Mercedes-Benz Malaysia lancar pusat 4S Autohaus Kuantan, terbesar di Pantai Timur
Mercedes-Benz Malaysia secara rasmi membuka pusat 4S Autohaus Kuantan serba baharu yang terletak di Indera Mahkota, Pahang.
Ia merupakan Autohaus Mercedes-Benz yang terbesar di Pantai Timur.
Kemudahan
Dikendalikan oleh Asbenz Stern Sdn Bhd, pusat 4S ini dibina atas tanah seluas 65,340 kaki persegi.
Daripada jumlah tersebut, ruang seluas 26,565 kaki persegi dikhususkan untuk pameran sehingga enam unit kenderaan, ruang Star Lounge dan akses kepada Mercedes-Benz Lifestyle Collection.
Selain itu, Autohaus Kuantan juga turut menempatkan perkhidmatan pusat badan & cat secara bersepadu.
Dengan 16 ruang kerja lengkap, fasiliti ini mampu menangani kerja-kerja penyelenggaraan berkala hinggalah kerja pembaikan yang lebih besar.
Kesemuanya dikendalikan oleh juruteknik bertauliah Mercedes-Benz bagi memastikan kualiti kerja yang konsisten.
Selain itu, terdapat juga kemudahan pengecasan pantas DC sehingga 120 kW yang boleh digunakan oleh dua kenderaan secara serentak.
Komitmen berterusan untuk Pantai Timur
Martin Schulz, CEO dan Presiden Mercedes-Benz Cars Malaysia berkata, pembukaan Autohaus baharu ini mencerminkan komitmen berterusan dalam meningkatkan pengalaman pelanggan di Pantai Timur.
“Ketika meraikan 140 tahun inovasi, kami kekal fokus bukan sahaja untuk kecemerlangan automotif, tetapi juga mencipta pengalaman pelanggan yang lancar dan diperibadikan pada setiap sentuhan,” tambahnya lagi.
Goh Chuan Kiong, Pengarah Urusan Asbenz Stern menjelaskan Kuantan sentiasa menjadi lokasi penting bagi syarikatnya.
“Dengan pelaburan pada fasiliti yang serba lengkap termasuk perkhidmatan badan dan cat, kami mampu untuk memberikan perkhidmatan yang lebih menyeluruh dan cekap kepada pelanggan.”
Sehingga kini, Asbenz Stern telah melabur sejumlah RM35 juta dalam rangkaiannya, termasuk RM23 juta untuk Autohaus Kuantan.
Selain Pahang, Asbenz Stern mempunyai dua lagi cawangan Autohaus yang terletak di Kedah dan Terengganu.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.







