Malaysia Autoshow 2024: BMW perkenal i5 M60, 520i versi CKD
ACARA Malaysia Autoshow 2024 menyaksikan kemunculan dua model 5 Series baharu iaitu i5 M60 xDrive dan 520i pemasangan tempatan (CKD).
i5 M60 xDrive (RM480,000 anggaran)
Merupakan varian i5 kedua yang dilancarkan di Malaysia selepas eDrive40, i5 M60 sebagai varian yang lebih sporty tampil dengan sepasang motor elektrik yang menghasilkan kuasa keseluruhan 601 PS dan 795 Nm.
Ini membolehkan sedan mewah itu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.8 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 230 km/j.
Dengan bateri berkapasiti 89.3 kWj, i5 M60 menawarkan jarak pandu sejauh 516 km (kitaran WLTP) dengan satu cas penuh.
Pengecasan dari 0 hingga 80% mengambil masa 34 minit menggunakan pengecas pantas DC 205 kW. Ia juga menyokong pengecas AC 22 kW yang boleh melakukan pengecasan penuh dalam 4 jam 15 minit.
Dari segi penampilan, varian M60 mendapat gril kidney M Performance dengan bingkai bercahaya BMW Iconic Glow, rim aerodinamik berukuran 21 inci, serta beberapa komponen M Sport Pro termasuk spoiler belakang M, garis bayang berglos tinggi M dan brek M Sport.
Di dalam, keadaan terasa familiar dengan adanya ciri-ciri seperti BMW Curved Display yang menggabungkan panel instrumen 12.3 inci dan skrin sentuh 14.9 inci, serta sistem audio Bowers & Wilkins 655W.
520i (RM340,000 anggaran)
Dipasang secara tempatan di Kulim, Kedah, 520i mempunyai trenkuasa hibrid ringan (mild hybrid) 48V dengan enjin B48 2.0-liter empat silinder yang menghasilkan 208 hp dan 330 Nm,
Dengan transmisi automatik lapan kelajuan yang memacu roda belakang, ia boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 7.5 saat. Kelajuan maksimum adalah 230 km/j.
Penampilan luarannya hampir sama dengan i5, dengan rupa paras yang kemas dan sporty, serta dilengkapi tayar aerodinamik 19 inci baharu dalam warna 934 Bicolour Grey.
Kelengkapan di dalam juga sama, dengan Curved Display yang terdiri daripada paparan instrumen 12.3 inci dan skrin sentuh 14.9 inci.
Selain itu, terdapat juga BMW Interaction Bar yang inovatif memudahkan kawalan terhadap penghawa dingin dan fungsi lain untuk meningkatkan pengalaman pemanduan.
Untuk sistem bantuan pemandu, 520i didatangkan dengan pelbagai ciri termasuk Kawalan Pemanduan Aktif, Bantuan Kawalan Stereng dan Lorong, serta sistem Amaran Keluar Lorong.
Hidup ini terlalu singkat untuk bertekak tentang kereta mana yang paling hebat. Pandulah apa sahaja, yang penting anda puas hati.