GWM Malaysia eksport 1,100 unit WEY G9 ke Indonesia & Thailand

GWM Malaysia eksport

GWM Malaysia mencatatkan satu pencapaian penting dengan mengeksport lebih 1,100 unit WEY G9 versi pemasangan tempatan (CKD) ke pasaran Indonesia dan Thailand.

Kejayaan eksport ini bertepatan dengan satu lagi pencapaian besar di mana jumlah pengeluaran CKD kini melebihi 10,000 unit.

Kedua-dua pencapaian ini mengukuhkan lagi peranan Malaysia sebagai hab pembuatan dan eksport strategik bagi rantau ASEAN.

Ia juga menandakan kemajuan GWM daripada sekadar memenuhi pasaran domestik kepada menyokong rantau ASEAN yang lebih luas.

Operasi CKD sejak 2024

Operasi pemasangan GWM di Malaysia bermula sejak tahun 2024 menerusi kerjasama dengan EP Manufacturing Berhad (EPMB) di Malaysia.

Model kenderaan pertama yang dipasang ialah HAVAL H6 HEV.

Ia kemudian diperluaskan dengan model GWM WEY G9 Hi4 PHEV pada tahun 2025, dan disusuli dengan pengenalan varian HEV pada tahun ini.

Selain meningkatkan jumlah pengeluaran, operasi CKD menggabungkan teknologi automotif global dengan kepakaran pembuatan Malaysia.

Ia turut menyokong pemindahan pengetahuan teknikal, pembangunan tenaga kerja dan penyertaan lebih luas pemain industri tempatan.

Komitmen jangka panjang di Malaysia

Cui Anqi, Pengarah Urusan Hal Ehwal Korporat GWM Malaysia berkata, peranan Malaysia kini semakin penting dalam strategi pertumbuhan serantau dan pengeluaran syarikat.

“Pencapaian ini mencerminkan keyakinan jangka panjang kami terhadap Malaysia serta komitmen untuk berkembang bersama industri automotif negara, sambil membuka lebih banyak peluang untuk keupayaan tempatan menyumbang kepada pasaran ASEAN,” katanya.

Roslan Abdullan selaku Ketua Pegawai Operasi GWM Malaysia berkata, pencapaian terbaharu ini mencerminkan kemajuan yang dicapai bersama rakan pengeluaran.

“Lebih penting, ia menunjukkan komitmen kami yang semakin kukuh terhadap Malaysia.

“Daripada memperkenalkan teknologi baharu hingga memperluas eksport serantau, kami mahu mewujudkan peluang yang menyumbang kepada pembangunan industri automotif negara,” katanya.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved