Subaru Crosstrek 2026 rasmi dilancarkan di Malaysia – unit CBU, harga RM190,788

Subaru Crosstrek 2026

TC Subaru Sdn Bhd secara rasmi melancarkan model Subaru Crosstrek 2026 untuk pasaran tempatan.

Unit import sepenuhnya (CBU) Jepun ini ditawarkan pada harga RM190,788 tanpa insurans.

Spesifikasi kuasa

Generasi ketiga Subaru Crosstrek (sebelum ini dikenali dengan nama XV) telah pun wujud di pasaran global sejak tahun 2022 lagi.

Untuk pasaran Malaysia, hanya satu sahaja varian yang ditawarkan, iaitu Crosstrek 2.0i-S EyeSight.

Ia dipacu enjin boxer 4-silinder 2.0 liter dengan kuasa 156 PS @ 6,000 rpm dan daya kilas 196 Nm @ 4,000 rpm.

Kuasa itu disalurkan kepada semua roda menerusi transmisi Lineartronic CVT dan sistem pacuan Symmetrical AWD.

Crosstrek turut dilengkapi dengan ciri mod pemanduan SI Drive serta X-Mode dwi-fungsi.

Dimensi

Crosstrek berukuran sepanjang 4,480 mm, lebar 1,800 mm, tinggi 1,600 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,670 mm.

Jarak kelegaan tanah pula setinggi 220 mm.

Ruang kargo pula mampu mencecah sehingga 1,261 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.

Luaran

Subaru Crosstrek menggunakan tetapan suspensi topang MacPherson di depan, diikuti tetapan double wishbone di belakang.

Dari segi penampilan, Crosstrek 2026 dilengkapi dengan sistem lampu LED automatik, lampu kabus LED depan dan belakang, penyeka kaca sensitif hujan, rim aluminium 18 inci dan bumbung suria.

Menjadikannya lebih agresif ialah padanan plastik pelindung pada keempat-empat gerbang roda, spoiler bumbung serta rel bumbung.

Kelengkapan kabin

Untuk ruang kabin, Crosstrek dilengkapi dengan upholsteri kulit yang membaluti roda stereng, tombol gear dan tempat duduk.

Kerusi pemandu didatangkan dengan ciri larasan 10 tahap serta sokongan tulang belakang.

Model ini hanya dilengkapi dengan panel meter analog, skrin paparan LCD 4.2 inci, serta skrin tengah sebesar 11.6 inci yang menyokong sambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

Ciri lain termasuklah:

  • port pengecasan USB Type-A dan Type-C depan dan belakang
  • slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar
  • kawalan iklim dua zon automatik
  • sistem pencahayaan ambien
  • paddle shifter
  • pedal kaki aluminium

Keselamatan

Secara standard, Crosstrek dilengkapi dengan lapan beg udara, Kawalan Kestabilan Dinamik Kenderaan (VDCS), Auto Hold, Kawalan Menurun Cerun (HDC) serta sistem pemanduan tumpuan pemandu.

Kelengkapan EyeSight pula merangkumi fungsi seperti:

  • Sistem Brek Pra-Pelanggaran
  • Stereng Kecemasan Autonomi
  • Kawalan Jelajah Adaptif
  • Kawalan Pemusatan Lorong
  • Pengelakan Keluar Lorong
  • Kawalan Pendikit Pra-Pelanggaran
  • Amaran Pergerakan Kenderaan Hadapan
  • Bantuan Suluhan Tinggi

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved