Semua kiriman oleh Hanif Su'ib

Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.

AXCR 2026: Team Mitsubishi Ralliart raih kemenangan kedua berturut-turut

Mitsubishi Motors Corporation mengumumkan Team Mitsubishi Ralliart muncul juara keseluruhan dalam Asia Cross Country Rally (AXCR) 2026 pada 9 hingga 15 Ogos lepas.

Pencapaian ini turut menandakan kemenangan kali kedua berturut-turut buat Team Mitsubishi Ralliart.

Ia juga menjadi kemenangan pertama pasukan tersebut dalam sejarah AXCR yang menampilkan gandingan pemandu dan juruarah dari Jepun.

Sorotan prestasi Team Mitsubishi Ralliart

Team Mitsubishi Ralliart mempertaruhkan tiga unit trak pikap Triton spesifikasi T1 di dalam AXCR 2026.

Pemandu Katsuhiko Taguchi meraih kemenangan keseluruhan dengan catatan masa 12 jam 58 minit 20 saat.

Kazuto Koide menamatkan perlumbaan di tempat ke 27 (20 jam 58 minit 30 saat), manakala Chayapon Yotha di tempat ke-36 (34 jam 48 minit 43 saat).

Taguchi memulakan Leg 1 dengan momentum yang positif di mana beliau berjaya meminimumkan kehilangan masa yang dialami oleh ramai pelumba awal.

Biarpun keadaan jalan yang berlopak akibat hujan lebat, beliau berjaya mengakhiri acara pembukaan di tempat ketiga keseluruhan.

Imej: Mitsubishi Motors Thailand

Momentum tersebut diteruskan apabila Taguchi mencatatkan masa terpantas SS dalam Leg 3 dengan kelebihan masa lapan saat.

Pada akhir Leg 5 yang merupakan peringkat terpanjang rali, pasangan Taguchi dan Yasui berjaya membina jurang lebih lima minit.

Dengan pendekatan yang berhemah, pasangan tersebut meraih kemenangan keseluruhan AXCR yang pertama mereka dengan kelebihan masa 2 minit 25 saat.

Ia sekali gus menghadiahkan kejuaraan kedua berturut-turut AXCR buat Team Mitsubishi Ralliart.

Menyertai AXCR buat kali ketiga, Kazuto Koide berdepan kesukaran di peringkat awal apabila tersangkut di tebing jalan dan menerima penalti timeout.

Namun begitu, beliau turut mencatatkan masa kelapan terpantas dalam SS5 dan menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-27 secara keseluruhan.

Imej: Mitsubishi Motors Thailand

Juara bertahan, Chayapon Yotha pula berdepan dengan insiden tayar pancit di kawasan berbatu Leg 2, dan mengalami kehilangan masa ketika menukar tayar.

Ketika Leg 3, beliau bangkit dan naik ke tempat keenam, namun separuh kedua Leg 4 menyaksikan beliau terpaksa menukar tayar buat kali kedua, diikuti masalah enjin pada awal Leg 5.

Biarpun berdepan dengan pelbagai isu dan penalti, Yotha tetap berjaya menamatkan rali di tempat ke-36.

Laluan mencabar sepanjang lebih 2,000 km

Imej: Mitsubishi Motors Thailand

AXCR edisi yang ke-31 tahun ini menampilkan laluan sepanjang 2,145.19 km, termasuk 921.80 km dalam Special Stages (SS).

Mengambil tempat sepenuhnya di Thailand, AXCR menyediakan laluan yang cukup mencabar seperti hutan tebal, seksyen berbatu besar, lintasan sungai, kawasan berlumpur yang licin dan dalam, digandingkan dengan keadaan cuaca yang panas dan lembap.

Semua ini memberikan cabaran yang hebat kepada pemandu, kru dan juga jentera.

Berikut merupakan ringkasan laluan AXCR 2026:

  • Permulaan – Walking Street, Pattaya
  • Leg 1 – Pattaya ke Prachin Buri
  • Leg 2 – Prachin Buri ke Nakhon Sawan
  • Leg 3 – Loop Nakhon Sawan
  • Leg 4 – Nakhon Sawan ke Kamphaeng Phet
  • Leg 5 – Kamphaeng Phet ke Phitsanulok
  • Leg 6 – Phitsanulok

Moda Sporter S SKII 2026 rasmi di Malaysia – harga dari RM17,998

Moda Malaysia hari ini secara rasmi memperkenalkan skuter Sporter S SKII yang telah dinaik taraf untuk pasaran tempatan.

Ia dijual pada harga bermula dari RM17,998.

Diperkenalkan sejak Januari 2025, skuter tersebut merupakan model yang paling laris terjual dalam rangkaian produk Moda.

Kemas kini yang dilakukan pada model ini mengambil kira maklum balas daripada pemilik, pengguna dan komuniti tempatan, selari dengan falsafah Moda “By Bikers, For Bikers”.

Ciri baharu

Antara ciri baharu yang dimuatkan:

  • skrin paparan TFT 7-inci
  • suis pelbagai fungsi pada bar hendal
  • kamera perakam tunggangan HD hadapan
  • penghadang angin boleh laras elektronik
  • winglet aerodinamik

Selain itu, sistem suspensi belakang juga telah dipertingkatkan untuk tunggangan yang lebih selesa dan stabil dalam pelbagai keadaan.

Sporter S SKII masih lagi mengekalkan enjin silinder tunggal 244 cc sejukan cecair menghasilkan 24.8 hp @ 8,500 rpm dan 22.5 Nm @ 6,500 rpm.

Kelengkapan lain termasuklah:

  • rim 15 inci depan/14 inci belakang
  • brek cakera depan belakang
  • fork teleskopik jenis terbalik
  • tangki minyak 13 liter

Ciri keselamatan pula terdiri daripada ABS dua-saluran, kawalan cengkaman (TCS) dan sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS).

Terdapat dua pilihan warna iaitu Porsch White dan Titan Blue.

Atlantis Automobili dilantik sebagai pengimport & pengedar rasmi Maserati di Malaysia

Atlantis Automobili Sdn Bhd secara rasmi dilantik sebagai pengimport dan pengedar jenama Maserati di Malaysia berkuat kuasa 19 Mei 2026.

