Mercedes-AMG One pecah rekod sendiri di Litar Neraka Hijau, 6 minit 29 saat!
Setelah dua tahun berlalu, Mercedes-AMG kembali ke Litar Neraka Hijau untuk memecahkan rekod sendiri di dalam kategori kenderaan produksi terpantas.
Mercedes-AMG One yang dipandu oleh pelumba DTM Maro Engel berjaya mencatatkan rekod pusingan sepantas 6 minit 29.090 saat, atau lebih pantas lima saat berbanding rekod terdahulu (6:35.183).
Pencapaian ini sekaligus meletakkan Mercedes-AMG One sebagai kenderaan produksi pertama yang berjaya memecahkan halangan 6:30 minit dalam litar yang terkenal itu.
Cubaan memecahkan rekod tersebut dibuat pada 23 September yang lalu, di mana pada ketika itu Litar Nurburgring mencatatkan suhu serendah 15 darjah Celcius, serta suhu aspal 20 darjah Celcius.
Hypercar bernadikan enjin F1 itu dilengkapi dengan tayar standard Michelin Pilot Sport Cup 2 R MO yang direka khas untuk AMG One.
Dalam cubaan yang dibuat, pemandu uji AMG One itu menggunakan mod pemanduan Race Plus yang merendahkan ketinggian gandar hadapan sebanyak 37 mm dan gandar belakang sebanyak 30 mm.
Selain itu, jentera AMG One tersebut telah ditala dengan nilai camber maksimum yang dibenarkan, selain memanfaatkan sistem pengurangan seretan (DRS) dan sistem bateri hibrid dengan lebih cekap berdasarkan ujian simulasi yang telah dibuat sebelum ini.
Mercedes-AMG One dilengkapi dengan enjin F1 1.6 liter bentangan V6, digandingkan dengan empat motor elektrik dan kuasa keseluruhan yang mampu mencecah 1,049 hp.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.