ZXMoto kuasai litar Portimao, kalahkan jentera ternama!
Litar Portimao di Portugal menjadi saksi detik bersejarah apabila pengeluar dari China, ZXMOTO, meraih kemenangan berganda kategori World Supersport (WorldSSP).
Kemenangan ini bukan sekadar kejayaan di litar, malah satu pencapaian dalam menyaingi gergasi Eropah dan Jepun seperti Ducati dan Yamaha.
Mewakili pasukan ZXMOTO Factory Evan Bros. Racing, pelumba Perancis iaitu Valentin Debise membuktikan kehebatan jentera ZXMOTO 820RR-RS.
Beliau menjuarai kedua-dua Perlumbaan 1 dan Perlumbaan 2.
ZXMOTO Pecahkan Penguasaan Jenama Besar!

Selama bertahun-tahun, siri perlumbaan World Superbike (WSBK) dan kelas sokongan WorldSSP dikuasai sepenuhnya jenama besar Eropah dan Jepun.
Kejayaan ZXMOTO menunjukkan pengeluar dari China mampu berdiri di puncak podium, menewaskan jenama elit dengan sejarah perlumbaan yang jauh lebih lama.
Perlumbaan 1 di Portimao bermula dengan drama.
Can Oncu terpaksa menamatkan perjuangan lebih awal selepas terlibat dalam kemalangan pada peringkat awal saingan.
Valentin Debise tidak mensia-siakan peluang dan menjuarainya dengan jurang masa selesa iaitu 3.685 saat di hadapan pencabar terdekat, Jaume Masia.

Beliau kemudian melengkapkan kemenangan back-to-back dalam Perlumbaan 2 pada hari berikutnya dengan kelebihan 0.720 saat.
Kelajuan jentera ZXMOTO di laluan lurus mendapat pujian ramai daripada peminat dan pengulas sukan permotoran.
Malah, Debise turut mencatatkan pusingan terpantas dalam kedua-dua perlumbaan tersebut.
Beliau merekodkan catatan masa 1’43.634 saat dalam Perlumbaan 1 dan bertambah pantas dalam Perlumbaan 2 dengan catatan 1’43.623 saat.
Kejayaan ini mencetuskan fenomena dan merupakan satu kisah underdog yang berjaya mencabar status quo pengeluar motosikal antarabangsa.
“Bukan Demi Keputusan, Tapi Kerana Minat” – Zhang Xue
Pengasas ZXMOTO, Zhang Xue, yang memulakan karier sebagai mekanik motosikal pada usia 17 tahun, dilihat sangat emosional menyaksikan kejayaan jentera ciptaannya.
Beliau bukan nama asing dalam industri kerana merupakan individu penting yang pernah mengasaskan jenama Kove pada 2017, sebelum melepaskan jawatannya dan menubuhkan ZXMOTO pada 2024.
Dalam satu hantaran di media sosial, beliau menulis:
Anda melakukan sesuatu bukan demi keputusan semata-mata, tetapi kerana minat dan kadangkala, minat itu membawa keputusan yang berbeza.
Zhang Xue turut mendedahkan cabaran awal yang dihadapi pasukannya ketika mula melangkah ke litar antarabangsa. Beliau berkata:
Apabila kami mula-mula tiba di arena ini, kami dipandang rendah. Tetapi apabila kami berdiri di puncak podium, mereka terpaksa memandang kami semula.
Beliau menjelaskan rantaian bekalan industri China semakin lengkap dalam tempoh sedekad lalu, dengan kemajuan besar dalam peralatan, proses pembuatan serta keupayaan pengeluaran.
Menurut beliau, motosikal buatan China akan berupaya mendapat tempat di pasaran high-end global dalam tempoh lima tahun akan datang, setanding dengan kekuatan sebenar mereka.
ZXMOTO 820RR
Jentera 820RR-RS yang merangkul kejuaraan ini merupakan varian perlumbaan yang dioptimumkan sepenuhnya daripada model produksi utama, ZXMOTO 820RR.
Dalam sesi temu bual, Zhang Xue menyatakan kelebihan kompetitif pasukan hasil kekuatan teras jentera tersebut dalam kelasnya, termasuk hantaran kuasa yang kuat, berat yang ringan, serta pusat graviti yang rendah.
Ia berkongsi teknologi teras yang sama untuk mendominasi litar:
- Nadi Tiga-Silinder: Enjin 819cc tiga-silinder sebaris (inline-three) menghasilkan 153.6ps dan tork 85Nm.
- Dengan had putaran enjin (redline) mencecah 15,250rpm, ia memberikan tarikan awal yang kuat serta hantaran kuasa tinggi yang konsisten ketika keluar dari selekoh.
- Casis Ultra-Ringan: Penggunaan kerangka twin-spar aluminium sepenuhnya, komponen aloi magnesium dan gentian karbon berjaya mengurangkan berat kering kepada hanya 182kg.
- Ini menghasilkan nisbah kuasa-ke-berat yang luar biasa, selain memberikan kestabilan tinggi pada kelajuan maksimum.
- Dinamik & Elektronik Tahap Perlumbaan: Jentera ini dilengkapi sistem ampaian boleh laras penuh, angkup brek radial Brembo, tayar slick Pirelli, serta sistem elektronik canggih seperti 6-axis IMU, Cornering ABS dan TCS pelbagai tahap untuk kawalan jitu pada sudut condong maksimum.
- Kelajuan Maksimum: Versi standard 820RR menghasilkan 135ps dengan pecutan 0–100km/j dalam masa 2.81 saat dan kelajuan maksimum 280km/j. Varian spesifikasi tinggi mampu mencecah 299km/j.
Sumber/Kredit gambar:



