fbpx

DRB-HICOM, Geely meterai perjanjian bangunkan AHTV

DRB-Hicom Geely HOA signing

DRB-HICOM Berhad dan Geely telah menandatangani Dasar-Dasar Utama Perjanjian (HOA) bagi mengukuhkan jalinan kerjasama antara kedua-dua syarikat bagi fasa seterusnya.

Perjanjian ini ditandatangani di Forum Perniagaan Malaysia-China yang berlangsung sempena lawatan rasmi Perdana Menteri Dato’ Sri Anwar Ibrahim ke China. HOA ini bertujuan membolehkan Automotive High-Tech Valley (AHTV) dibangunkan sebagai hab kenderaan generasi akan datang di Tanjung Malim.

Menurut DRB-HICOM, AHTV akan merangkumi rantaian nilai penyelesaian automotif dan mobiliti secara meluas, daripada pusat penyelidikan dan pembangunan global berteknologi tinggi sehingga kepada kluster pembuatan dan perkhidmatan sokongan serta ekosistem yang berkaitan.

Fokus HOA tersebut ialah pembangunan bandar raya automotif bersepadu yang akan melahirkan hab bagi industri kenderaan tenaga baharu (NEV). Keluasan kawasan AHTV diaggarkan kira-kira 1,000 ekar dan boleh diluaskan lagi mengikut keperluan masa hadapan.

Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Pengarah Urusan Kumpulan, Dato’ Sri Syed Faisal Albar bagi pihak DRB HICOM, manakala Geely diwakili oleh Daniel Li Donghui, Ketua Pegawai Eksekutif Geely Holding Group. Majlis ini disaksikan oleh YAB Dato’ Seri Anwar dan turut dihadiri oleh Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke Siew Fook dan ramai lagi.

 

Dalam tempoh 10 tahun yang akan datang, AHTV dijangka menarik pelaburan bernilai kira-kira RM32 bilion, termasuk pelaburan daripada Proton. AHTV juga akan memperolehi faedah secara langsung serta tidak langsung daripada rancangan Proton untuk memindahkan semua fasiliti pembuatannya ke Tanjong Malim menjelang 2026.

AHTV juga akan mempunyai universiti penyelidikan untuk memupuk bakat baharu dan pembangunan di dalam bidang teknologi baharu untuk industri dan sektor automotif secara amnya. Ia juga akan menempatkan pusat penyelidikan dan pembangunan yang membolehkan pembuat kereta menguji kenderaan dalam persekitaran tropika.

Dengan trend dunia yang menjurus kepada NEV, peranan Geely dalam pembangunan AHTV adalah tepat, memandangkan pengalaman luas pembuat kereta China ini dalam sektor tersebut. Jenama utama Geely iaitu Geely Auto telah melancarkan beberapa NEV, termasuk jenama EV pintar dan mewah Zeekr.

Syarikat itu juga telah melabur dalam pelbagai teknologi bateri dan mempunyai bahagian tenaga baharu khusus yang memberi tumpuan kepada pembangunan dan pengeluaran NEV. Syarikat tersebut telah mengumumkan rancangannya untuk melancarkan lebih daripada 30 model tenaga baharu di bawah jenama-jenamanya menjelang 2025.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved