Suzuki DR-Z4S & DR-Z4SM 2026 rasmi dilancarkan di Malaysia – harga RM39,888
Suzuki Malaysia melancarkan dua model motosikal dwi-sukan untuk pasaran tempatan, iaitu Suzuki DR-Z4S 2026 dan Suzuki DR-Z4SM 2026.
Pelancaran model baharu ini turut menandakan kembalinya platform lagenda DR-Z yang menjadi lambang ketahanan, prestasi serta keupayaan serba boleh.
Harga jualan bagi kedua-dua model ini bermula dari RM42,988, namun 50 pelanggan terawal layak untuk menikmati harga istimewa RM39,888.
Spesifikasi DR-Z4S & DR-Z4SM
Kedua-dua jentera ini berkongsi nadi silinder tunggal 398 cc sejukan cecair yang dipadankan dengan transmisi 5-kelajuan.
Kuasa yang dihasilkan sekitar 38 hp @ 8,000 rpm dan daya kilas 27 Nm @ 6,500 rpm.
Selain itu, kedua-dua model dilengkapi dengan Suzuki Intelligent Ride System (SIRS), terdiri daripada:
- tiga mod tunggangan Suzuki Drive Mod Selector
- empat mod kawalan cengkaman (termasuk mod Gravel)
- sistem ABS yang boleh dimatikan
Antara kelengkapan lain termasuklah:
- pendikit ride-by-wire
- tangki bahan api 8.7 liter
- sistem pencahayaan LED
- panel instrumen LCD penuh
- suis bar hendal yang ergonomik
- fork hadapan terbalik KYB
- penyerap hentak tunggal KYB
Dinamik tunggangan berbeza
Biarpun hampir serupa dari segi reka bentuk serta tetapan suspensi, kedua-dua jentera ini menawarkan dinamik tunggangan yang berbeza.
Untuk model DR-Z4S, suspensi KYB tersebut ditala untuk tunggangan off-road, dengan jarak pergerakan roda 280 mm depan dan 296 mm belakang.
Model ini dilengkapi dengan rim jejari saiz 21 inci depan dan 18 inci belakang yang dibaluti tayar dwi-kegunaan.
Brek pula menggunakan tetapan cakera saiz 270 mm depan dan 240 mm belakang.
Sementara suspensi DR-Z4SM pula direka untuk prestasi maksimum dan pengendalian sporti atas jalan berturap dengan jarak pergerakan roda 260 mm depan dan 277 mm belakang.
Model ini juga dilengkapi rim saiz 17 inci yang dibaluti tayar Dunlop Sportmax Q5A yang dapat memberikan cengkaman yang lebih baik.
Tinggi pelana DR-Z4S adalah sekitar 920 mm sementara model DR-Z4SM pula menawarkan pelana setinggi 890 mm.
Warna
Suzuki DR-Z4S ditawarkan dalam pilihan warna Champion Yellow dan Solid Iron Gray.
Suzuki DR-Z4SM pula hadir dengan pilihan warna Sky Gray dan Solid Special White.
Suzuki DR-Z4S 2026
Suzuki DR-Z4SM 2026
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.










































