Arkib Tag: GR Corolla

Toyota GR Corolla: Hot hatch AWD dengan alasan paling munasabah – Pandu uji

JUJURNYA, penulis tak faham dan tak boleh berapa terima keperluan sebuah hot hatch untuk dilengkapi pacuan semua-roda (AWD). Ia telah lari dari konsep asal hot hatch itu sendiri.

Hot hatch pada asalnya sebuah hatchback pacuan roda-depan (FWD), ditambah kuasa, ditala suspensi menjadi lebih keras, dan casis ditegarkan lagi untuk pengendalian mantap. Maka lahirlah kenderaan seperti Honda Civic EK9 Type R dan Volkswagen Golf GTI Mk1. Malah kelahiran Proton Satria R3 pun begini.

Tetapi sampai satu zaman dimana had FWD itu telah sampai, kemudian pengeluar-pengeluar mula ‘menyumbat’ pula sistem AWD pada hot hatch mereka. Dengan ini, muncullah model seperti Ford Focus RS, Volkswagen Golf R, dan Mercedes-AMG A45.

Semua ini demi mengejar angka 0-100, kedudukan di tangga laptime Nurburgring, dan mungkin juga untuk dijadikan modal sembang di kedai kopi. “Kereta aku boleh buat 0-100 dalam 5 saat je bro.”

Sekarang kita ada Toyota GR Corolla ini. Ya, ia sebuah hot hatch AWD juga. Tetapi penulis boleh terima dan maafkan.

Sebabnya jalan cerita dia berbeza dari kereta lain. Ia mendapat AWD bukan untuk mengejar masa di Nurburgring, tetapi kerana datang dari dunia rali.

Toyota membangunkan GR Yaris sebagai homologasi dari penyertaan mereka dalam World Rally Championship. Ibaratnya buat jentera lumba dulu, baru kereta jalanan yang anda boleh beli di bilik pameran.

Kemudian segala perkakasan GR Yaris (enjin 1.6-liter 3-silinder turbo, kotak gear manual 6-kelajuan, dan sistem pacuan GR-Four) ditawarkan pula kepada Corolla hatchback. Maka sebab itu, penulis terus suka GR Corolla ini.

Teknologi WRC moden yang boleh dimanfaatkan setiap hari

Bila penulis memuat naik gambar unit pandu uji ini yang UMW Toyota beri kami guna semasa cuti Tahun Baharu Cina, ada antara rakan penulis dan pengikut Engear di Instagram mohon video pecutan 0-100 atau ‘panjat’ Genting.

Tiada. Panjat Genting kalau ada pun hingga ke terowong Genting Sempah sahaja semasa penulis merangkak dalam kesesakan trafik.

Bagi penulis, cara lebih tepat untuk berseronok dengan GR Corolla ialah di ‘loose surfaces’ atau jalan off-road. Maka penulis pun datang ke satu lokasi rahsia ini untuk benar-benar “unleash the beast”.

Masuk mod Sport, sistem GR-Four pada 30:70, dan padamkan Traction/Stability Control.

Masuk gear satu, pedal klac dilepaskan dan pedal minyak terus hampir rapat ke lantai, dengan stereng belok ke kiri, keempat-empat tayar terus menggali dan melempar tanah ke belakang, kereta terus menggelungsur dengan ekor keluar, membuat ‘donut’.

Ini mudah dilakukan kerana tetapan 30:70 bermakna hanya 30 peratus kuasa ke roda depan, manakala 70 peratus ke belakang. Tetapi stereng harus sentiasa ke dalam untuk kekalkan ‘slide’, kerana dengan AWD, jika anda counter-steer seperti RWD, ‘slide’ itu akan tamat.

Masuk pusingan kedua, pedal minyak diangkat seketika, ‘donut’ tadi dibalas dengan pulasan stereng ke kanan pula sebelum pedal minyak rapat semula, membentuk figure-8 di atas tanah. Penulis tersengih seperti kanak-kanak masuk kedai permainan. Rasa benar-benar seperti pemandu WRC!

Dapat juga beberapa keping gambar seperti yang anda lihat ini, GR Corolla di habitat semulajadinya. Lagipun permukaan licin lebih ‘mesra’ untuk komponen drivetrain berbanding memandu di litar atau jalan raya. Paling penting, dapat berseronok tanpa membahayakan pengguna jalan raya lain.

Penulis juga sempat menarik brek tangan (ya, masih fizikal!) di tengah-tengah pusingan donut apabila kereta mula understeer. Dengan menarik brek tangan, sistem GR-Four ‘memutuskan’ hubungan gandar depan dengan belakang, seterusnya membantu muncung depan kereta menghala semula ke dalam selekoh.

Bagaimana pula pemanduan di jalan raya biasa? Perkara pertama penulis perasan ialah suspensinya keras untuk jalan raya Malaysia yang ‘cantik’ ini seperti sekitar Shah Alam dan Petaling Jaya. Yang kedua ialah bunyinya sedikit ‘kureng’.

Untuk suspensi, kekerasannya buat anda sedar ia bukan kereta biasa-biasa, perlu dihormati, dan ada kemampuan tinggi. Bila dalam pemanduan sporti seperti mengambil selekoh laju di Lebuh Raya Karak, GR Corolla ini terus terasa selesa.

Tiada masalah menukar arah melalui selekoh S dalam kelajuan tinggi, dan bila duduk dalam sesuatu selekoh panjang, GR Corolla dengan sistem AWD GR-Four ini stabil dengan kesemua tayar ‘memegang’ jalan raya.

Ada sedikit body roll tetapi sudah tentu bukan seperti sampan. Body roll pada GR Corolla cukup untuk anda peka dengan keadaan kereta, had cengkaman tayar, dan bagaimana permukaan jalan.

Untuk bunyi pula, deruman cukup merdu bila enjin melahu. Tetapi bila rpm mula naik melepasi 2,000rpm, bunyi ekzos seakan hilang, hanya ada bunyi enjin, itu pun biasa sahaja. Enjin 3-silinder turbo berkuasa tinggi ini kedengaran seperti bunyi anak anjing yang sedang marah.

Bunyi ekzos hanya kedengaran di rpm tinggi bila kita agresif dengan pedal minyak, seperti bunyi ‘pop’ kosong. Seolah-olah turbonya sedang spool, dilepaskan, kemudian spool semula untuk menghamburkan kuasa.

Bab kuasa memang tidak kedekut. 300hp dan 370Nm mungkin tidak begitu tinggi untuk standard hari ini, tetapi dengan berat kereta sekitar 1,300kg dan kotak gear manual serta AWD, anda betul-betul rasakan 300hp itu telus semuanya di kaki kanan.

Perlahan-lahan kaki anda menekan sehingga rapat ke lantai, rpm naik mencanak serentak dengan jantung anda berdegup kencang, hampir sampai ke redline 7,000rpm, klac ditekan dan tangan kiri menukar ke gear seterusnya. Terasa cukup maskulin.

Alatan utama untuk kawalan keseronokan

Antara alatan utama GR Corolla ini adalah pedal kakinya, stereng, tombol gear, dan butang GR-Four. Kesemua ini ditala khas untuk memberikan anda nikmat pemanduan dan dalam kawalan maksima. Andalah bos, andalah yang menentukan karakter kereta.

Pedal kakinya dengan stainless steel dan getah kecil ‘mengajak’ anda memandu sambil memakai kasut sesuai. Kemudian sterengnya ringkas, dengan logo GR, ditambah dengan tempat duduk sports yang kemas memegang anda untuk semua situasi, tetapi tetap selesa.

Kemudian tombol gearnya dengan bentuk bebola, terasa sporti dan kemas di tangan. Pertukaran gear juga keras dan solid. Ia tidak rasa mekanikal seperti pada Honda Type-R atau Porsche GT3 manual, yang ini lebih kepada besi, tetapi slot gear GR Corolla rasa lebih kepada plastik keras.

Tetap sedap digunakan, anda mungkin akan upshift juga sedikit, walaupun selekoh didepan semakin hampir, dan kemudian baru downshift semula beberapa gear. Aksi ini seolah-olah pelengkap kepada keseluruhan pengalaman memandu GR Corolla ini.

Kotak gear manual GR Corolla digandingkan dengan iMT iaitu sistem yang membantu rev-matching. Ini sangat berguna bagi anda yang kurang mahir atau malas melakukan heel-and-toe sendiri semasa downshifting.

Penulis sendiri gemar heel-and-toe dalam kereta peribadi dan semasa menguji GR86 tempoh hari, tetapi dengan GR Corolla ini, penulis lebih selesa biarkan robot iMT membantu rev-matching kerana respon enjin turbo biasanya tidak linear.

Akhir sekali ialah butang GR-Four, seperti disebut tadi, ia melaras agihan kuasa antara tayar depan dengan belakang. Mod pertama ialah Normal dengan 60:40, kemudian Sport dengan 30:70, manakala Track 50:50.

Jujur kata, dalam pemanduan seharian di jalan raya, anda takkan begitu rasa beza mod-mod ini. Perbezaan boleh dirasa bila anda memandu agresif seperti di track day, acah-acah Youtuber naik Genting, atau di permukaan tanah.

 

Tetapi penulis guna 30:70 kebanyakan masa, sengaja poyo, yang penting kita tahu 70 peratus kuasa pergi ke belakang. Dan bagi penulis, butang GR-Four ini yang menjadikan GR Corolla ini unik dalam kelasnya.

Rupa tarik perhatian, tiada masalah dalam jem!

Toyota GR Corolla ini penuh dengan rongga kemasukan udara, lubang untuk udara keluar, dan fender kembang di setiap penjuru. Ia begitu garang dan agresif, walaupun semasa duduk di parkir. Bagi penulis, ia tidak cantik, tatapi hanya garang.

Brek cukup besar dengan angkup berwarna merah, tersimpan dalam rim 18-inci. Kemudian ekzos pula tiga corong – sekali lagi – tidak cantik, tetapi ia berfungsi. Sistem ekzos ini juga antara sebab kenapa GR Corolla lebih berkuasa dari GR Yaris walaupun menggunakan enjin sama.

Setiap kali menghidupkan enjin GR Corolla ini, ia seperti sesuatu yang kita raikan, ia mengujakan, walaupun hanya hendak ke kedai runcit. Pandu secara santai di bandar pun seronok, ia menarik perhatian kerana tidak ramai yang tahu kereta apakah ini.

Bila ada kereta atau motor berhenti di sebelah semasa di lampu isyarat, orang akan membelek fender depan yang mempunyai corong udara dan rim besar dengan brek. Kalau mat-mat Wira atau Honda tengok ini, mesti mereka tak berani acah.

Pemanduan dalam kesesakan juga tiada masalah. Terbukti, penulis sudah pandu dalam kesesakan trafik merangkak di Genting Sempah semasa cuti, tetapi klacnya yang ringan membuatkan anda rasa seperti memandu Perodua Myvi manual.

Tiada isu penat juga walaupun dengan tempat duduk sports. Penulis juga telah pandu kereta ini dari Kuantan, Pahang ke Kota Bharu, Kelantan. Tiada masalah lenguh-lenguh.

Semasa meluncur di lebuh raya, menarik juga untuk gunakan Adaptive Cruise Control pada kereta manual. Tidak kira anda guna gear berapa, sistem ini akan mengekalkan kelajuan.

Contoh semasa meluncur pada 110km/j dengan gear 6, kereta begitu selesa sahaja. Dan bila jalan sedikit mendaki, penulis tukar ke gear 5, dan bila klac dilepaskan, ia sambung kekal pada 110km/j.

Untuk penggunaan bahan api, jika anda tertanya-tanya, memang tidak begitu menjimatkan walaupun anda cuba habis baik. Penulis hanya dapat sekitar 9.9 hingga 10.1 km/liter sahaja. Dan GR Corolla ini juga sangat disarankan untuk ‘minum’ RON97 sahaja ya.

Future classic

Timbul persoalan sama ada GR86 atau GR Corolla. Hmm susah juga. Kedua-duanya sedap dipandu, ada karakter masing-masing, dan tawarkan pengalaman unik.

Jika anda mahu sebuah jentera yang mampu melatih anda jadi pemandu lebih cekap, dan anda mahu nikmati setiap hari, tiada perancangan menjual, pilih GR86.

Tetapi jika anda pemandu biasa yang mahukan ledakan kuasa, sebuah kereta lebih praktikal, dan mungkin akan menjualnya untuk bagi peluang orang lain pula merasa, pilih GR Corolla.

Ini kerana penulis rasa GR Corolla boleh menjadi future classic. Resepi dan kisahnya unik, dan belum tentu Toyota akan menghasilkan lagi kereta sebegini di masa depan.

Spesifikasi Toyota GR Corolla

Harga: RM355,000
Enjin: 1.6-liter 3-silinder, turbo
Kotak gear: Manual 6-kelajuan
Kuasa: 300hp @ 6,500rpm
Tork: 370Nm @ 3,000rpm

Toyota akan guna pita aluminium untuk tambah baik GR Corolla 2024

SESEBUAH kereta akan biasa menerima perubahan-perubahan kecil yang tidak diwar-warkan sepanjang tempoh ia dijual. Pengeluar mungkin mengubah bentuk pengikat, menambah baik komponen yang mungkin rosak, atau mencari jalan agar kosnya boleh direndahkan.

Bagi Toyota GR Corolla 2024, tidak banyak yang berubah melainkan beberapa perkara; bolt baharu, sepasang corong udara, dan empat keping pita aluminium untuk aerodinamik lebih baik.

Kami tertarik berkenaan perkara terakhir, iaitu pita aluminium. Bagaimana benda yang sebegitu ringkas, ringan, dan murah boleh memberikan kesan dari segi aerodinamik. Sudah tentu ia memerlukan kajian mendalam dan ujian saintifik, takkanlah jurutera memandai pula, bukan?

Gambar oleh: Youtube Ken Gushi

Dalam satu video disiarkan oleh Ken Gushi menunjukkan perjalanannya memasang komponen 2024 pada kereta GR Corolla 2023 miliknya, pita pelekat itu dilihat sebagai satu naik taraf yang pelik juga baginya.

Pita itu hadir dalam pakej naik taraf 2024 bersama bolt subframe belakang baharu, bolt stereng baharu, corong udara, dan pita yang disebut tadi.

Anda mungkin menyangka pita itu akan membantu menutup ruang udara atau mengukuhkan bahagian fleksibel, sebaliknya ia mengawal discas elektrostatik.

Konsep ini telah dipatenkan oleh Toyota. Kereta menjana cas positif semasa dipandu, dan udara di sekitar itu juga dicas. Bila dua benda dicas positif bersentuh, udara di persekitaran itu terganggu.

Menurut Car Watch, idea ini telah wujud sejak pertengahan 2010 dan mula diuji pada Toyota 86. Semasa pembangunan model 86 facelift, jurutera Toyota mula mengenal pasti ‘kelakuan’ tidak konsisten dalam kalangan unit kereta ujian, terutamanya bila bahan bampar depan ditukar dari spesifikasi prototaip kepada spesifikasi produksi.

Ini menjurus kepada kajian discas elektrostatik dan penemuan bahawa pita aluminium menyelesaikan masalah ini dan secara magiknya menambah baik aerodinamik.

5 Toyota GR baru mendarat di Malaysia – Supra 6MT, GR Corolla, GR86, Hilux dan Corolla Cross GR Sport

HARI ini pastinya menjadi highlight buat UMW Toyota Motor (UMWT) untuk tahun 2023, kerana mereka bukan melancarkan satu atau dua, tetapi lima model sekaligus. Dan kesemua model ini adalah GR dan GR Sport.

Mari kita lihatkan satu per satu.

GR Supra 6MT

Hero kepada pelancaran kali ini sudah tentu Toyota GR Supra 6MT, iaitu dengan kotak gear manual 6-kelajuan. Jika anda masih ingat, Supra A90 pada 2019 mula dilancarkan dengan kotak gear automatik sahaja, tetapi April 2022 Toyota telah memperkenalkan varian manual kepada model ini.

Tetapi bagi anda yang malas untuk menggunakan kaki kiri terlalu kerap, masih boleh memilih kotak gear automatik 8-kelajuan seperti sebelum ini.

Enjin: 3.0-liter turbo 6-silinder sebaris
Output: 382hp, 500Nm
Kotak gear: Manual 6-kelajuan atau automatik 8-kelajuan
Ciri utama: iMT rev-matching, Adaptive Variable Suspension, mod pemanduan Sports dan Normal, rim 19-inci, Head Up Display, sistem audio JBL
Harga: RM645,000 (manual), RM655,000 (automatik)

GR Corolla

Seterusnya ialah GR Corolla. Hm mungkin model ini juga boleh menjadi hero pelancaran, penulis pun sudah keliru kerana kebanyakan model kali ini cukup mengujakan.

