fbpx

Land Rover Defender 90 kustom milik Lando Norris ada ketuhar piza!

Land Rover Defender 90 Lando Norris 01

MUNGKIN ramai yang menyangka pemandu Formula 1 seperti Lando Norris lebih suka memandu kereta berprestasi tinggi untuk menjalankan rutin harian.

Ini ada benarnya kerana pemandu muda itu memang memiliki koleksi supercar yang mengagumkan, namun untuk pembelian terbarunya, Norris memilih untuk mendapatkan sesuatu yang lebih relaks dan santai.

Apa yang dimaksudkan adalah sebuah Land Rover Defender 90 tanpa bumbung kustom yang dihasilkan oleh Retro Automotive dari UK.

Dibina menggunakan Defender keluaran tahun 2001, ia didatangkan dalam warna Nardo Grey dengan campuran efek pearlescent yang diinspirasikan dari supercar McLaren.

Warna unik itu dipadankan dengan aksen hitam berkilat dan rim aloi 18 inci berwarna hitam yang dibalut tayar BFGoodrich. Pada masa yang sama, dapra yang lebar membuatkan ia tampil lebih berotot.

Untuk ruang kabin, Norris memilih upholsteri kulit Muirhead Egyptian Blue untuk membaluti papan pemuka, serta tempat duduk depan dan belakang. Terdapat juga lencana bertulis “Lando Norris” pada beberapa bahagian termasuk stereng.

Dari segi kelengkapan, trak ini didatangkan dengan skrin sentuh Pioneer dengan Apple CarPlay, serta sistem audio Marshall Kilburn II namun apa yang lebih menarik adalah ketuhar piza mudah alih dari Ooni pada bahagian belakang.

Di bawah bonet Defender ini adalah enjin 3.9-liter V8 yang dipadankan dengan transmisi manual dan transfer box yang dibina semula oleh Hobsons Industries. Ia juga dilengkapi dengan sistem suspensi udara boleh laras dan sistem brek yang lebih besar.

Menurut Retro Automotive, Defender milik Norris ini mengambil masa kira-kira 1,000 jam untuk disiapkan. Harga tidak dinyatakan namun ia sudah pasti di luar kemampuan marhaen seperti penulis.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved