UMW Toyota tubuh pasukan TGR Racing Malaysia, bakal beraksi dalam Thailand Super Series 2026
UMW Toyota Motor (UMWT) mengumumkan penubuhan pasukan lumba TGR Racing Malaysia yang akan beraksi dalam Thailand Super Series 2026 menerusi kategori GT4.
Penyertaan ini membuka lembaran baharu buat Toyota Malaysia untuk mengembangkan penglibatan dalam perlumbaan GT serantau.
Ia juga sekali gus memperkukuh peranannya dalam memacu pembangunan sukan permotoran negara.
Penubuhan pasukan ini turut berpaksikan pengalaman luas yang diperoleh sepanjang lapan musim Toyota GAZOO Racing Vios Challenge.
Menerusi platform ini, UMWT berjaya membangunkan bakat pemandu tempatan, memperkukuh keupayaan teknikal serta meningkatkan kepakaran operasi perlumbaan.
TGR Racing Malaysia tampil pelumba tempatan
Sepanjang lima pusingan musim Thailand Super Series GT4, TGR Racing Malaysia akan menampilkan barisan pelumba tempatan:
- Shaun Thong
- Weiron Tan
- Nazim Azman
- Putera Adam
Kesemua pelumba ini akan digandingkan dengan sokongan kru teknikal serta operasi berpengalaman dari Malaysia dan Jepun.
Jentera GR Supra GT4 EVO 2 jadi taruhan utama
Pasukan TGR Racing Malaysia akan menaruhkan dua jentera GR Supra GT4 EVO2 yang disediakan mengikut peraturan GT4 Thailand Super Series.
Dibangunkan oleh Toyota GAZOO Racing Eropah, versi EVO2 ini menampilkan beberapa penambahbaikan:
- prestasi sistem brek yang dipertingkatkan
- talaan penyerap hentak diperhalusi bagi kestabilan optimum
- penambahbaikan pada sistem penyejukan dan kalibrasi ABS
GR Supra GT4 EVO3 dikuasakan oleh enjin enam silinder sebaris dibantu dengan unit pengecas turbo twin-scroll.
Enjin itu dipadankan dengan transmisi automatik ZF yang telah diubahsuai, dibantu dengan ECU Marelli, sistem ekzos perlumbaan Akrapovic dan LSD Drexler.
Ciri lain termasuklah:
- penyerap hentak perlumbaan boleh laras KW
- angkup enam omboh Brembo dan rotor 390 mm depan
- angkup empat omboh Brembo dan rotor 335 mm belakang
- rim OZ 18 inci
- tayar Pirelli
- sangkar keselamatan mengikut peraturan FIA
- ABS, TCS sebagai ciri standard
- sistem pemadam kebakaran
Jentera GR Supra GT4 EVO2 ini akan bersaing dengan jentera lumba lain seperti Porsche 718 Cayman GT4 RS Clubsport, Mercedes-AMG GT4, Aston Martin Vantage GT4 serta tidak kurang lima jentera GR Supra GT4 EVO2.
Kalendar Thailand Super Series 2026
Berikut merupakan kalendar Thailand Super Series 2026:
- 22-23 April: Ujian pra-musimd di Litar Antarabangsa Chang
- 21-24 Mei: Pusingan pembukaan di Litar Antarabangsa Chang
- 1-5 Julai: Pusingan kedua di Bangsaen Grand Prix, Chonburi
- 21-23 Ogos: Pusingan ketiga di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang
- 18-20 September: Pusingan keempat di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang
- 30 Oktober-1 November: Pusingan akhir di Litar Antarabangsa Chang
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.







