Perodua Ativa 10 terlaris pada Mac, Traz terkeluar!
Landskap SUV kompak Malaysia bagi penutup suku pertama (Q1) 2026 menyajikan drama yang tidak disangka-sangka di antara Perodua Ativa dan Traz.
Selepas dua bulan mendominasi dan menjadi sebutan ramai, Perodua Traz terkeluar daripada carta 10 terlaris dan berada pada tangga ke-15.
Berdasarkan data terkini, Mac 2026 menyaksikan senior dalam segmen SUV kompak, iaitu Ativa, kembali menunjukkan taring dan menduduki tangga sepuluh teratas.
Kebangkitan ini sekali gus berjaya memintas pencabar baharu tersebut dalam carta bulanan.
Analisis Perodua Ativa vs Perodua Traz 2026
Graf pendaftaran bulanan menunjukkan satu trend yang sangat ketara antara kedua-dua model Perodua ini sepanjang suku pertama 2026.
Persaingan dalaman ini membuktikan bahawa pilihan pengguna masih dinamik walaupun model baharu dilancarkan.
- Januari 2026: Traz bermula garang dengan 1,901 unit, manakala Ativa sebanyak 1,012 unit.
- Februari 2026: Jurang semakin rapat apabila Traz merekodkan 1,710 unit dan Ativa mula mendaki ke 1,352 unit.
- Mac 2026: Kebangkitan mutlak Ativa dengan angka pendaftaran melonjak kepada 1,920 unit, manakala Traz menurun kepada 1,479 unit.
Prestasi cemerlang pada bulan Mac ini meletakkan Ativa kembali di hadapan, sekali gus membolehkan model turbo itu memasuki semula carta 10 model terlaris bulanan.
Kejatuhan pendaftaran Traz secara automatik menolaknya keluar daripada kelompok elit tersebut bagi bulan Mac.
Untuk Q1, Traz masih di atas dengan kedudukan 10 terlaris berdasarkan jualan terkumpul 5,090 unit manakala Atiza di tempat ke-12 dengan jualan 4,284 unit.
Persaingan Perodua Bezza, Proton Saga dan Perodua Axia
Persaingan di kelompok tiga teratas menunjukkan dinamika yang sangat sengit antara dua gergasi nasional.
Walaupun Saga memulakan tahun dengan agresif, kedudukan Q1 2026 menyaksikan takhta kereta nombor satu kini milik Perodua semula.
Pendaftaran Bezza pada bulan Mac mencecah 7,493 unit dan secara rasminya merampas takhta Q1 dengan pendaftaran terkumpul (YTD) sebanyak 22,955 unit.
Saga pula mengekor rapat di tangga kedua dengan 21,690 unit yang menyaksikan pendaftaran pada Mac susut ketara kepada 5,398 unit berbanding 6,007 unit pada Februari.
Satu yang menarik Perodua Axia dengan jualan 5,774 unit pada Mac berjaya memintas Saga dan berada pada tangga kedua.
Jualan terkumpul Axia adalah sebanyak 17,661 unit setakat Mac 2026.
Kebangkitan Honda City dan Nasib Toyota Hilux
Dua bulan lepas (Januari dan Februari), Toyota Hilux menjadi wakil tunggal jenama asing yang berjaya memecah masuk ke dalam kelompok 10 model terlaris.
Namun, Mac 2026 menyaksikan perubahan drastik dalam kategori jenama bukan nasional ini.
Honda City (Sedan & Hatchback) membuat kemunculan semula yang luar biasa dengan pendaftaran sebanyak 2,743 unit pada bulan Mac.

Walaupun pendaftaran Hilux pada bulan Mac menunjukkan peningkatan kepada 1,749 unit berbanding Februari (1,677 unit), kedudukannya tetap terancam.
Persoalan besar kini timbul dengan harga diesel yang melonjak tinggi, apakah nasib kenderaan utiliti seperti Hilux pada masa akan datang?

Statistik Pendaftaran Kenderaan (YTD Mac 2026)
Berikut adalah kedudukan 10 model paling popular mengikut pendaftaran terkumpul bagi tempoh Januari hingga Mac 2026:
- Perodua Bezza: 22,955 unit
- Proton Saga: 21,690 unit
- Perodua Axia: 17,661 unit
- Perodua Myvi: 13,650 unit
- Perodua Alza: 8,691 unit
- Proton X50: 7,089 unit
- Proton e.MAS 5: 6,701 unit
- Proton S70: 5,798 unit
- Honda City: 5,232 unit
- Perodua Traz: 5,090 unit
Sumber Data: data.gov.my











