Kerajaan teruskan pemberian insentif pembangunan infrastruktur pengecas EV


Kerajaan berkata insentif untuk pembangunan infrastruktur pengecas kenderaan elektrik (EV) akan diteruskan walaupun perkara itu tidak dinyatakan secara khusus di dalam Belanjawan 2025.
Menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), antara insentif yang diberikan ialah program Elaun Cukai Pelaburan Hijau (GITA) di mana pengendali tapak pengecasan (CPO) yang memenuhi kriteria galakan cukai boleh mendapat pengecualian cukai dalam bentuk Elaun Cukai Pelaburan sebanyak 100% selama lima tahun.
Katanya, elaun ini boleh digunakan untuk ditolak sehingga 100% daripada pendapatan berkanun bagi setiap tahun taksiran cukai.
“Di samping itu, insentif dalam bentuk pengecualian cukai pendapatan juga sedang ditawarkan kepada syarikat pengeluar peralatan pengecasan EV iaitu dalam bentuk pengecualian sepenuhnya cukai pendapatan ke atas pendapatan berkanun mulai tahun taksiran 2023 sehingga tahun taksiran 2032,” kata MITI.
Kementerian itu berkata demikian dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen pada Isnin bagi menjawab soalan yang dikemukakan Tan Kok Wai (PH-Cheras) berhubung bentuk peruntukan khusus untuk pembangunan infrastruktur pengecas EV dalam Belanjawan semasa.
MITI juga berkata kerajaan menjangkakan jumlah terkumpul kenderaan jenis elektrifikasi (xEV) di atas jalan raya akan mencecah sekurang-kurangnya 400,000 unit kenderaan penumpang dan perdagangan dalam tahun 2030.
Setakat 30 September, kadar jumlah jualan tahunan bagi kenderaan merangkumi hibrid, hibrid plug in, kenderaan elektrik berkuasa bateri (BEV) dan kenderaan elektrik sel bahan bakar (FCEV) ialah 33,319 unit manakala bagi keseluruhan tahun 2023, kadarnya ialah 4.12% atau 35,723 unit.
Dalam pada itu, dalam menyokong pembangunan petak pengecasan EV (EVCB), kementerian berkata anak syarikat Petronas iaitu Gentari dan Tenaga Nasional Bhd juga telah memberi komitmen pelaburan dan membelanjakan kira-kira RM76 juta sehingga Jun 2024.
Melalui penglibatan kedua-dua syarikat ini dengan suntikan dana yang besar, lebih banyak EVCB dapat dibina di seluruh Malaysia yang turut disokong oleh CPO lain yang turut menyediakan perkhidmatan pengecas EV kepada pengguna awam.
“Perkembangan yang positif ini membantu meningkatkan keyakinan peminat EV untuk membeli dan menggunakan kenderaan jenis ini,” menurut MITI.

Hidup ini terlalu singkat untuk bertekak tentang kereta mana yang paling hebat. Pandulah apa sahaja, yang penting anda puas hati.