MITI bantu Perodua hasilkan EV pertama Malaysia bawah RM100k
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata kementeriannya akan membantu Perodua mengeluarkan kenderaan elektrik (EV) pertama di Malaysia berharga di bawah RM100,000.
Menurut Tengku Zafrul lagi, kementerian itu yakin Perodua akan dapat mencapai sasaran tersebut menjelang akhir 2025.
“Tujuan kami ingin membantu dan memudahkan Perodua adalah kerana kami ingin menjadikan EV sebagai kenderaan mampu milik.
“Perodua telah berbincang dengan MITI, dan kami optimis dengan rancangannya untuk mencapai sasaran tersebut menjelang akhir 2025,” katanya.
Perincian mengenai EV Perodua itu masih belum diumumkan. Bagaimanapun, prototaip emo-1 (Electric Motion Online) yang dipertontonkan pada Mei lalu memberikan sedikit sebanyak bayangan spesifikasi akhir EV berkenaan.
Model prototaip yang dibina menggunakan Myvi sebagai asas itu dilengkapi dengan pek bateri 55.7 kWj yang memberikannya jarak pemanduan sehingga 350 km. Ia mempunyai satu motor elektrik di roda depan dengan output 161 hp dan 220 Nm.
Tambah Tengku Zafrul, sehingga September 2024, hampir 16,000 kenderaan elektrik berkuasa bateri (BEV) didaftarkan di Malaysia, melebihi kira-kira 13,000 unit yang didaftarkan sepanjang 2023.
“Momentum positif ini telah membawa kita lebih dekat kepada sasaran 20 peratus EV daripada jumlah jualan keseluruhan industri menjelang 2030,” katanya.
Bercakap mengenai infrastruktur pengecasan, beliau berkata dalam tempoh tiga bulan sahaja, 565 pengecas baharu telah ditambah, menjadikan jumlah keseluruhan stesen pengecas awam kepada hampir 3,200 pada akhir September.
“Kita menyasar untuk mempunyai 10,000 pengecas awam, mengurangkan nisbah pengecas EV kepada 1:9 menjelang akhir 2025,” katanya.
Hidup ini terlalu singkat untuk bertekak tentang kereta mana yang paling hebat. Pandulah apa sahaja, yang penting anda puas hati.