Arkib Tag: tempahan

Proton X90 kini dibuka untuk tempahan

SELEPAS didedahkan secara rasmi pada bulan lalu, kenderaan tenaga baharu (NEV) pertama Proton iaitu Proton X90 akhirnya dibuka untuk tempahan.

Harga masih belum diumumkan namun seperti yang dilaporkan sebelum ini, model itu ditawarkan dalam empat varian Standard, Executive, Premium dan Flagship.

Seperti yang boleh dilihat dalam brosur di atas, varian Standard, Executive dan Premium didatangkan dengan tujuh tempat duduk, manakala varian Flagship mempunyai enam tempat duduk dengan kerusi kapten pada barisan kedua.

Keempat-empat varian dikuasakan oleh enjin 1.5-liter TGDi yang digandingkan dengan teknologi mild-hybrid yang merangkumi motor Belt-Starter Generator (BSG) 48V. Trenkuasa ini menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 190 PS dan 300 Nm, dan disalurkan ke gandar hadapan oleh transmisi klac berkembar tujuh kelajuan.

Dari segi spesifikasi, varian Standard mendapat lampu hadapan LED, rim aloi 18 inci, upholsteri fabrik, skrin sentuh infohibur 12.3 inci dan kamera undur.

Varian Executive pula menambah ciri-ciri sistem pemantauan tekanan tayar, tailgate kuasa, upholsteri leatherette, pelarasan kuasa untuk tempat duduk pemandu, sistem ventilasi tempat duduk hadapan serta kamera 360 darjah dengan paparan 3D.

Varian kedua tertinggi iaitu Premium pula didatangkan dengan sistem bantuan pemandu ADAS, rim aloi 19 inci, balutan kulit Nappa, pelarasan kuasa untuk tempat duduk penumpang hadapan, pengecas wayarles dan ciri Park Assist.

Sebagai varian tertinggi, X90 Flagship mendapat semua ciri yang ada pada varian Premium dengan penambahan bumbung panoramik, suis ‘Boss’ pada tempat duduk penumpang hadapan dan tempat duduk kapten.

Untuk makluman pembaca, suis ‘Boss’ membolehkan tempat duduk tersebut dianjak ke hadapan bagi memberikan ruang kaki yang luas kepada penumpang di tempat duduk barisan kedua.

Untuk pilihan warna, varian Flagship dan Premium boleh didapati dalam kesemua enam warna yang ditawarkan iaitu Snow White, Armour Silver, Jet Grey, Cinnamon Brown, Ruby Red dan Marine Blue.

Varian Executive ditawarkan dalam semua warna kecuali Marine Blue, manakala Standard pula hanya boleh didapati dalam warna Snow White, Armour Silver dan Jet Grey.

Toyota Vios terima lebih 5,000 tempahan dalam tempoh sebulan

UMW Toyota Motor (UMWT) memaklumkan bahawa Toyota Vios 2023 yang baru sahaja dilancarkan telah menerima tempahan melebihi 5,000 unit sejak tempahannya dibuka pada 24 Februari lalu.

Presiden UMWT, Ravindran K berkata maklum balas luar biasa terhadap Vios adalah bukti populariti model itu di pasaran Malaysia.

“Kami sangat teruja untuk memulakan tahun ini dengan pelancaran Toyota Vios serba baharu, yang mewakili komitmen kami dalam menyediakan kenderaan dan perkjidmatan berkualiti terbaik kepada pelanggan.

“Kami tidak sabar untuk mengharungi tahun penuh dengan peluang ini untuk memacu pertumbuhan dan pembangunan ekonomi Malaysia,” katanya.

Kini dalam generasi keempat, Vios serba baharu ditawarkan dalam dua varian iaitu 1.5E dan 1.5G, dengan harga bermula dari RM89,600 hingga RM95,900.

Ia dibina menggunakan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA), serta menampilkan enjin 2NR-VE 1.5-liter empat silinder Dual VVTi yang digandingkan bersama transmisi D-CVT.

Selain itu, ia juga didatangkan dengan Toyota Safety Sense (TSS) yang merangkumi ciri-ciri seperti Pre-Collision System, Lane Departure Warning, Lane Departure Prevention, Adaptive Cruise Control, Lane Keeping Control dan Auto High Beam.

Turut disertakan adalah 3D Panoramic View Monitor, Blind Spot Monitor serta Rear Cross Traffic Alert.

Model ini dikilangkan di kilang pemasangan Assembly Services Sdn Bhd (ASSB) di Bukit Raja, Klang, di mana ia memenuhi standard kualiti dalam seluruh proses pemasangan sejajar dengan “Toyota Way”.

Perodua ‘pulun’ 25,100 tempahan pada 30 Jun 2022!

PERODUA berjaya mencatatkan 25,100 tempahan pada 30 Jun 2022 lepas, iaitu jumlah tempahan tertinggi mereka dalam sejarah untuk satu hari.

Ini berikutan keputusan kerajaan melanjutkan tempoh pendaftaran kenderaan kepada 31 Mac 2023 untuk kenderaan yang ditempah sehingga 30 Jun 2022, sebelum cukai SST dikenakan semula bermula 1 Julai.

“Tempahan kenderaan secara tergesa-gesa dilihat ketara terutama sekali apabila kerajaan melanjutkan tempoh pendaftaran kepada 31 Mac 2023 dan kami amat berterima kasih kepada rakyat Malaysia kerana memilih Perodua sebagai jenama pilihan mereka,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

“Bercakap tentang pengecualian cukai jualan; pada hari terakhir inisiatif itu, Perodua menyaksikan tempahan harian tertinggi pada 30 Jun 2022 dengan 25,100 tempahan kenderaan telah diambil,” katanya.

“Ini tidak pernah berlaku sebelum ini dan ianya bukti potensi pertumbuhan industri automotif Malaysia dengan pemberian insentif yang betul.”

Perodua Axia

“Kami amat berterima kasih kepada kerajaan kerana telah melanjutkan tarikh akhir penghantaran kepada 31 Mac 2022 dan kami amat memerlukan tempoh itu untuk memenuhi permintaan yang ada setakat ini,” kata Dato’ Zainal.

Selain daripada inisiatif pengecualian cukai jualan yang berakhir pada 30 Jun 2022, faktor utama lain yang menyumbang kepada prestasi ini ialah pendaftaran kenderaan yang rendah pada Jun tahun lepas disebabkan penutupan kali kedua dalam mengurangkan kes jangkitan Covid-19.

Sebagai perbandingan, untuk bulan Jun 2021, Perodua hanya mencatatkan 1,009 unit, manakala pada Jun 2022, kami menjual 21,164 unit. Pada perbandingan bulan ke bulan, prestasi jualan Perodua meningkat 10.7 peratus daripada 18,901 unit yang didaftarkan pada Mei 2022.

Honda HR-V 2022 kini dibuka untuk tempahan, pelancaran tak lama lagi!

SALAH satu berita hangat hari ini ialah Honda HR-V 2022 serba baharu yang telah dibuka tempahannya secara rasmi. Dengar kata ramai yang menunggu.

Honda Malaysia juga mengumumkan pelancarannya dijangka dibuat pada suku ketiga 2022, dan bakal didapati dengan pilihan enjin petrol dan hibrid e:HEV.

Dari segi dimensi, HR-V 2022 ini berukuran 4,385mm panjang, 1,790mm lebar dan 1,590mm tinggi. Ini bermakna crossover baharu ini 39mm lebih panjang dan 15mm lebih rendah dari HR-V sedia ada.

HR-V 2022 menampilkan rekaan luaran baharu sepenuhnya dengan gril baharu dan bahagian bumbung belakang ala fastback. Ia juga dilengkapi lampu isyarat LED sequential dan lampu belakang LED strip, DRL LED, serta rim aloi 18-inci.

Untuk varian e:HEV, ia akan dikuasakan oleh sistem Multi-Mode Drive (i-MMD) yang juga terdapat pada City sedan dan hatchback.

HR-V e:HEV ini menggunakan kuasa enjin dan motor elektrik untuk menjana 131hp dan 253Nm tork serta hadir dengan tiga mod pemanduan – ECON, Normal dan Sport.

Ciri keselamatan Honda LaneWatch juga dilengkapkan secara standard, selain pakej keselamatan maju Honda Sensing yang merangkumi ciri-ciri seperti berikut:

  1. Lead Car Departure Notification (LCDN)
  2. Adaptive Cruise Control (ACC)
  3. Low Speed Follow (LSF)
  4. Collision Mitigation Braking System (CMBS)
  5. Forward Collision Warning (FCW)
  6. Lane Keep Assist System (LKAS)
  7. Road Departure Mitigation (RDM)
  8. Lane Departure Warning (LDW)
  9. Auto High Beam (AHB)

Selain itu, Remote Engine Start dan Walk Away Auto Lock juga diberikan secara standard.

Nantikan laporan lebih terperinci selepas pelancarannya nanti. Sementara itu, anda boleh ke mana-mana bilik pameran Honda untuk membuat tempahan HR-V 2022 ini.

Perodua Myvi facelift 2022 dibuka untuk tempahan! Dari RM46k, lebih jimat minyak, 5 pilihan varian

IA semakin hampir, Perodua Myvi facelift 2022 kini dibuka untuk tempahan! Perodua hari ini mengeluarkan kenyataan bahawa hatchback popular kegemaran rakyat Malaysia itu sudah boleh ditempah, berserta beberapa perincian.

Ia akan hadir dalam lima varian dan dua pilihan enjin, iaitu: 1.5 AV, 1.5 H, 1.5 X, dan dua varian 1.3 G. Kesemua varian hanya akan ditawarkan dengan pilihan automatik, tiada lagi manual.

Walaubagaiamanpun, Perodua tidak memperincikan jenis kotak automatik walaupun maklumat kami sebelum ini mengatakan Myvi D51A itu akan mendapat unit D-CVT sama seperti Ativa.

Turut dimaklumkan bahawa Myvi 2022 ini mempunyai kecekapan bahan api lebih baik. “Kami juga telah meningkatkan kecekapan bahan api bagi Myvi baharu ini kepada 22.2km/ liter (diuji pada varian 1.3L) berbanding 21.1km/liter sebelum ini,” kata Presiden dan CEO Perodua, Dato’ Zainal.

Varian AV, H dan X serta salah satu varian G akan mempunyai sistem Perodua Smart Drive Assist (PSDA) yang terkini, direka dengan mengutamakan keselamatan pemandu dan pejalan kaki.

Myvi facelift 2022 ini juga turut memperkenalkan warna baharu iaitu Cranberry Red, yang hanya tersedia untuk varian AV.

Warna lain adalah Ivory White, Glittering Silver, Lava Red (tidak tersedia untuk AV), Granite Grey dan Electric Blue.

Julat harga bagi Myvi 2022 ini ialah dari RM45,700 hingga RM58,800 (untuk Semenanjung Malaysia dan tanpa insurans) dan akan turut serta dengan jaminan 5-tahun.

Nantikan perkembangan lanjut mengenai Perodua Myvi facelift 2022 di sini sehingga pelancarannya nanti.

Untuk tempahan, terus ke pautan sini atau lawati mana-mana wakil jualan sah Perodua seluruh negara.