Hyundai Ioniq 5 N & Ioniq 6 N dibuka untuk tempahan – harga dari RM450k

Hyundai Ioniq 5 N

Hyundai Motor Malaysia (HMY) mengumumkan pembukaan tempahan bagi dua model elektrik berprestasi tinggi, iaitu Hyundai Ioniq 5 N dan Ioniq 6 N.

Ini menandakan kemasukan pertama jenama tersebut ke dalam segmen mobiliti elektrik berprestasi tinggi di Malaysia.

Berikut merupakan harga anggaran bagi kedua-dua model tersebut:

  • Hyundai Ioniq 5 N – dari RM450,000
  • Hyundai Ioniq 6 N – dari RM460,000

Hyundai Ioniq 5 N

Ini merupakan varian tertinggi untuk crossover kompak Ioniq 5, dipacu dengan dua motor elektrik menghasilkan 609 PS dan 740 Nm.

Ia turut hadir dengan mod N Grin Boost yang mampu melonjakkan angka tersebut kepada 650 PS dan 770 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.4 saat.

Kelajuan maksimum dihadkan kepada 260 km/j.

Pek bateri 84 kWh pula membenarkan jarak pandu sejauh 448 km (data WLTP).

Antara ciri yang hadir pada Ioniq 5 N termasuklah:

  • fungsi e-shift N yang mensimulasikan transmisi automatik 8-kelajuan
  • N Drift Optimiser Pro
  • N Active Sound+ yang memainkan beberapa tema bunyi berdasarkan posisi pendikit

Hyundai Ioniq 6 N

Sedan fastback ini turut dipacu dengan motor elektrik berkembar yang mampu menjana 650 PS dan 770 Nm (dalam mod N Grin Boost).

Pecutan 0-100 km/j pula adalah sepantas 3.2 saat dan kelajuan maksimum dihadkan kepada 257 km/j.

Dengan pek bateri 84 kWh, Ioniq 6 N boleh bergerak sejauh 487 km mengikut data WLTP.

Antara kelengkapan eksklusif termasuklah spoiler leher angsa dan cagak pemasangan kamera aksi pada ruang kabin.

Pengedar terpilih

Tempahan boleh dibuat menerusi pengedar Hyundai N bertauliah:

  • Sime Darby Auto Hyundai Sdn Bhd (Tengah)
  • Goh Brothers Motor Sdn Bhd (Utara)
  • Heng Lian Enterprise Bhd (Malaysia Timur)

Lokasi pengedar tambahan akan diumumkan kemudian.

Setiap tempahan yang dibuat akan disertakan barangan rasmi Hyundai N bernilai RM2,000.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved