Semua kiriman oleh Hanif Su'ib

Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.

Jaecoo J5 EV 2026 rasmi di Malaysia – harga dari RM118,800

Omoda | Jaecoo Malaysia secara rasmi melancarkan SUV elektrik Jaecoo J5 EV untuk pasaran tempatan.

Hadir dalam satu varian CKD, Jaecoo J5 EV dijual pada harga RM118,800 (tanpa insurans).

Setiap pembelian disokong jaminan selama 7-tahun/150,000 km serta jaminan bateri voltan tinggi selama 10-tahun/200,000 km.

Pakej Pelancaran

1,000 pelanggan pertama akan menikmati pakej pelancaran bernilai RM10,000, terdiri daripada:

  • Insurans percuma 1-tahun (bernilai RM3,000)
  • Sambungan data percuma 3-tahun (bernilai RM1,000)
  • Pengecas dinding 7kW (bernilai RM3,300)
  • Penyambung V2L (bernilai RM700)
  • Aksesori gaya hidup termasuk subwoofer, set karaoke dan lampu suluh (bernilai RM2,000)

Selain itu, pelanggan juga akan diberikan kredit pengecasan JomCharge tanpa had selama satu tahun.

Unit pacuan

Jaecoo J5 EV dikuasakan oleh motor elektrik tunggal yang memacu roda depan, menghasilkan kuasa 208 hp dan 288 Nm.

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 7.7 saat.

Bateri & pengecasan

Pek bateri Lithium Iron Phosphate (LFP) CATL 58.9 kWh menawarkan jarak pandu sehingga 402 km (data WLTP).

J5 EV turut menyokong pengecasan AC 11 kW (10-100% dalam 7 jam).

Pengecasan pantas DC 130 kW pula membolehkan bateri dicas 30-80% SoC dalam masa 28 minit,

SUV ini turut menyokong fungsi Vehicle-to-Load (V2L) sehingga 3.3 kW.

Kelengkapan

Berbeza dengan Jaecoo J5 versi ICE, versi EV menampilkan reka bentuk yang lebih kemas.

Ia dilengkapi dengan ciri Active Grille Shutter untuk meningkatkan kecekapan aerodinamik, rim 18 inci aerodinamik, serta jarak kelegaan tanah 174 mm.

Ruang kabin pula mendapat ciri seperti:

  • Skrin kluster LCD 8-inci
  • Skrin infohibur 13.2-inci
  • Sokongan Apple CarPlay & Android Auto
  • Bumbung kaca panorama 1.45 meter persegi

Praktikaliti

Ruang kargo adalah sebesar 480 liter dan boleh mencapai kapasiti sehingga 1,284 liter, dibantu dengan ruang frunk tambahan sebesar 35 liter.

Selain penggunaan bahan kemasan mesra haiwan, J5 EV turut menampilkan fungsi Pet Mode dan Camping Mode.

Keselamatan

Secara standard, J5 EV dilengkapi dengan enam beg udara, kamera keliling 540 darjah, serta kelengkapan ADAS Tahap 2+, antaranya ialah:

  • Brek Kecemasan Autonomi (AEB)
  • Kawalan Jelajah Adaptif kelajuan penuh (ACC)
  • Amaran Keluar Lorong (LDW)
  • Bantuan Pengekalan Lorong (LKA)
  • Pengelakan Keluar Lorong (LDP)
  • Bantuan Penukaran Lorong (LCA)
  • Amaran & Brek Lintasan Trafik Belakang (RCTA & RCTB)

Honda WR-V 2026 rasmi di Malaysia: ciri dipertingkat, harga dari RM94,900

Honda Malaysia secara rasmi melancarkan SUV Honda WR-V 2026 dengan ciri yang dipertingkatkan.

Tidak seperti penawaran terdahulu, Honda WR-V kini diringkaskan kepada tiga varian dengan harga jualan seperti berikut:

  • WR-V E – RM94,900
  • WR-V V – RM98,900
  • WR-V RS – RM104,900

Ciri dipertingkatkan

Secara standard, kesemua varian kini hadir dengan rim aloi hitam 17 inci.

Varian RS pula mendapat kemasan jeriji hitam baharu disusuli dengan penawaran warna dua tona Blazing Red Pearl (bumbung hitam).

Ruang kabin kini mendapat rekaan papan pemuka yang dikemas kini, serta tempat duduk balutan kulit yang dihiasi jahitan merah.

Selain itu, terdapat juga skrin paparan Display Audio 10-inci lengkap dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.

Antara ciri lain yang dikekalkan termasuklah:

  • ruang kargo 380 liter
  • tempat duduk belakang nisbah 60:40
  • tiga konfigurasi kargo (Utility Mode/Long Mode/Tall Mode)

Eksklusif untuk varian WR-V RS ialah lampu ambien merah, pengecas peranti tanpa wayar, dan sistem kamera keliling 360°.

Honda SENSING standard

Secara standard, kesemua varian hadir dengan enam beg udara, ciri Honda LaneWatch, kamera undur, serta cagak ISOFIX.

Ciri keselamatan Honda SENSING juga standard untuk ketiga-tiga varian, merangkumi fungsi berikut:

  • Amaran Pelanggaran Depan (FCW)
  • Sistem Brek Mitigasi Pelanggaran (CMBS)
  • Bantuan Pengekalan Lorong (LKA)
  • Amaran Keluar Lorong (LDW)
  • Mitigasi Keluar Jalan (RDM)
  • Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
  • Bantuan Suluhan Tinggi (AHB)
  • Notifikasi Pergerakan Kenderaan Hadapan (LCDN)

Enjin dan transmisi

Honda WR-V dipacu enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC menghasilkan kuasa 121 PS dan 145 Nm.

Kuasa tersebut disalurkan kepada roda depan menerusi transmisi CVT.

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 11 saat dengan kelajuan maksimum 160 km/j.

MODENAS lanjut Program Z15GT Care hingga 31 Oktober

Syarikat Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) mengumumkan lanjutan Program Z15GT Care sehingga 31 Oktober 2026.