Syarikat bersekutu di bawah Atlantis Motor Group itu akan memikul tanggungjawab penuh operasi di Malaysia, merangkumi jualan, selepas jualan serta pengalaman pelanggan.

Menurut Dato’ Douglas Cheng Heng Lee, Pengarah Eksekutif Atlantis Automobili menjelaskan komitmen utama mereka adalah untuk pelanggan dan pemilik.

“Fokus segera kami adalah untuk memastikan pengalaman pemilikan yang lancar sambil memperkukuh asas jangka panjang Maserati di Malaysia,” ujarnya lagi.

Malaysia pasaran penting

Julie Taieb-Doutriaux, Ketua Maserati APAC menambah, “Malaysia merupakan pasaran penting dalam rangkaian Maserati Asia Pasific.

“Pelantikan Atlantis Automobili merupakan langkah signifikan dalam mengukuhkan komitmen jangka panjang kami kepada pelanggan di negara ini.

“Dengan kepakaran yang dimiliki Atlantis Automobili, kami yakin mereka akan terus mengangkat pengalaman Maserati untuk pemilik sedia ada dan bakal pelanggan di Malaysia,” katanya lagi.

Pemilik sedia ada tidak perlu risau

Pihak Atlantis Automobili turut menegaskan sokongan dan bantuan akan diteruskan sepanjang tempoh peralihan.

Pemilik sedia ada akan terus menerima sokongan selepas jualan dan khidmat pelanggan, dengan saluran komunikasi khusus turut disediakan.

Sebagai sebahagian daripada komitmen jangka panjang, Atlantis Automobili sedang merancang siri pelaburan strategik dan penambahbaikan bagi memperkukuhkan kehadiran jenama Maserati di Malaysia.

Maklumat lanjut seperti fasiliti baharu, inisiatif pelanggan dan pembangunan masa depan akan diumumkan kelak.

Fasiliti jualan & servis sementara

Buat masa ini, pelanggan sedia ada boleh mendapatkan kemudahan jualan dan servis sementara di RS-G-02, Rhapsody Square, TREC 438, Jalan Tun Razak, 50400 Kuala Lumpur.

Fasiliti servis dan selepas jualan sementara juga turut didapati di alamat 30, Jalan Pengacara U1/48, Kawasan Perindustrian Temasya, 40150 Shah Alam, Selangor

Maklumat lanjut boleh didapati menerusi:
Hotline Khidmat Pelanggan: +603-2110 2660
Emel Khidmat Pelanggan: contact@atlantismotor.com.my
Laman web: https://www.maserati.com/my/

Isuzu D-Max 2.2L mulakan perjalanan keliling Semenanjung dengan satu tangki penuh

Isuzu Malaysia akan memulakan cabaran “One-Tank, One Nation Challenge”, iaitu melengkapkan perjalanan mengelilingi seluruh Semenanjung dengan satu tangki diesel.

Cabaran tersebut akan menggunakan sebuah trak pikap Isuzu D-Max 2.2 liter terbaharu.

Perjalanan akan bermula dari Pusat 3S Isuzu di Balakong, Selangor mengelilingi Semenanjung dan kembali semula ke Kuala Lumpur enam hari kemudian.

Perjalanan ini akan turut melibatkan kunjungan ke lokasi pengedar Isuzu di Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Kelantan, Kedah dan Perak.

Kenichi Kudo, Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia berkata, “Kami percaya bahawa Isuzu D-MAX baharu dengan enjin 2.2 liter ini mempunyai kualiti dan kemampuan untuk mengharungi cabaran yang mencabar begini.

Duta jenama Isuzu, Baki Zainal akan mengemas kini perjalanan D-Max 2.2L di lokasi pengedar utama yang bakal disinggahi.

Peminat juga boleh berinteraksi dengan Baki dan kru yang terlibat, menikmati hadiah istimewa dan jamuan ringan di setiap lokasi yang dikunjungi.

Selain itu, rakyat Malaysia boleh meneka jarak perjalanan yang mampu dicapai oleh D-Max apabila ia kembali semula ke Kuala Lumpur pada Sabtu.

Hadiah utama berupa baucar beli-belah bernilai RM5,000 menanti mereka yang berjaya meneka jarak tempuh paling hampir dengan bacaan akhir.

Maklumat lanjut boleh didapati menerusi laman web ini:

https://pickuptruck.isuzu.net.my/d-max-onetank-onenation-2026/

GWM Ora 5 HEV dipertontonkan di Malaysia, pelancaran tahun ini

Setelah debut di KLIMS 2026, GWM Malaysia sekali lagi mempertontonkan crossover baharu Ora 5 HEV yang bakal dilancarkan kelak.

Buat masa ini, tiada sebarang tarikh serta harga jualan anggaran didedahkan.

Sistem pacuan Hi2

Berbeza dengan Ora Good Cat EV, Ora 5 HEV dipacu oleh sistem Hi2 terdiri daripada:

  • enjin 1.5 liter turbo
  • motor elektrik
  • transmisi DHT dua-kelajuan
  • pek bateri 1.09 kWh

Kuasa keseluruhan 223 PS dan 476 Nm dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.7 saat.

Kadar penggunaan bahan api pula serendah 4.4 liter/100 km, membolehkan kereta ini dipandu melebihi 1,100 km untuk setangki minyak penuh.

Dimensi

Crossover ini membawakan ukuran sepanjang 4,471 mm, lebar 1,833 mm, tinggi 1,641 mm dengan jarak antara roda 2,720 mm.

Berbanding Ora Good Cat, Ora 5 HEV ini mempunyai kelebihan 236 mm panjang, 58 mm lebih lebar, 45 mm lebih tinggi dan jarak antara roda 70 mm lebih panjang.

Biarpun dengan ukuran lebih besar, ruang kargo Ora 5 HEV hanyalah sebesar 272 liter sahaja.

Kelengkapan

Buat masa ini, pihak GWM Malaysia belum mendedahkan perincian spesifikasi bagi Ora 5 HEV.

Daripada unit pameran ini, kita dapat melihat ia membawakan elemen rekaan yang hampir sama dengan Ora Good Cat.

Selain itu, ia dilengkapi dengan rim aloi bersaiz 18 inci yang dibaluti tayar Prinx XNEX Sport EV.

Tetapan suspensi terdiri daripada topang MacPherson di depan, diikuti tetapan multilink di belakang.

Ciri lain termasuklah lampu LED, lampu nyalaan siang, lampu belakang LED, serta padanan rel bumbung.

Ruang kabin pula menempatkan ciri seperti:

  • roda stereng dua jejari
  • skrin kluster digital 10.25 inci
  • skrin infohibur 14.6 inci
  • sokongan Apple CarPlay dan Android Auto
  • slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar 50W
  • upholsteri leatherette
  • port pengecasan USB Type-A dan Type-C
  • bumbung kaca panorama

BYD Sealion 7 Premium lulus cabaran pandu 500 km tanpa cas bateri – pandu uji

BYD Sealion 7 Premium mampu bergerak sejauh 650 km mengikut data NEDC, terima kasih kepada sistem senibina elektrik yang telah dinaik taraf kepada 800V.

Berdasarkan data tersebut, kami diberikan misi untuk memandu sejauh lebih 500 km tanpa sebarang pengecasan dibuat.

Untuk mengelakkan sebarang penipuan, port pengecasan bagi setiap kereta telah ditampalkan pelekat.

Berikut merupakan ringkasan perjalanan kami:

Hari Pertama

  • Ara Damansara menuju ke Gambang
  • singgah di Mentakab dan perlu menggunakan jalan lama

Hari Kedua

  • Gambang ke Ara Damansara
  • perlu menggunakan lebuh raya dan singgah di Ayu Awana Genting Highlands

Hari Pertama

Kami bertolak dari BYD Ara Damansara dengan SoC bateri 99% dan jarak pemanduan sekitar 649 km.

Setelah menempuh beberapa lebuh raya yang sarat dengan trafik pagi, Sealion 7 Premium warna Ultraviolet kami akhirnya berjaya melepasi plaza tol Gombak.

Dari situ, kami masih lagi mengekalkan corak pemanduan yang malar biarpun berdepan dengan laluan yang lebih curam, kerja pembaikan jalan dan lori treler bergerak lebih perlahan.

Selepas plaza tol Karak, kami keluar dari lebuh raya untuk menggunakan laluan persekutuan untuk menuju ke tempat hentian pertama – Mentakab.

Berbeza dengan lebuh raya, jalan lama dirasakan lebih mencabar dengan kawasan berbukit, selekoh tajam dan keadaan jalan yang tidak rata.

Bagi penulis yang terbiasa dengan stereng berat, pengendalian Sealion 7 dirasakan ringan dan mudah untuk dikendalikan oleh kebanyakan pengguna.

Selain itu, sistem suspensi BYD Sealion 7 ini bekerja dengan baik untuk menyerap segala hentakan dan kekasaran dari jalan.

Cuma penumpang di bahagian belakang mungkin duduk dalam keadaan yang tidak senang disebabkan suspensi yang melantun bila bertembung jalan yang tidak rata.

Kami tiba di lokasi makan tengah hari di Mentakab dengan SoC bateri 79% dan jarak sekitar 517 km.

Setelah puas melantak, kami kemudian bergerak ke arah Gambang.

Biarpun keadaan cuaca yang agak panas, ruang kabin masih lagi kekal selesa.

Ini kerana wujudnya corong pendingin hawa untuk setiap baris, dan lebih penting setiap corong boleh dilaras secara manual tanpa perlu mengusik skrin tengah.

Tempat duduk belakang juga ruang kepala dan kaki yang besar, ditambah dengan struktur lantai yang rata.

Setelah sejam lebih pemanduan, kami akhirnya tiba di destinasi bermalam dengan SoC bateri 62% dan jarak sekitar 404 km.

Berdasarkan pemanduan hari pertama, kami berjaya mendapatkan catatan penggunaan tenaga 13.9 kWh untuk setiap 100 km.

Hari Kedua

Kami memulakan perjalanan hari kedua dalam keadaan cuaca yang agak mendung dan hujan sekali sekala.

Dengan bateri sekitar 60% dan jarak tersisa 390 km, kami memandu Sealion 7 dengan menggunakan lebuh raya.

Demi keselamatan, kami mengekalkan kelajuan pemanduan sekitar 70-90 km/j.

Tidak seperti pemanduan semalam, pemanduan berterusan di lebuh raya sebenarnya memberikan kesan kepada penggunaan tenaga yang lebih tinggi (14.8 kWh/100 km).

Saat kami melepasi plaza tol Bentong, perasaan kebimbangan jarak mula menerjah minda.

Ini kerana kami perlu menempuh laluan yang lebih curam dan ekstrem berbanding seksyen Gambang ke Bentong yang jauh lebih landai.

Hasil pemanduan mendaki, kadar penggunaan tenaga Sealion 7 meningkat kepada 26.1 kWh/100 km.

Setibanya di Ayu Awana, kami mendapati SoC bateri turun kepada 21% dan jarak pemanduan 138 km.

Saat menuruni laluan tersebut, kami terus mengaktifkan tetapan brek regeneratif yang lebih kuat untuk memaksimumkan pemulihan tenaga.

Hasilnya, kami perasan SoC bateri naik 2% dengan baki jarak meningkat kepada 150 km ketika menghampiri plaza tol Gombak.

Tidaklah terlalu tinggi untuk sebuah EV dengan kapasiti bateri yang agak besar, namun cukup untuk membuatkan kami menarik nafas lega.

Alhamdulillah, kami berjaya menghabiskan perjalanan sejauh 509 km dengan SoC bateri tinggal 19% dan baki jarak 120 km.

Secara teorinya, ya anda memang boleh mencapai jarak pemanduan yang dipaparkan pada sistem komputer.

Dengan syarat, ia perlulah dibuat dengan teknik pemanduan yang betul dan kaki kanan perlulah ringan seperti memijak kapas.

Adakah berbaloi beli Sealion 7?

Ini merupakan salah satu calon SUV keluarga yang sesuai dengan saiz yang besar dan selesa, dan harga cuma RM188,800 sahaja.

Sealion 7 juga hadir dengan senibina elektrik 800V, bermakna kadar penggunaan tenaga yang lebih cekap.

Malah, pengecasan DC juga kini lebih pantas (230 kW) membolehkan pengecasan 10-80% dalam masa 24 minit.

Antara perkara yang digemari penulis ialah susun atur ruang kokpit yang masih mengekalkan sebahagian besar butang fungsi fizikal.

Antaranya ialah mod pemanduan, tuil penukaran gear, larasan audio, serta butang pandu mula macam kereta ICE.

Mahukan alternatif?

Jika pengecasan pantas bukan satu keutamaan tetapi jarak yang lebih penting, anda masih boleh mendapatkan Sealion 7 Premium versi terdahulu di kedai kereta terpakai.

Usah risau kerana penampilan antara kedua-dua Sealion 7 Premium ini tidak banyak berubah secara visual.

Prestasi masih sama, 308 hp, 380 Nm, pacuan roda belakang, namun ia hadir dengan senibina 400V dan pek bateri 82.56 kWh.

Jarak pandu adalah sejauh 567 km, dengan pengecasan pantas DC sehingga 150 kW (10-80% dalam 31 minit).

Ciri-ciri masih lagi sama seperti:

  • frunk 58 liter
  • ruang kargo 500 liter/1,769 liter
  • skrin kluster digital 10.25 inci
  • skrin tengah 15.6 inci
  • skrin paparan head-up realiti terimbuh 50 inci
  • upholsteri kulit
  • sokongan Apple CarPlay/Android Auto
  • slot pengecasan tanpa wayar 50W
  • sistem audio Dynaudio dengan 12-pembesar suara

Ciri keselamatan juga sama seperti model sedia ada.

BYD Sealion 7 Premium (versi 800V)

 

BYD Sealion 7 Premium (versi 400V)

 

Kymco Xciting VS 400 2026 rasmi dilancarkan di Malaysia, harga dari RM27,988

Syarikat Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) secara rasmi melancarkan skuter terbaharu Kymco Xciting VS 400 2026 untuk pasaran tempatan.

Terdapat dua warna ditawarkan, iaitu Flat Black dan Cerulean Blue, dengan harga jualan bermula dari RM27,988.

Spesifikasi

Skuter maxi sport touring ini dipacu oleh enjin silinder tunggal 400 cc sejukan cecair menghasilkan kuasa 33.4 hp @ 7,250 rpm dan daya kilas 37.5 Nm @ 5,750 rpm.

Transmisi pula adalah jenis automatik CVT.

Tetapan suspensi terdiri daripada fork teleskopik di depan, dibantu dengan penyerap hentak berkembar di belakang dengan larasan pra-beban sebanyak 5-tahap.

Antara ciri lain yang dimuatkan termasuklah:

  • lampu utama LED
  • skrin penghadang angin larasan 5-tahap
  • sistem operasi tanpa kunci
  • ruang storan bawah pelana 29 liter
  • tinggi pelana 805 mm
  • tangki bahan api 12.5 liter
  • skrin paparan digital LED

Ciri keselamatan pula terdiri daripada ABS dua-saluran dan sistem kawalan cengkaman.

Festival MotorManiac 2026 bakal berlangsung September ini

Festival MotorManiac kembali untuk edisi kelima tahun ini bertempat di Pusat Beli-belah MyTOWN, Kuala Lumpur.

Berlangsung pada 5 dan 6 September 2026, festival dua hari ini mengetengahkan budaya automotif, sukan permotoran dan hiburan secara langsung.

Antaranya tarikan menarik termasuklah:

  • pameran kenderaan ubah suai
  • persembahan langsung oleh DJ dan artis undangan
  • Astra Cup 2-Step Championship dan

Pengunjung juga berpeluang untuk mendapatkan hadiah cabutan bertuah berupa sebuah Nissan Cefiro A31.

Tiket masuk kini boleh didapati menerusi kedai rasmi Motormaniac di LazMall, di mana Lazada Malaysia merupakan salah satu penaja utama festival ini.

Harga tiket adalah seperti berikut:

  • Pas satu hari: RM30
  • Pas dua hari: RM50, sah untuk kemasukan pada kedua-dua hari
  • Kemasukan percuma: Kanak-kanak yang berumur kurang daripada 12 tahun dan orang kurang upaya (OKU)

Pembelian tiket hanya boleh dibuat menerusi aplikasi Lazada pada telefon mudah alih, dan tiada bayaran balik akan diberikan bagi tiket yang telah dibeli.

 

Mercedes-Benz CLA 250+ 2026 rasmi di Malaysia, harga dari RM275 ribu

Setelah dipertontonkan awal tahun yang lalu, Mercedes-Benz Malaysia akhirnya rasmi melancarkan sedan CLA 250+ 2026.

Sedan elektrik serba baharu ini dijual pada harga dari RM274,888 atas jalan tanpa insurans.

100 orang pelanggan pertama yang menempah CLA atau GLC elektrik baharu akan menerima jemputan eksklusif ke Mercedes-AMG F1 Party.

Unit pacuan

CLA 250+ hadir dengan tetapan motor elektrik tunggal pacuan belakang, menghasilkan kuasa 272 hp dan daya kilas 335 Nm.

Dengan padanan transmisi automatik 2-kelajuan, CLA 250+ boleh memecut sepantas 6.7 saat dari 0-100 km/j dan mencapai kelajuan tertinggi 210 km/j.

Bateri & pengecasan

Dengan bateri NMC 85 kWh, CLA 250+ mampu bergerak sejauh 792 km untuk sekali cas penuh (data WLTP).

Dengan senibina elektrik 800-voltan dan keupayaan pengecasan DC 320 kW, pemilik CLA boleh menambah jarak sehingga 325 km dalam masa 10 minit sahaja.

Dimensi

Sebagai sebuah sedan kompak, CLA membawakan ukuran sepanjang 4,723 mm, lebar 1,855 mm, tinggi 1,468 mm dan jarak antara roda sepanjang 2,790 mm.

Berbanding generasi terdahulu, CLA baharu ini lebih panjang 35 mm, lebih lebar 25 mm, dan menawarkan ruang kabin yang lebih luas.

Buat pertama kalinya sebuah Mercedes menawarkan ruang kargo hadapan (frunk) sebesar 101 liter sebagai pelengkap kepada ruang kargo belakang 405 liter.

Luaran

Daripada segi rekaan luaran, penampilan CLA tampak sporti disumbangkan oleh ciri seperti jarak overhang yang pendek, rekaan belakang GT serta jarak antara roda yang panjang.

Bahagian depan mempunyai panel jeriji yang dihiasi dengan 142 LED bintang tiga bucu yang bercahaya.

Elemen bintang Mercedes itu juga boleh didapati pada unit lampu utama depan dan belakang.

Tidak ketinggalan, kemasan luaran AMG Line yang membawakan bampar depan dan belakang yang agresif, diikuti rim AMG 19 inci.

Kabin

Ruang kabin CLA pula dihiasi dengan skrin paparan lebar MBUX Superscreen yang terdiri daripada skrin kluster digital 10.25 inci dan dua skrin sebesar 14 inci.

Terdapat sokongan terhadap Apple CarPlay dan Android Auto disertakan.

Sistem operasi MB.OS turut menawarkan ciri kepintaran buatan (AI) yang menggunakan sokongan ChatGTP dan Microsoft Bing, serta Google Gemini untuk persoalan berkaitan sistem navigasi.

Ciri lain termasuklah:

  • roda stereng sport balutan kulit Nappa
  • tempat duduk sports AMG Line balutan kulit Artico/mikrofiber Microcut
  • sistem pencahayaan ambien
  • trim Anthracite
  • kamera swafoto dan video

Keselamatan

Ciri keselamatan terdiri daripada lapan beg udara (termasuklah beg udara tengah), sistem pemantauan tekanan tayar, serta kelengkapan MB.Drive Standard yang merangkumi fungsi seperti:

  • brek kecemasan autonomi
  • kawalan jelajah adaptif Distronic
  • bantuan pengekalan lorong
  • sistem pemantauan titik buta

MB.Charge Public

MBM turut mengumumkan kemudahan pengecasan MB.Charge Public merentasi sempadan Malaysia dan Singapura.

Ia menawarkan pemilik akses kepada 10,000 titik pengecasan yang disediakan oleh penyedia titik pengecasan (CPO) termasuklah:

  • CarputZap
  • Charge+
  • ChargeSini
  • chargEV
  • DC Handal
  • Gentari
  • JomCharge
  • ComfortDelGro Energy (Singapura)
  • SP Group (Singapura)
  • Volt (Singapura)

Volvo Car Malaysia sebagai Rakan Selamat AJL40

Volvo Car Malaysia mengumumkan kerjasama dengan TV3 untuk Anugerah Juara Lagu (AJL) edisi ke-40.

Sebagai rakan pengangkutan rasmi atau ‘Rakan Selamat’, Volvo membawakan falsafah keselamatan dan ketenangan fikirannya ke pentas muzik terbesar negara.

Taja pergerakan artis popular

Volvo sebelum ini menaja pergerakan artis sepanjang siri jelajah promosi AJL40 di seluruh negara sekitar Julai dan Ogos lalu.

Menjelang malam kemuncak, barisan kenderaan premium Volvo termasuk sedan ES90, SUV XC90 dan XC60 serta SUV elektrik EC40 dan EX30 bakal mengiringi barisan hebat 10 finalis utama.

Kerjasama bersejarah bersama AJL40 ini membuka ruang bermakna untuk Volvo mendekatkan visi kemanusiaan ke hati seluruh rakyat Malaysia.

Ia juga merupakan susulan kepada kempen bertema Selamat yang dilancarkan sejak awal Januari lalu.

Selain itu, Volvo Car Malaysia turut memperkenalkan inisiatif Kalkulator Selamat yang dibangunkan hasil kerjasama dengan Mr Money TV.

Volvo sebagai Rakan Selamat

Patricia Yaw, Pengarah Jualan dan Pemasaran Volvo Car Malaysia berkongsi: “Falsafah Selamat kami bermaksud melindungi apa yang paling berharga dan menyediakan ruang yang menenangkan minda.

“Sebagai ‘Rakan Selamat‘, kami mahu menghadiahkan bakat-bakat terbaik Malaysia ini satu momen keyakinan yang tenang dan bersahaja di dalam kenderaan kami.

“Pada masa sama, kolaborasi ini memberi peluang kepada kami untuk mengalu-alukan lebih ramai keluarga merasai sendiri kemewahan dan keselamatan tanpa kompromi yang menjadi identiti Volvo.”

Nini Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios mengalu-alukan kesudian Volvo untuk bekerjasama dengan AJL40.

“Kehadiran jenama seperti Volvo yang sentiasa memperjuangkan nilai keselamatan dan kekeluargaan sejajar dengan visi kami, sekali gus menyuntik nilai yang sangat besar pada sambutan bersejarah ini,” jelasnya lagi.

Inokom bangunkan kemudahan pengecatan baharu bernilai RM300 juta

Inokom Corporation Sdn Bhd melancarkan kemudahan pengecatan baharu (Paint Shop 3 atau PS3) di kilang Kulim.

Dengan nilai kira-kira RM300 juta, PS3 merupakan antara pelaburan pemasangan automotif terbesar Sime Darby Berhad setakat ini.

Pelaburan ini bertujuan meletakkan Inokom sebagai rakan pemasangan pilihan bagi ekosistem automotif tempatan dan serantau, selain mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan daya saing.

Pembangunan PS3 turut mendapat kerjasama rapat daripada pasukan sokongan teknikal Mazda yang menyediakan pemindahan pengetahuan, latihan dan bimbingan teknikal.

Tingkat kapasiti pengeluaran

Kemudahan ini direka untuk menyokong pengeluaran sehingga 50,000 badan kenderaan bercat setahun berdasarkan operasi dua syif dan kadar 15 unit sejam.

Selain itu, ia juga mempunyai keupayaan mengecat komponen plastik.

Dengan penambahan PS3, jumlah kapasiti gabungan kemudahan pengecatan Inokom kini meningkat kepada 100,000 unit setahun.

Kemudahan ini turut menyokong pelbagai model kenderaan dan fleksibiliti untuk meningkatkan jumlah pengeluaran serta memenuhi keperluan masa depan.

Keupayaan automasi

Antara kelengkapan yang wujud pada fasiliti PS3 ini termasuklah:

  • 32 robot pengecat dan pengedap
  • sistem penukaran warna Cartridge Bell (CBS) automatik
  • sistem pra-rawatan dan elektro-pemendapan (PTED) automatik
  • sistem penghantaran bersepadu

Sistem CBS mampu melakukan penukaran warna dalam tempoh masa kurang 10 saat dan menyokong sehingga 27 variasi warna, bertujuan untuk mengurangkan masa henti operasi dan mengurangkan pembaziran.

PS3 turut mengguna pakai proses pengecatan tiga lapisan satu pembakaran (three-coat, one-bake) yang lebih cekap tenaga dan mampu memendekkan masa tanpa menjejaskan kualiti.

Dari segi kelestarian alam sekitar, PS3 menggunakan pendekatan berikut:

  • sistem Regenerative Thermal Oxidiser (RTO) yang mampu mengurangkan pelepasan CO2 sehingga 60%
  • sistem penapisan dry scrubber untuk mengurangkan keperluan penggunaan air dalam operasi bilik semburan cat
  • penggunaan cat berasaskan air yang lebih mesra alam

BMW Malaysia & UM dirikan stesen pengecasan peranti pintar guna bateri EV terpakai

BMW Group Malaysia dan University Malaya (UM) mendirikan stesen pengecasan telefon pintar berkuasa solar menggunakan bateri EV terpakai.

Ini merupakan aplikasi dunia sebenar pertama disiapkan di bawah inisiatif penyelidikan RE:GENERATE x University Malaya.

Reka bentuk projek ini dihasilkan oleh Profesor Madya Dr. Tan Chia Kwang bersama pasukan penyelidik dan pelajar PhD beliau di UM Power Energy Dedicated Advanced Centre (UMPEDAC).

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang perlu anda tahu:

Komponen sistem

Ia terdiri daripada pek bateri EV dan panel solar yang digunakan semula (hayat kedua), disokong oleh:

  • pengawal pengecas solar
  • penyongsang fotovoltaik
  • sistem pengurusan bateri (BMS)
  • pengecas pantas USB

Penyimpanan tenaga

Sistem 1.5 kWh ini terdiri daripada tiga modul bateri BMW, setiap satu berusia kira-kira 10 tahun.

Pasukan Dr. Tan melakukan ujian penilaian dan pengubahsuaian dengan teliti bagi memulihkan 30-40% daripada kapasiti asal bateri.

Port pengecasan

Stesen ini mempunyai empat port pengecasan, terdiri daripada tiga port USB Type-C dan satu port Lightning.

Gabungan output ialah 200W, dengan maksimum 100W bagi setiap satu port.

Jangka hayat

Sistem ini dijangka kekal beroperasi sekurang-kurangnya lima tahun, mengambil kira perkara berikut:

  • keadaan semasa bateri
  • jangkaan penggunaan dan nyahcas
  • corak penggunaan sebenar

Untuk makluman, stesen pengecasan ini menggunakan pek bateri EV berkapasiti rendah yang sesuai untuk keperluan pengecasan yang lebih ringan.

Sementara pek bateri berkapasiti lebih besar pula lebih sesuai digunakan untuk pemasangan akses elektrik luar grid, seperti di Pos Sinderut, Kuala Lipis, Pahang.

Setelah bateri tersebut tamat hayat keduanya, pasukan Dr. Tan merancang untuk menggunakan semula bateri tersebut dalam projek stesen pengecasan telefon pintar hayat ketiga.

Ia bagi melengkapkan kitaran hayat bateri tiga peringkat sepenuhnya, daripada EV kepada kediaman luar bandar dan seterusnya kepada pengecas awam.

 

Volkswagen Tayron R-Line 2026 rasmi di Malaysia, harga dari RM237,490

Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) mengumumkan harga jualan rasmi bagi SUV VW Tayron R-Line 2026, bermula dari RM237,490.

Dengan Pakej Jaminan Volkswagen (VAP) merangkumi penyelenggaraan percuma serta bantuan tepi jalan 5-tahun, harganya ialah RM250,074.

Spesifikasi

Tayron R-Line dipacu enjin 2.0 liter TSI berkuasa 265 PS dan 400 Nm, dipadankan dengan transmisi DSG 7-kelajuan dan sistem pacuan semua roda 4MOTION.

Selain itu, ia turut hadir dengan sistem kawalan casis dinamik (DCC Pro) yang mampu melaras suspensi secara automatik mengikut perubahan keadaan jalan.

Kelengkapan

SUV ini membawakan imej R-Line yang lebih sporti, dimulakan dengan bampar depan, belakang, serta profil sisi yang menampilkan rim 20 inci.

Selain itu, terdapat juga lampu utama IQ.Light HD Matrix, logo Volkswagen bercahaya, serta lampu belakang 3D LED dengan lampu isyarat membelok dinamik.

Tempat duduk hadapan hadir dengan upholsteri kulit Varenna ergoActive Plus serta fungsi berikut:

  • larasan kuasa 12-tahap
  • pemanas
  • pengudaraan
  • urutan penumatik

Antara kelengkapan lain dalam ruang kabin termasuklah:

  • skrin Digital Cockpit Pro 10.25 inci
  • skrin infohibur Discover Pro Max 15 inci
  • sokongan Apple CarPlay/Android Auto tanpa wayar
  • bantuan suara IDA Volkswagen
  • skrin paparan head-up
  • sistem audio Harman Kardon 700W dengan 10+1 pembesar suara
  • tempat duduk baris kedua nisbah 40:20:40
  • tempat duduk baris ketiga nisbah 50:50
  • ruang kargo sebesar 1,905 liter

Keselamatan

Tayron R-Line membawakan ciri keselamatan standard seperti sembilan beg udara, serta sistem bantuan IQ.Drive dengan ciri seperti:

  • kawalan jelajah adaptif (ACC)
  • bantuan sisi penukaran lorong
  • amaran lintasan trafik belakang
  • amaran keluar
  • Park Assist Plus dengan Park Distance Control
  • Sistem Pemantauan Tumpuan Pemandu

Tesla Supercharger V4 kini dibuka di Queensbay Mall, Pulau Pinang

Tesla Malaysia mengumumkan pembukaan stesen pengecasan Tesla Supercharger V4 terbaharu di Queensbay Mall, Pulau Pinang.

