fbpx

Perodua Myvi Conversion – prototaip EV pertama, jarak 350km, bawah RM100k?

perodua e-mo ev 11

PERODUA hari ini mempamerkan prototaip kenderaan elektrik (EV) pertamanya – dikenali sebagai Myvi Conversion – yang akan menjadi asas kepada pembuat kereta kompak itu dalam membangunkan teknologi elektriknya.

Seperti pada namanya, prototaip ini diasaskan dari Myvi tetapi dilengkapi dengan pek bateri 55.7kWh yang memberikannya jarak pemanduan sehingga 350km. Ia mempunyai satu motor elektrik di roda depan dengan output 161hp dan 220Nm tork.

Prototaip EV berkenaan terdiri daripada tiga komponen utama iaitu bangku pengujian kuasa (power bench), rangkaian penggerak kuasa (power converter) dan rekaan keseluruhan rangkanya yang dibuat di Malaysia.

Sementara itu, pembangunan teknologi penukaran kuasa dilakukan dengan syarikat yang berpangkalan di Australia. Perodua juga bekerjasama dengan tiga universiti tempatan untuk projek ini.

“Proses pembangunan bangku pengujian kuasa ini dibuat oleh Perodua dengan kerjasama dari tiga universiti tempatan iaitu Universiti Tenaga Nasional, Universiti Kuala Lumpur dan Universiti Putra Malaysia,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.

“Kerjasama ini bertujuan untuk memahami sepenuhnya teknologi yang digunakan.”

Kerjasama berkenaan, yang bermula sejak September 2022, menyaksikan Perodua dan ketiga-tiga universiti terbabit bekerjasama untuk membangunkan rangkaian penggerak kuasa EV dari peringkat asas.

Kerjasama berkenaan membuka peluang kepada semua pihak untuk meningkatkan kepakaran dan kemampuan masing-masing dalam bidang EV.

Difahamkan model pertama EV Perodua dirancang untuk dilancarkan pada penghujung 2025 dengan harga tidak melebihi RM100,000.

“Kami memilih Perodua Myvi sebagai model pilihan bagi projek ini kerana ia adalah model kereta kami yang telah memenangi hati kebanyakan rakyat Malaysia,” kata Zainal.

“Walaupun rupa sebenar EV kami berbeza daripada apa yang dipamerkan di sini, tetapi yakinlah bahawa kereta elektrik Perodua bakal membuat kemunculan dalam pasaran.

“Sementara itu, kami mengajak orang ramai untuk singgah ke ruang pameran Perodua di Malaysia Auto Show 2024 untuk melihat sendiri Perodua Myvi Conversion di samping menyertai pelbagai kempen menarik yang kami sediakan.

“Kami juga mengalu-alukan kedatangan pelanggan untuk berinteraksi dengan kakitangan kami di sini bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai Perodua seperti Standard Outlet Baharu kami yang dilaksanakan bertujuan memberikan pengalaman yang lancar kepada pelanggan di pusat 3S kami,” kata Dato’ Sri Zainal.

Lihatkan Ulasan (1)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved