fbpx

Syarikat bumiputera boleh mohon AP Terbuka mulai 1 Julai

Honda N-BOX 2023

KEMENTERIAN Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mengumumkan bahawa mulai 1 Julai, syarikat bumiputera boleh mula memohon untuk dilantik sebagai syarikat AP Terbuka bagi menceburi aktiviti pengimportan dan penjualan kenderaan di Malaysia.

Menurut MITI, langkah itu adalah selaras dengan usahanya untuk terus meningkatkan keterangkuman dan ketelusan dalam proses permohonan AP Terbuka. Permohonan itu terbuka kepada mana-mana syarikat Bumiputera termasuk yang tidak pernah terlibat dalam aktiviti automotif.

“Pelaksanaan dasar ini dijangka menarik lebih banyak syarikat bumiputera untuk berkecimpung dalam industri automotif. Pertambahan bilangan syarikat akan menjadikan segmen ini lebih kompetitif dan berdaya saing,” menurut kementerian itu dalam kenyataan pada Selasa.

Syarat utama permohonan ialah syarikat perlu berstatus sendirian berhad, pemilikan 100 peratus bumiputera, mempunyai modal berbayar minimum RM1 juta dan sedang beroperasi sekurang-kurangnya dua tahun.

Justeru, syarikat bumiputera yang berminat dan layak untuk membuat permohonan boleh merujuk di https://www.miti.gov.my/index.php/pages/view/3796 bagi mendapatkan garis panduan, borang permohonan dan senarai semak.

Tambah MITI, objektif utama kerajaan adalah untuk terus memperkasakan agenda sosio-ekonomi bumiputera dengan memberi peluang kepada lebih ramai usahawan bumiputera yang berdaya saing untuk terlibat dalam sektor automotif.

Menurut kementerian itu, dasar AP Terbuka yang dilaksanakan sejak 1970 telah berjaya melahirkan syarikat bumiputera yang berdaya maju, bukan sahaja di dalam segmen mengimport dan menjual kenderaan malah juga dalam aktiviti utama di sepanjang rantaian bekalan seperti perkhidmatan selepas jualan, insurans dan logistik.

Dasar tersebut merupakan antara dasar berkaitan bumiputera yang masih dikekalkan sehingga kini dan penting bagi mencapai sasaran 30 peratus pemilikan ekuiti bumiputera dalam ekonomi negara seperti yang ditetapkan Dasar Ekonomi Baharu.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved