Toyota GR Yaris 2026 kini hadir dengan roda stereng rekaan baru!

Toyota GR Yaris Type 26

Sejak diperkenalkan pada tahun 2020, Toyota GR Yaris telah mengalami perubahan yang cukup besar luar dan dalam.

Selepas versi facelift dilancarkan pada tahun 2024, Toyota mengumumkan pula model ‘Type 26’.

Sama seperti model terdahulu, versi baharu kali ini turut menampilkan penambahbaikan yang diambil daripada pengalaman di dalam sukan permotoran.

Roda stereng GR baharu

Toyota GR Yaris Type 26 kini hadir dengan rekaan roda stereng serba baharu untuk memastikan tahap kawalan yang lebih baik.

Disebabkan oleh kedudukan suis pada roda stereng terdahulu, ada pemandu yang merungut mereka tidak dapat meletakkan tangan pada posisi yang ideal.

Dengan bantuan pelumba profesional, Toyota telah menghasilkan unit prototaip stereng dan mengujinya di dalam litar lumba sebenar.

Hasilnya, roda stereng baharu ini mempunyai diameter yang lebih kecil untuk meningkatkan tahap respons stereng.

Struktur bentuk genggaman kiri dan kanan yang direka untuk keselesaan pegangan sewaktu di selekoh.

Selain itu, segala butang kawalan telah diposisikan semula diikuti dengan pencahayaan cincin untuk meningkatkan keterlihatan waktu malam.

Tidak ketinggalan, sistem stereng EPS telah ditala semula untuk pengendalian yang lebih tepat dan konsisten dalam pelbagai keadaan pemanduan.

Tayar prestasi tinggi baharu

Selain roda stereng, Toyota GR Yaris 2026 kini didatangkan dengan tayar Bridgestone Potenza Race, khusus untuk dua trim teratas RZ.

Tayar yang dibangunkan baharu ini menawarkan corak bunga, struktur dalaman serta kompaun getah yang telah disemak semula.

Ia juga telah menjalani ujian menyeluruh bagi menawarkan prestasi cengkaman tinggi untuk tempoh masa yang lebih lama.

Karakteristik redaman suspensi yang dioptimasikan pada gandar depan dan belakang juga menyumbang kepada prestasi tayar yang maksimum.

Tambahan opsyen pemanas stereng dan tempat duduk

Pembeli Toyota GR Yaris 2026 kini boleh mendapatkan ciri pemanas roda stereng dan tempat duduk apabila memilih opsyen brek parkir menegak bersama-sama Navigation Package atau Comfort Package.

Toyota GR Yaris masih lagi kekal dengan enjin G16E-GTS yang mampu menjana 304 PS @ 6,500 rpm dan daya kilas 400 Nm @ 3,250-4,600 rpm.

Hot hatch ini boleh dipadankan dengan transmisi iMT 6-kelajuan atau Direct Automatic Transmission (DAT) 8-kelajuan.

Harga jualan Toyota GR Yaris bermula dari 3,617,200 yen (RM89,255) untuk versi RC iMT, dan mencecah sehingga 5,882,200 yen (RM145,144) untuk versi RZ High Performance + Aero Performance Package DAT.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved