Peugeot 408 rasmi, tiga varian, enjin 1.6T, dari RM146k
Peugeot Malaysia di bawah naungan Stellantis baru sahaja melancarkan model terbaharu Peugeot 408 2024 untuk pasaran tempatan.
Tidak seperti model 408 yang terdahulu, Peugeot 408 generasi baharu ini membawakan bentuk badan sedan fastback yang digandingkan dengan elemen crossover.
Berikut merupakan fakta ringkas Peugeot 408 2024:
Model pemasangan tempatan
Peugeot 408 generasi baharu ini merupakan model pemasangan tempatan (CKD) yang datang dari kilang Stellantis Gurun, Kedah.
Berstatus CKD, ia membolehkan Stellantis Malaysia menjual 408 ini dengan harga yang lebih kompetitif, bermula dari RM146,055 untuk versi Allure, RM166,055 (Premium) hingga RM196,055 untuk varian GT.
Enjin 1.6 liter turbo
Terdapat tiga varian utama yang ditawarkan di Malaysia termasuklah varian bertaraf mercu GT.
Kesemua varian dilengkapi dengan enjin PureTech 1.6 liter turbo berkuasa 218 hp @ 5,750 rpm dan daya kilas 300 Nm @ 2,000 rpm.
Kuasa itu disalurkan kepada roda depan menerusi transmisi automatik lapan nisbah kelajuan.
Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 8.8 saat.
Dimensi lebih besar berbanding Civic
Peugeot 408 dibina berdasarkan platform EMP2, berkongsi pelantar dengan model SUV 308 dan Citroen C5 X.
Diposisikan dalam segmen C, Peugeot 408 membawakan ukuran dimensi sepanjang 4,687 mm, lebar 1,859 mm, tinggi 1,487 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,787 mm.
Tidak ketinggalan, jarak kelegaan tanah adalah setinggi 189 mm.
Kapasiti ruang kargo adalah sebesar 536 liter, boleh dibesarkan sehingga 1,538 liter untuk varian GT, atau sehingga 1,611 liter untuk varian Allure dan Premium.
Ini bermakna, Peugeot 408 memiliki dimensi yang lebih besar berbanding sebuah lagi sedan dalam segmen C Honda Civic FE (ukuran 4,678 mm x 1,802 mm x 1,415 mm, WB 2,735 mm, jarak lega bumi 126 mm).
Kelengkapan standard
Kesemua varian dilengkapi dengan ciri standard termasuklah unit pencahayaan LED, penyeka kaca automatik, serta rim aloi bersaiz 18 inci dalam kemasan Granite Grey.
Sementara ruang kabin pula dilengkapi dengan kemasan upholsteri comfort vynil, skrin kluster digital 10 inci, skrin infohibur 10 inci serta sistem audio enam pembesar suara.
Varian Premium pula mendapat tambahan ciri berikut:
-rim aloi 18 inci kemasan Granite Black
-upholsteri kulit hitam
-tempat duduk pemandu larasan elektrik
Sementara varian GT pula dilengkapi dengan ciri berikut:
-rim aloi 20 inci kemasan Monolithe Black
-lampu matriks LED dengan fungsi suluhan tinggi automatik
-upholsteri kulit Dynamic Black Nappa
-tempat duduk dengan piawaian AGR, fungsi memori dan urut
-skrin kluster instrumen 10 inci 3D Quartz Display
-skrin infohibur 10 inci dengan panel sentuh kustom
-sistem audio Focal
-sistem kamera 360 darjah
Ciri keselamatan
Peugeot 408 mendapat kelengkapan keselamatan seperti enam beg udara, program kestabilan elektronik (ESP), sistem pengesan papan tanda trafik, kawalan jelajah, brek kecemasan automatik, bantuan suluhan tinggi, sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS) dan juga Active Hood untuk perlindungan pejalan kaki.
Sementara varian yang lebih tinggi pula (Premium & GT) mendapat tambahan ciri kawalan jelajah adaptif, brek kecemasan autonomi termaju, amaran pelanggaran hadapan, amaran lintasan trafik belakang, dan sistem pemantauan titik buta.
Peugeot 408 2024 (Malaysia)
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.