Lanjutan selama dua bulan ini dilihat memberi lebih kebebasan kepada pemilik Modenas Z15GT untuk mendapatkan pemeriksaan percuma dan bantuan selepas jualan.

Menurut MODENAS, program ini tersedia di 94 lokasi di seluruh negara, merangkumi:

  • 84 pengedar sah terpilih
  • lima pusat servis MODENAS
  • lima pusat Service Plus

Skop program yang dilanjutkan ini kekal sama, di mana pemilik Z15GT terus menikmati:

  • Pemeriksaan motosikal dan diagnosis percuma oleh juruteknik terlatih
  • Bantuan teknikal, pembaikan dan tuntutan waranti untuk kes yang layak
  • Akses kepada komponen gantian dan alat ganti berkaitan, tertakluk kepada pengesahan teknikal dan ketersediaan

Servis rutin dan item penyelenggaraan di luar skop program masih tertakluk kepada caj perkhidmatan biasa.

Roslan Roskan, Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS berkata, “Kami menghargai kerjasama dan maklum balas daripada pemilik Z15GT serta pengedar sah sepanjang program ini.

“Dapatan yang dikumpul membantu usaha berterusan kami dalam memperkukuh kualiti produk, penyampaian servisdan pengalaman pemilikan keseluruhan,” ujarnya lagi.

Pemilik Z15GT yang masih belum menyertai program ini digalakkan untuk menghubungi pengedar sah terdekat.

Mereka perlu membawa dokumen pendaftaran motosikal serta dokumen waranti atau servis berkaitan bagi melancarkan proses penilaian.

Mitsubishi Triton Single Cab AT 2026 kini rasmi di Malaysia, harga RM107,980

Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) memperkenalkan varian baharu trak pikap Triton Single Cab bertransmisi automatik untuk pasaran tempatan.

Hadir dalam warna eksklusif Solid White, Triton Single Cab AT dijual pada harga RM107,980.

Setiap pembelian hadir dengan jaminan 5-tahun atau had perbatuan 200,000 km.

Untuk tempoh masa terhad, pembeli Triton Single Cab AT bakal menikmati bantuan diesel bernilai RM4,000 bagi membantu mengurangkan kos operasi dan dalam masa yang sama memastikan perniagaan terus maju.

Spesifikasi

Triton Single Cab ini dipacu enjin diesel 2.4 liter turbo menghasilkan 184 PS dan daya kilas 430 Nm.

Enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear automatik.

Dengan dimensi bed kargo 2,340 mm x 1,580 mm x 515 mm, Triton Single Cab menawarkan kapasiti muatan sehingga 1,145 kg yang terbaik dalam kelasnya.

Ia juga turut hadir dengan tayar lebar All-Terrain, kekunci pembeza belakang, serta penderia undur secara standard.

Debut di MAHA 2026

Trak pikap ini akan membuat kemunculan umum di acara Malaysia Agriculture, Horticulture and Agrotourism Exhibition (MAHA) 2026 pada 28 Ogos hingga 6 September di MAEPS Serdang.

Rakyat Malaysia dijemput untuk berkunjung ke reruai MMM untuk melihat dengan lebih dekat varian baharu trak pikap ini.

Suzuki e Sky: kei car elektrik dengan jarak pandu 310 km, bakal dijual di Eropah

Selepas kemunculan BYD Racco, segmen kei car elektrik Jepun terus dimeriahkan dengan kehadiran model baharu, iaitu Suzuki e Sky.

Ia merupakan versi produksi sebenar yang mengekalkan sebahagian besar elemen rekaan yang wujud pada model konsep Vision e-Sky.

Suzuki e Sky akan mula dijual pada musim luruh tahun ini.

Menariknya, ia juga bakal dipasarkan di benua Eropah dan UK pada tahun 2027!

Spesifikasi

Menurut Suzuki, matlamat pembangunan e Sky adalah untuk membantu pemilik beralih daripada ICE kepada EV.

Disebabkan itu, ia mempunyai ukuran dimensi yang tidak lari jauh daripada keperluan segmen kei car semasa.

e Sky berukuran sepanjang 3,395 mm, lebar 1,475 mm, tinggi 1,625 mm dan jarak antara roda sepanjang 2,460 mm.

Menggunakan platform Heartect e, Suzuki e Sky dipacu oleh e-Axle hadapan yang menggabungkan komponen motor, penyongsang dan gear.

Buat masa ini, output kuasa masih belum didedahkan secara rasmi.

Bateri & pengecasan

Kei car elektrik ini dibekalkan dengan pek bateri lithium iron phosphate 26 kWh yang mampu menawarkan jarak pandu sejauh 310 km.

Angka yang cukup impresif ini turut disumbangkan oleh berat keseluruhan e Sky cuma 1,030 kg.

Sebagai perbandingan, BYD Racco dengan pek bateri 35.84 kWh menawarkan kelebihan 10 km berbanding e Sky.

Menggunakan outlet kuasa standard, pengecasan penuh mengambil masa lapan jam atau 4.5 jam menerusi pengecas dinding 6 kW.

Pengecasan pantas DC 50 kW membolehkan bateri mencapai kapasiti 80% dalam masa 25 minit sahaja.

e Sky turut menyokong fungsi Vehicle-to-Home (V2H) dan juga Vehicle-to-Load (V2L) dengan outlet kuasa AC 100v/1500W.

Kelengkapan

Reka bentuk luaran e Sky sememangnya tidak jauh beza berbanding model konsep Vision e-Sky.

Untuk versi produksi sebenar, e Sky diberikan perumah lampu LED yang lebih besar, cermin sisi, jeriji yang lebih ringkas, rim lebih kecil dan pemegang pintu konvensional.

Bampar pula menampilkan bukaan liang udara penyejukan tunggal.

Selain itu, e Sky menampilkan rekaan bumbung terapung, lampu belakang LED yang lebih besar, serta plastik pelindung bampar mengikut warna badan.

Kabin pula menempatkan kelengkapan seperti skrin infohibur 10.1 inci, skrin kluster digital, tombol gear tradisional, serta panel kawalan khusus untuk iklim kabin.

Ciri lain termasuklah dulang praktikal pada papan pemuka sebelah penumpang, pemanas tempat duduk dan roda stereng, serta fungsi pemanas elektrik yang amat berguna semasa musim sejuk.

Pesaing

Selain BYD Racco, Suzuki e Sky bakal memberikan cabaran kepada model kei car elektrik seperti Honda N-One e:, Mitsubishi eK X EV dan juga Nissan Sakura EV.

SDAC-Ford raikan komuniti pemilik sepanjang bulan Merdeka

Sime Darby Auto ConneXion-Ford selaku pengedar tunggal Ford di Malaysia melaksanakan beberapa aktiviti menarik untuk meraikan komuniti pemilik yang semakin berkembang.

Ia adalah susulan pencapaian terkini di mana Auto ConneXion-Ford telah menyerahkan lebih 24,000 unit Ford Ranger di seluruh negara.

Antara aktiviti yang dilaksanakan termasuklah Ford Nation dan Ford Ranger Getaways.

Ford Nation

Acara sulung Ford Nation yang diadakan awal Ogos bertempat di Heritage Valley, Kuala Lumpur.

Acara ini menyediakan pelbagai aktiviti seperti perkongsian kenangan serta persembahan muzik langsung oleh Muzza & the Velvettones dan Joy Victor, disajikan dengan hidangan BBQ dan tempatan.

Selain itu, terdapat acara cabutan bertuah, pertandingan serta penyampaian anugerah Ranger Berpenampilan Paling Bergaya dan Pemilik Ford Paling Lama.

Ford Ranger Getaways

Auto ConneXion-Ford turut mengetengahkan pengalaman ‘Live the Ranger Life’ menerusi program Ford Ranger Getaways.

Menghimpunkan 20 pemilik Ranger, peserta bergerak dalam kumpulan konvoi menuju ke tapak perkhemahan di StarFresh Agro Park, Negeri Sembilan.

Di situ, mereka melalui kursus pemanduan off-road yang dibimbing oleh jurulatih bertauliah, dan berpeluang merasai sendiri ciri bantuan serta kawalan off-road.

Program ini turut menguji semangat kerja berpasukan dan ketepatan menerusi pelbagai cabaran dan permainan interaktif.

Ford Ranger Getaways diadakan setiap suku tahun sejak dilancarkan tahun 2022 terus menjadi antara aktiviti gaya hidup berasaskan pengalaman yang popular.

Pengenalan rangkaian model yang lebih meluas

Auto ConneXion-Ford sebelum ini mengumumkan rangkaian model Ranger dan Everest yang lebih meluas bagi memenuhi pelbagai keperluan gaya hidup.

Pemilik boleh memilih untuk mendapatkan Ford Ranger Sport 2.0L/3.0L atau Ranger Platinum 3.0L.

Terdapat juga pilihan SUV Everest Platinum versi 2.0L dan 3.0L V6 untuk pengalaman pemanduan yang lebih mewah.

Tambah baik proses pemilikan

Auto ConneXion-Ford terus menambah baik proses pemilikan menerusi inisiatif bertumpukan pelanggan dan nilai tambah selepas jualan.

Sebuah gudang alat ganti baharu telah dilancarkan di Kota Kinabalu pada Julai lalu bagi memudahkan pelanggan mendapat alat ganti dan kembali memandu dengan lebih cepat.

Setakat ini, Auto ConneXion-Ford mempunyai 33 wakil penjual di seluruh negara termasuk tujuh wakil penjual dan dua pusat servis khusus di Malaysia Timur.

Promosi beli Ranger

Pembeli model Ranger XL dan Ranger Sport 2.0L akan menerima kamera perakam pemanduan depan, sah sebelum 31 Ogos 2026.

Pembelian Ranger Sport 3.0L dan Ranger Platinum 3.0L pula akan menerima Pelan Servis Lanjutan (ESP) selama dua tahun secara percuma, tertakluk kepada terma dan syarat.

 

 

GWM Tank 500 HEV 2026 kini dilengkapi sokongan aplikasi mudah alih

GWM Malaysia mengumumkan kemas kini untuk model GWM Tank 500 HEV 2026 yang menampilkan ketersambungan kepada telefon pintar.

Menerusi aplikasi pintar GWM, pemilik boleh meningkatkan pengalaman pemilikan menerusi tiga aspek utama, iaitu kawalan kenderaan jarak jauh, pemantauan status kenderaan, serta lokasi dan makluman.

Antara fungsi yang tersedia termasuklah:

Kawalan Jarak Jauh

  • kawalan enjin jarak jauh
  • kawalan pintu jarak jauh
  • penutupan tingkap dan bumbung jarak jauh
  • kawalan penyaman udara & penulenan udara jarak jauh
  • pengudaraan tempat duduk

Pemantauan Kenderaan

  • status enjin
  • pemantauan baki jarak pemanduan
  • pemantauan paras bahan api
  • pemantauan tekanan & suhu tayar
  • status perbatuan
  • status pintu, tingkap & bumbung suria
  • status penyaman udara & penulenan udara
  • status pengudaraan tempat duduk

Lokasi & Makluman

  • pencarian kenderaan
  • lihat lokasi kenderaan
  • pagar maya (geofencing) dan makluman lokasi kenderaan
  • makluman pintu & tingkap terbuka
  • makluman paras bahan api rendah
  • makluman bateri 12V rendah
  • makluman tekanan & suhu tayar
  • kawalan perkongsian kenderaan
  • kawalan lokasi GPS jarak jauh

Spesifikasi asas tidak berubah

GWM Tank 500 HEV dikuasakan oleh enjin 2.0 liter turbo 224 PS/380 Nm yang dipadankan dengan motor elektrik 106 PS/268 Nm.

Kuasa keseluruhan mencecah 346 PS dan 648 Nm yang disalurkan kepada sistem pacuan empat roda menerusi transmisi automatik sembilan-kelajuan.

Pemilik akan terus menikmati pakej jaminan menyeluruh, merangkumi:

  • jaminan seumur hidup bagi enjin, transmisi dan sistem HEV (pemilik persendirian pertama)
  • jaminan bateri bervoltan tinggi 8-tahun/200,000 km
  • jaminan kenderaan 6-tahun tanpa had perbatuan
  • pakej servis percuma 5-tahun

Kempen sempena Hari Merdeka & Hari Malaysia

Bersempena dengan sambutan Hari Merdeka dan Hari Malaysia, GWM Malaysia turut melancarkan kempen terbaharu bermula 1 Ogos hingga 30 September.

Enam pelanggan bertuah berpeluang untuk memenangi pulangan tunai tol sehingga RM1,000.

Syaratnya, mereka perlu menempah kenderaan GWM baharu dan melengkapkan pendaftaran sepanjang tempoh kempen.

Sepanjang bulan Ogos, pelanggan juga boleh menikmati penjimatan sehingga RM30,000 untuk model terpilih.

Setiap pembelian model baharu disertakan dengan pakej servis penyelenggaraan percuma selama 5 tahun.

 

MCE raih kontrak RM54.28 juta bekal komponen audio & ADAS untuk Perodua

MCE Holding Berhad (MCE) meraih kontrak bernilai RM54.28 juta daripada Perodua untuk tempoh 40 bulan.

Sepanjang tempoh tersebut, MCE akan membekalkan pelbagai komponen elektronik dan mekatronik automotif untuk kenderaan berenjin pembakaran dalaman (ICE) termasuklah:

  • sistem paparan audio
  • kamera undur
  • komponen berkaitan sistem ADAS

Projek ini menjadi tugasan pertama MCE untuk kenderaan ICE, selepas sebelum ini terlibat dengan sistem infohibur untuk EV.

Perkukuh usaha lokalisasi

Menurut Datuk Wira Dr. Goh Kar Chun, Pengarah Urusan Kumpulan MCE berkata, “Hubungan jangka panjang kami dengan Perodua membuka peluang untuk MCE berkembang bersama mereka.

“Ini membolehkan kami mengambil projek yang lebih kompleks, membina keupayaan reka bentuk dan pembuatan serta bergerak lebih jauh dalam rantaian nilai automotif.

“Kami komited bekerjasama rapat dengan Perodua bagi memperkukuh usaha lokalisasi komponen elektronik automotif, menyokong aspirasi kerajaan untuk membina ekosistem lebih kompetitif dan menjadikan Malaysia hab serantau bagi kenderaan generasi baharu.”

Pengeluaran bermula 2027

Kontrak berkenaan dianugerahkan kepada anak syarikat milik penuh MCE, Multi-Code Electronics Industries (M) Bhd.

Pengeluaran dijadualkan bermula pada suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Julai 2027.

Operasi pengeluaran akan dijalankan di fasiliti baharu kumpulan, MCE Auto Hub di Serendah, Selangor dengan jumlah pelaburan dianggarkan RM4.95 juta.

BMW Malaysia tambah kuota BMW 218 Gran Coupe M Sport CKD sebanyak 50 unit, harga RM192,800

BMW Malaysia membuka peruntukan kelompok kedua merangkumi 50 unit tambahan bagi model BMW 218 Gran Coupe M Sport 2026.

Model pemasangan tempatan (CKD) ini dijual pada harga RM192,800, atau RM204,800 termasuk pakej BMW Service & Repair Inclusive (BSRI) selama 4-tahun.

Enjin & transmisi

218 Gran Coupe M Sport dikuasakan enjin 3-silinder 1,499 cc dengan kuasa 156 hp dan daya kilas 230 Nm.

Dengan padanan transmisi klac berkembar 7-kelajuan, ia mampu memecut 0-100 km/j dalam 8.6 saat sementara kelajuan maksimum pula sekitar 230 km/j.

Kadar penggunaan bahan api adalah serendah 6.3 liter per 100 km.

Kelengkapan

Secara standard, 218 Gran Coupe M Sport dilengkapi dengan ciri seperti jeriji “Iconic Glow”, lampu LED adaptif, serta kemasan High-Gloss Shadowline.

Tidak ketinggalan, pakej M Sport merangkumi suspensi adaptif M, rim aloi M bersaiz 18 inci, serta peresap belakang M Sport.

Ruang kabin pula mendapat kelengkapan seperti skrin kluster digital 10.25 inci, skrin infohibur 10.7 inci, serta skrin paparan head-up.

Ciri lain termasuklah:

  • sokongan Apple CarPlay dan Android Auto
  • tempat duduk sports untuk pemandu dan penumpang
  • upholsteri Veganza
  • roda stereng kulit M
  • headliner Anthracite M
  • kawalan iklim dua-zon automatik
  • sistem audio Harman Kardon 12-pembesar suara 205W

Ruang kargo adalah sebesar 430 liter.

Benelli Panarea 125 2026 dapat 4 warna baharu, harga dari RM6,988

Benelli Malaysia mengemas kini penawaran skuter popularnya Benelli Panarea 125 2026 dengan memperkenalkan empat warna baharu.

Warna yang dimaksudkan ialah Charcoal Black, Rosa Pink, Modena Silver dan Ivory White.

Benelli Panarea 125 dijual pada harga bermula dari RM6,988 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans).

Spesifikasi

Skuter Benelli ini dipacu enjin silinder tunggal sejukan udara 124 cc menghasilkan 8.44 hp @ 7,500 rpm dan 9.2 Nm @ 6,000 rpm.

Suspensi terdiri daripada fork teleskopik di depan diikuti dengan spring gegelung teleskopik di belakang.

Brek menggunakan gandingan tetapan rotor 190 mm di depan dan brek gelendong 130 mm di belakang.

Antara ciri lain termasuklah:

  • sistem lampu LED
  • paparan meter gandingan analog dan digital
  • tinggi pelana 760 mm
  • ruang storan bawah pelana 12 liter
  • tangki bahan api 4.6 liter

Malaysia Speed Festival 2026 gegar Litar Sepang sepanjang hujung minggu Merdeka

Bersempena sambutan Merdeka ke-69, Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang bakal digegarkan dengan acara tahunan Malaysia Speed Festival Merdeka Endurance.

Sepanjang hujung minggu MSF edisi ke-9 tersebut, peminat boleh menikmati beberapa perlumbaan yang telah disusun terdiri daripada lebih 200 jentera lumba empat roda dan dua roda.

MSF SuperTurismo Merdeka 11 Endurance

MSF Merdeka Endurance bakal menampilkan perlumbaan ketahanan 111 lap, bersamaan jarak sejauh 615 km mengelilingi litar 5.543 km.

Perlumbaan tersebut dibahagikan kepada tujuh kelas:

  • Super Series Limited
  • EXN GT86 x BRZ Racing Cup
  • Super Compatto
  • Standard Production
  • Standard Production MAX
  • Super Production
  • K-Series Battle

Dalam perlumbaan ini, setiap pasukan wajib menurunkan minimum dua pemandu dan melakukan dua hentian pit wajib selama tiga minit.

Dengan tempoh pemanduan bagi setiap pemandu tidak dihadkan, setiap pasukan perlu bergantung kepada strategi pra-perlumbaan yang telah dirancang.

Perlumbaan ini akan bermula pada 30 Ogos jam 5.30 petang dan berakhir sebelum tengah malam sambutan Hari Merdeka ke-69.

MotoMSF & acara perlumbaan lain

Terdapat juga perlumbaan endurans Superbikes 33 lap dengan jarak sejauh hampir 183 km tanpa henti pada hari Ahad.

Perlumbaan Superbikes ini akan turut menampilkan pasukan 2 pelumba dengan hentian pit wajib setiap 8 lap, bermula jam 11.30 pagi hingga 2.00 petang.

Selain itu, perlumbaan lain yang turut tersenarai termasuklah:

Sabtu, 29 Ogos: 

  • dua perlumbaan 5-lap kelas Super Unlimited
  • perlumbaan 8-lap Skilldrvn One Make Race Series

Ahad, 30 Ogos: 

  • perlumbaan 7-lap American V-Twin Cup by Prodigy Racecraft
  • perlumbaan 10-lap Skilldrivn One Make Race Series
  • Merdeka 75 Cup (Saga Cup, Myvi Cup, Campro Cup dan Tuner Production)
Menurut Adian Yein Khalid selaku Prinsipal MSF, “Acara Merdeka Race telah berkembang pesat, dan mampu menganjurkan perlumbaan tahunan 111-lap merupakan satu pencapaian bermakna buat MSF.
“Apa yang menjadikan perlumbaan ini istimewa ialah dapat menghimpunkan pelumba veteran, muka baharu, pasukan yang terkemuka dan berpengalaman di dalam grid yang sama.
“Ia merupakan ujian sebenar tentang kelajuan, konsistensi, strategi dan kerja berpasukan.

Harga tiket

Pas paddock boleh dibeli pada harga RM45 untuk akses dari 10 pagi hingga 11 malam, sementara kanak-kanak bawah 12 tahun boleh masuk secara percuma.

Selain menyaksikan aksi perlumbaan dan memasuki ruang paddock, pengunjung juga boleh menikmati ruang food truck serta membeli barangan bertemakan sukan permotoran.

 

Cycle & Carriage rasmi buka pusat 3S Leapmotor di Johor Bahru

Cycle & Carriage (C&C) meraikan satu lagi pencapaian penting menerusi pembukaan pusat 3S Leapmotor Cycle & Carriage Johor Bahru.

Terletak secara strategik di Kempas, fasiliti baharu ini menjadi cawangan Leapmotor yang keenam di Malaysia.

Kemudahan

Dibina atas tanah seluas 3,783 meter persegi, fasiliti satu tingkat ini mempunyai keluasan binaan 10,000 kaki persegi.

Ia menggabungkan bilik pameran yang boleh memuatkan empat kenderaan, ruang perbincangan pelanggan, serta ruang serahan kenderaan khas.

Tingkat mezanin pula dikhususkan untuk pejabat operasi.

Bahagian selepas jualan pula menampilkan sehingga empat ruang servis, ruang cuci kenderaan serta ruang khas untuk kerja-kerja perincian kenderaan.

Waktu operasi

Bilik pameran dibuka setiap Isnin hingga Sabtu dari jam 8.00 pagi hingga 6.00 petang, sementara hari Ahad dan cuti umum pula dari jam 11.00 pagi hingga 5.00 petang.

Pusat servis pula beroperasi dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang setiap Isnin hingga Jumaat, dari jam 8.00 pagi hingga 12 tengah hari setiap Sabtu dan tutup pada setiap Ahad dan cuti umum.

Adrian Short, CEO Cycle & Carriage Malaysia berkata, “Pembukaan Pusat 3S Leapmotor Johor Bahru ini membuktikan janji kami untuk menyediakan pengalaman pemilikan yang lancar, daripada pembelian hinggalah penjagaan selepas jualan.

Isaac Yeo, Pengarah Urusan Stellantis Malaysia berkata, “Pengembangan ke Kempas, Johor Bahru merupakan langkah besar dalam membawakan pengalaman Leapmotor ke selatan, salah satu kawasan paling dinamik dan pesat berkembang.

“Kami yakin rakyat Johor akan menikmati perjalanan pemilikan yang lancar, menggabungkan inovasi Leapmotor dan kepakaran berteraskan pelanggan Cycle & Carriage,” ujarnya lagi.

Mforce umum kempen panggil semula gantikan lengan ayun Keeway XDV180 Evo

Keeway Malaysia mengumumkan pelaksanaan kempen panggil semula melibatkan model skuter Keeway XDV180 Evo.

Panggilan semula ini bertujuan untuk menggantikan komponen lengan ayun (swingarm) kepada komponen baharu yang dipertingkatkan.

Difahamkan sebanyak 5,000 unit skuter terbabit dalam kempen panggil semula terbaharu ini.

Pemilik Keeway XDV180 Evo boleh membuat semakan status motosikal masing-masing menerusi pautan https://productrecall.mforceservice.my/

Sekiranya tersenarai, pemilik boleh terus berhubung atau berkunjung ke pengedar sah di mana pembelian asal dibuat untuk mengatur jadual temu janji penggantian.

Pihak Mforce turut mengesahkan proses penggantian ini akan dilaksanakan secara percuma termasuklah kos alat ganti baharu dan kos upah.

Porsche Cayenne Electric 2026 rasmi di Malaysia, harga dari RM699,000

Sime Darby Auto Performance (SDAP) hari ini secara rasmi melancarkan SUV elektrik Porsche Cayenne Electric 2026 untuk pasaran Malaysia.

Terdapat dua bentuk badan ditawarkan, iaitu versi standard dan coupe.

Harga jualan adalah seperti berikut:

  • Cayenne Electric – RM699,000
  • Cayenne S Electric – RM759,000
  • Cayenne Turbo Electric – RM969,999
  • Cayenne Coupe Electric – RM749,000
  • Cayenne S Coupe Electric – RM805,000
  • Cayenne Turbo Coupe Electric – RM999,999

Dimensi

Porsche Cayenne Electric membawakan ukuran dimensi sepanjang 4,985 mm, lebar 1,980 mm, tinggi 1,674 mm dan jarak antara roda sepanjang 3,023 mm.

Secara standard, Cayenne Electric menyediakan ruang kargo sebesar 781 liter-1,588 liter, serta ruang frunk sebesar 90 liter.

Sementara Cayenne Coupe pula duduk lebih rendah 24 mm pada ketinggian 1,650 mm, sementara ruang kargo pula bermula dari 534 liter hingga 1,347 liter.

Tiga varian

Terdapat tiga varian ditawarkan, di mana kesemuanya dilengkapi dengan tetapan dua motor elektrik dan sistem pacuan semua roda.

Perinciannya seperti berikut:

Cayenne

  • kuasa 408 PS/835 Nm (422 PS dalam mod launch control)
  • pecutan 0-100 km/j dalam 4.8 saat
  • kelajuan maksimum 230 km/j

Cayenne S

  • kuasa 544 PS/1,080 Nm (666 PS dalam mod launch control)
  • pecutan 0-100 km/j dalam 3.8 saat
  • kelajuan maksimum 250 km/j

Cayenne Turbo

  • kuasa 857 PS/1,500 Nm (1,156 PS dalam mod launch control)
  • pecutan 0-100 km/j dalam 2.5 saat
  • kelajuan maksimum 260 km/j

Pengecasan

Kesemua varian dilengkapi dengan pek bateri 113 kWh, dan seni bina elektrik 800V yang membolehkan pengecasan DC sehingga 400 kW.

Ini bermakna, pengecasan 10-80% SoC boleh dicapai dalam masa bawah 16 minit.

Selain itu, Porsche Cayenne Electric turut menyokong pengecasan induktif (tanpa wayar) sehingga 11 kW.

Cayenne Electric menawarkan jarak pandu WLTP sejauh 652 km sementara versi coupe pula boleh mencapai jarak sehingga 669 km.

Kelengkapan

Secara standard, kesemua varian Cayenne hadir dengan ciri seperti sistem suspensi udara lengkap dengan peredam adaptif Porsche Active Suspension Management (PASM).

Selain itu, terdapat sistem stereng gandar belakang (hingga 5 darjah) serta ciri Porsche Active Ride yang pertama kali muncul pada model ini.

Di bahagian luar, Cayenne Electric menampilkan ciri seperti lampu LED matriks, bar lampu belakang melintang penuh, serta pilihan rim saiz 20 hingga 22 inci.

Tidak ketinggalan, ciri aerodinamik aktif terdiri daripada active grille shutter, spoiler belakang aktif, serta penambahan bilah aktif untuk model Turbo.

Dengan rekaan badan yang ringkas, tidak menghairankan apabila Cayenne Electric mampu mencapai angka pekali seretan serendah 0.23 untuk versi Coupe (0.25 untuk versi standard).

Kabin pula mendapat kelengkapan berikut:

  • skrin kluster digital OLED 14.25 inci
  • skrin infohibur OLED Flow Display (rekaan bersudut)
  • skrin penumpang 14.9 inci (opsyen)
  • skrin paparan head-up realiti terimbuh 87 inci

Cayenne juga masih mengekalkan gugusan butang fizikal yang mengawal fungsi sistem pendingin hawa dan kelantangan bunyi di bahagian konsol tengah.

Antara ciri lain termasuklah:

  • sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar
  • pad pengecasan peranti pintar Qi
  • roda stereng balutan kulit
  • tempat duduk larasan elektrik

Porsche Cayenne Turbo Electric

Porsche Cayenne Turbo Coupe Electric & Cayenne S Coupe Electric

Mercedes-Maybach SL 680 Monogram Series 2026 kini di Malaysia – harga anggaran dari RM2.25 juta

Mercedes-Benz Malaysia mengumumkan ketibaan model baharu Mercedes-Maybach SL 680 Monogram Series 2026 sempena Mercedes-Benz Fashion Week KL baru-baru ini.

Untuk pasaran Malaysia, roadster mewah ini dijual pada harga anggaran bermula dari RM2,250,000.

Sistem pacuan

Maybach SL 680 ini dipacu oleh enjin bentangan V8 4.0 liter turbo berkembar menghasilkan kuasa 585 hp @ 5,500-6,500 rpm dan daya kilas 800 Nm @ 2,500-5,000 rpm.

Dengan padanan transmisi 9G Tronic, ia boleh memecut sepantas 4.1 saat dari pegun ke 100 km/j dan mencapai kelajuan maksimum 260 km/j.

Aspek pemanduan dipertingkatkan dengan sistem suspensi aktif, sistem stereng gandar belakang dan pembeza kekunci belakang elektronik.

Terdapat juga sistem lif gandar depan yang boleh meninggikan bahagian depan sehingga 30 mm untuk mengelakkan kerosakan bampar yang sarat dengan logo Maybach.

Akhir sekali, SL 680 menawarkan standard pengalaman pemanduan tertinggi dengan ciri seperti:

  • sistem ekzos yang dioptimumkan bunyi
  • pakej penebat menyeluruh
  • cagak enjin lembut
  • suspensi aktif berorientasikan keselesaan Active Ride Control

Kelengkapan luaran

Pemilik boleh mendapatkan dua pilihan warna dua tona baharu iaitu:

  • Red Ambience – obsidian black metallic/MANUFAKTUR garnet red metallic
  • White Ambience – obsidian black metallic/MANUFAKTUR opalite white magno 

SL 680 hadir dengan ciri eksklusif seperti:

  • rim tempa 21 inci
  • jeriji radiator krom Maybach
  • bonet obsidian black dengan corak Maybach graphite grey uni
  • aksen rose gold pada perumah lampu utama
  • bumbung fabrik akustik hitam dengan corak Maybach
  • skup aerodinamik berkembar
  • angkup brek perak dengan tulisan Maybach
  • skirt belakang dengan trim krom
  • diffuser rekaan khusus
  • trip muncung ekzos

Kelengkapan kabin

Ruang kabin SL 680 ini mendapat kelengkapan seperti skrin kluster digital 12.3 inci, skrin tengah 11.9 inci lengkap dengan animasi dan paparan khas Maybach.

Selain itu, terdapat roda stereng gabungan kayu/kulit, pedal keluli tahan karat, serta plet ambang pintu dengan skrip Maybach yang bercahaya.

Ciri lain termasuklah:

  • upholsteri kulit nappa crystal white
  • teknologi Airscarf
  • kawalan iklim kerusi
  • sistem pencahayaan ambien
  • fungsi urut
  • sistem audio keliling 3D Burmester
  • skrin paparan head-up

Ciri keselamatan pula merangkumi kelengkapan berikut:

  • Driving Assistance Package
  • Parking Package dengan Memory Parking Assist
  • Magic Vision Control
  • Guard 360° Plus
  • Sistem pemantauan tekanan tayar
  • cagak ISOFIX untuk kerusi depan

Pelanggan juga boleh membuat penyesuaian spesifikasi luaran dan dalaman menerusi laman web: https://www.mercedes-benz.com.my/maybach-sl-monogram

Bermaz Xpeng umum kempen panggil semula ganti suspensi udara Xpeng X9

Bermaz Xpeng, pengedar rasmi kenderaan Xpeng di Malaysia mengumumkan kempen panggil semula melibatkan model Xpeng X9.

Ini adalah susulan kepada kempen panggil semula sukarela di China melibatkan X9 yang dipasang sebelum 11 Ogos 2025 bagi menangani masalah berkaitan suspensi udara hadapan.

Bagi kenderaan yang disahkan terjejas, Bermaz Xpeng akan menggantikan keseluruhan komponen tersebut secara percuma.

Malah, sistem suspensi udara yang digantikan itu akan dilanjutkan tempoh jaminannya sehingga 8 tahun atau 160,00 km bermula dari tarikh pendaftaran kenderaan.

Lanjutan jaminan ini juga boleh dipindahkan kepada pemilik seterusnya.

Bermaz Xpeng juga sedang berhubung dengan rakan serantau bagi memastikan bekalan alat ganti, prosedur teknikal dan kapasiti servis sedia untuk pelaksanaan segera.

Tidak dinyatakan berapa unit Xpeng X9 yang terjejas dalam kempen panggil semula ini, namun syarikat itu menjelaskan kenderaan daripada kelompok pengeluaran lain tidak terjejas.

Maklumat lanjut boleh didapati menerusi talian khidmat pelanggan Xpeng Malaysia di +603-7627 3883.

Pelanggan juga boleh membuat temu janji di pusat servis bertauliah menerusi aplikasi mudah alih Xpeng bagi memudahkan proses penggantian.

Pemilik Zeekr nikmati kadar caj RM1.20/kWh di stesen DC Handal, keahlian Platinum JomCharge percuma!

Zeekr Intelligent Technology Malaysia mengumumkan dua tawaran istimewa yang bakal memberikan manfaat kepada lebih 5,000 pemilik Zeekr di Malaysia.

Tawaran istimewa tersebut ialah:

  • kadar caj eksklusif di semua stesen DC Handal
  • keahlian Platinum JomCharge percuma

Kadar caj eksklusif RM1.20/kWh

Sebagai sebahagian daripada ekosistem Zeekr Power, pemilik Zeekr kini boleh menikmati kadar caj eksklusif RM1.20/kWh di semua stesen DC Handal.

Sebelum ini, kadar caj tersebut hanya ditawarkan di beberapa lokasi terpilih Zeekr Power.

Langkah ini dilihat memberikan akses lebih menyeluruh kepada pengecasan pantas yang lebih mampu milik dan mudah untuk semua pemilik Zeekr.

Pemilik Zeekr hanya perlu memuat turun aplikasi chargEV dan melengkapkan borang pendaftaran yang boleh diakses menerusi pautan berikut:
https://forms.cloud.microsoft/r/VFT43KU7FH

Keahlian Platinum JomCharge percuma

Zeekr Malaysia turut mengumumkan kerjasama baharu dengan CPO JomCharge yang menawarkan keahlian Platinum secara percuma.

Penawaran ini sah sehingga 31 Disember 2026.

Keahlian Platinum ini menawarkan diskaun 25% di lebih 1,000 titik pengecasan milik JomCharge di seluruh negara.

Pendaftaran boleh dibuat menerusi pautan berikut:
https://forms.gle/8BBf8ogmzuSqW1X99

Pemilikan Zeekr lebih lancar

Menurut Eddy Lu, Pengurus Besar Zeekr Malaysia berkata, “Dengan komuniti yang semakin berkembang, kami mahu terus mencari cara bermakna untuk meningkatkan pengalaman pemilikan.

“Kami baru sahaja mengumumkan kadar pengecasan eksklusif di semua stesen DC Handal, dan kini kerjasama dengan JomCharge memberikan akses kepada kadar istimewa di lebih 1,000 titik pengecasan untuk pemanduan yang benar-benar bebas risau.”

“Ini semua sebahagian daripada komitmen kami untuk menjadikan pemilikan Zeekr lebih lancar dan mudah.

“Kami akan terus memperkenalkan lebih banyak inisiatif untuk menyokong komuniti pemilik kami,” tambahnya lagi.

 

Tempah servis kereta TCEAS guna aplikasi TNG eWallet, pakej Rahmah serendah RM109

Tan Chong Ekspres Auto Servis (TCEAS) mengumumkan kerjasama dengan TNG Digital dengan menawarkan akses servis di hujung jari.

Menerusi kerjasama ini, pelanggan TCEAS boleh membuat temu janji servis dan bayaran terus dalam aplikasi TNG eWallet.

Selain itu, pelanggan juga boleh mendapatkan pelbagai pakej servis pada harga berpatutan termasuklah Pakej Rahmah dengan harga serendah RM109 sahaja.

Servis profesional ini merangkumi penyelenggaraan dan pembaikan untuk model jenama Nissan serta pelbagai jenama terkemuka di lebih 50 pusat servis di seluruh negara.

Menurut Kay Fock Soon, Ketua Unit Perniagaan TCEAS menjelaskan kerjasama ini membuka peluang kepada lebih ramai pemilik kenderaan di TNG eWallet untuk menikmati servis bertaraf tinggi.

TCEAS menawarkan jaminan enam bulan untuk penggantian alat ganti tulen.

Tempahan slot servis boleh diakses menerusi program mini TCEAS yang terdapat dalam aplikasi TNG eWallet.

Setelah proses pemilihan lokasi, tarikh dan pembayaran dilengkapkan, pusat servis TCEAS akan menghubungi pelanggan untuk pengesahan temu janji.

Volvo EX90 2026 bakal dilancarkan dengan seni bina 800V, kuasa 680 hp!

Volvo Car Malaysia mengumumkan model SUV Volvo EX90 2026 yang telah ditambah baik bakal dilancarkan dalam masa terdekat.

Pendaftaran minat kini sudah pun dibuka, di mana 100 pelanggan pertama akan menerima ganjaran istimewa.

Spesifikasi Volvo EX90

SUV ini telah dikemas kini pada September tahun lalu, menampilkan seni bina elektrik 800V menggantikan sistem 400V sedia ada.

Sistem 800V ini membolehkan pemilik EX90 menambah jarak 250 km dalam masa 10 minit sahaja dengan pengecasan pantas DC 350 kW.

Sama seperti model terdahulu, Volvo EX90 hadir dalam tetapan dua motor elektrik dan sistem pacuan semua roda dengan kuasa mencecah 680 hp dan 870 Nm.

Pecutan 0-100 km/j mengambil masa 4.2 saat sahaja.

Dengan peningkatan terhadap asas sistem elektrik, berat badan keseluruhan juga turut dikurangkan dan meningkatkan kelestarian menerusi kebergantungan tembaga yang lebih rendah.

Selain itu, Volvo EX90 turut mendapat naik taraf sistem komputer yang dipacu cip berkembar Nvidia Drive AGX Orin.

Dengan kuasa pengiraan sehingga 500 TOPS, aspek keselamatan Volvo EX90 dipertingkatkan menerusi penggunaan data, perisian dan kepintaran buatan (AI).

Menurut laporan rakan media Paultan, Volvo EX90 akan ditawarkan dalam versi pemasangan tempatan (CKD).

Volvo EX90 2025

Pro-Net bangunkan stesen pengecasan e.MAS menerusi kerjasama strategik dengan CPO utama

Proton New Energy Technology Sdn Bhd (Pro-Net) mengumumkan perancangan memperkenalkan stesen pengecasan berjenama e.MAS di seluruh negara.

Menerusi kerjasama dengan DC Handal, JomCharge dan chargEV, beberapa stesen pengecasan akan didirikan di lokasi strategik bermula suku ketiga 2026.

Pemilik e.MAS juga bakal menikmati kadar pengecasan istimewa apabila membuat bayaran menerusi aplikasi Proton e.MAS.

Akses kepada lebih 4,700 titik pengecasan

Sehingga kini, pemilik boleh mengakses lebih 4,700 titik pengecasan di seluruh Malaysia menerusi aplikasi mudah alih Proton e.MAS.

Ciri ini turut dilengkapi dengan peta pengecasan langsung yang tersedia di dalam kenderaan e.MAS.

Kerjasama strategik bersama CPO utama ini merupakan langkah seterusnya dalam memperluas ekosistem Proton e.MAS ke lebih banyak lokasi awam.

Menurut Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif Pro-Net, “Apabila semakin ramai rakyat Malaysia memilih kenderaan elektrik, akses kepada kemudahan pengecasan menjadi semakin penting.

“Melalui kerjasama dengan CPO utama, kami mahu menjadikan pengecasan lebih mudah dan memberikan manfaat kepada pemilik e.MAS di lokasi utama,” ujarnya lagi.

Ahmad Munif Halim, Ketua Bahagian Pengecasan Pro-Net menambah, “Melalui kerjasama dengan CPO yang berpengalaman, kami dapat memudahkan urusan pengecasan sambil memberikan pelanggan akses kepada sokongan sedia ada sekiranya bantuan diperlukan.

“Kesemua usaha ini membantu kami mewujudkan pengalaman pengecasan yang lebih baik untuk pemilik e.MAS,” jelasnya lagi.