fbpx

Malaysia Autoshow 2023 bakal berlangsung 4-7 Mei ini di MAEPS

Malaysia Autoshow 2023 01

SELEPAS tiga tahun tidak dapat diadakan akibat pandemik COVID-19, pameran permotoran Malaysia Autoshow akan kembali membuka pintunya kepada orang ramai pada 4 hingga 7 Mei 2023 di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS).

Acara bertemakan ‘Mobility Redefined’ ini akan mengetengahkan kenderaan terbaru, di samping menampilkan kemajuan teknologi, keselamatan dan keselesaan kenderaan yang terdapat dalam pasaran tempatan.

Malah, acara yang dianjurkan oleh Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) ini juga meliputi teknologi penting yang sejajar dengan perkembangan sektor mobiliti di era digital.

Apa yang menarik, Malaysia Autoshow 2023 akan menampilkan tiga lagi pameran secara serentak iaitu Malaysia Bike Show, Malaysia EV Show dan Charged.

Malaysia Autoshow akan diadakan di Dewan A, di mana lebih 100 model terbaru termasuk Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) akan dipamerkan kepada pengunjung.

Sementara itu, Dewan C pula akan menempatkan pameran motosikal Malaysia Bike Show, manakala Dewan D pula akan menjadi lokasi pameran Malaysia EV Show dan Charged yang akan menampilkan pelbagai jenis EV, teknologi pengecas, aksesori serta aplikasi digital.

Selain itu, penganjur juga akan menyediakan pelbagai aktiviti sampingan yang bertemakan automotif dan gaya hidup. Ini termasuk:

• Dua laluan pandu uji sepanjang 4.5 km
• Dewan Premium yang menampilkan teknologi termaju dalam segmen premium
• Pengalaman pemanduan off-road
• ‘Taxi ride’ kereta drift
• Demonstrasi teknologi keselamatan kenderaan
• Kendera saji di Malaysia Autoshow Auto Village
• Konsert artis ternama, tarian antarabangsa, cosplay dan banyak lagi

Lebih menarik lagi, pengunjung turut berpeluang untuk membawa pulang sebuah Perodua Alza menerusi peraduan yang akan diadakan sepanjang pameran ini berlangsung.

Datuk Phang Ah Tong

Semasa majlis pelancaran Malaysia Autoshow 2023 yang diadakan hari ini, Pengerusi MARii, Datuk Phang Ah Tong sempat mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan seluruh sektor automotif dan mobiliti atas sokongan berterusan yang diberikan.

“Penghargaan khas diberikan kepada penaja-penaja, khususnya Perodua, yang merupakan penaja Platinum Malaysia Autoshow 2023. Saya percaya sokongan anda semua akan menjadikan acara ini satu lagi kejayaan, dan ingin juga menghargai pengguna automotif Malaysia – anda merupakan sebab utama acara ini terus dianjurkan”, katanya.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved