Denza B8 bakal dilancarkan di Malaysia bulan ini
Denza Malaysia mengesahkan model baharu Denza B8 bakal dilancarkan pada bulan ini.
Ia sekaligus menandakan kemasukan jenama itu ke dalam segmen SUV off-road mewah.
Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang perlu anda tahu tentang SUV Denza B8 ini.
Model plug-in hybrid pertama Denza di Malaysia
Tidak seperti D9, B8 merupakan model plug-in hybrid (PHEV) pertama jenama itu di sini.
Ia dibangunkan berasaskan tiga teras utama:
- Platform DMO (Dual Mode Off-road) Super Hybrid
- Sistem suspensi pintar DiSus-P Intelligent Body Control
- Pengalaman kabin premium
Prestasi sistem DMO
Denza B8 dipacu oleh sistem DMO yang terdiri daripada:
- enjin 2.0 liter turbo
- dua motor elektrik
- pek bateri Blade
Sistem ini mampu menjana kuasa 603 hp dan 760 Nm.
Jarak pemanduan sifar emisi pula boleh mencecah 115 km, sementara jarak pemanduan keseluruhan sehingga 1,040 km (data NEDC).
Terdapat mod pemanduan Pure EV, HEV Series dan Parallel Mode yang berfungsi secara pintar di belakang tabir untuk melaraskan penghantaran kuasa mengikut situasi semasa.
Sistem DiSus-P
Denza B8 turut dipadankan dengan tetapan suspensi DiSus-P Intelligent Hydraulic Body Control.
Sistem ini direka untuk bertindak balas secara aktif bergantung kepada perubahan permukaan jalan dan keadaan pemanduan.
Ia bertujuan untuk mengekalkan kestabilan dinamik kenderaan dan keselesaan, serta memastikan gangguan yang minimum di dalam kabin.
Elemen premium tetap diutamakan
SUV ini membawakan bahasa reka bentuk ‘Starship Mecha’ untuk penampilan yang gagah dan futuristik di atas jalan.
Ia hadir dengan grafik lampu siang LED ‘Starship Wing’ serta lampu belakang inspirasi ‘Energy Thruster’.
Ruang kabin pula hadir dengan kemasan kulit Nappa, sistem audio premium Devialet dengan 18 pembesar suara, skrin kluster digital 12.2 inci dan skrin tengah sebesar 17.3 inci.
Bakal dipamerkan hujung bulan ini
Denza B8 akan dilancarkan secara rasmi pada hujung bulan ini.
Rakyat Malaysia yang berminat boleh berkunjung ke Bangsar Shopping Centre bermula 22-24 Mei 2026 di mana SUV ini akan dipertontonkan kepada umum buat kali pertama.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.










