tawaran mobiliti lebih menyeluruh
Di bawah pendekatan Multipathway, UMW Toyota Motor berterusan memperluas pilihan mobiliti tanpa meninggalkan pelanggan.
Antara yang telah dilancarkan setakat ini termasuklah jentera prestasi tinggi GR Corolla dengan transmisi automatik, serta Vellfire HEV.
Tidak ketinggalan, sedan segmen B Vios HEV sebagai akses kepada elektrifikasi yang lebih mampu milik.
UMWT turut melabur dalam kemudahan pemasangan bateri hibrid di kilang Bukit Raja, dengan kapasiti sehingga 30,000 unit setahun.
Fasiliti ini mampu mengukuhkan ketahanan bekalan dan menyokong penggunaan kenderaan hibrid dengan lebih meluas di Malaysia.
Promosi sempena CNY
Sempena Tahun Baru Cina, UMWT menawarkan promosi perayaan untuk model terpilih, dengan manfaat sehingga RM9,500 dan ansuran bulanan serendah RM658.
UMWT turut memperkenalkan beberapa program khas untuk meningkatkan keyakinan pemilikan, seperti:
Toyota Extend – perlindungan jaminan lanjutan melebihi tempoh standard untuk model terpilih
Toyota Service Savers – pilihan pakej penyelenggaraan serendah RM33/bulan untuk tempoh 5-tahun
Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) menyerahkan 200 unit Tracer 9 GT kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ia menandakan penyerahan terbesar yang dibuat oleh HLYM kepada PDRM setakat ini.
Jentera ini dipilih atas faktor keselesaan tunggangan, prestasi tinggi, teknologi canggih, ketahanan dan kebolehpercayaan.
Selain daripada itu, PDRM juga yakin akan reputasi Yamaha dalan aspek kualiti dan kebolehpercayaan, disokong rangkaian selepas jualan Yamaha Quality Service (YQS) yang meluas di seluruh negara.
Yamaha Tracer 9 GT ini akan digunakan dalam tugasan iringan peringkat tinggi dan rondaan khas.
Mforce Bike Holdings melancarkan sebuah lagi motosikal jenama WMoto, iaitu jentera dwi-kegunaan Hawk 200i.
Terdapat dua warna iaitu Obsidian Black dan Extreme Red, dengan harga jualan dari RM7,888 (tidak termasuk cukai jalan dan pendaftaran).
Spesifikasi
Jentera ini dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 200 cc sejukan cecair yang dipadankan dengan transmisi 5-kelajuan.
Kuasa sekitar 16.1 hp @ 8,000 rpm dan daya kilas 15.7 Nm @ 7,000 rpm disalurkan ke roda menerusi pacuan rantai.
Sistem suspensi terdiri daripada fork teleskopik jenis terbalik dan penyerap hentak tunggal di belakang yang sesuai untuk jalan bandar atau laluan off-road ringan.
Brek pula menggunakan tetapan cakera depan dan belakang, lengkap dengan sistem ABS hadapan yang boleh dinyahaktif.
Mitsubishi Motors Malaysia mengumumkan pembukaan tempahan bagi SUV segmen B Mitsubishi Xforce 2026.
Ditawarkan dalam dua varian, harga jualan anggaran adalah seperti berikut:
Xforce Urban – RM110,000
Xforce Ultimate – RM120,000
Bersempena dengan pra-pelancaran, MMM turut mengumumkan promosi berikut:
rebat tunai RM5,000 untuk 1,000 orang pembeli pertama
rebat tunai tambahan RM1,000 untuk pemilik Mitsubishi sedia ada
kos penyelenggaraan 5-tahun cuma RM3,978.03 serta pengecualian kos buruh sebanyak tiga kali
peraduan “Beli 1 Percuma 1” di mana setiap pelanggan yang membuat tempahan sebelum pelancaran April ini berpeluang untuk membawa pulang Mitsubishi Xforce Ultimate
Dimensi
Dari segi ukuran, Xforce membawakan panjang 4,390 mm, lebar 1,810 mm dan tinggi 1,660 mm.
Jarak antara roda pula sekitar 2,650 mm sementara jarak lega bumi 222 mm.
SUV ini turut menawarkan sudut pendekatan 21 darjah serta sudut pelepasan 30.5 darjah, sesuai untuk pemanduan off-road ringan.
Kapasiti kargo pula sebesar 410 liter.
Enjin
Xforce dikuasakan enjin MIVEC empat silinder sebaris (kod 4A91) 1.5 liter yang dipadankan dengan kotak gear CVT.
Kuasa mencecah 103 hp @ 6,000 rpm dan daya kilas 141 Nm @ 4,000 rpm itu disalurkan kepada roda depan.
Biarpun dengan sistem 2WD, Xforce menawarkan sehingga 4 mod pemanduan iaitu Normal, Gravel, Mud, dan Wet.
Kelengkapan
SUV ini menggunakan tetapan topang MacPherson di depan dan torsion beam di bahagian gandar belakang.
Dari sudut luaran, Xforce mendapat ciri seperti:
lampu utama LED berserta DRL
lampu belakang LED
spoiler belakang
rim aloi 18 inci
tayar Toyo Proxes CR1 saiz 225/50 R18
pintu tailgate berkuasa elektrik (varian Ultimate sahaja)
Secara standard, Xforce hadir dengan kelengkapan seperti:
upholsteri leatherette
skrin kluster digital 4.2 inci
skrin infohibur 8 inci
sokongan Apple CarPlay/Android Auto berwayar
enam pembesar suara
kawalan iklim dua zon automatik
Untuk varian Ultimate pula mendapat kelengkapan tambahan:
upholsteri kulit sintetik dengan aksen mocha
tempat duduk larasan manual
skrin kluster digital 8 inci
skrin Display Audio 12.3 inci
sokongan Apple CarPlay dan Android Auto
sistem audio Dynamic Sound Yamaha Premium dengan 8-pembesar suara
port pengecasan USB
sistem pencahayaan ambien
slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar
Keselamatan
Secara standard, Xforce didatangkan dengan empat beg udara, peranti perakam video pemanduan, serta dua fungsi keselamatan aktif iaitu amaran titik buta (BSW) dan Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA).
Varian Ultimate pula mendapat kelengkapan berikut:
enam beg udara
peranti perakam video pemanduan depan dan belakang