Arkib Tag: Miti

20 peratus kenderaan dijual di Malaysia adalah EV menjelang 2030 – Tengku Zafrul

Kerajaan menetapkan sasaran nasional dimana 20 peratus jualan tahunan kereta baharu Malaysia akan terdiri daripada kenderaan elektrik (EV) menjelang 2030, 50 peratus menjelang 2040 dan 80 peratus menjelang 2050.

Menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, ia bagi mempercepat Pelan Hala Tuju Peralihan Negara (NETR) yang dilancarkan pada Ogos tahun ini.

“Komitmen MITI untuk membawa Malaysia ke hadapan dalam revolusi kenderaan elektrik boleh dilihat melalui Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP2020).

“NAP2020 menyediakan industri automotif tempatan hala tuju yang jelas untuk persiapan masa depan, melalui pembangunan kenderaan generasi akan datang termasuk EV yang cekap tenaga dan mesra alam,” kata Zafrul.

Sumber gambar: Facebook/Tengku Zafrul

Dalam pada itu, Malaysia mencatatkan pertumbuhan jualan EV yang kukuh setiap tahun dan kerajaan optimis momentum positif itu akan berterusan sehingga penghujung 2023, kata Zafrul.

Menurut beliau, setakat ini, Malaysia merekodkan lebih daripada 100,000 kenderaan elektrik berdaftar.

“Lebih 12,000 kenderaan elektrik bateri (BEV) telah didaftarkan sejak 2011 dengan bilangan BEV yang didaftarkan pada tahun ini sahaja telah melebihi 9,000 unit,” katanya dalam ucapan beliau semasa majlis pelancaran awal Malaysia Autoshow 2024 (MAS 2024) semalam.

Bagi tempoh 10 bulan pertama 2023, jualan kenderaan Malaysia mencatatkan pertumbuhan kukuh meningkat sebanyak 11.6 peratus kepada hampir 647,000 unit.

Tengku Zafrul berkata beliau percaya kenderaan elektrik akan menjadi pemangkin kepada eksport industri pembuatan Malaysia.

“Oleh itu terdapat banyak potensi dalam kenderaan generasi baharu yang memerlukan lebih banyak komponen, sebagai contoh, komposit semikonduktor, komponen cip dalam kereta hari ini, malahan kereta hibrid adalah kira-kira 1,500 cip dalam sesebuah kereta,” katanya.

Permohonan Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik dibuka hari ini

SKIM Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik yang diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2024 telah dilancarkan secara rasmi hari ini.

Menerusi skim ini, rakyat dengan pendapatan tahunan RM120,000 ke bawah akan menikmati rebat bernilai sehingga RM2,400 apabila mereka membeli motosikal elektrik.

Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik diperkenalkan semasa pembentangan Belanjawan 2024 bagi untuk meningkatkan penggunaan motosikal elektrik di negara ini.

Sehubungan itu, kerajaan melancarkan skim yang dikenali sebagai “MARiiCas” yang dikelolakan oleh Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) bagi menggalakkan rakyat membeli motosikal elektrik.

Mereka yang berminat untuk mendapatkan rebat tersebut boleh membuat pendaftaran menerusi laman web MARiiCas.

Menurut laman web tersebut, terdapat lapan jenama motosikal elektrik yang terlibat dalam skim MARiiCas iaitu Legatus, Eclimo, Ebixon, Blueshark, Treelektrik, Modenas, Superlux dan RydeEV.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, “Saya nasihatkan semua rakyat Malaysia untuk mengambil peluang ini sekiranya berniat untuk membeli motosikal elektrik.

“Sekiranya ingin membeli, kerajaan akan sokong dengan memberi subsidi tunai,” katanya.

Industri automotif tempatan terjejas jika import kereta CBU cc rendah dibenarkan

ANDA mungkin tertanya-tanya kenapa kerajaan tidak membenarkan kemasukan kereta diimport sepenuhnya (CBU) dengan enjin berkapasiti kecil ke negara ini.

Menurut Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong, perkara itu akan mendorong kepada lambakan dalam pasaran serta menjejaskan matlamat kerajaan bagi membangunkan industri automotif tempatan.

Tambah beliau lagi, kemasukan kereta CBU dengan enjin berkapasiti kecil akan turut menjejaskan Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020 sekiranya syarikat-syarikat Pengilang Peralatan Tulen (OEM) beralih daripada aktiviti pengeluaran kereta tempatan kepada pengimportan CBU.

“Pada masa sama, ia akan menjejaskan perancangan pelaburan jangka masa panjang pengeluaran tempatan oleh syarikat-syarikat OEM dan kedua-dua syarikat pengeluar kereta nasional.

“Malah, ini seterusnya akan menjejaskan usaha ke arah pembangunan vendor tempatan, termasuk kehilangan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan pada masa depan,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara, pada Selasa.

Beliau menjawab soalan Senator Seruandi Saad mengenai kesediaan kerajaan untuk mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan permit import bagi kemasukan kenderaan berkuasa kuda (cc) rendah seperti 660 cc.

Mengulas selanjutnya, Liew berkata, tumpuan hala tuju industri automotif tempatan adalah menggalakkan aktiviti pemasangan tempatan oleh syarikat pengeluar kereta nasional dan syarikat-syarikat OEM tanpa mengira jenama serta kapasiti enjin kenderaan.

“Kapasiti enjin yang kecil tidak semestinya memberi gambaran bahawa sesuatu kenderaan tersebut dijual pada harga rendah kerana import masih tertakluk kepada cukai import, cukai eksais dan cukai jualan,” katanya.

Kerajaan yakin Proton dan Perodua hasilkan EV nasional menjelang 2025 – MITI

KERAJAAN optimistik bahawa Proton dan Perodua akan menghasilkan kereta elektrik (EV) nasional pertama menjelang 2025. Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI), Tengku Zafrul Abdul Aziz, dan dilaporkan oleh rakan media kami, Paultan.org.

“Di MITI, mereka telah berkongsi perkembangan terkini berkenaan pelan mereka. Pihak kami juga terlibat dalam memahami kemajuan ini,” katanya.

“Setakat ini, ia nampak seperti boleh dicapai. Menurut taklimat oleh pengeluar-pengeluar nasional ini, kita akan mencapai matlamat ini, pada 2025.”

Berkenaan EV mampu milik, Zafrul berkata kerajaan menggalakkan pengeluar mempunyai pemasangan tempatan (CKD) di Malaysia untuk membolehkan mereka menawarkan EV pada harga lebih rendah.

“Kerajaan memberikan banyak insentif untuk EV, tetapi seperti disebut tadi, insentif mestilah dinikmati oleh semua rakyat Malaysia, bukan hanya yang mampu memilikinya.

“Kita mahu meluaskan penggunaan EV, memastikan lebih ramai rakyat mampu memiliki EV,” tambah Zafrul.

Sebelum ini, timbalan menteri di MITI, Liew Chin Tong berkata polisi kerajaan adalah untuk membangunkan industri automotif dengan kandungan tempatan (komponen).

Dia berkata kerjaan mengalu-alukan semua pengeluar untuk membuka pusat jualan di Malaysia, dan EV CKD tidak akan mempunyai sekatan harga – merujuk kepada harga minimum RM100k untuk EV diimport CBU.

Pusat Ujian Proton terima akreditasi MS ISO/IEC 17025:2017

KEMUDAHAN ujian dalaman Proton di Shah Alam, juga dikenali sebagai Pusat Ujian Proton, telah menerima akreditasi ISO/IEC 17025:2017 daripada Jabatan Standard Malaysia, sebuah jabatan di bawah naungan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Sijil akreditasi telah disampaikan oleh Shaharul Sadri Alwi, Ketua Pengarah Jabatan Standard Malaysia dan diterima oleh Hazrin Fazail Haroon, Pengarah Kejuruteraan, Proton.

MS ISO/IEC 17025:2017 ialah piawaian yang mengukur kecekapan makmal ujian dan penentukuran. Ia digunakan oleh makmal ujian dan penentukuran untuk membangunkan sistem pengurusan kualiti dan untuk menilai kecekapan mereka sendiri.

Pensijilan terdiri daripada mengukur dan memastikan keputusan ujian memenuhi tahap yang diperlukan dalam tempoh masa yang ditetapkan. Keperluan dokumentasi untuk mematuhi pula terdiri daripada manual kualiti, prosedur operasi standard, aliran arahan kerja, dan beberapa kriteria lain.

Memandangkan ISO 17025 ialah pentauliahan standard yang diiktiraf di peringkat global, ia menjadi bukti kebolehpercayaan keputusan serta integriti, kecekapan, dan kualiti keseluruhan Pusat Ujian Proton.

Bukan itu sahaja, ia juga membolehkan kemudahan itu memenuhi keperluan ujian untuk kenderaan yang dibangunkan bersama dengan Geely, malah membuka kemungkinan menjalankan ujian untuk model Geely yang lain.

Menurut Hazrin, akreditasi tersebut adalah pengiktirafan atas kerja yang dijalankan pasukan kejuruteraan dan ujian di Proton. Ia juga membolehkan syarikat itu mengurangkan kos pembangunan produk kerana tidak perlu lagi menghantar komponen untuk diuji ke luar negara, serta membantu menguruskan garis masa pembangunan model dengan lebih baik.

“Ia adalah matlamat kami untuk menerima MS ISO/IEC 17025:2017 sejak Pusat Ujian Proton ditubuhkan. Dengan akreditasi, pusat ujian kini memenuhi kedua-dua keperluan kecekapan teknikal dan keperluan sistem pengurusan yang diperlukan untuknya menyampaikan keputusan ujian secara konsisten dan penentukuran yang sah secara teknikal. Akhirnya, ini akan menghasilkan kenderaan Proton yang lebih berkualiti, yang akan memberi manfaat kepada pelanggan kami yang dihargai,” katanya.

Tengku Zafrul terima GWM Ora Good Cat untuk pandu uji

GREAT Wall Motor (GWM) Malaysia telah menyerahkan sebuah Ora Good Cat kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Bin Tengku Abdul Aziz.

Kenderaan elektrik (EV) itu akan digunakan untuk pandu uji lanjutan dan sepanjang tempoh itu, jabatan berkaitan di bawah MITI akan mengkaji corak penggunaan harian EV. Inisiatif ini bertujuan untuk mempercepatkan pembangunan EV selaras dengan keutamaan semasa.

Dalam rancangannya untuk mendorong pasaran EV, Menteri Tengku Zafrul berkata kerajaan menyasarkan untuk menarik pelaburan EV sebanyak RM20 bilion menjelang 2025.

Sebagai hab pembuatan elektrik dan elektronik terkemuka di ASEAN, Malaysia mempunyai tenaga kerja berbakat, dasar NAP dan ekosistem EV sedia ada. Ini menjadikan Malaysia pasaran yang ideal untuk pembangunan industri EV yang mampan.

GWM Malaysia, menerusi EV flagship-nya iaitu Ora Good Cat, komited untuk menyokong usaha kerajaan Malaysia untuk menjadi negara bebas pelepasan gas rumah hijau.

Tengku Zafrul dalam satu kenyataan berkata industri EV mesti dilihat secara holistik, termasuk faktor-faktor seperti perisian, teknikal, kelengkapan, kejuruteraan dan lain-lain. Ini kerana ia memainkan peranan penting dalam mencapai sasaran sifar pelepasan gas rumah hijau menjelang 2050.

Sementara itu, presiden rantau ASEAN Great Wall Motor, Elliot Zhang berkata bahawa beliau menyokong sepenuhnya kenyataan Tengku Zafrul mengenai potensi membina asas EV yang kukuh di negara ASEAN dan khususnya di Malaysia.

“Kerjasama strategik dengan kerajaan Malaysia akan membantu mempercepatkan pertumbuhan dan penggunaan pengangkutan mampan di rantau ini,” katanya.

GWM telah mengumumkan komitmennya untuk mempromosikan solusi mobiliti mampan di negara ini dan bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan untuk memperkenalkan kenderaan yang lebih mesra alam ke pasaran.

Malaysia Autoshow 2023 bakal berlangsung 4-7 Mei ini di MAEPS

SELEPAS tiga tahun tidak dapat diadakan akibat pandemik COVID-19, pameran permotoran Malaysia Autoshow akan kembali membuka pintunya kepada orang ramai pada 4 hingga 7 Mei 2023 di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS).

Acara bertemakan ‘Mobility Redefined’ ini akan mengetengahkan kenderaan terbaru, di samping menampilkan kemajuan teknologi, keselamatan dan keselesaan kenderaan yang terdapat dalam pasaran tempatan.

Malah, acara yang dianjurkan oleh Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) ini juga meliputi teknologi penting yang sejajar dengan perkembangan sektor mobiliti di era digital.

Apa yang menarik, Malaysia Autoshow 2023 akan menampilkan tiga lagi pameran secara serentak iaitu Malaysia Bike Show, Malaysia EV Show dan Charged.

Malaysia Autoshow akan diadakan di Dewan A, di mana lebih 100 model terbaru termasuk Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) akan dipamerkan kepada pengunjung.

Sementara itu, Dewan C pula akan menempatkan pameran motosikal Malaysia Bike Show, manakala Dewan D pula akan menjadi lokasi pameran Malaysia EV Show dan Charged yang akan menampilkan pelbagai jenis EV, teknologi pengecas, aksesori serta aplikasi digital.

Selain itu, penganjur juga akan menyediakan pelbagai aktiviti sampingan yang bertemakan automotif dan gaya hidup. Ini termasuk:

• Dua laluan pandu uji sepanjang 4.5 km
• Dewan Premium yang menampilkan teknologi termaju dalam segmen premium
• Pengalaman pemanduan off-road
• ‘Taxi ride’ kereta drift
• Demonstrasi teknologi keselamatan kenderaan
• Kendera saji di Malaysia Autoshow Auto Village
• Konsert artis ternama, tarian antarabangsa, cosplay dan banyak lagi

Lebih menarik lagi, pengunjung turut berpeluang untuk membawa pulang sebuah Perodua Alza menerusi peraduan yang akan diadakan sepanjang pameran ini berlangsung.

Datuk Phang Ah Tong

Semasa majlis pelancaran Malaysia Autoshow 2023 yang diadakan hari ini, Pengerusi MARii, Datuk Phang Ah Tong sempat mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan seluruh sektor automotif dan mobiliti atas sokongan berterusan yang diberikan.

“Penghargaan khas diberikan kepada penaja-penaja, khususnya Perodua, yang merupakan penaja Platinum Malaysia Autoshow 2023. Saya percaya sokongan anda semua akan menjadikan acara ini satu lagi kejayaan, dan ingin juga menghargai pengguna automotif Malaysia – anda merupakan sebab utama acara ini terus dianjurkan”, katanya.

Kerajaan sasar 10,000 stesen pengecas EV menjelang 2025

KERAJAAN menyasarkan 10,000 stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) di Malaysia menjelang 2025.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, langkah itu selaras dengan Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021 – 2030.

Jelas Datuk Lim Ban Hong, Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) turut berperanan mewujudkan kerjasama bersama sektor swasta.

“Kira-kira 300 stesen di bawah kerjasama ini dan dianggarkan jumlah keseluruhan pengecasan stesen sedia ada untuk pengguna adalah 600 stesen,” katanya.

Sementara itu, kerajaan juga menyediakan insentif cukai dan bantuan kewangan kepada syarikat ingin membina infrastruktur EV.

Kerajaan menawarkan insentif bukan sahaja kepada pengeluar kenderaan dan komponen malah, merangkumi pengguna.

Pembangunan seperti sistem pengecasan, aktiviti pelupusan bateri, penukaran bateri dan pengecasan tanpa wayar turut diberikan perhatian.

Ia bagi memastikan teknologi EV yang diguna pakai dalam negara adalah seragam, selamat dan berkualiti.

Kejayaan dasar dan usaha kerajaan dalam membangunkan industri ini juga telah diterjemahkan kepada pelaburan yang diluluskan bagi sektor EV.

“Dua syarikat besar yang berpangkalan di Korea Selatan iaitu SK Nexilis dan IMM Technology telah melabur di Malaysia,” katanya lagi.