fbpx

Proton X90 kini dibuka untuk tempahan

01_Proton X90_Front

SELEPAS didedahkan secara rasmi pada bulan lalu, kenderaan tenaga baharu (NEV) pertama Proton iaitu Proton X90 akhirnya dibuka untuk tempahan.

Harga masih belum diumumkan namun seperti yang dilaporkan sebelum ini, model itu ditawarkan dalam empat varian Standard, Executive, Premium dan Flagship.

Seperti yang boleh dilihat dalam brosur di atas, varian Standard, Executive dan Premium didatangkan dengan tujuh tempat duduk, manakala varian Flagship mempunyai enam tempat duduk dengan kerusi kapten pada barisan kedua.

Keempat-empat varian dikuasakan oleh enjin 1.5-liter TGDi yang digandingkan dengan teknologi mild-hybrid yang merangkumi motor Belt-Starter Generator (BSG) 48V. Trenkuasa ini menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 190 PS dan 300 Nm, dan disalurkan ke gandar hadapan oleh transmisi klac berkembar tujuh kelajuan.

Dari segi spesifikasi, varian Standard mendapat lampu hadapan LED, rim aloi 18 inci, upholsteri fabrik, skrin sentuh infohibur 12.3 inci dan kamera undur.

Varian Executive pula menambah ciri-ciri sistem pemantauan tekanan tayar, tailgate kuasa, upholsteri leatherette, pelarasan kuasa untuk tempat duduk pemandu, sistem ventilasi tempat duduk hadapan serta kamera 360 darjah dengan paparan 3D.

Varian kedua tertinggi iaitu Premium pula didatangkan dengan sistem bantuan pemandu ADAS, rim aloi 19 inci, balutan kulit Nappa, pelarasan kuasa untuk tempat duduk penumpang hadapan, pengecas wayarles dan ciri Park Assist.

Sebagai varian tertinggi, X90 Flagship mendapat semua ciri yang ada pada varian Premium dengan penambahan bumbung panoramik, suis ‘Boss’ pada tempat duduk penumpang hadapan dan tempat duduk kapten.

Untuk makluman pembaca, suis ‘Boss’ membolehkan tempat duduk tersebut dianjak ke hadapan bagi memberikan ruang kaki yang luas kepada penumpang di tempat duduk barisan kedua.

Untuk pilihan warna, varian Flagship dan Premium boleh didapati dalam kesemua enam warna yang ditawarkan iaitu Snow White, Armour Silver, Jet Grey, Cinnamon Brown, Ruby Red dan Marine Blue.

Varian Executive ditawarkan dalam semua warna kecuali Marine Blue, manakala Standard pula hanya boleh didapati dalam warna Snow White, Armour Silver dan Jet Grey.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved