Arkib Kategori: DUNIA

Mercedes-AMG PureSpeed Concept, speedster V8 dengan bar halo gaya F1!

Ini ialah model pertama Mercedes-AMG yang dilancarkan dalam siri “Mythos”, iaitu Mercedes-AMG PureSpeed.

Ia merupakan sebuah speedster jenis open-top dengan rekaan yang diinspirasikan daripada jentera lumba vintaj ikonik Mercedes serta kereta lumba Formula Satu (F1).

Apa yang menarik pasal Mercedes-AMG PureSpeed ini?

 

1. Guna asas Mercedes-AMG SL Convertible

Jika dilihat sekali imbas, anda sebenarnya dapat meneka asas jentera PureSpeed ini, iaitu convertible Mercedes SL berdasarkan unit lampu depan dan belakang.

Namun begitu, rekaan bampar tradisional Panamericana telah ditolak ke tepi dan digantikan dengan muncung jerung yang lebih bersih.

Bukaan pada bampar yang agresif itu pula telah dicat dengan logo AMG berwarna putih.

 

2. Tiada cermin penghadang angin

Untuk disesuaikan dengan imej yang diinspirasikan daripada jentera 300 SLR yang dipandu oleh Stirling Moss dan Denis Jenkinson, Mercedes-AMG membuat keputusan untuk membuang terus cermin penghadang angin.

Ia telah digantikan dengan struktur bar halo seperti yang anda biasa lihat pada jentera F1.

 

3. Aspek aerodinamik banyak dipelajari daripada Mercedes-AMG One

Untuk aspek aerodinamik, Mercedes banyak mengambil pengajaran semasa pembangunan hypercar Mercedes-AMG One untuk dicurahkan pada jentera ini.

Seperti contoh, terdapat komponen aero gentian karbon pada seksyen bawah, diikuti pelindung rim (juga daripada gentian karbon) untuk kecekapan aerodinamik, selain mengoptimasikan aliran udara di sekitar tayar dan menambah baik aspek penyejukan brek.

 

4. Tiada perincian trenkuasa didedahkan

Mercedes-AMG nampaknya tidak memperincikan aspek rangkaian kuasa yang digunakan pada PureSpeed.

Besar kemungkinan ia meminjam nadi bentangan V8 4.0 liter turbo berkembar daripada model SL 63, berkuasa antara 577 hp untuk versi standard atau sehingga 805 hp dalam trim hibrid E Performance.

 

5. Produksi 250 unit sahaja

Roadster PureSpeed akan dihasilkan sebanyak 250 unit sahaja, di mana Mercedes-AMG akan mengehadkan model ini untuk golongan peminat dan pengumpul tegar yang berdedikasi terhadap jenama itu.

Harga jualan juga masih lagi dirahsiakan. Apa jua nombor yang bakal diumumkan kelak, sudah pasti ia tidak akan memberikan sebarang masalah kepada golongan pembeli yang berpotensi.

 

Volkswagen dan Renault tak dapat kata sepakat untuk EV kos rendah

DENGAN lambakan kenderaan elektrik (EV) murah dari China, pengeluar-pengeluar Eropah kini mula gusar. Renault mengambil inisiatif untuk bekerjasama dengan Volkswagen untuk persaingan ini tetapi tidak berjaya nampaknya.

EV kos rendah yang dibangunkan bersama tidak akan diteruskan. CEO Renault, Luca de Meo berkata bahawa perbincangan antara kedua-dua pihak telah berakhir.

Katanya, projek itu suatu “kerugian peluang”, tetapi menurutnya Renault masih terbuka untuk kerjasama dengan pengeluar-pengeluar lain: “Mungkin ada yang lain.”

VW enggan mengulas, tetapi kedua-dua pengeluar gergasi itu sah tidak meneruskan kerjasama. Sementara itu, Renault, akan terus menghasilkan Twingo generasi baharu yang dijangka tiba pada 2026.

Twingo generasi semasa masih dijual, dengan pilihan enjin tradisional dan EV. Model generasi baharu nanti hanya akan ditawarkan sebagai EV, dengan harga jangkaan kurang dari €20,000 (RM101,965).

Dari pihak VW, masih belum jelas perancangan mereka selepas menamatkan perbincangan dengan Renault. Buat masa ini, pengeluar Jerman itu mempunyai EV kompak ID.3. Pengganti e-up! juga kini dalam pembangunan, dijangka tiba pada 2027, mungkin dengan nama ID.1.

Toyota beri bayangan kemunculan GR Corolla versi automatik dua pedal!

Umum mengetahui bahawa Toyota kini merupakan satu-satunya pengeluar automotif Jepun yang berani menawarkan pelbagai jenis kereta sports berprestasi tinggi di bawah sub-jenama Gazoo Racing.

Bermula dari GR Supra, Toyota kemudian menawarkan pula hot hatch GR Yaris yang diinspirasikan daripada dunia rali, diikuti generasi kedua 86 (atau nama rasminya GR86), dan GR Corolla.

Sebut pasal GR Corolla, model tersebut direka untuk memberikan saingan kepada model Golf GTI dan Golf R, namun sayang sekali hot hatch AWD itu buat masa ini hanya boleh didapati dalam versi manual sahaja.

 

 

Adakah keadaan itu akan berubah?

Menurut laporan terbaharu daripada laman penerbitan Australia Drive, Sean Hanley selaku ketua unit jualan dan pemasaran Toyota Australia mendedahkan lebih separuh pembeli GR86 dan GR Supra lebih gemar memilih model automatik.

Beliau menambah, “data tersebut memberikan petunjuk lebih ramai orang akan cenderung memilih model auto sekiranya ia sedia untuk dijual.”

Dalam pada itu, presiden Toyota Gazoo Racing Tomoya Takahashi turut mencadangkan GR Corolla bertransmisi automatik mungkin akan muncul kelak, sekiranya terdapat permintaan.

 

 

Spesifikasi GR Corolla automatik – sekiranya ditawarkan kelak – berkemungkinan besar akan mengikut rapat apa yang ditawarkan oleh Toyota pada model GR Yaris AT seperti yang telah dilancarkan pada awal tahun yang lalu.

Ia masih lagi mengekalkan enjin tiga silinder sebaris 1.6 liter turbo (G16E-GTS), namun dengan hamburan kuasa 300 hp dan 400 Nm, di mana kuasa itu disalurkan kepada sistem pacuan semua roda GR-Four menerusi kotak gear automatik jenis torque-converter lapan nisbah kelajuan.

 

Toyota GR Corolla: Hot hatch AWD dengan alasan paling munasabah – Pandu uji

Honda Civic 2025 facelift, majoriti varian kini guna enjin 2.0 e:HEV

Honda telah pun mengemaskini penawaran bagi sedan segmen C Honda Civic untuk model tahun 2025.

Perubahan pada bahagian luar Civic 2025 ini sebenarnya telah pun diperlihatkan pada awal tahun yang lalu, menepati rupa paras Civic RS Prototype yang muncul di Tokyo Auto Salon 2024.

 

 

Pada muka hadapan, Civic kini dipadankan dengan rekaan bampar baharu, di mana perumah lampu kabus telah ditiadakan, diikuti dengan struktur jeriji yang telah dikemaskini.

Selain perubahan yang kecil yang terdapat pada bahagian luar, Honda sebenarnya merombak kembali penawaran varian sedia ada, di mana kebanyakan trim kini tidak lagi menggunakan enjin 1.5 liter turbo, kecuali varian Civic Si.

 

 

Sebaliknya, kesemua varian (kecuali varian LX dan Sport yang menggunakan enjin 2.0 NA) kini dikuasakan oleh nadi hibrid e:HEV 2.0 liter kitaran Atkinson dengan dua motor elektrik yang mampu menghasilkan kuasa 200 hp dan 315 Nm.

Ini menjadikan Civic Hybrid sebagai Civic bukan Type R yang paling berkuasa pernah dihasilkan.

Selain prestasi yang lebih bertenaga, Civic Hybrid juga kini mendapat empat tahap tetapan brek regeneratif, diikuti dengan talaan spesifik untuk meningkatkan kualiti pemanduan dan dalam masa yang sama menambahbaik aspek NVH.

 

Untuk ruang kabin pula, Civic Hybrid kini mendapat tempat duduk balutan kulit, sistem audio stereo dengan 12 pembesar suara, serta skrin infohibur bersaiz sembilan inci yang turut dilengkapi dengan aplikasi Google terbina dalam.

Difahamkan, Honda Civic 2025 akan mula mendarat di kebanyakan pusat pengedar Honda di Amerika Syarikat pada bulan Jun ini, di mana ia masih boleh didapati dalam bentuk badan sedan dan juga hatchback.

 

Ducati lancar Monster Senna Edition, terhad kepada 341 unit sahaja

Ducati meraikan pelumba legenda sukan Formula 1, Ayrton Senna dengan memperkenalkan Monster Senna Edition yang terhad kepada 341 unit sahaja. 

Model tersebut merupakan penghormatan kepada Senna yang bukan sahaja berjaya di pentas F1 malah turut merupakan Ducatisti yang setia kerana memiliki beberapa motosikal Ducati termasuk Monster pertama dan Ducati 916. 

Menariknya, Monster Senna Edition ini hadir dengan pilihan warna yang diilhamkan dari helmet digunakan Senna di F1. 

Menariknya, Monster Senna Edition ini lebih menonjol dengan penggunaan brek kaliper Brembo Stylema berwarna serba kuning yang tidak ada pada mana-mana motosikal dalam pasaran. 

Ini bukan kali pertama Ducati memperkenalkan model dengan nama Senna kerana pernah melakukannya pada era 90-an menerusi Ducati 916 Senna Edition. 

Atas kertas, Monster Senna Edition ini dikuasakan enjin L-Twin 937cc yang sama seperti varian Standard dan menawarkan 111hp. 

Mercedes akan berhenti guna nama EQ bagi model EV, kembali cara lama

MERCEDES dilaporkan bakal menghentikan penggunaan nama ‘EQ’ bagi model-model EV (elektrik sepenuhnya) yang akan datang. Menurut laporan AutoExpress, langkah itu akan dibuat selepas semua EV generasi pertama masa kini tamat hayatnya.

Pengeluar Jerman itu akan kembali menggunakan struktur penamaan tradisional seperti model-model bukan EV mereka.

Pada masa ini, hampir semua model EV Mercedes mempunyai ‘EQ’ pada nama mereka, dari EQA hinggalah EQS.

Hanya satu pengecualian dibuat, iaitu untuk G-Class yang dilancarkan di Beijing bulan lepas. Ia tidak dipanggil EQG seperti yang dijangka, sebaliknya ia dinamakan G580 dengan EQ Technology. Ini menandakan hala tuju baharu penamaan model EV jenama itu.

“EQ ialah permulaan teknikal, Mercedes-Benz akan datang tidak akan menjadi EQ,” kata pengurus produk Mercedes, Tobi Mantele.

“EQ ialah pelantar teknikal untuk kami. Sebaik sahaja anda pergi ke arah elektrifikasi sepenuhnya, anda tidak mahu menggugurkan suatu jenama seperti S-Class contohnya,” tambah seorang lagi jurucakap Mercedes.

Hala tuju ini juga menunjukkan Mercedes mahu menormalisasikan EV sebagai barisan model biasa dan akan menggunakan penamaan seperti model petrol dan diesel.

Dalam pada masa yang sama, Mercedes tidak akan menawarkan EV semata-mata, tetapi elektrifikasi mereka juga akan merangkumi model plug-in hybrid (PHEV).

“Kami tidak mahu menyingkirkan sepenuhnya peluang dengan platform-platform ICE kami sedia ada. Kami mempunyai PHEV dengan prestasi terbaik dalam rangkaian, dan kami akan mengemaskininya,” kata jurucakap itu.

Mercedes-Benz henti pembangunan platform baru untuk EV S-Class, E-Class

Penurunan permintaan terhadap kenderaan elektrik di seluruh dunia menyebabkan beberapa pengeluar automotif mula mengambil pusingan U daripada meneruskan strategi elektrifikasi menyeluruh yang telah digembar-gemburkan sebelum ini.

Antara yang terkesan ialah pengeluar kenderaan mewah dari Jerman, iaitu Mercedes-Benz.

Menurut laporan Handelsblatt, penurunan angka jualan telah menyebabkan Mercedes-Benz terpaksa memikirkan semula strategi EV mereka, dan ini bermakna pembangunan platform baharu akan turut dihentikan, terutama pelantar MB.EA Large yang direka untuk sedan E-Class dan S-Class generasi baharu.

 

 

Dengan pembatalan program pembangunan MB.EA Large, Mercedes-Benz boleh menumpukan perhatian dengan menambah baik platform EVA2 sedia ada yang kini menjadi asas kepada model sedan elektrik EQE dan EQS.

Antara yang boleh dibuat termasuklah menggantikan senibina elektrik 400 voltan kepada 800V, selain memperkenalkan teknologi sel bateri baharu dan motor elektrik yang lebih cekap untuk jarak pemanduan yang lebih jauh.

Untuk makluman, Mercedes-Benz masih lagi mempunyai beberapa platform khusus, seperti platform MB.EA Medium, MMA, MB.AMG dan MB.VAN.

 

 

Platform MMA direka untuk menyokong unit rangkaian kuasa elektrik dan enjin pembakaran dalaman, di mana ia akan menjadi asas kepada model-model generasi baharu CLA-Class, CLA-Class Shooting Brake, GLA-Class dan GLB-Class, diikuti dengan platform MB.EA Medium untuk sedan C-Class dan GLC-Class.

Platform MB.AMG pula disasarkan pada tahun 2025 sebagai sebuah senibina elektrik tulen untuk model pengganti AMG GT 4-Door Coupe, serta model SUV AMG.

Tahun berikutnya, Mercedes-Benz akan melancarkan platform MB.Van khusus untuk penghasilan kenderaan komersial sebagai pengganti kepada model Mercedes-Benz EQV dan model-model komersial lain.

Honda perlihat konsep trak Kelas 8 berkuasa hidrogen, mampu cecah 644 km

Tidak seperti rakan-rakan pesaing dari Negara Matahari Terbit, Honda bukanlah satu jenama yang boleh dikaitkan dengan barisan model trak tugas berat.

Model Honda yang paling hampir dengan sifat sebuah trak ialah model Honda Ridgeline, sebuah trak pikap unibodi yang direka khusus untuk pasaran Amerika Syarikat, serta Honda Acty – trak kecil dalam segmen kei car untuk pasaran Jepun.

 

 

Jadi, apa kaitan trak Peterbilt yang dipamerkan ini dengan Honda?

Untuk makluman, trak semi yang digelar sebagai Class 8 Hydrogen Fuel Cell Truck Concept ini dilengkapi dengan unit sel bahan api hidrogen yang dibangunkan sendiri oleh Honda menerusi kerjasama dengan General Motors.

Ia menampilkan gandingan tiga sistem sel bahan api, setiap satu mampu menjana kuasa setinggi 80 kW (107 hp), dengan kuasa keseluruhan mampu mencecah sehingga 322 hp.

 

 

Honda tidak mendedahkan bilangan motor elektrik yang dimuatkan pada trak Peterbilt ini, melainkan ia mampu mencecah kelajuan tertinggi 113 km/j dan boleh bergerak sejauh 644 km sebelum perlu membuat pengisian bahan api.

Angka tersebut boleh dicapai sekiranya trak semi Kelas 8 itu datang dengan muatan barangan seberat 37,195 kg.

Menurut Honda, sistem sel bahan api menawarkan penyelesaian sifar emisi terbaik untuk aplikasi diesel sedia ada, dan ia merupakan kunci kepada strategi hidrogen Honda yang meluas, terutama untuk pasaran Amerika Syarikat.

 

Bentley Continental GT dapat enjin hibrid V8 dengan 782 PS, 1,000 Nm

BENTLEY Continental GT generasi keempat bakal diperkenalkan secara rasmi pada Jun depan dan tidak seperti sebelum ini, grand tourer mewah itu tidak akan menampilkan enjin V8 atau W12 tulen.

Sebaliknya, Continental GT akan tampil dengan trenkuasa baharu Bentley yang digelar sebagai Ultra Performance Hybrid. Apa yang menarik, trenkuasa ini menjadikannya model Bentley paling berkuasa pernah dihasilkan dalam sejarah syarikat itu.

Menurut Bentley, trenkuasa baharu itu menggabungkan enjin V8 baharu dan motor elektrik yang bekerjasama bagi menghasilkan kuasa keseluruhan mencecah 782 PS dan 1,000 Nm.

Angka tersebut lebih tinggi berbanding apa yang dimiliki oleh Batur iaitu 740 PS. Model itu dikuasakan oleh enjin 6.0-liter twin-turbo W12, yang akan dihentikan pengeluarannya pada tahun ini.

Selain itu, Continental GT juga dilengkapi dengan barisan teknologi casis terkini seperti Active All Wheel Drive dengan Torque Vectoring, kawalan stereng empat roda, Limited Slip Differential elektronik, Active Roll Control 48V dan peredam dengan injap berkembar.

Continental GT diperkenalkan buat pertama kali pada 2002, menandakan kelahiran semula jenama mewah British itu. Model ini memberikan impak dramatik terhadap nasib Bentely, dengan jualan tahunan meningkat dari sekitar 1,000 unit kepada 10,000 unit dalam tempoh empat tahun.

Model generasi kedua dilancarkan dengan enjin W12, dengan varian 4.0-liter V8 menyusul pada 2012. Enam tahun kemudian, model generasi ketiga muncul dengan platform, enjin, suspensi, seni bina, dan rekaan baharu.

Toyota bakal pasang Hilux elektrik di Thailand

TOYOTA kini sedang menguji Hilux elektrik bateri (BEV) untuk menilai prestasinya sebagai persedian untuk memulakan produksi trak itu di Thailand menjelang akhir tahun 2025.

Menurut Reuters, Thailand merupakan pasaran yang penting bagi Toyota dengan trak pikap merangkumi lebih separuh jumlah jualan kenderaan. Syarikat itu juga mempunyai kilang pengeluaran yang besar di negara itu.

Hasrat kami adalah untuk mengeluarkan Hilux BEV di sini,” Pras Ganesh, naib presiden eksekutif Toyota Motor Asia memberitahu Reuters.

Ganesh bagaimanapun enggan memberikan butiran mengenai harga atau jumlah pengeluaran untuk Hilux BEV, yang akan menjadi penawaran trak pikap EV pertama Toyota.

Tambah Ganesh, Hilux BEV akan disasarkan ke pasaran domestik Thailand namun Toyota turut akan mempertimbangkan untuk mengeksport model itu.

Toyota sedang menguji Hilux BEV untuk pelbagai cara penggunaan dalam keadaan jalan dan suhu yang berbeza-beza.

“Lebih tinggi jarak gerak yang diperlukan, lebih besar bateri yang perlu diguna, bermakna berat kenderaan juga akan bertambah, bermakna muatan akan menjadi lebih rendah,” kata Ganesh.

“Jadi ‘Adakah ia akan memenuhi keperluan pengguna?’ sentiasa menjadi isu terbesar kami. Kami sentiasa cuba memahami apa yang mereka lakukan,” tambahnya.

Sementara itu, pesaing terdekat iaitu Isuzu Motors juga merancang untuk memasang D-Max elektrik mereka di Thailand.

@engear.tv Haritu #Toyota ada tunjuk #Hilux yang dah tak pakai diesel. Toyota Hilux BEV ni pakai elektrik. Persoalannya, kalau masuk hutan, nak charge kat mana eh? #engeartv #malaysia #fyp #carsoftiktok #tiktok ♬ Aesthetic – Tollan Kim

Ironman 4×4 lancar aksesori off-road khusus untuk Mitsubishi Triton

Di Australia, bull bar merupakan antara aksesori wajib yang dipadankan pada trak pikap masing-masing.

Populariti aksesori tersebut mendorong pengeluar barangan off-road terkemuka, Ironman 4×4 tampil melancarkan sehingga tiga rekaan yang berbeza, khusus untuk para pemilik trak pikap Mitsubishi Triton.

Tiga rekaan bull bar yang dimaksudkan adalah seperti berikut:

1. Commercial – bull bar ‘aras mula’ yang menawarkan beberapa titik pelekap untuk memuatkan kelengkapan tertentu.

2. Deluxe – bull bar yang lebih lengkap dengan ciri seperti lampu LED tambahan, titik pemulihan, serta cagak khas untuk antena.

3. Raid – bull bar yang lebih ringkas tanpa batang besi perlindungan untuk unit lampu utama dan hud.

Kesemua bull bar yang ditawarkan itu diperbuat daripada bahan yang digelar sebagai powder-coated steel, dan masih lagi berupaya mengekalkan segala ciri keselamatan yang telah wujud pada trak pikap tersebut.

