Mercedes-AMG ONE Service Hub pertama di Asia Tenggara dibuka di Malaysia – pelaburan RM2.2 juta
Mercedes-Benz Malaysia secara rasminya membuka pusat servis Mercedes-AMG ONE pertama dan satu-satunya di Asia Tenggara, bertempat di Hap Seng Star Bukit Tinggi, Klang.
Dibangunkan dengan pelaburan RM2.2 juta, fasiliti ini menjadikan Malaysia antara hab servis khusus Mercedes-AMG ONE di dunia, selain Jerman, Switzerland, Dubai, Abu Dhabi, Kuwait dan Jepun.
Kemudahan
Pusat servis ini menawarkan perkhidmatan penyelenggaraan dan sokongan teknikal khusus kepada pemilik hypercar Mercedes-AMG ONE di rantau Asia Tenggara.
Bagi memenuhi keperluan penyelenggaraan model berprestasi tinggi ini, pusat servis tersebut dilengkapi:
- Peralatan khusus sistem voltan tinggi
- Sistem diagnostik Mercedes-AMG ONE
- Ruang penyimpanan dan penyelenggaraan terkawal
- Juruteknik bertauliah Mercedes-AMG
- Sokongan terus daripada pakar teknikal Mercedes-AMG
Fasiliti ini turut menyediakan khidmat pakar teknikal bergerak (Flying Doctors) serta sistem diagnostik digital masa nyata.
Kedudukannya yang strategik turut mendapat sokongan hab logistik alat ganti Mercedes-Benz Asia Pasifik di Malaysia bagi mempercepatkan urusan penyelenggaraan dan bekalan komponen.
Pembukaan pusat servis ini sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab perkhidmatan automotif berprestasi tinggi di rantau Asia Pasifik.
Hypercar dengan teknologi F1
Mercedes-AMG ONE merupakan hypercar berasaskan teknologi Formula 1 yang dihasilkan sebanyak 275 unit sahaja di seluruh dunia.
Ia menggunakan enjin V6 turbo 1.6 liter bersama empat motor elektrik menerusi sistem hibrid E PERFORMANCE, menghasilkan kuasa keseluruhan melebihi 1,063 hp.
Enjinnya juga mampu mencapai putaran sehingga 11,000 rpm.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.