Terdapat empat nozel pengecas dengan keupayaan pengecasan pantas DC sehingga 250 kW, membolehkan Model 3 dan Model Y menambah jarak 311 km dalam masa 15 minit.

Ia turut menyokong fungsi Plug & Charge menerusi aplikasi Tesla.

Sehingga kini, Tesla mengoperasikan 20 stesen Supercharger (88 pengecas Supercharger) dan 18 lokasi pengecas destinasi (76 pengecas) di seluruh Malaysia.

Promosi Merdeka

Bersempena sambutan Hari Kemerdekaan, Tesla Malaysia menawarkan pakej pengecas dinding percuma atau kredit Supercharger sehingga 3,000 km untuk tempoh terhad.

Untuk makluman, Tesla Model 3 dijual pada harga dari RM149,000 sementara Model Y pula dari RM198,000.

Pelanggan Model Y (khas untuk varian Premium RWD) juga boleh menikmati insentif tambahan berupa:

  • rebat tukar-beli RM13,000
  • program faedah pembiayaan serendah 0.88%

Program Refer & Earn

Tesla Model Y juga kini dimasukkan ke dalam program rujukan Tesla Refer and Earn.

Pemilik Tesla boleh berkongsi pautan rujukan dengan rakan-rakan dan ahli keluarga untuk menikmati manfaat eksklusif seperti kredit pengecasan, naik taraf perisian dan banyak lagi.

10 orang terawal yang menempah Tesla baharu menggunakan pautan rujukan tersebut akan menerima rebat RM1,000, sementara pemilik Tesla akan menerima kredit RM500 untuk setiap rujukan yang berjaya.

Kia Sales Malaysia rasmi buka pusat 3S di Kuching

Kia Sales Malaysia mengukuhkan komitmen terhadap rantau Malaysia Timur dengan pembukaan rasmi pusat 3S Kia di Kuching, Sarawak.

Pusat 3S ini dikendalikan oleh Heng Lian Enterprise Berhad.

Kemudahan

Terletak di kawasan strategik, fasiliti baharu ini memiliki keluasan binaan 4,796 kaki persegi.

Antara kemudahan yang tersedia termasuklah ruang pameran dengan kapasiti tiga kenderaan, ruang istirahat pelanggan, sambungan Wi-Fi percuma, serta makanan dan minuman ringan.

Pusat servis pula mempunyai perkakasan diagnostik terbaharu Kia, serta dua ruang kerja dengan keupayaan mengendalikan sehingga 260 kenderaan setiap bulan.

Pusat 3S Kia Kuching Heng Lian Enterprise Bhd terletak di Lot 106 & 107, Jalan Abell, 93100 Kuching, Sarawak.

Waktu operasi:

  • Bilik pameran – 8.30 AM hingga 5.30 PM (setiap hari), 10.00 AM hingga 3.00 PM (cuti umum)
  • Pusat servis – 8.30 AM hingga 5.30 PM (hari biasa), 8.30 AM hingga 5.30 PM (sabtu)

Heng Lian Enterprise Bhd ditubuhkan pada tahun 1984 dan berpengalaman mengendalikan kenderaan penumpang baharu, motosikal baharu dan terpakai, kenderaan komersial terpakai dan pembiayaan sewa beli.

Kukuh strategi di Malaysia Timur

Pembukaan pusat 3S Kia Kuching ini merupakan sebahagian daripada strategi KSM dalam meningkatkan capaian dan mengukuhkan sokongan pelanggan di Malaysia Timur.

Setakat ini, KSM mengendalikan 26 pengedar di serata Malaysia.

Zeekr 7X Black Nova kini di Malaysia, 200 unit, harga dari RM235k

Zeekr Intelligent Technology Malaysia baru-baru ini memperkenalkan model edisi terhad Zeekr 7X Black Nova untuk pasaran Malaysia.

Ditawarkan kepada 200 unit, setiap satu dijual pada harga bermula dari RM235,000.

Spesifikasi 7X Black Nova

Edisi Black Nova ini menggunakan asas daripada Zeekr 7X varian AWD Performance.

Buat pertama kalinya di Malaysia, Zeekr 7X ditawarkan dengan kemasan dalaman dua tona hitam dan kelabu, diikuti kemasan luaran hitam sepenuhnya dan rim aloi hitam 20 inci.

SUV ini dipacu oleh dua motor elektrik berkuasa 646 PS, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.8 saat.

Senibina elektrik 800V membenarkan pengecasan ultra-pantas dari 10-80% dalam masa 16 minit, dan jarak pandu WLTP sehingga 615 km.

Antara ciri lain yang tersedia termasuklah:

  • Zeekr Stargate Integrated Smart Light Curtain
  • sistem bantuan pemandu termaju
  • suspensi Magic Carpet
  • sistem audio Zeekr Sound Pro
  • pintu automatik tanpa bingkai
  • tempat duduk balutan kulit Nappa
  • fungsi pengudaraan dan urut untuk tempat duduk depan

Setiap pembelian didatangkan jaminan kenderaan sehingga 5-tahun/150,000 km, jaminan bateri dan komponen voltan tinggi sehingga 8 tahun/160,000 km, serta data internet 6GB/bulan percuma selama satu tahun.

Model Zeekr paling popular

Sejak diperkenalkan di Malaysia, Zeekr 7X menjadi antara model yang cukup popular di kalangan barisan model Zeekr Malaysia.

Dalam tempoh satu tahun, sebanyak 3,235 unit Zeekr 7X telah diedarkan menjadikannya SUV elektrik premium paling laris.

 

Tempahan Omoda C7 & C7 PHEV kini dibuka, harga dari RM160k

Omoda | Jaecoo Malaysia mengumumkan pembukaan tempahan bagi model SUV Omoda C7 dan Omoda C7 PHEV serba baharu.

Kedua-dua crossover premium ini bakal dilancarkan dengan tanda harga anggaran seperti berikut:

  • Omoda C7 – RM160,000
  • Omoda C7 PHEV – RM180,000

Spesifikasi Omoda C7 & C7 PHEV

Omoda C7 dipacu oleh enjin petrol 1.6 liter turbo menghasilkan kuasa 197 PS dan 290 Nm yang dipadankan dengan transmisi DCT 7-kelajuan.

Sementara C7 PHEV pula menggandingkan enjin 1.5 liter turbo dengan teknologi Super Hybrid System (SHS).

Dibangun berdasarkan falsafah “Art in Motion”, Omoda C7 membawakan rekaan hadapan hidung jerung yang dipadankan dengan imej yang serba futuristik.

Ruang kabin menampilkan ciri seperti:

  • skrin kluster digital 8.8 inci
  • skrin tengah sebesar 15.6 inci resolusi 2.5K
  • cermin hadapan berkembar (double-glaze)
  • pengecas tanpa wayar 50W dengan fungsi penyejukan

Ruang kargo adalah sebesar 614 liter dan boleh mencapai kapasiti sehingga 1,371 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.

Baca: Spesifikasi Omoda C7 & C7 PHEV

Yamaha XMax 300 Tech Max 2026 rasmi di Malaysia, harga dari RM28,499

Hong Leong Yamaha Motor turut melancarkan skuter XMax 300 Tech Max 2026 untuk pasaran Malaysia.

Hadir dengan warna Crystal Graphite, model ini dijual pada harga RM28,499 (atas jalan tidak termasuk insurans dan pendaftaran).

Spesifikasi XMax 300 Tech Max

Skuter XMax 300 ini dipacu enjin Blue Core silinder tunggal 292 cc sejukan cecair berkuasa 27.6 hp @ 7,250 rpm dan daya kilas 28.9 Nm @ 5,750 rpm.

Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi automatik CVT.

Sebagai perbandingan, XMax 250 dikuasakan enjin 250 cc menghasilkan 22.5 hp @ 7,000 rpm dan 24.3 Nm @ 5,500 rpm.

Suspensi terdiri daripada fork teleskopik hadapan, diikuti penyerap hentak berkembar di belakang.

Sama seperti XMax 250, XMax 300 turut mendapat ciri seperti:

  • skrin paparan TFT 4.2 inci
  • sokongan aplikasi Yamaha Y-Connect
  • sokongan navigasi Garmin
  • sistem kunci pintar
  • tangki bahan api 13 liter
  • tinggi pelana 795 mm
  • rim 15 inci depan/14 inci belakang

Ciri keselamatan pula termasuklah:

  • kawalan cengkaman (TCS)
  • sistem brek ABS dua-saluran
  • isyarat berhenti kecemasan (ESS)

Yamaha XSR155 2026 rasmi dilancarkan di Malaysia, harga dari RM12,998

Setelah tujuh tahun diperkenalkan di peringkat global, motosikal naked neo-retro Yamaha XSR155 akhirnya rasmi memasuki pasaran Malaysia.

Terdapat tiga warna menarik ditawarkan, iaitu Malar Hijau, Perak Klasik dan Royale Hitam, setiap satu berharga RM12,998.

Spesifikasi XSR155

Jentera ini dipacu enjin silinder tunggal 155 cc sejukan cecair dengan kuasa 18.6 hp @ 10,000 rpm dan daya kilas 14.4 Nm @ 8,500 rpm.

Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi 6-kelajuan, klac Assist & Slipper, serta sistem pacuan akhir jenis rantai.

 

XSR155 menggunakan kerangka Deltabox yang disokong oleh tetapan suspensi fork hadapan jenis terbalik, diikuti penyerap hentak tunggal di belakang.

Ciri lain yang disertakan termasuklah:

  • unit lampu LED
  • rim 17 inci
  • tinggi pelana 810 mm
  • tangki bahan api 10 liter
  • sistem ABS dua-saluran

Yamaha Y16ZR-R 2026 rasmi dilancarkan di Malaysia, harga dari RM10,888

Hong Leong Yamaha Motor melancarkan moped generasi baharu Yamaha Y16ZR 2026 untuk pasaran Malaysia.

Terdapat tiga pilihan warna menarik, iaitu Kouka Grey, Raijin Green dan Yoru Black, dengan harga jualan bermula dari RM10,888.

Spesifikasi Y16ZR-R

Model ini dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 155 cc sejukan cecair menghasilkan kuasa 18.2 hp @ 9,500 rpm dan daya kilas 14.4 Nm @ 8,500 rpm.

Menurut Yamaha, model ini didatangkan dengan beberapa pembaharuan seperti:

  • sproket 48T untuk pecutan lebih responsif
  • sistem kemasukan udara Twin Funnel untuk bunyi yang lebih mengasyikkan ketika pecutan

Y16ZR-R turut menampilkan rekaan panel badan yang lebih sporti, lampu posisi LED diikuti dengan lampu hadapan dan belakang serba baharu.

Skrin paparan LCD masih lagi dikekalkan, namun ia kini hadir dengan Unit Kawalan Komunikasi Ringkas (SCCU) bersama sokongan aplikasi Y-On untuk integrasi telefon pintar.

Ciri lain termasuklah:

  • fork teleskopik hadapan/penyerap hentak tunggan belakang
  • ABS saluran tunggal
  • kawalan cengkaman (TCS)
  • rim 17 inci
  • tangki bahan api 5.4 liter
  • tinggi pelana 795 mm

Edisi terhad Pramac Racing

Turut diperkenalkan Yamaha Y16ZR-R Edisi Terhad Pramac Racing Replica, dengan harga jualan RM13,388.

Unit produksi dihadkan kepada 3,000 unit sahaja untuk satu dunia, setiap model hadir dengan ciri berikut:

  • liveri istimewa Yamaha Prima Pramac MotoGP Team
  • emblem nombor siri unik
  • suspensi belakang Ohlins eksklusif