 

Ironman 4×4 turut menawarkan penambahan fender lebar khusus untuk geng trak pikap bertayar besar, bar pelindung untuk bahagian belakang, serta kit naik taraf suspensi yang menawarkan konfigurasi gas nitro atau sel busa, serta tetapan untuk tugas ringan, tugas sederhana atau tugas berat.

Di pasaran Australia, anda boleh mendapatkan aksesori Ironman 4×4 bermula seawal Julai 2024 dengan harga yang tertera seperti berikut:

Fender flare – AU$499 (RM1,559)
Bar pelindung belakang  – AU$1,411 (RM4,409)
Bull bar Commercial – AU$1,934 (RM6,043)
Bull bar Raid – AU$2,299 (RM7,183)
Bull bar Deluxe – AU$2,561 (RM8,002)
Kit suspensi – bermula dari AU$2,184-3,008 (RM6,824-RM9,398)

BMW XM dibalut baldu ultramarine sempena Festival Filem Cannes

APA yang anda lihat ini bukanlah hasil kerja bengkel West Coast Customs daripada rancangan realiti Pimp My Ride. Ia sebenarnya sebuah BMW XM istimewa yang diinspirasikan dari Naomi Campbell yang dihasilkan sempena Festival Filem Cannes.

Dikenali sebagai Mystique Allure, ia merupakan kenderaan pertama dalam sejarah BMW yang direka menggunakan material dari industri fesyen mewah (high fashion), memberikannya penampilan lain dari yang lain.

Hampir keseluruhan badan XM Mystique Allure dibalut material baldu dalam warna kegemaran supermodel Britain itu iaitu ultramarine. Tidak cukup dengan itu, bahagian bawah SUV itu dihiasi dengan labuci metalik yang berkilauan.

Ruang dalamannya tidak kurang mewah dengan upholsteri baldu berwarna ungu menghiasi segenap sudut termasuk bumbung, panel pintu dan M Lounge di belakang.

Kami tidak pasti jika Naomi Campbell gemarkan kelajuan tetapi jika jawapannya ya, dia tidak akan kecewa dengan XM kerana SUV plug-in hybrid itu merupakan model siri produksi BMW yang paling berkuasa.

Menggunakan varian Label Red sebagai asas, XM Mystique Allure dikuasakan oleh enjin 4.4-liter twin-turbo V8 dan sebuah motor elektrik yang menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 748 PS dan 1,000 Nm.

Ia boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 3.8 saat, sebelum mencapai kelajuan maksimum 290 km/j jika dilengkapi dengan M Driver’s Package.

Walaupun trenkuasa ini tidak diberikan sebarang penambahbaikan, ia mempunyai runut bunyi akustik unik untuk mod pemanduan elektrik yang digubah oleh komposer terkenal iaitu Hans Zimmer.

Ini merupakan tahun ketiga berturut-turut BMW dilantik sebagai rakan automotif rasmi Festival Filem Cannes. Untuk acara tahun ini, syarikat itu menyediakan perkhidmatan ulang-alik menggunakan lebih 200 kenderaan yang terdiri daripada i7, iX, i5 dan XM.

Nio perkenal Onvo, sub-jenama untuk EV pintar

Nio, pengeluar kenderaan elektrik yang berpangkalan di Shanghai, China, telah melancarkan sub-jenama untuk EV pintarnya yang dikenali sebagai Onvo.

Nama Onvo merupakan singkatan kepada ‘On Voyage’. Produk pertamanya yang akan memasuki pasaran adalah L60, SUV elektrik yang dibangunkan untuk bersaing dengan Tesla Model Y.

Tempahan untuk L60 telah dibuka di China, dengan harga bermula dari RMB219,900 (RM142,670). Penghantaran dijangka bermula pada suku ketiga tahun ini.

Untuk perbandingan, harga jualan Model Y di Malaysia bermula dari RM191,000 untuk varian Rear-Wheel Drive hingga RM280,000 untuk Performance.

Menurut Onvo, L60 dibina menggunakan seni bina 900V yang dikatakan lebih cekap tenaga. Ia mempunyai kadar kecekapan tenaga 92.3% (kitaran CLTC) dan pekali seretan paling rendah dalam segmen SUV iaitu 0.229 Cd.

Hasilnya, syarikat itu mendakwa SUV elektrik itu mampu mencapai kadar penggunaan tenaga serendah 12.1 kWj bagi setiap 100 km.

Dalam konfigurasi Standard Range, L60 boleh dipandu sejauh 555 km sekali cas manakala konfigurasi Long Range pula menawarkan jarak sehingga 730 km. Dengan bateri Ultra Long Range, ia mampu memberikan jarak pandu sejauh lebih 1,000 km.

Apa yang lebih menarik, L60 berkongsi teknologi penukaran bateri dengan Nio. Ini membolehkan pemandu menukar bateri EV mereka dalam hanya tiga minit di lebih 1,000 stesen penukaran bateri di seluruh China.

Bukan itu sahaja, pelanggan juga mempunyai pilihan untuk membeli L60 tanpa bateri. Ia dijual pada harga yang lebih murah iaitu RMB170,000 (RM110,558) namun pelanggan perlu membayar langganan bulanan untuk bateri di bawah perkhidmatan BaaS (Battery as a Service) yang disediakan.

