Arkib Tag: motosikal

Cuaca panas bahang: Tips menunggang dengan selamat

Tidak semua orang suka menunggang di atas jalan raya Malaysia, apatah lagi ditambah dengan keadaan cuaca yang tidak menentu.

Selain hujan lebat, ada kalanya kita mungkin terpaksa berdepan dengan cuaca yang panas membahang demi mencari sesuap nasi yang halal.

Terdapat beberapa tips yang anda boleh amalkan:

1. Sediakan air sebelum pengsan

Ini ialah tips yang paling penting, kerana cuaca panas akan menyebabkan badan kehilangan kandungan air disebabkan oleh air peluh yang dirembes keluar.

Sekiranya terlalu banyak air yang dikeluarkan dari badan, ia akan menyebabkan ketidakseimbangan elektrolit.

Jadi, sebelum memulakan perjalanan, pastikan stok air minuman sentiasa ada dalam bakul motosikal/beg anda.

Cuba elakkan minum air bergula dan kafein, kerana ia akan membuatkan anda cenderung membuang air dengan kerap.

 

2. Rancang perjalanan

Tips ini sesuai diamalkan sekiranya anda perlu ke satu-satu tempat dan terpaksa menunggang di bawah sinaran mentari yang terik untuk satu jangka masa yang lama.

Seboleh-bolehnya, rancang perjalanan terlebih dahulu dan tentukan tempat yang sesuai untuk berehat seketika.

Elakkan menunggang terlalu lama ketika suhu persekitaran paling panas, ini kerana keadaan tersebut boleh mengganggu kadar tumpuan penunggang.

 

3. Pakai kelengkapan menunggang yang sesuai

Menunggang di bawah cuaca panas tidak bermakna anda perlu mengorbankan aspek keselamatan sepanjang perjalanan.

Pemilihan mesh jacket dan helmet yang mempunyai sistem aliran udara yang baik dapat membantu mengurangkan haba yang terperangkap.

Tidak dilupakan, pakai juga sarung tangan dan bandana di sekeliling lehar untuk mengurangkan kesan selaran matahari.

Pastikan juga visor helmet berada dalam keadaan baik, dan jika perlu pakai cermin mata yang dilengkapi dengan penapis sinaran UV.

 

4. Ada tanda kepenatan? Berhenti rehat!

Sekiranya anda terlalu banyak berpeluh, rasa sakit dan pening kepala, hilang tumpuan dan mengantuk, itu adalah petanda anda sudah terlalu lama menunggang di bawah cuaca panas.

Sekiranya anda kehilangan fokus, keadaan ini mampu membahayakan nyawa diri sendiri dan pengguna lain atas jalan.

 

5. Pilih laluan yang teduh

Lorong motosikal biasanya menyediakan ruang yang lebih teduh disebabkan berhampiran dengan pokok-pokok di tepi jalan, berbanding terpaksa menyelit di tengah-tengah lebuh raya.

Untuk perjalanan jauh merentas negeri dan mahu mengelak lebuh raya yang panas membahang, anda mungkin boleh mencuba laluan yang mempunyai banyak pokok dan kawasan yang lebih teduh.

 

6. Pastikan jentera berada dalam keadaan baik

Perkara yang paling utama perlu dititikberatkan ialah keadaan motosikal anda itu sendiri yang ‘tiptop’ dan bebas daripada sebarang masalah.

Sebelum membuat perjalanan, periksa dahulu beberapa bahagian yang penting termasuklah sistem brek, tayar, serta sistem penyejukan enjin.

Ducati DesertX Rally, Monster 30° Anniversario masuk pasaran Malaysia

DUCATI Malaysia telah mengumumkan ketibaan dua model menarik ke pasaran tempatan iaitu DesertX Rally dan Monster 30° Anniversario yang merupakan model edisi terhad.

DesertX Rally (RM160,900)

Sebagai varian tertinggi dalam bariannya, DesertX Rally tampil dengan pelbagai kelengkapan yang direka khusus untuk meningkatkan pengalaman tunggangan off-road.

Berikut adalah antara spesifikasi dan kelengkapan yang disertakan:

  • Sistem suspensi KYB berprestasi tinggi dan boleh laras sepenuhnya dengan teknologi katrij tertutup memberikan ketahanan dan prestasi tunggangan off-road yang lebih konsisten.
  • DesertX Rally dilengkapi dengan rim Takasago EXCEL tugas berat dengan hab billet aluminium dan jejari keluli karbon. Ia dikatakan 0.5 kg lebih ringan berbanding rim DesertX standard.
  • Sump guard karbon, serta brek belakang dan tuil gear yang diperbuat daripada billet aluminium mengurangkan berat dan pada masa yang sama menawarkan ketahanan.
  • Grafik tahan lasak yang diinspirasikan daripada livery yang digunakan oleh Antonie Meo dalam perlumbaan Erzbergrodeo.

 

Monster 30° Anniversario (RM115,900)

Terhad kepada 500 unit sahaja di seluruh dunia, Monster 30° Anniversario dihasilkan sempena ulang tahun ke-30 Monster.

Antara ciri utama jentera ini adalah:

  • Livery Tricolore “30° Anniversario” dengan penutup tempat duduk pembonceng dan plak nombor siri pengeluaran pada bar hendal. Turut disertakan adalah animasi unik pada panel instrumen.
  • Dikuasakan oleh enjin Testastretta 11° bersesaran 987 cc yang menjana 111 hp dan 93 Nm untuk tunggangan yang mengujakan.
  • Rim aluminium tempaan didatangkan secara standard.
  • Mempunyai kelengkapan elektronik terkini yang merangkumi ciri-ciri seperti Ducati Quick Shift (DQS), Cornering ABS, dan Traction Control untuk tunggangan yang selamat dan dinamik.
  • Fork boleh laras Öhlins NIX30, penyerap hentak belakang Öhlins dan peredam stereng Öhlins.
  • Ergonomik tempat duduk direka semula untuk keselesaan dan kawalan yang lebih tinggi, menjadikan motosikal ini sesuai untuk tunggangan di dalam dan luar bandar.

Motosikal tua akan dihalang masuk Singapura bermula Julai 2028

AGENSI Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) Singapura berkata tidak lama lagi, motosikal asing yang lama tidak akan dibenarkan di jalan raya di negara itu, sementara kenderaan diesel komersial asing perlu mematuhi tahap pelepasan yang lebih rendah.

Menurut laporan Channel News Asia, langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan Singapura untuk melindungi kualiti udara.

NEA berkata mulai 1 Julai 2028, motosikal berdaftar asing yang didaftarkan di negara mereka sebelum 1 Julai 2023 akan dihalang daripada memasuki Singapura.

Sebelum ini pada tahun 2018, NEA mengumumkan keperluan sama yang melarang motosikal tempatan lama dari jalan raya Singapura bermula Julai 2028.

Ini kerana motosikal lama menyebabkan lebih banyak pencemaran berbanding motosikal yang mematuhi piawaian pelepasan Euro yang lebih baharu.

“Keperluan ini kini akan diperluaskan kepada motosikal berdaftar asing, kata NEA.

“Penunggang motosikal asing yang memasuki Singapura dikehendaki menggunakan motosikal yang didaftarkan pada atau selepas 1 Jul 2003, yang juga mematuhi piawaian pelepasan dalam penggunaan Singapura,” tambah agensi itu.

Pengharaman motosikal asing lama adalah sebahagian daripada langkah untuk mengehadkan pelepasan kenderaan kerana ia mengandungi bahan pencemar yang boleh menjejaskan pernafasan.

NEA juga berkata mulai 1 April 2026, tahap untuk mengarahkan kenderaan diesel komersial asing berpatah balik daripada memasuki Singapura akan diperketatkan kepada 50 HSU.

‘Hartridge Smoke Unit’ merupakan metrik untuk pelepasan asap daripada kenderaan diesel.

Gaji tinggal RM50, lelaki ini menyesal beli BMW S 1000 RR

Seorang pengguna media sosial meluahkan rasa kesal selepas melakukan pembelian motosikal idaman jenis BMW S 1000 RR. 

Perkongsian di media sosial itu mencuri perhatian apabila lelaki berkenaan mendedahkan bagaimana dia telah membeli motosikal jenis ‘superbike’ dengan harga RM129k pada tahun 2023 namun kemudian meluah rasa kesal. 

“Betul orang kata superbike untuk hobi orang kaya, bukan keperluan. 

“Aku gaji baru RM6k beli BMW S 1000 RR 2023 dan sekarang baru tengah bulan, lepas perbaharui cukai jalan dan servis, duit makan cuma tinggal RM50,” katanya. 

Perkongsiannya mendapat pelbagai reaksi di media sosial dengan rata-rata mengkritik tindakan membeli jentera BMW yang paling baharu walaupun terdapat pilihan lain yang menawarkan harga lebih rendah. 

Untuk rekod, BMW S 1000 RR 2023 merupakan motosikal segmen 1000cc yang dikuasakan enjin 4-silinder 999cc DOHC dengan teknologi BMW ShiftCam yang berupaya menjana 205hp pada 13,000rpm dan 113Nm pada 11,000rpm. 

Honda mahu tamatkan pengeluaran motosikal 50 cc di Jepun 2025

Honda Motor dilapor akan menghentikan pengeluaran motosikal bersesaran kecil pada Mei 2025 disebabkan undang-undang pelepasan emisi lebih ketat yang bakal dilaksanakan pada tahun yang sama.

Menurut laporan Nikkei Asia, langkah tersebut akan memberikan kesan kepada model-model moped dengan enjin bersesaran 50 cc dan ke bawah.

Di Jepun, motosikal bersesaran 50 cc merupakan antara tunjang utama sistem pengangkutan di Jepun semasa ledakan ekonomi pasca perang. Disebabkan harga yang mampu milik dan jimat bahan api, ia juga merupakan antara pilihan yang popular di kalangan golongan pekerja dan pelajar.

 

 

Honda mendahului pasaran dengan melancarkan model ikonik Super Cub C100 bersesaran 49 cc pada tahun 1958, di mana siri Super Cub kemudiannya menjadi model dua tayar yang paling laris terjual di seluruh dunia dengan lebih 110 juta unit terjual.

Tidak menghairankan apabila Honda sendiri menguasai 80 peratus pegangan pasaran domestik dalam kelas kenderaan ini.

Selain daripada faktor undang-undang emisi yang semakin ketat, pengeluar Jepun turut berdepan dengan angka jualan yang merudum saban tahun.

 

 

Menurut data daripada Japan Automobile Manufacturers Association, sebanyak 2.5 juta unit motosikal di dalam kategori tersebut (termasuk pengeluar selain Honda) telah dipasarkan pada tahun 1980.

Namun angka tersebut menjunam kepada 150,000 unit pada tahun 2022, diikuti 90,000 unit pada tahun 2023 disebabkan oleh populariti e-bike dan skuter elektrik.

Untuk memenuhi piawaian emisi baharu sudah pasti memerlukan kos pembangunan yang besar, dan tidak dapat tidak Honda perlu menaikkan harga jualan bagi mengimbangi kos pembangunan yang telah dilaburkan.

 

 

Selain daripada itu, format motosikal 50 cc yang cukup unik untuk pasaran Jepun menyebabkan Honda melihat keadaan ini sebagai satu penghalang besar untuk memasarkannya di peringkat global.

Di Jepun, motosikal bersesaran 50 cc ini dijual pada harga bermula dari 200,000 yen hingga 300,000 yen (RM5,892 hingga RM8,838).

Dengan penambahbaikan yang perlu dibuat, harga jualan tersebut berkemungkinan besar akan melonjak lebih mahal daripada motosikal bersesaran 125 cc (julat harga 300,000 yen-450,000 yen atau RM8,838 hingga RM13,257).

 

Honda CBR250RR kini dengan enjin lebih berkuasa, reka bentuk lebih aerodinamik

BOON Siew Honda hari ini melancarkan Honda CBR250RR baharu yang dipertingkatkan dengan enjin lebih berkuasa dan skema warna lebih segar.

Untuk model tahun 2024, enjin 250 cc silinder berkembar DOHC itu kini menghasilkan 42 PS (31 kW) pada 13,000 rpm dan 25 Nm pada 11,000 rpm. Jumlah ini menunjukkan peningkatan kuasa sebanyak 1.36 PS (1 kW) lebih tinggi berbanding sebelum ini.

Menurut Honda, peningkatan kuasa itu dicapai dengan mengurangkan isipadu kebuk pembakaran dari 7.55 kepada 7.00 sentimeter padu, sekali gus mengubah nisbah mampatan dari 12.1 kepada 12.5.

Selain itu, diameter inlet port turut diperbesarkan dari 21.4 kepada 21.6 mm untuk meningkatkan kapasiti kemasukan, manakala omboh dan oil ring tension dioptimumkan untuk mengurangkan geseran.

Satu lagi pembaharuan yang dibawa adalah fork terbalik Separate Function Fork – Big Piston (SFF-BP) Showa yang bertindak untuk menstabilkan daya redaman serta memberikan pengalihan beban yang lebih bebas semasa tunggangan agresif.

Sementara itu, ciri-ciri seperti klac Assist & Slipper, ABS dwi saluran dan sistem Throttle-by-Wire dengan mod Sport, Sport+ dan Comfort dikekalkan.

CBR250RR direka berdasarkan konsep ‘bentuk pantas yang agresif’, dengan postur condong ke depan, sudut-sudut tajam dan struktur badan yang tidak ubah seperti motosikal berkapasiti tinggi.

Model ini didatangkan dengan fairing baharu dengan ciri aerodinamik termaju yang mampu mengurangkan rintangan udara sebanyak 6%.

Untuk warna, CBR250RR ditawarkan dalam dua warna iaitu Mat Zodica Blue Metallic dan Honda Tricolor. Harga jualan bermula dari RM27,999 tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran.

Boon Siew Honda menawarkan jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000 km.

Malaysia Autoshow 2024: Royal Enfield Shotgun 650 rasmi, dari RM34,900

Didi Group selaku pengedar sah jenama motosikal Royal Enfield di Malaysia telah pun melancarkan model baharu Shotgun 650.

Didatangkan dalam empat warna menarik, iaitu Stencil White, Plasma Blue, Green Drill dan Sheet Metal Grey, ia dijual pada harga bermula dari RM34,900.

Shotgun 650 dibina berdasarkan platform 650 Twin, membawakan rekaan yang menggandingkan unsur futuristik retro bersama ciri-ciri moden seperti unit lampu LED, skrin kluster analog-digital, dan fungsi navigasi Tripper untuk memudahkan urusan tunggangan.

Penunggang pula dapat menyesuaikan diri dengan mudah, terima kasih kepada kedudukan pemijak kaki dan bar hendal yang ergonomik, titik graviti rendah, dibantu dengan ketinggian pelana 795 mm.

Shotgun 650 didatangkan dengan fork hadapan SFF-BP Showa (jarak gerak 120 mm), sementara bahagian belakang pula mendapat penyerap hentak berkembar Showa (jarak gerak 90 mm).

 

Jentera ini menggunakan sistem brek cakera, terdiri daripada angkup dua omboh terapung dan rotor tunggal 320 mm depan, diikuti rotor 300 mm di bahagian belakang dan dibantu dengan sistem ABS dua saluran.

Dari segi kuasa, RE Shotgun 650 ini digerakkan oleh enjin kembar selari 648 cc menghasilkan 46.4 hp @ 7,250 rpm, dan daya kilas 52.3 Nm @ 5,650 rpm dengan sistem pancitan bahan api elektronik yang dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan.

Bacaan penggunaan bahan api adalah sekitar 22km/liter atau 4.5 liter untuk setiap 100 km.

 

Terdapat sehingga 31 aksesori tulen yang ditawarkan oleh Royal Enfield untuk model Shotgun 650 termasuklah cermin sisi hujung bar hendal, tempat duduk solo, serta rim billet jenis potongan kontras.

Selain pelancaran model Shotgun 650, Royal Enfield turut mengumumkan pembukaan tempahan bagi model baharu Himalayan, di mana ia akan muncul secara rasmi pada 8 Jun ini di JioSpace Petaling Jaya.

 

Honda bangunkan sistem radar berbantu kamera untuk motosikal

Sejak kebelakangan ini,  banyak pengeluar motosikal sudah mula memperkenalkan ciri-ciri keselamatan secara standard untuk tunggangan yang lebih selamat.

Kalau dulu tidak banyak motosikal yang dilengkapi dengan sistem brek anti-kunci (ABS), kini pembeli disediakan dengan pelbagai pilihan model yang lebih selamat.

Tidak terhad kepada skuter bersesaran bawah 500 cc yang sudah pun mempunyai ciri seperti kawalan cengkaman dan ABS dua saluran,  motosikal yang lebih premium seperti BMW, Ducati dan KTM mula menawarkan sistem kawalan jelajah adaptif pada sesetengah model keluaran mereka.

Pengeluar motosikal Jepun, Honda dilapor mula membangunkan sistem kawalan jelajah adaptif yang serupa.

 

Namun, tidak seperti sistem ACC sedia ada yang menggunakan bantuan radar, Honda telah menambah satu lagi komponen yang penting, iaitu kamera.

Berdasarkan paten yang telah didaftarkan, Honda telah memasang sistem kamera berkembar yang diposisikan betul-betul di bawah unit lampu utama, lengkap dengan cagak getah dan struktur seakan gimbal untuk menyerap gegaran yang terhasil.

Kelebihannya? Ia menjadikan sistem jelajah adaptif yang lebih cekap dan pintar, di mana kedua-dua komponen kamera dan radar itu saling melengkapi kekurangan antara satu-sama lain.

Selain itu, Honda juga mahu menggunakan data yang diperoleh daripada kamera dan radar itu untuk menjadikan sistem brek automatik yang lebih berkesan, terutama ketika berdepan dengan keadaan trafik yang sesak.

 

Ciri terbaharu ini akan mula ditawarkan pada model Honda Africa Twin, dan tidak mustahil ia bakal diperluaskan kepada model-model lain seperti NT1100, Rebel 1100 dan GoldWing.

VMoto lancar dua motosikal elektrik di Malaysia – dari RM20k

Ni Hsin EV Tech Sdn Bhd (NH EV Tech) telah melancar dua motosikal elektrik untuk pasaran Malaysia menerusi VMoto TCMax dan CPx Pro dengan masing-masing dijual pada harga RM19,900 dan RM25,900. 

Sekali imbas, VMoto TCMax menampilkan gaya ala ‘cafe racer’ dengan lampu LED bulat di hadapan. Trenkuasa pula hadir menerusi motor elektrik yang menjana 5.1kW/6.8hp dan 160Nm. Motosikal ini dikuasakan bateri lithium polimer 72V 45 Ah 3.24 kWh. 

Menurut NH EV Tech, TCMax memerlukan masa 4.5 jam untuk cas penuh (dari kosong) menggunakan sumber AC yang dibekalkan bersama. 

VMoto mendakwa TCMax boleh mencapai kelajuan sehingga 95km/j dan boleh berjalan sejauh 130km dengan setiap cas penuh. 

Antara ciri ditawarkan:

  • rim 17-inci
  • cakera brek depan dan belakang
  • sistem CBS (combine braking system)
  • meter analog dan LCD

Sementara itu, VMoto CPx Pro pula merupakan sebuah skuter elektrik yang memuatkan dua bateri 60V 45Ah yang boleh dialihkan.  Susulan penggunaan bateri yang lebih besar, CPx Pro ini boleh bergerak sejauh 220km. Cas penuh pula memakan masa sekitar 3.5jam. 

CPx Pro ini dikuasakan motor elektrik yang menjana 8kW/10.7hp dan 258Nm dan mampu merekodkan kelajuan sehingga 105km/j.  Menariknya, skuter ini juga ada fungsi ‘reverse’ bagi memudahkan pengguna.

Lambretta masuk pasaran Malaysia, bakal lancar X250 dan G350

LAMBRETTA, sebuah jenama skuter klasik yang cukup dikenali ramai, telah mengumumkan kemasukannya ke pasaran Malaysia.

Sebagai permulaan, Lambretta akan membuka lima kedai rasmi di Malaysia yang terletak secara strategik di seluruh negara termasuk Kuala Lumpur, Johor Bahru, Pulau Pinang dan Kuching. Ia juga akan melancarkan dua model baharu iaitu X250 dan G350 tidak lama lagi.

Lambretta diasaskan pada tahun 1947 oleh Ferdinando Innocenti, dengan inspirasi daripada skuter Cushman berwarna hijau zaitun yang digunakan secara meluas di Itali semasa zaman peperangan.

Visinya adalah untuk mencipta sebuah kenderaan yang menawarkan kemudahan pemanduan, sesuai untuk lelaki dan wanita, dan membolehkan penumpang bergerak tanpa menjejaskan pakaian mereka.

Model terawal Lambretta menggunakan sistem suspensi bebas pada roda hadapan dan belakang, serta rekaan enjin tertutup dan badan streamline.

Hari ini, Lambretta masih menjadi lambang subkultur Mod, mewakili skuter sebagai kenderaan Mod yang hakiki dan memperlihatkan gaya Itali yang unik pada era tersebut.

Era baharu skuter Lambretta menggabungkan keanggunan, fungsi, dan estetik yang kekal sepanjang zaman. Dengan gaya klasik, Lambretta memberi penghormatan kepada asal usulnya sambil menggabungkan estetik berkekalan sepanjang zaman dengan inovasi kontemporari.

Ia juga menampilkan seni bina monocoque unik yang menandakan garis ketangkasan dan kekuatan yang tidak terputus melalui setiap lengkung dan kontur. Model-model baharu ini memancarkan keanggunan dan eksklusiviti, mewakili puncak warisan skuter Lambretta.

Triumph Speed 400, Scrambler 400 X kini di Malaysia – dari RM27k

TRIUMPH Motorcycles Malaysia secara rasminya melancarkan rangkaian Triumph T-Series ke pasaran Malaysia yang terdiri daripada dua model iaitu Speed 400 dan Scrambler 400 X.

Speed 400 merupakan model roadster yang menyertai barisan moden klasik di samping Speed Twin 900 dan 1200, manakala Scrambler 400 X pula tampil dengan rekaan rugged yang diilhamkan oleh Scrambler 900 dan 1200.

 

 

Kedua-dua model ini dikuasakan oleh enjin yang sama iaitu enjin TR-Series sejukan cecair silinder tunggal bersesaran 398 cc yang menghasilkan 40 PS dan 37.5 Nm. Enjin ini mematuhi piawaian emisi Euro 5 dan dipadankan dengan transmisi enam kelajuan.

Walaupun berkongsi ‘nadi’, Speed 400 dan Scrambler 400 X menawarkan tetapan casis tersendiri untuk memberikan posisi tunggangan yang berbeza.

Speed 400 didatangkan dengan fork terbalik 43 mm, penyerap hentak monoshock dengan tabung, rim aluminium aloi berukuran 17 inci di hadapan dan belakang, serta cakera brek hadapan 300 mm yang dipadankan dengan angkup radial empat piston. Ia juga lebih mesra penunggang dengan ketinggian pelana 790 mm dan berat keseluruhan sekitar 170 kg.

Sementara itu, Scrambler 400 X menggunakan sistem suspensi yang sama namun dengan travel yang lebih tinggi iaitu 150 mm. Versi ini juga dilengkapi dengan rim 19 inci pada bahagian hadapan, bar hendal yang lebih lebar serta brek cakera yang lebih besar iaitu 320 mm.

 

Bukan itu sahaja, tempat letak kakinya berada pada kedudukan lebih rendah, manakala pelana dinaikkan sedikit kepada 835 mm. Beratnya juga bertambah sebanyak 9 kg berbanding Speed 400.

Untuk sistem elektronik pula, kedua-dua model mempunyai pendikit Ride-by-Wire, Traction Control dan ABS dwi saluran yang boleh dimatikan pada Scrambler 400 X untuk tunggangan off-road.

Ciri-ciri lain yang disertakan termasuk lampu LED, skrin LCD dengan tachometer digital, baki bahan api dan posisi gear, soket pengecas USB-C dan immobiliser.

Harga jualan bermula dari RM26,900 untuk Speed 400 dan RM29,900 untuk Scrambler 400 X.

 

Beli Castrol Activ atau Activ Essential, dapat insurans percuma untuk penunggang motosikal

Castrol memperkenalkan program insurans percuma baharu khas untuk anda penunggang motosikal. Inisiatif ini merupakan salah satu komitmen Castrol terhadap keselamatan dan kesejahteraan penunggang motosikal.

Program ini dibangunkan dengan kerjasama MCIS Life, Zensung, dan Standard Chartered bagi memberikan ketenangan minda kepada penunggang motosikal.

Setiap pembelian produk Castrol Activ atau Castrol Activ Essential dari bengkel Castrol yang sah atau kedai dalam talian rasmi Castrol, anda akan layak mendapat perlindungan insurans percuma secara automatik.

Proses permohonannya mudah, seperti berikut:

  • Beli Castrol Activ atau Castrol Activ Essential daripada kedai Castrol yang sah atau kedai e-dagang rasmi Castrol.
  • Imbas kod QR kedai yang mengambil bahagian atau guna kod yang disertakan semasa pembelian dalam talian.
  • Muat naik resit pembelian dan berikan butiran yang diperlukan (nama, nombor kad pengenalan, nombor telefon mudah alih, dan e-mel) melalui portal Castrol Protect, yang dikuasakan oleh MCIS Life dan Zensung.

Dalam hanya beberapa minit, polisi insurans akan dikeluarkan, memberikan perlindungan percuma selama sebulan untuk kematian atau hilang upaya kekal penuh akibat kemalangan (sehingga RM4,000) dan perbelanjaan pengebumian (sehingga RM1,000), dengan jumlah keseluruhan RM5,000.

Anda juga boleh memegang sehingga tiga polisi aktif pada satu masa bagi memaksimumkan perlindungan mereka.

“Di Castrol, kami komited untuk menyediakan penunggang motosikal dengan produk dan pengalaman yang terbaik,” kata Mike Zhang.

Op Rempit: Tiada brek belakang, JPJ Pulau Pinang sita 11 motosikal 

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang telah mengeluarkan 197 saman terhadap penunggang motosikal atas pelbagai kesalahan menerusi operasi khas Op Rempit yang dilaksanakan di Plaza Tol Sungai Dua dan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) pada Ahad. 

Menurut JPJ Pulau Pinang, operasi khas itu telah dijalankan dengan kerjasama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman dan Jabatan Alam Sekitar (JAS). 

Operasi yang bertujuan mencegah kegiatan lumba haram dan modifikasi haram itu turut menyaksikan sebanyak 11 motosikal telah disita. 

“JPJ Pulau Pinang mengeluarkan 197 notis saman dan menyita 11 motosikal. JSPT Bukit Aman mengeluarkan 34 saman dan lima kompaun manakala JAS pula 18 notis uji semula,” maklum JPJ Pulau Pinang berdasarkan hantaran di akaun rasmi di Facebook. 

Antara kesalahan dikesan termasuk penggunaan tayar sotong, ketiadaan brek belakang, tidak mempamer nombor plat dan mengubah suai ekzos. 

Dalam pada itu, kesalahan lain yang turut dikenal pasti termasuk menunggang tanpa lesen serta lesen kenderaan motor tamat tempoh. 

Pusat pameran Kawasaki All-Star keempat dibuka di Johor Bahru

Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) memperkenalkan pusat pameran All-Star Kawasaki yang keempat di Johor Bahru. 

Menempatkan kesemua model Kawasaki yang ditawarkan di Malaysia, pusat pameran baharu ini juga menawarkan pelbagai perkhidmatan lain termasuk servis selepas jualan dan alat ganti.

 

Juga tidak dilupakan, Kawasaki Johor Bahru ini juga menawarkan pelbagai aksesori tambahan termasuk helmet pelbagai jenama. 

Meraikan majlis pembukaan ini termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan, Ketua Pegawai Pemasaran, George Kashiwagi dan  Pengarah Kawasaki Johor Baharu, Qbee Ng.  

Dalam pada itu, turut memeriahkan majlis adalah acara penyerahan tiga motosikal jenis Kawasaki Ninja ZX-25RR yang baru sahaja diperkenalkan untuk pasaran tempatan. 

Sementara itu, EMOS cadang buka lapan lagi pusat pameran bertaraf All-Star Kawasaki menjelang Disember tahun ini. 

Felo TOOZ dilancarkan di Thailand – tawar jarak pergerakan 720km

Jenama motosikal elektrik dari China, Felo telah melancarkan TOOZ ketika di Bangkok International Motor Show yang berlangsung ketika ini.

Ditawarkan sebagai motosikal kembara (tourer), Felo TOOZ ini hadir dengan reka bentuk yang besar mirip Honda GL1800 Goldwing. 

Rupa bentuk yang besar itu berpunca daripada penggunaan bateri yang lebih besar. Menurut Felo, TOOZ ini menawarkan jarak pergerakan 720 kilometer di samping mampu mencapai kelajuan maksima sekitar 200km/j. 

Berdasarkan angka itu, tidak hairanlah TOOZ ini bersaiz besar bagi memuatkan kapasiti bateri yang agak besar. 

Selain itu, turut mencuri tumpuan adalah kelengkapan yang ditawarkan termasuk panel meter TFT 12-inci dan sistem pembesar suara 6-saluran. 

Menurut Felo, panel meter TFT itu (selain boleh disambungkan ke telefon pintar) turut menawarkan fungsi navigasi dan sistem kamera 360-darjah. Selain itu, turut ditawarkan fungsi TPMS, ABS dan sistem ‘traction control’. 

Felo TOOZ ini juga menyokong pengecasan TYPE2 (hanya memerlukan masa 20 minit untuk cas dari 20 hingga 80 peratus). Felo turut menawarkan ‘cooling box’ berkapasiti 8-liter yang boleh dipasang pada salah satu ‘panniers’.

 

Tidak cukup dengan itu, TOOZ juga menawarkan teknologi V2L yang bermakna anda boleh menggunakan bateri pada motosikal tersebut untuk menyalur kuasa pada kelengkapan elektrik lain. 

Berdasarkan info dikongsikan, kami jangkakan bateri yang diguna pakai adalah cukup berkuasa meskipun tidak dinyatakan secara spesifik. 

Suzuki kembali sertai EWC dengan GSX-R1000

Suzuki membuat kejutan apabila menghidupkan semula jabatan perlumbaan dengan kembali menyertai Suzuka 8 Hours yang merupakan sebahagian daripada Kejuaraan Dunia Endurance (EWC). 

Kilang Hamamatsu akan kembali bersaing di pentas EWC mengguna pakai jentera kebanggaan, Suzuki GSX-R1000. 

Bagaimanapun, Suzuki akan bersaing dalam ‘Experimental Class’ dengan menurunkan GSX-R1000 yang mengguna pakai bahan api bukan fosil Moto R40 FIM 40 dari jenama Elf. 

Meskipun begitu, setakat hari ini, Suzuki belum lagi mengesahkan barisan pelumba yang akan beraksi di Litar Suzuka pada Julai nanti. 

Untuk rekod, Suzuki telah pun menarik diri dari sebarang kejuaraan dunia bermula dengan MotoGP dan EWC pada 2021 bagi memfokuskan perbelanjaan ke sektor lain yang lebih menguntungkan. 

Menurut Ketua Projek Shinichi Sahara yang juga merupakan bekas ketua projek MotoGP sebelum ini, dia menjelaskan bahawa entri Suzuka 8 Hours adalah bertujuan mempercepatkan pembangunan teknologi prestasi tinggi yang mesra alam. 

Triumph lancar Trident 660 dengan livery ‘Slippery Sam’

Triumph memberi penghormatan terhadap motosikal perlumbaan terkenalnya dengan melancarkan Trident 660 edisi khas yang menampilkan livery Slippery Sam. 

Triumph mencipta nama pada era 70an menerusi jentera Trident 750cc yang merangkul pelbagai kejuaraan pada waktu itu dan dikenali sebagai Slippery Sam. 

Sebagai penghargaan, Trident 660 bukan sahaja tampil dengan warna Slipper Sam malah turut dilengkapi dengan komponen tambahan yang tidak ada pada model Trident 660 biasa. 

Ini kerana Trident 660 edisi khas ini dilengkapi dengan Triumph Shift Assist (quickshifter), ‘belly pan’ serta ‘fly screen’. 

Untuk rekod, Triumph Slipper Sam yang berlumba pada era 70an itu beraksi dalam pelbagai litar pendek termasuk di Isle Of Man TT. Jolokan Slippery Sam itu diberi kerana jentera lumba pada waktu itu sering kebocoran minyak sehinggakan bahagian ‘fairing’ dan pelumba dipenuhi minyak di hujung perlumbaan. 

MV Agusta kini jadi milik KTM

Pada November 2022, Pierer Mobility Group selaku syarikat induk KTM AG telah memperoleh pengangan saham 25.1 peratus MV Agusta.

Perolehan itu menyaksikan KTM AG mempunyai campur tangan dalam beberapa aspek pengurusan MV Agusta. Kemudian pada Oktober 2023, KTM AG mengambil alih pengurusan pembelian dan rantaian bekalan syarikat berpangkalan di Varese, Itali itu. 

Terbaru, KTM AG mengumumkan perolehan 50.1 peratus pemilikan saham MV Agusta sekaligus memiliki pengangan majoriti jenama motosikal mewah Itali itu. 

Pengumuman itu walaupun sudah dijangka namun dianggap sebagai satu kejutan kerana KTM AG sebelum ini berpeluang menjadi pemegang majoriti pada Disember 2025 namun membuat keputusan untuk percepatkan perolehan tersebut. 

Susulan perkembangan terbaru ini, KTM AG akan mengambil alih pengurusan syarikat dan merancang untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran MV Agusta kepada lebih 10,000 unit. 

Sanggup belanja hampir setengah juta demi Yamaha RXZ

Seorang peminat Yamaha RX-Z di Malaysia baru-baru ini mendedahkan bagaimana di sanggup membelanjakan hampir setengah juta demi motosikal tersebut. 

Wan Noor Azmirullah Wan Noor Abidin mendedahkan sanggup mengeluarkan belanja besar demi memenuhi impiannya untuk memiliki kesemua edisi RX-Z yang ada bermula dari keluaran pertama hingga yang terakhir. 

Disebabkan itu, Wan Noor, juga seorang mekanik telah menjadikan garajnya di Kampung Gong Badak, Terengganu sebagai lokasi tumpuan yang bertindakan seakan muzium mini bagi peminat motosikal RX-Z tersebut. 

“Saya mempunyai lebih 25 unit Yamaha RX-Z termasuk edisi Boss, Catalyzer dan Millennium,” jelas Wan Noor. 

Memetik laporan The Star, dia memberitahu bahawa minat mengumpul itu berlaku pada 2013 selepas menyedari terdapat permintaan bagi motosikal berkenaan selepas dihentikan pengeluarkan pada 2010. 

“Motosikal ini akan menjalani modifikasi bagi meningkatkan kelajuan dan kos belanja ubah suai boleh mencecah RM40,000 sekaligus menjadikan pasaran motosikal ini lebih tinggi berbanding motosikal baharu,” tambah Wan Noor. 

Benelli dedah TRK552X di China – enjin lebih berkuasa, ada skrin TFT

Benelli akhirnya mendedahkan TRK522X generasi terbaru untuk pasaran global yang akan menjadi pengganti kepada model popular, TRK502X. 

Bagi tahun 2024, TRK552X hadir dengan kapasiti enjin lebih besar, 549cc berbanding 500cc sebelum ini. Kuasa pula meningkat dari 46.8hp dan 46Nm kepada 61hp dan 56Nm. 

Kelengkapan turut dipertingkat dengan fork USD boleh laras di bahagian depan dan brek kaliper J.Juan sementara ‘swingarm’ pula kini mengguna pakai bahan jenis aluminium yang lebih ringan. 

Sementara itu, lampu juga dipertingkat dengan pencahayaan LED serta panel meter TFT. 

Untuk rekod, TRK552X ini hadir dengan dua varian, TKR552 (standard) dan TRK552X yang dilengkapi dengan rim jenis lidi (spoked) bersaiz 19-inci.