Hong Leong Industries Berhad (HLI) dengan rasminya memperkenalkan Tékhné Sdn Bhd (TÉKHNÉ) sebagai entiti baharu dalam arena alat ganti tempatan.
Menariknya, TÉKHNÉ menawarkan pelbagai produk alat ganti OEM dan REM yang komprehensif untuk kenderaan dua dan empat roda sekaligus menjaminkan tawaran yang meluas untuk pengguna disini.
Mengenal pasti terdapat peningkatan dalam jualan kenderaan motosikal dan kereta serta permintaan terhadap barangan ‘aftermarket’, TÉKHNÉ melihat senario itu memberi ruang dalam menawarkan produk yang bukan sahaja komprehensif malah berkualiti.
Tidak cukup dengan itu, TÉKHNÉ juga akan menubuhkan pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) tersendiri agar dapat memenuhi permintaan pasaran semasa secara langsung.
Untuk mengetahui lebih lanjut produk ditawarkan, kunjungi www.tekhne.com.my.
Bermula 2024, Kesatuan Eropah (EU) mencadangkan pengharaman proses penyaduran krom pada sebarang kenderaan baharu termasuk motosikal.
Menariknya, langkah itu bukan sahaja akan berlaku di Eropah malah merangkumi Amerikak Syarikat bermula 2027.
Menurut laporan media antarabangsa, langkah itu diambil ekoran terdapat kebimbangan perkara tersebut akan memberi kesan jangka panjang pada kesihatan dan alam sekitar. Ini kerana proses penyaduran krom menghasilkan pencemaran toksik 500 kali ganda lebih tinggi berbanding pencemaran dihasilkan enjin diesel.
Pada masa sama, penyaduran krom juga dikaitkan dengan kanser paru-paru dan hidung selain dari memberi kesan pada sistem pembiakan manusia.
Selain itu, proses penyaduran krom juga memberi kesan pada alam sekitar menerusi pembuangan sisa. Walaupun kesemua kesan ini boleh dielak namun EU mendapati senario ini tidak harus diambil mudah.
Berdasarkan perkara diatas, jelasnya penghasilan motosikal yang sebelum ini popular dengan penyaduran krom seperti beberapa model khas Triumph, Harley-Davidson dan Moto Guzzi tidak akan berlaku lagi pada masa akan datang.
MForce Bike Holdings telah melancarkan skuter retro 150cc serba baharu untuk pasaran tempatan menerusi QJMotor LTR150.
Hadir dengan empat pilihan warna menarik; Lime Creme, Sky Blue, Mint Green dan Carnation Pink. Skuter retro ini ditawarkan pada harga RM8,888.
Meskipun bergaya retro, skuter ini hadir dengan kelengkapan moden termasuk lampu LED, panel meter digital, port pengecas USB, fork teleskopik dan ABS dwi-saluran.
Kelengkapan lain ditawarkan termasuk tangki 6.5L serta rim 12-inci depan/belakang yang dipadankan bersama cakera 190mm depan dan 225mm belakang.
Selain itu, turut ditawarkan fungsi lampu kecemasan dan fungsi idle stop yang mematikan enjin ketika berhenti di lampu isyarat bagi menjimatkan penggunaan bahan api.
Atas kertas, LTR150 ini menawarkan 16hp dan 14.8Nm hasil penggunaan enjin satu silinder 149cc SOHC.
Menurut MForce, setiap pembelian QJMotor LTR150 ini hadir dengan waranti dua tahun atau 20,000km (mana yang sampai dulu).
Suzuki Malaysia dalam satu kenyataan yang disiarkan di media sosial mengesahkan bahawa dua model pemasangan tempatan, Suzuki Gixxer 250 dan Gixxer 250SF tidak terlibat dengan panggilan semula (product recall) yang berlaku di pasaran dunia lain.
Pengumuman itu dibuat susulan berlakunya panggilan semula bagi model 250cc di India yang melibatkan Gixxer 250, Gixxer 250SF dan V-Strom 250SX.
Difahamkan, panggilan semula di India itu dibuat setelah didapati bahagian ‘camshaft’ bagi ketiga-tiga model itu telah terjejas dan boleh menyebabkan enjin mati secara tiba-tiba selain menghasilkan bunyi yang tidak normal.
Dalam pada itu, Suzuki Malaysia memberi jaminan bahawa pemilik Gixxer 250 dan Gixxer 250SF boleh menikmati tahap keselamatan dan kepuasan tertinggi.
Honda memperkenalkan generasi terbaru CBR400RR untuk pasaran Jepun yang telah dinaik taraf dengan pelbagai kelengkapan dan ciri baharu.
Model keluaran 2024 itu hadir dengan fungsi Honda Selectable Torque Control (HSTC) serta skrin TFT 5-inci yang boleh disambung ke telefon pintar menerusi sistem Honda RoadSync.
Menariknya, mode baharul ini juga dilengkapi dengan fork Showa SFF-BP 41mmdi bahagian depan dan penyerap hentak jensi Prolink di bahagian belaakng.
Selain itu, turut ditawarkan cakera brek berkembar di depan yang dipadankan bersama sistem ABS dwi-saluran, pencahayaan LED dan rim 17-inci depan dan belakang.
Meskipun bersesaran 400cc namun CBR400RR ini hadir dengan tangki berkapasiti 17L sekaligus menawarkan penjimatan yang terbaik.
Bagaimanapun, model 2024 ini masih lagi menawarkan 45hp dan 38Nm hasil dari enjin dua silinder 399cc DOHC dengan sistem penyejukan cecair.
Bagi pasaran Jepun, CBR400RR ini dijual pada harga JPY863,500 (RM27.5k).
Seorang penunggang motosikal, Siti Norol Salwani Ismail telah menunggang motosikal hampr300km setiap minggu agar dapat menjual sayur di Kuala Lumpur demi menanggung anak berusia 10 tahun.
Wanita berusia 29 tahun itu bertolak dari Changkat Jering ke Kuala Lumpur dan menempuh perjalanan empat jam setiap minggu menggunakan kapcai jenis Honda Dash.
Siti Norol memulakan pengembaraan itu ketika masih seorang ibu tunggal sebagai usaha untuk menanggung anaknya. Walaupun baru sahaja selesai berkahwin untuk kali kedua pada Jumaat, dia berharap dapat meneruskan aktiviti tersebut.
“Saya terlintas untuk menjual sayuran segar di Kuala Lumpur kerana mudah untuk mendapatkan sayuran tersebut di Changkat Jering dan Bukit Gantang.
“Awalnya agak memenatkan tetapi saya tidak sangka perniagaan kecilan ini akan berjaya,” jelasnya.
Bagaimanapun, Siti Norol mengakui antara cabaran utama menunggang motosikal sejauh itu setiap minggu adalah cuaca buruk dan tayar pancit.
Motosikal yang digunakan sebelum ini juga telah rosak namun dia juga telah menggantikan dengan yang baru agar dapat meneruskan perniagaan tersebut.
“Suami baru saya sangat menyokong perniagaan ini dan dia bercadang untuk membantu saya,” tambah Siti Norol.
AVETA Malaysia telah melantik lapan stokis baharu di enam negeri, sebagai sebahagian daripada usahanya untuk memberi pelanggan akses yang lebih cepat dan mudah kepada alat ganti tulen Aveta di seluruh Malaysia.
Perlantikan stokis baharu ini selari dengan Program Perkhidmatan Pelanggan Aveta yang diumumkan semasa pelancaran Aveta Ranger Max Explorer pada tahun 2023.
Perlantikan Stokis Aveta diumumkan pada tahun lalu dan kini dalam persiapan untuk beroperasi dengan jumlah keseluruhan 10 stokis sepanjang tahun 2024.
Perlantikan stokis ini adalah penting bagi memastikan pemilik motosikal Aveta mendapat akses segera kepada alat ganti apabila diperlukan dan memastikan bahawa semua alat ganti adalah tulen dan sesuai dengan motosikal Aveta.
Lapan stokis yang dilantik adalah:
Kedah – Boon Lee Auto Sdn Bhd
Kuala Lumpur – DS Cycle Parts Sdn Bhd
Selangor – Yong Xin Auto Parts Sdn Bhd
Pahang – T.T. Cycle Parts Sdn Bhd
Pahang – Sing Yie Motor Sdn Bhd
Sabah – Eko Ken Motor Sdn Bhd
Sarawak – Ji Yun Resources
Sarawak – Ghee Yong Enterprise Sdn Bhd
Berkuat kuasa dengan serta-merta, kesemua stokis tersebut kini sudah mula beroperasi untuk pelanggan mendapatkan bekalan alat ganti tulen bila-bila masa.
Pelanggan juga boleh menghubungi talian khidmat pelanggan alat ganti Aveta di +012 686 8753 pada hari Isnin hingga Jumaat (8.30am – 5.30pm).
Hong Leong Yamaha Motor membuat kejutan ketika meraikan ketibaan pelumba MotoGP, Fabio Quartararo dan Alex Rins dan Sungai Buloh apabila mendedahkan dua unit Yamaha Y16ZR edisi khas.
Kedua-dua motosikal berkenaan tampil dengan livery Monster Energy Yamaha dan memaparkan nombor perlumbaan #20 Quartararo dan #42 Rins.
Kedua-dua pelumba turut menurunkan tandatangan masing-masing sambil disaksikan pengurusan HLYM dan prinsipal pasukan Yamaha MotoGP, Lin Jarvis.
Bagaimanapun,sayangnya kami dimaklumkan Yamaha belum ada perancangan untuk memperkenalkan Y16ZR edisi MotoGP itu buat masa ini.
Namun, mengambil kira Yamaha pernah melancarkan Y15ZR dan R15 dengan livery Monster Energy Yamaha itu maka kami jangkakan perkara sama akan turut dilaksanakan kemudian.
Dalam pada itu, Quartararo dan Rins akan turunberaksi di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sempena ujian rasmi Sepang Test dari 6 hingga 8 Februari ini.
Kerajaan Sepanyol bakal mewajibkan pemakaian helmet ‘full-face’ sekaligus mengharamkan helmet jenis ‘open-face’ dalam usaha menangani kemalangan maut melibatkan motosikal.
Menurut laporan media antarabangsa, Sepanyol tekad mengetatkan peraturan melibatkan penunggang motosikal di negara itu dalam usaha mengurangkan angka kematian melibatkan kemalangan motosikal.
Menurut statistik, seramai 268 kematian dicatatkan pada sepanjang 2023 akibat dari kemalangan motosikal. Sehubungan itu, kerajaan Sepanyol menyifatkan pemakaian helmet ‘full-face’ dapat mengurangkan angka tersebut pada tahun baru.
Selain itu, kerajaan juga bercadang untuk mewajibkan pemakaian sarung tangan motosikal.
PASARAN motosikal grand tourer tempatan kini menerima pesaing baharu dari jenama CFMoto iaitu 1250 TR-G.
Ia ditawarkan pada harga bermula dari RM88,888 (tidak termasuk insurans dan cukai jalan) dan boleh didapati di mana-mana pengedar sah CFMOTO di seluruh Malaysia bermula minggu depan.
Bakal bersaing dengan model-model seperti BMW 1250 RT dan Benelli 1250 GT, jentera ini dipacu oleh enjin V-twin KTM bersesaran 1,279 cc yang mampu menghasilkan 140 hp pada 8,500 rpm dan 120 Nm pada 7,000 rpm.
Enjin tersebut digandingkan dengan transmisi enam kelajuan dengan klac slipper dan pacuan akhir jenis rantai. Kapasiti tangki bahan api motosikal ini adalah 22.7 liter manakala beratnya mencecah 304 kg.
1250 TR-G dilengkapi dengan penyerap hentak Marzocchi boleh laras, serta sistem brek dwi-cakera berukuran 320 mm di depan dan cakera tunggal 270 mm di belakang. Kedua-duanya dicengkam oleh angkup Brembo, selain dibantu ABS dwi-saluran.
Senarai kelengkapan yang disertakan pada motosikal berharga di bawah RM90,000 ini boleh tahan panjang. Antaranya termasuklah pendikit elektronik, tiga mod tunggangan (Sport, Comfort dan Rain), Cruise Control, Quickshifter dan Tyre Pressure Monitoring System.
Selain itu, ia juga didatangkan standard dengan lampu LED depan dan belakang, lampu nyalaan siang (DRL), dan skrin sentuh berukuran 12.3 inci dengan sambungan Bluetooth dan Apple CarPlay. Sistem audio JBL turut disertakan.
Untuk pasaran Malaysia, CFMoto 1250 TR-G boleh didapati dalam dua pilihan warna iaitu Nebula White dan Twilight Blue.
SELEPAS melancarkan Aveta Service Corner (ASC) baru-baru ini, Aveta Malaysia kini memperkenalkan pula program terbarunya yang dikenali sebagai Aveta Care on Wheels (ACW).
Pelancaran inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha Aveta Malaysia untuk memperluaskan rangkaian jualan dan khidmat selepas jualan mereka bagi memenuhi keperluan pelanggan.
ACW merupakan pasukan perkhidmatan mudah alih yang terdiri daripada satu trak pikap dan tiga motosikal. Misi pasukan ini adalah untuk memberikan perkhidmatan sokongan kepada pemilik motosikal Aveta di Semenanjung Malaysia yang menghadapi masalah teknikal.
Pasukan ACW terdiri daripada kakitangan Aveta Malaysia yang berpengalaman dan telah dilatih khusus untuk menyelesaikan sebarang isu teknikal.
Pengarah Urusan Kumpulan, Steven Lim berkata, “Di Aveta, kami komited untuk memberikan perkhidmatan yang berkualiti bagi memenuhi keperluan pelanggan kami. Aveta faham bahawa produk yang menarik sahaja tidak mencukupi. Sebuah jenama hanya akan berjaya apabila ia mempunyai program penjagaan pelanggan yang menyeluruh untuk memenangi hati dan keyakinan pelanggannya.”
ACW meliputi seluruh Semenanjung Malaysia, dan rancangan untuk memenuhi kehendak pelanggan di Sabah dan Sarawak sedang giat diuruskan. Ia beroperasi dari Isnin sehingga Sabtu, 10 pagi sehingga 5.30 petang. Temujanji boleh dibuat melalui talian Aveta Customer Careline di +60129565409.
Pasangan adik beradik di United Kingdom telah dijatuhkan hukuman penjara lebih 10 tahun selepas didapati bersalah atas cubaan membunuh pencuri motosikal.
Christopher dan Colin Nurse masing-masing dijatuhkan hukuman 30 dan 14 tahun penjara susulan insiden yang berlaku pada Mac 2020.
Menurut laporan, sekumpulan pencuri motosikal telah cuba melarikan dua motosikal jenis Ducati dan Yamaha yang berada di tapak letak kenderaan di Cooper Close, London. Namun, percubaan pertama mereka gagal apabila disergah penduduk setempat.
Bagaimanapun, dua daripada mereka kembali semula ke lokasi dan ketika itu dua beradik Nurse telah pun bersedia dengan pistol lalu melepaskan tembakan.
Akibat dari tembakan yang dilepaskan secara melulu terhadap pencuri berkenaan, salah seorang penduduk yang tidak ada kaitan dengan kejadian tersebut mengalami kecederaan tembakan di bahagian kanan.
Polis menahan adik beradik itu serta merta di rumah mereka selepas menerima laporan.
Sebanyak 247 motosikal telah disita dalam satu operasi khas yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Ahad.
Lebih mengejutkan, daripada jumlah tersebut, 82 daripanya didapati tidak mempunyai brek belakang.
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid, tindakan itu kini menjadi trend dikalangan anak muda yang menunggang motosikal terutamanya yang terlibat dengan aktiviti lumba haram.
“Kami telah mengesan pelumba remaja yang berlumba dengan mencabut brek belakang. Tindakan itu sangat membahayakan dan mampu mengundang kemalangan maut,” jelasnya.
Memetik laporan The Star, sebanyak 625 saman telah dikeluarkan ketika operasi tersebut berlangsung.
Tidak dinafikan, kes kecurian motosikal kerap berlaku setiap tahun dengan beberapa model sering menjadi sasaran terutamanya melibatkan kapcai.
Antara model popular di mata pencuri adalah Yamaha 135LC, 125Z dan Y15ZR serta beberapa model lain termasuk Honda Wave yang sering dicuri kemudian dijual di negara jiran ekoran terdapat permintaan tinggi.
Untuk itu, kami senaraikan lima benda yang anda boleh beli untuk kurangkan risiko motosikal anda dilarikan.
Handle lock
Seperti namanya, pengunci handle berfungsi dengan mengunci ‘lever’ brake bagi memastikan motosikal tidak mudah dialihkan ketika berada dalam keadaan pegun.
Jenama aksesori motosikal terkenal di Malaysia, GIVI turut memperkenalkan pengunci handle TL12 yang berkualiti dengan harga mampu milik.
GPS Tracker
GPS Tracker merupakan antara komponen yang wajib dipertimbang ketika membeli motosikal.
Motosikal yang dipasang dengan GPS Tracker dapat dikesan dengan mudah menggunakan telefon pintar sekiranaya dicuri.
Selain itu, ada juga GPS tracker yang dilengkapi sistem immobilzer yang membolehkan pemilik mematikan motosikal dari jarak jauh sekiranya didapati telah dicuri.
Special nut lock
Selain motosikal, antara komponen yang sering dilarikan adalah kaliper brek terutamanya yang berjenama seperti Brembo, Nissin dan Tokico.
Dengan adanya special nut lock, usaha untuk mencuri kaliper adalah lebih sukar dan memakan masa yang lama.
Disk brake lock
Satu lagi aspek yang perlu diberi perhatian adalah pengunci cakera brek yang boleh membantu dalam menggagalkan percubaan curi motosikal.
Alat ini wajib ada bagi semua jenis motosikal dari kapcai sehinggalah ke jentera berkuasa tinggi.
Penutup motosikal
Pemilik motosikal jarang memberi perhatian pada penutup motosikal meskipun ianya membantu dalam menyukarkan pencuri mengenal pasti model motosikal berkenaan.
Terdapat banyak kes dimana pencuri mensasarkan motosikal di dalam rumah selama beberapa hari lebih awal kerana dapat mengenal pasti model dan jenis sebelum melakukan kecurian.
Demikian lima benda yang kami rasa mampu membawa manfaat kepada pemilik motosikal ‘panas’ yang ada di Malaysia. Walaupun sedikit pelaburan perlu dilakukan namun kami berasakan ianya lebih berbaloi berbanding dari perlu menggantikan motosikal yang telah dicuri.
Jika boleh bertukar-tukar coverset, cermin sisi dan master pump jenis botol hampir setiap bulan apa salahnya kali ini membeli sesuatu yang boleh mengelakkan daripada jentera kesayangan dicuri supaya tidak menyesal di kemudian hari.
DALAM usahanya untuk memberikan ketenangan fikiran kepada semua pelanggan mereka, Aveta Motorcycles Malaysia baru-baru ini telah melancarkan Aveta Service Corner (ASC).
Menurut syarikat itu, ASC merupakan satu sudut khusus di pusat penjualan Aveta yang dilengkapi dengan peralatan khas untuk juruteknik bekerja pada motosikal Aveta.
“Kami mahu pelanggan mempunyai pengalaman pemilikan yang bagus dengan motosikal Aveta, dan ASC ini adalah untuk itu. Kami bekerjasama dengan peniaga dan pusat servis yang komited yang mempunyai pengetahuan untuk bekerja pada motosikal Aveta,” jelas Steven Lim, Pengarah Urusan Kumpulan Aveta Motorcycles Malaysia.
Tambah beliau lagi, selain pengetahuan, alat yang betul juga penting untuk seorang juruteknik. Justeri tu, ASC mempunyai semua kelengkapan yang sesuai untuk kerja penyelenggaraan dan pembaikan motosikal Aveta.
Bagi memastikan juruteknik sentiasa berprestasi pada tahap tertinggi dan mempunyai set kemahiran yang betul, Aveta telah menyediakan latihan untuk semua model sedia ada.
Selain daripada latihan, semua juruteknik juga akan diberikan baju T, manakala ASC turut menyediakan lift motosikal dan laci alat.
ASC pertama dilancarkan dengan kerjasama Ann Chuan Motor, pengedar Aveta di Klang. Ia merupakan yang pertama daripada 30 ASC yang akan dilancarkan di seluruh Malaysia pada tahun 2024.
ASC merupakan salah satu daripada tiga inisiatif Penjagaan Pelanggan, di mana dua lagi adalah Mobile Service Fleet yang sudah beroperasi dan pelantikan stokis yang komited yang dijadualkan pada tahun 2024.
SELEPAS melancarkan Repsol Edition pada Oktober, Boon Siew Honda kini memperkenalkan dua lagi pilihan warna baharu untuk Honda RS-X iaitu Trico White Edition dan Radiate Gray Metallic.
Walaupun tampil lebih segar dengan skema warna baharu, aspek mekanikal RS-X kekal buat masa ini. Ia masih dikuasakan oleh enjin 150 cc DOHC bertaraf Euro 4 yang memberikan kuasa maksimum 15.8 hp pada 9,000 rpm dan 13.6 Nm pada 7,000 rpm.
RS-X menggunakan kerangka tiub berkembar yang dipadankan dengan fork teleskopik di hadapan dan lengan ayun di belakang.
Kapcai ini didatangkan dengan rim 17 inci bersama tayar tanpa tiub bersaiz 90/80 di depan dan 120/70 di belakang. Sistem brek pula terdiri daripada cakera hidraulik pada bahagian depan dan belakang, berserta ABS.
Selain itu, RS-X juga dilengkapi dengan lampu LED, panel meter digital dan tangki bahan api 4.5 liter. Berat keseluruhan motosikal ini adalah 122 kg.
RS-X dalam dua warna baharu akan tersedia di semua pengedar sah Honda di seluruh negara mulai hari ini (24 November 2023), pada harga RM9,748 bagi Trico White Edition dan RM9,698 bagi Radiate Gray Metallic.
AVETA Malaysia Sdn Bhd telah melancarkan motosikal cub kembara pertama di negara ini iaitu Ranger Max Explorer.
Boleh didapati dalam warna Sierra Yellow dan Forest Green, model ini direka untuk kegunaan di jalan raya dan laluan lasak.
Ia dikuasakan oleh enjin 127 cc SOHC empat lejang dengan teknologi sejukan udara yang menghasilkan 10 hp pada 8,000 rpm dan 10.5 Nm pada 5,500 rpm.
Apa yang menarik, enjin berkenaan boleh dihidupkan menggunakan penghidup elektrik atau pemula tendang (kick starter). Kuasa disalurkan ke roda menerusi transmisi empat kelajuan.
Ranger Max Explorer mempunyai rangka jenis T-Bone dengan reka bentuk yang dipantenkan. Rangka ini dipadankan dengan fork teleskopik di hadapan dan penyerap hentak berkembar dengan tabung gas di belakang.
Ia menggunakan tayar jenis off-road bersama rim lidi berukuran 18 inci di hadapan dan 16 inci di belakang. Sistem brek pula merangkumi cakera tunggal di hadapan dan gelendong di belakang.
Sebagai motosikal pelbagai guna, Ranger Max Explorer didatangkan dengan bar hendal tinggi, tempat duduk rendah pada ketinggian 760 mm, jarak lega tanah 180 mm dan pemijak kaki yang diposisikan khusus untuk keselesaan semasa menunggang secara duduk atau berdiri.
Selain itu, motosikal ini juga mempunyai tangki bahan api berkapasiti 8.5 liter, pelindung enjin, meter digital, rak pada bahagian hadapan, tengah dan belakang serta port pengecas USB.
Aveta Ranger Max Explorer dijual pada harga bermula dari RM6,988 tidak termasuk insurans dan cukai jalan. Ia didatangkan dengan jaminan waranti untuk dua tahun atau 20,000 km.
Ia akan berada adi semua wakil pengedar sah Aveta mulai 11 Disember 2023. 500 pelanggan pertama akan menerima kemeja-T Ranger Max Explorer yang eksklusif.
HONDA CB500X, model kembara yang telah berada di pasaran sejak 2013, akan digantikan dengan model baharu yang dikenali sebagai NX500.
Menurut Honda, nama baharu itu diinspirasikan daripada NX650 Dominator yang diperkenalkan di Eropah sekitar lewat 80an.
Nama itu bermaksud ‘New X-over’, menunjukkan kemampuan model itu untuk memberikan pengalaman tunggangan yang menyeronokkan tidak kira di mana.
Tidak terhad kepada nama baharu, NX500 juga menampilkan rekaan lebih segar terutamanya jika dilihat pada bahagian hadapan dan belakang.
Ia didatangkan dengan lampu LED pada bahagian hadapan dan belakang, serta tiga pilihan warna baharu iaitu Grand Prix Red, Matt Gunpowder Black Metallic dan Pearl Horizon White.
Untuk casis, NX500 menggunakan fork terbalik Separate Function Fork Big Piston (SFF-BP) Showa 41 mm dan penyerap hentak tunggal, dipadankan dengan rim aluminium berukuran 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang yang dikatakan lebih ringan berbanding rim terdahulu.
Untuk brek pula, terdapat cakera berkembar 296 mm dengan angkup Nissin dua piston di hadapan dan cakera tunggal 240 mm dengan angkup piston tunggal di belakang. Turut disertakan adalah ABS dwi saluran.
Ketinggian pelana adalah 830 mm, manakala ukuran dimensi adalah 2,165 mm panjang, 830 mm lebar dan 1,415 mm tinggi, dengan jarak lega tanah 180 mm. Berat keseluruhan motosikal ini berkurang sebanyak 3 kg.
Enjin tidak berubah iaitu 471 cc, dua silinder selari yang menghasilkan 47 hp pada 8,600 rpm dan 43 Nm pada 6,500 rpm. Ia digandingkan dengan transmisi enam kelajuan dengan klac jenis assist/slipper.
Dengan tangki bahan api berkapasiti 17.5 liter, jentera ini dikatakan mampu pergi sejauh 480 km dengan satu tangki penuh.
Baru untuk NX500 adalah Honda Selectable Torque Control (HSTC) yang berfungsi untuk mengesan kegelinciran pada roda belakang dan mengurangkan saluran tork jika perlu. Sistem ini boleh dimatikan sepenuhnya.
Satu lagi ciri baharu adalah skrin TFT berukuran lima inci daripada model XL750 Transalp. Skrin ini boleh disambungkan ke telefon pintar IOS dan Android menerusi Honda RoadSync.
HONDA Rebel, yang dilancarkan di Malaysia pada 2017, kini boleh didapati dalam tiga warna baharu untuk model tahun 2023.
Warna yang dimaksudkan adalah Mat Gunpowder Black Metallic, Candy Diesel Red dan Pearl Smoky Gray.
Harga jualannya bermula dari RM33,899, tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran. Boon Siew Honda menawarkan jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000 km.
Dari segi mekanikal, motosikal cruiser dengan penggayaan jenis bobber ini masih kekal dengan enjin sejukan cecair, dua silinder selari bersesaran 471 cc yang menghasilkan 46 PS pada 8,500 rpm dan 43.3 Nm pada 6,000 rpm.
Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi enam kelajuan dengan klac jenis slipper. Menurut Honda, klac tersebut mengurangkan berat tuil sebanyak kira-kira 30 peratus.
Untuk casis, Rebel menggunakan fork teleskopik 41 mm pada bahagian hadapan dan penyerap hentak berkembar pada bahagian belakang.
Sistem brek pula merangkumi cakera tunggal pada bahagian hadapan dan belakang, serta ABS dwi saluran.
Reka bentuk yang langsing, digabungkan dengan ketinggian pelana 690 mm dan berat keseluruhan sekitar 190 kg menawarkan posisi tunggangan yang mudah dan selesa.
Selai itu, Rebel turut dilengkapi dengan lampu LED hadapan dan belakang, serta kluster instrumen digital yang memaparkan pelbagai maklumat penting termasuk posisi gear dan tahap kecekapan bahan api.
HONDA baru sahaja mendedahkan teknologi E-Clutch untuk motosikal, dalam laman web mereka. Menurut mereka, E-Clutch merupakan sistem kawalan klac automatik pertama di dunia bagi transmisi pelbagai gear.
Teknologi itu direka untuk kelancaran gerak mula, penukaran gear, dan boleh berhenti tanpa penunggang perlu menarik tuil klac.
Honda E-Clutch menggunakan teknologi elektronik bagi memberikan kawalan mudah dan mantap untuk prestasi optima dalam situasi dengan perubahan daya seperti permulaan, penukaran gear, dan berhenti. Ia juga dikatakan lebih lancar dan rasa semula jadi berbanding penunggang biasa yang menggunakan klac.
Bagi memenuhi pelbagai keperluan tunggangan, klac ini juga boleh digunakan seperti biasa dengan menarik tuil klac, walaupun ia dikawal secara elektronik.
Ini membolehkan sistem ini digunakan oleh pelbagai penunggang dengan kemahiran berbeza. Ia juga akan membolehkan penunggang lebih fokus kepada keseronokan menunggang dengan lebih selesa.
Sistem ini lebih kompak dan ringan serta boleh dipasang pada enjin sedia ada, jadi Honda merancang untuk menggunakan E-Clutch pada motosikal-motosikal yang dikategorikan sebagai “FUN”.
Sebelum ini kita dapat lihat beberapa pengeluar seperti Lexus dan Hyundai-Kia membangunkan teknologi klac elektronik. Mungkinkah ini akan menjadi lebih lazim dalam kereta dan motosikal di masa depan?