Selepas China, Onvo dilaporkan merancang untuk memasarkan L60 di pasaran global termasuk Eropah menjelang akhir tahun ini.

Honda guna teknologi F1 untuk bangunkan EV yang lebih ringan

Honda dilapor akan menggunakan pengetahuan dan kepakaran yang diperoleh daripada sukan Formula Satu (F1) untuk membangunkan kenderaan elektrik (EV) generasi baharu 0 Series yang lebih ringan.

Matlamat utama Honda adalah untuk mengurangkan berat badan sebanyak 100 kg berbanding berat badan EV sedia ada.

Dengan menggunakan kepakaran dalam F1, Honda akan membangunkan kerangka badan yang lebih ringan, serta motor elektrik yang lebih kompak.

 

 

Untuk mencapai dinamik pemanduan yang lebih baik, komponen seperti motor elektrik dan bateri boleh diposisikan rendah di tengah-tengah EV, bertujuan untuk merendahkan lagi titik graviti dan menjadikan pengendalian yang lebih mengujakan.

Dengan pengurangan berat badan, sistem rangkaian kuasa akan menjadi lebih cekap dan mampu mencapai jarak gerak melebihi 483 km (berdasarkan data kitaran EPA).

Menurut Honda, EV generasi baharu yang bakal muncul kelak mampu menawarkan pemanduan yang sporti, menyumbang kepada keseronokan pemanduan yang tidak terhingga.

 

 

Model pertama EV daripada 0 Series dijangka akan muncul pada tahun 2026 di Amerika Syarikat, terdiri daripada sedan (Saloon Concept), SUV saiz pertengahan dan SUV aras mula.

Tahun 2027, Honda akan melancarkan SUV tiga baris tempat duduk yang lebih besar, diikuti dengan SUV kompak (2028), SUV kecil (2029) dan sedan kompak (2030).

Honda bangunkan sistem radar berbantu kamera untuk motosikal

Sejak kebelakangan ini,  banyak pengeluar motosikal sudah mula memperkenalkan ciri-ciri keselamatan secara standard untuk tunggangan yang lebih selamat.

Kalau dulu tidak banyak motosikal yang dilengkapi dengan sistem brek anti-kunci (ABS), kini pembeli disediakan dengan pelbagai pilihan model yang lebih selamat.

Tidak terhad kepada skuter bersesaran bawah 500 cc yang sudah pun mempunyai ciri seperti kawalan cengkaman dan ABS dua saluran,  motosikal yang lebih premium seperti BMW, Ducati dan KTM mula menawarkan sistem kawalan jelajah adaptif pada sesetengah model keluaran mereka.

Pengeluar motosikal Jepun, Honda dilapor mula membangunkan sistem kawalan jelajah adaptif yang serupa.

 

Namun, tidak seperti sistem ACC sedia ada yang menggunakan bantuan radar, Honda telah menambah satu lagi komponen yang penting, iaitu kamera.

Berdasarkan paten yang telah didaftarkan, Honda telah memasang sistem kamera berkembar yang diposisikan betul-betul di bawah unit lampu utama, lengkap dengan cagak getah dan struktur seakan gimbal untuk menyerap gegaran yang terhasil.

Kelebihannya? Ia menjadikan sistem jelajah adaptif yang lebih cekap dan pintar, di mana kedua-dua komponen kamera dan radar itu saling melengkapi kekurangan antara satu-sama lain.

Selain itu, Honda juga mahu menggunakan data yang diperoleh daripada kamera dan radar itu untuk menjadikan sistem brek automatik yang lebih berkesan, terutama ketika berdepan dengan keadaan trafik yang sesak.

 

Ciri terbaharu ini akan mula ditawarkan pada model Honda Africa Twin, dan tidak mustahil ia bakal diperluaskan kepada model-model lain seperti NT1100, Rebel 1100 dan GoldWing.

Alfa Romeo perkenal dua model Quadrifoglio Super Sport

AWAL tahun ini, Ketua Operasi Amerika Syarikat Alfa Romeo, Larry Dominique mengesahkan bahawa jualan Giulia Quadrifoglio dan Stelvio Quadrifoglio akan dihentikan di negara itu pada April 2024.

Tambah Dominique, produksi model-model Quadrifoglio untuk pasaran AS dan Kanada akan dihentikan pada Jun depan. Kedua-dua model biturbo V6 itu dipasang di kilang milik Stellantis di Cassino, Itali.

Namun sebagai tanda ucap selamat tinggal, Alfa Romeo telah melancarkan model edisi khas yang dikenali sebagai Super Sport. Nama ini diambil sempena kereta lumba 6C 1500 Super Sport yang menjuarai perlumbaan Mille Miglia pada 1928.

Untuk pasaran global, pengeluaran model Super Sport akan dihadkan kepada 275 unit untuk Giulia dan 175 untuk Stelvio. Daripada jumlah tersebut, 72 unit Giulia dan 52 unit Stelvio diperuntukkan khusus untuk AS.

Harga jualan bermula dari $86,770 (RM408,067) untuk Giulia Quadrifoglio Super Sport dan $94,370 (RM443,809) untuk Stelvio Quadrifoglio Super Sport.

Model-model Quadrifoglio Supersport ini boleh dibezakan menerusi beberapa elemen reka bentuk. Yang pertama adalah logo Quadrifoglio baharu yang mempunyai latar belakang berwarna hitam berbanding putih sebelum ini.

