fbpx

Honda NX500 hadir sebagai pengganti CB500X

24YMHONDANX500

HONDA CB500X, model kembara yang telah berada di pasaran sejak 2013, akan digantikan dengan model baharu yang dikenali sebagai NX500.

Menurut Honda, nama baharu itu diinspirasikan daripada NX650 Dominator yang diperkenalkan di Eropah sekitar lewat 80an.

Nama itu bermaksud ‘New X-over’, menunjukkan kemampuan model itu untuk memberikan pengalaman tunggangan yang menyeronokkan tidak kira di mana.

Tidak terhad kepada nama baharu, NX500 juga menampilkan rekaan lebih segar terutamanya jika dilihat pada bahagian hadapan dan belakang.

Ia didatangkan dengan lampu LED pada bahagian hadapan dan belakang, serta tiga pilihan warna baharu iaitu Grand Prix Red, Matt Gunpowder Black Metallic dan Pearl Horizon White.

Untuk casis, NX500 menggunakan fork terbalik Separate Function Fork Big Piston (SFF-BP) Showa 41 mm dan penyerap hentak tunggal, dipadankan dengan rim aluminium berukuran 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang yang dikatakan lebih ringan berbanding rim terdahulu.

Untuk brek pula, terdapat cakera berkembar 296 mm dengan angkup Nissin dua piston di hadapan dan cakera tunggal 240 mm dengan angkup piston tunggal di belakang. Turut disertakan adalah ABS dwi saluran.

Ketinggian pelana adalah 830 mm, manakala ukuran dimensi adalah 2,165 mm panjang, 830 mm lebar dan 1,415 mm tinggi, dengan jarak lega tanah 180 mm. Berat keseluruhan motosikal ini berkurang sebanyak 3 kg.

Enjin tidak berubah iaitu 471 cc, dua silinder selari yang menghasilkan 47 hp pada 8,600 rpm dan 43 Nm pada 6,500 rpm. Ia digandingkan dengan transmisi enam kelajuan dengan klac jenis assist/slipper.

Dengan tangki bahan api berkapasiti 17.5 liter, jentera ini dikatakan mampu pergi sejauh 480 km dengan satu tangki penuh.

Baru untuk NX500 adalah Honda Selectable Torque Control (HSTC) yang berfungsi untuk mengesan kegelinciran pada roda belakang dan mengurangkan saluran tork jika perlu. Sistem ini boleh dimatikan sepenuhnya.

Satu lagi ciri baharu adalah skrin TFT berukuran lima inci daripada model XL750 Transalp. Skrin ini boleh disambungkan ke telefon pintar IOS dan Android menerusi Honda RoadSync.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved