fbpx

Triumph Speed 400, Scrambler 400 X kini di Malaysia – dari RM27k

Triumph-Speed-400-and-Scrambler-400-X-16

TRIUMPH Motorcycles Malaysia secara rasminya melancarkan rangkaian Triumph T-Series ke pasaran Malaysia yang terdiri daripada dua model iaitu Speed 400 dan Scrambler 400 X.

Speed 400 merupakan model roadster yang menyertai barisan moden klasik di samping Speed Twin 900 dan 1200, manakala Scrambler 400 X pula tampil dengan rekaan rugged yang diilhamkan oleh Scrambler 900 dan 1200.

 

 

Kedua-dua model ini dikuasakan oleh enjin yang sama iaitu enjin TR-Series sejukan cecair silinder tunggal bersesaran 398 cc yang menghasilkan 40 PS dan 37.5 Nm. Enjin ini mematuhi piawaian emisi Euro 5 dan dipadankan dengan transmisi enam kelajuan.

Walaupun berkongsi ‘nadi’, Speed 400 dan Scrambler 400 X menawarkan tetapan casis tersendiri untuk memberikan posisi tunggangan yang berbeza.

Speed 400 didatangkan dengan fork terbalik 43 mm, penyerap hentak monoshock dengan tabung, rim aluminium aloi berukuran 17 inci di hadapan dan belakang, serta cakera brek hadapan 300 mm yang dipadankan dengan angkup radial empat piston. Ia juga lebih mesra penunggang dengan ketinggian pelana 790 mm dan berat keseluruhan sekitar 170 kg.

Sementara itu, Scrambler 400 X menggunakan sistem suspensi yang sama namun dengan travel yang lebih tinggi iaitu 150 mm. Versi ini juga dilengkapi dengan rim 19 inci pada bahagian hadapan, bar hendal yang lebih lebar serta brek cakera yang lebih besar iaitu 320 mm.

 

Bukan itu sahaja, tempat letak kakinya berada pada kedudukan lebih rendah, manakala pelana dinaikkan sedikit kepada 835 mm. Beratnya juga bertambah sebanyak 9 kg berbanding Speed 400.

Untuk sistem elektronik pula, kedua-dua model mempunyai pendikit Ride-by-Wire, Traction Control dan ABS dwi saluran yang boleh dimatikan pada Scrambler 400 X untuk tunggangan off-road.

Ciri-ciri lain yang disertakan termasuk lampu LED, skrin LCD dengan tachometer digital, baki bahan api dan posisi gear, soket pengecas USB-C dan immobiliser.

Harga jualan bermula dari RM26,900 untuk Speed 400 dan RM29,900 untuk Scrambler 400 X.

 

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved