Tesla Cybercab tiba di Malaysia, teksi dua pintu tanpa roda stereng
Tesla Malaysia baru-baru ini memperlihatkan model Tesla Cybercab menerusi sesi pratonton yang berlangsung di Mid Valley Megamall.
Model ini secara asasnya merupakan sebuah teksi swa-pandu dua pintu yang langsung tidak dilengkapi dengan perkakasan pemanduan konvensional.
Cybercab mula diperkenalkan oleh Tesla pada Oktober 2024.
Spesifikasi
Dari segi luaran, Tesla Cybercab menampilkan pendekatan rekaan yang hampir serupa dengan Tesla Model Y dan Model 3 sedia ada.
Bahagian depan dan belakang menampilkan bar lampu LED melintang penuh, cuma di bahagian belakang menampilkan pencahayaan tidak langsung.
Teksi Tesla ini mempunyai pintu jenis ‘butterfly’ dengan bukaan yang agak luas, diikuti padanan rim 18 inci depan dan 21 inci di belakang.
Ruang kargo adalah sebesar 572 liter.
Ruang kabin pula menempatkan sepasang tempat duduk gaya bangku serta skrin paparan sebesar 21 inci yang boleh digunakan untuk:
- membuka atau menutup pintu
- memulakan perjalanan
- menetapkan suhu kabin dan tempat duduk
- memainkan muzik
Untuk kemudahan penumpang, terdapat port pengecasan USB Type-C disediakan, serta dua suis fizikal untuk menurunkan atau menaikkan tingkap.
Seperti yang disebutkan tadi, Cybercab tidak dilengkapi dengan perkakasan wajib untuk pemanduan seperti:
- roda stereng
- pedal pendikit & brek
- cermin sisi
- tingkap belakang
Berdasarkan dokumen yang diperoleh daripada EPA, Tesla Cybercab dikuasakan oleh motor elektrik tunggal 219 hp yang memacu roda depan.
Pek bateri berkapasiti 47.6 kWh menawarkan jarak perjalanan sejauh 673 km untuk sekali cas penuh.
Tesla Cybercab menggunakan sistem Full-Self Driving versi 15 yang tidak ditawarkan pada mana-mana kereta pelanggan buat masa ini.
Tesla juga dikatakan sedang membuat persiapan untuk membawa masuk teknologi ini ke Malaysia kelak.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.