Selain itu, terdapat juga bahagian-bahagian yang diperbuat daripada gentian karbon seperti bumbung (ditawarkan sebagai opsyen kepada Giulia sahaja), pelindung gril dan cermin sisi.

Ia dipadankan pula dengan rim lima lubang berwarna hitam berukuran 19 inci untuk Giulia dan 21 inci untuk Stelvio, serta angkup brek Brembo dalam warna yang sama.

Terdapat tiga warna untuk dipilih iaitu Rosso Etna, Nero Vulcano metalik dan Bianco Alfa, yang ditawarkan pada Giulia sahaja.

Ruang dalaman pula diserlahkan lagi menerusi trim gentian karbon 3D berwarna merah pada keseluruhan papan pemuka, konsol tengah dan panel pintu. Stereng dibalut kulit dan Alcantara, serta dihiasi gentian karbon.

Pada bahagian perehat kepala, terdapat sulaman logo “Super Sport” berwarna merah dan nombor siri kenderaan berwarna hitam.

Kedua-dua model dikuasakan oleh enjin 2.9-liter biturbo V6 yang diperbuat daripada aluminium sepenuhnya. Ia mampu menghamburkan 505 hp dan 600 Nm, yang disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi automatik lapan kelajuan dan LSD mekanikal dari Giulia GTA.

Suzuki Jimny XL Heritage dihasilkan khas untuk Australia – 500 unit, harga dari RM114k

RATA-rata peminat Suzuki Jimny tahu bahawa SUV kecil itu mempunyai sejarah panjang yang bermula sejak era 1970an lagi.

Bagi meraikannya, Suzuki telah memperkenalkan model edisi terhad bagi Jimny XL (Jimny 5-pintu) yang dikenali sebagai Heritage. Hanya 500 unit akan dihasilkan dan semuanya untuk pasaran Australia.

Apa yang membuatkan Jimny XL Heritage lebih menonjol?

Seperti yang boleh dilihat, model ini mempunyai grafik ala retro berwarna oren dan merah pada bahagian sisi dan belakang. Ini digabungkan dengan logo badak sumbu dan mudflap berwarna merah.

Untuk warna badan, terdapat lima pilihan iaitu White, Chiffon Ivory + Bluish Black Pearl, Jungle Green, Bluish Black Pearl dan Granite Grey Metallic.

Selain itu, model Heritage ini sama sahaja seperti model standard. Di bawah bonet masih lagi enjin NA 1.5-liter empat silinder yang menjana 101 hp dan 130 Nm.

Jimny XL biasanya boleh didapati dengan transmisi automatik atau manual namun untuk Heritage, Suzuki hanya menawarkan transmisi manual lima kelajuan.

Sudah tentu, sistem pacuan empat roda AllGrip Pro membantu menyalurkan kuasa ke roda.

Kelengkapan lain yang turut disertakan termasuk skrin sentuh sistem multimedia berukuran sembilan inci, Apple CarPlay dan Android Auto wayarles, serta pelapik kargo.

Harga jualan Jimny XL Heritage bermula dari AUD36,490, (RM114,047) kira-kira AUD1,500 (RM4,688) lebih mahal berbanding versi standard.

Untuk pengetahuan, tahun lalu Suzuki Australia pernah melancarkan versi Heritage untuk Jimny tiga pintu. Kesemua 300 unit yang diperuntukkan habis dijual dalam masa dua hari sahaja.

Stellantis bakal lancar jenama EV Leapmotor di Eropah September ini, Malaysia Q4 2024

Permintaan terhadap kenderaan elektrik (EV) yang agak perlahan di peringkat global pada ketika ini bukanlah penghalang bagi Stellantis untuk memperkenalkan sebuah jenama baharu yang dibawakan dari China untuk pasaran Eropah.

Jenama yang dimaksudkan itu ialah Leapmotor, di mana untuk permulaan Stellantis akan melancarkan dua buah model EV menjelang September ini.

Secara keseluruhan, Stellantis menyasarkan sehingga enam buah model baharu yang akan diperkenalkan untuk pasaran Eropah sebelum tahun 2028.

Model pertama yang bakal dilancarkan ialah sebuah EV bandar, Leapmotor T03.

T03 merupakan sebuah hatchback lima pintu segmen A dengan ukuran dimensi yang sedikit kecil berbanding Mitsubishi Mirage, dipadankan dengan motor elektrik tunggal berkuasa 100 hp dan mampu bergerak sejauh 265 km untuk sekali cas penuh.

Stellantis merancang untuk memasang sendiri model T03 di Poland, sekaligus menjadikan harga jualannya yang jauh lebih murah dan mampu bersaing dengan model-model EV yang ada di pasaran.

Selain T03, Stellantis dijangka akan membawakan pesaing kepada Tesla Model Y, iaitu Leapmotor C10 yang diimport sepenuhnya dari China.

 

Mengikut spesifikasi, C10 merupakan sebuah SUV segmen D yang mampu memuatkan sehingga lima orang pada satu-satu masa, diikuti motor elektrik berkuasa 228 hp dan keupayaan bergerak sejauh 420 km.

Antara pasaran Eropah yang bakal menerima kehadiran jenama Leapmotor ini ialah Belgium, Greece, Itali, Jerman, Netherlands, Perancis, Portugal, Romania dan Sepanyol.

Menjelang suku keempat, Stellantis akan melancarkan jenama Leapmotor di pasaran Timur Tengah, Afrika, India, Asia Pasifik dan Amerika Selatan.

 

 

Sebelum ini, Stellantis Malaysia turut mendedahkan perancangan yang sama untuk memperkenalkan jenama EV Leapmotor di Malaysia pada tahun ini.

Ia bakal diposisikan sebagai sebuah jenama EV yang mampu milik sebagai alternatif kepada beberapa jenama EV yang sudah pun wujud seperti BYD, Neta, dan juga Ora.

 

Leapmotor T03

Leapmotor C10

Brembo bakal lancar brek motosikal ‘supersport’, lebih ringan dari Stylema

Brembo merupakan jenama pengeluar brek terkemuka dunia bagi kenderaan empat dan dua roda. 

Terbaru, Brembo bakal melancarkan produk terbaru menerusi Brembo Hypure yang akan memasuki pasaran global tidak lama lagi.

Menariknya, Brembo Hypure merupakan produk yang dibangunkan khas bagi motosikal berkuasa tinggi terutamanya motosikal ‘supersport’ seperti Yamaha R1, Ducati Panigale V4, Honda CBR1000RR dan Kawasaki Ninja ZX-10R. 

“Brek kaliper ini dibangunkan khas untuk jentera berprestasi tinggi terutamanya motosikal supersport.

“Kaliper ini adalah 10 peratus lebih ringan berbanding rujukan utama dalam pasaran (Brembo Stylema) dan berat kurang 900g,” jelas Ketua Pembangunan Teknikal Motosikal Brembo, Cosimo Facibeni.

Ketibaan Hypure telah pun dijangka apabila pengeluar Itali itu mengumumkan produk tersebut ketika di EICMA tahun lalu. 

Menariknya, Brembo turut memberitahu kaliper brek Hypure itu akan turut dipasang secara standard kepada sebuah jentera berprestasi tinggi namun masih belum dinyatakan jenama dan model dimaksudkan.

VinFast buka tempahan EV cilik VF 3, harga dari RM44 ribu tanpa pek bateri di Vietnam

VinFast bakal melancarkan model kenderaan elektrik yang paling comel untuk pasaran Vietnam dalam masa terdekat, iaitu VF 3.

VinFast VF 3 merupakan sebuah hatchback tiga pintu yang ditawarkan dengan pakej langganan bateri yang boleh disesuaikan mengikut keperluan.

 

1. Dimensi lebih kecil berbanding Jimny

Dari segi saiz, VF 3 berukuran sepanjang 3,190 mm, lebar 1,697 mm, tinggi 1,622 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,075 mm.

Jarak kelegaan tanah pula adalah setinggi 191 mm.

Ia menjadikan VF 3 jauh lebih besar jika dibandingkan dengan model EV tiga pintu Wuling Hongguang Mini EV, akan tetapi dimensi lebih kecil berbanding Suzuki Jimny 3 pintu.

 

2. Harga dari RM44 ribu.. tanpa pek bateri

Di Vietnam, VinFast menjual VF 3 dengan harga bermula dari VND 240 juta, itu pun jika anda mahu membawa pulang kereta kecil ini tanpa sebarang pek bateri dibekalkan.

Untuk sebuah VF 3 yang lengkap dengan bateri, ia dijual pada harga bermula dari VND 322 juta.

Terdapat juga perkhidmatan langganan bateri disediakan dengan tiga pelan berasingan, bermula dari VND 900,000 (RM166.28) untuk pemanduan kurang 1,500 km sebulan, atau sehingga VND 2 juta (RM369.51) untuk pemanduan melebihi 2,500 km sebulan.

 

3. Mahu warna kustom? Tambah RM2,771!

Secara standard, VF 3 ditawarkan dengan rim bersaiz 16 inci rekaan aerodinamik, plastik pelindung badan, rekaan bumbung terapung, tiang yang digelapkan serta pelbagai pilihan warna yang menarik termasuklah empat warna standard dan lima opsyen yang berbeza.

Terdapat juga pilihan untuk melayangkan warna kustom sekiranya anda mampu menambah VND 15 juta (RM2,771) ke dalam bajet anda.

 

4. Rekaan papan pemuka yang ringkas

Untuk ruang kabin, VF 3 didatangkan dengan kelengkapan seperti skrin paparan tunggal bersaiz 10 inci, roda stereng dua jejari, sistem pendingin hawa kawalan manual, serta tempat duduk balutan fabrik.

Tempat duduk baris kedua pula boleh dilipat untuk menyediakan ruang kargo sebesar 285 liter.

 

5. EV dengan sistem pacuan roda belakang

Menariknya, VinFast VF 3 dilengkapi dengan motor elektrik tunggal pacuan roda belakang berkuasa sekitar 43 hp dan 110 Nm.

Ia membenarkan pecutan.. err.. 0-50 km/j dalam masa 5.3 saat sahaja.

Kuasa itu disalurkan oleh pek bateri lithium-ion berkapasiti 18.64 kWh yang membenarkan jarak gerak sejauh 210 km (data NEDC).

Ia turut menyokong pengecasan dari 10-70 peratus dalam masa 36 minit sahaja.