GR Corolla ialah hot hatch dengan mekanikal yang diambil dari GR Yaris, bermakna ia mendapat enjin 1.6-liter turbo, pacuan semua-roda GR-Four dan hanya hadir dengan kotak gear mandatori: manual 6-kelajuan.

Enjin: 1.6-liter turbo 3-silinder
Output: 300hp, 370Nm
Kotak gear: Manual 6-kelajuan
Ciri utama: Sistem pacuan GR-Four, iMT rev-matching, LSD Torsen, rim 18-inci, tayar Yokohama Advan, Toyota Safety Sense
Harga: RM355,000

GR86

Model ketiga ialah generasi serba baharu untuk coupe sports kecil dua-pintu Toyota, iaitu GR86. Dibangunkan bersama Subaru, model ini menawarkan pemanduan lebih pure, iaitu enjin naturally-aspirated tanpa turbo seperti Supra dan GR Corolla, selain pacuan roda-belakang dan casis seimbang.

Antara pembaharuan berbanding generasi sebelum ini ialah enjin boxer 4-silinder yang kini bersesaran lebih besar, kini 2.4-liter berbanding 2.0-liter sebelum ini. Ia menjurus kepada peningkatan kuasa dan tork, serta mungkin juga lebih seronok dipandu.

Enjin: 2.4-liter naturally-aspirated boxer
Output: 232hp, 250Nm
Kotak gear: Manual atau automatik, 6-kelajuan
0-100: 6.3 saat
Ciri utama: Paparan infotainmen 8-inci dengan Apple Carplay dan Android Auto, tempat duduk suede-kulit, tujuh beg udara, pakej sistem keselamatan aktif
Harga: RM296,354 (manual), RM306,354 (automatik)

Hilux GR Sport

Ya, anda tidak salah baca. Hilux juga kini mendapat sentuhan GR, apa salahnya, bukan? Malah terdapat banyak versi Hilux GR Sport di seluruh dunia, tetapi kita mendapat versi yang agak serupa dengan Thailand.

Hilux ini bukan hanya membawa imej GR, ia tetap mendapat beberapa komponen seperti penyerap hentak monotube sport dan paddle-shifter.

Enjin: 2.8-liter turbodiesel
Output: 204PS, 500Nm
Kotak gear: Automatik 6-kelajuan
Ciri utama: Penyerap hentak sport, kit GR Sport pada gril, fender, sports bar dan antena, kaliper brek merah, rim aloi 18-inci
Harga: RM159,880

Corolla Cross GR Sport

Akhir sekali, talaan GR Sport diberikan kepada SUV popular Toyota, iaitu Corolla Cross. Ia hadir dengan warna badan dwi-tona; kemasan hitam pada cermin sisi, bumbung, spoiler, dan gril depan untuk rupa lebih sporti.

Enjin: 1.8-liter naturally-aspirated 4-silinder
Output: 139hp, 172Nm
Kotak gear: CVT
Ciri utama: Badan dwi-warna, kemasan GR Sport, rim 18-inci, ECU sport, suspensi sport, Toyota Safety Sense
Harga: RM142,000

Galeri

Sah, tiga model Toyota GR baharu bakal tiba di Malaysia!

UMW Toyota Motor (UMWT) akan menambah beberapa model GR dalam barisan kenderaan mereka di Malaysia tahun depan. Lebih tepat lagi, tiga model GR baharu.

Gambar oleh: Toyota USA

Ini adalah GR Corolla, GR86 dan GR Supra dengan kotak gear manual. Perkara ini dikongsi oleh Presiden UMWT, Ravindran Kurusamy, menurut laporan oleh Paultan.org.

Model-model tersebut akan menyertai barisan GR yang pernah ditawarkan iaitu GR Yaris dan GR Supra (hanya transmisi automatik 8-kelajuan ditawarkan sebelum ini).

GR Corolla dilancarkan pada April lepas merupakan model terkini yang membuat pelancaran global. Ia dilengkapi dengan enjin 1.6-liter turbo 3-silinder yang menjana 300hp dan 370Nm tork, lebih berkuasa dari GR Yaris yang menggunakan enjin sama.

GR Corolla juga hadir dengan kotak gear manual 6-kelajuan dengan fungsi rev-matching, sistem pacuan semua-roda GR-Four dan limited-slid differential (LSD) Torsen di belakang.

GR86 pula merupakan kembar kepada Subaru BRZ generasi kedua, dilancarkan pada April 2021. Model coupe sports dua-pintu pacuan roda-belakang ini dipacu oleh enjin 2.4-liter flat-four dengan 232hp dan 250Nm, dan boleh didapati dengan kotak gear manual 6-kelajuan dan automatik.

Sementara itu GR Supra manual pula merupakan tambahan kepada Supra yang diperkenalkan pada 2019. Ianya model GR paling berkuasa dengan 382hp dan 500Nm, hasil kerahan enjin 3.0-liter turbo 6-silinder sebaris.

Tiada perincian lanjut buat masa ini seperti harga dan tarikh pelancaran. GR Corolla baru tiba di ASEAN semasa ia dilancarkan di Thailand minggu lepas, dengan harga mencecah RM500,000.

GR Supra pula ditawarkan pada harga RM611,880 untuk model facelift.

Pertama di ASEAN! Thailand lancar Toyota GR Corolla, harga setengah juta Ringgit

SELEPAS pendedahan global April lepas, Toyota GR Corolla kini telah tiba di ASEAN, lebih tepat lagi di Thailand. Ini bertepatan dengan laporan pada Oktober lepas bahawa negara itu akan menjadi yang pertama di ASEAN menerima hot hatch AWD terbaharu Toyota itu.

Pelancaran GR Corolla di Thailand International Motor Expo 2022 itu juga dibuat bersempena meraikan ulang tahun ke-60 Toyota Motor Thailand.

Baik, berapa harga GR Corolla di sana, anda tertanya-tanya?

Menurut Headlightmag, Toyota GR Corolla dijual pada 3.949 juta Baht (RM500,352) dan unit sangat terhad. Dilaporkan hanya sembilan unit akan ditawarkan untuk pasaran itu.

Berapa pula harganya di Malaysia nanti? Baik, mari kita buat anggaran berdasarkan harga GR Yaris. Semasa dilancarkan di Thailand, GR Yaris dijual pada harga 2.69 juta Baht (RM341k).

Sebagai perbandingan, GR Yaris semasa diperkenalkan di Malaysia mempunyai tanda harga RM299,000. Mengikut perkiraan ringkas, harga kereta ini di Thailand adalah 14 peratus lebih tinggi berbanding di Malaysia.

Jika menggunakan anggaran sama, Toyota GR Corolla akan dijual pada harga sekitar RM438,596 di Malaysia. Masuk akal dan berbaloi?

Sebelum anda kecam, harus ketahui dulu apakah GR Corolla dan apa yang membuatkan ia istimewa.

Toyota GR Corolla ialah sebuah hatchback berprestasi tinggi dengan pacuan semua-roda (AWD) dan dipacu enjin 3-silinder paling berkuasa di dunia.

Nadi 1.6-liter turbo petrol itu berupaya menjana 304hp dan 370Nm tork, dan hanya satu kotak gear ditawarkan iaitu manual 6-kelajuan. Sistem AWD GR-Four padanya juga unik untuk GR Corolla dan GR Yaris sahaja.

Terdapat mod pemanduan Normal, Sport, dan Track yang masing-masing memberikan agihan kuasa depan ke belakang 60:40, 30:70, dan 50:50.

Perbezaan ketara antara kedua-dua model ini semestinya badannya dimana GR Corolla merupakan kereta 5-pintu berbanding GR Yaris (3-pintu).

Rasa belum cukup istimewa? Jemput tonton aksi Toyota GR Corolla ini bila dipandu oleh pemandu lumba sebenar.

Ini cara betul pandu Toyota GR Corolla, demo oleh Ken Gushi

TOYOTA GR Corolla semakin mendapat perhatian dan pelancaran global dijangka dibuat hujung tahun ini. Baru-baru ini, AutoGuide.com mengadakan satu sesi dimana pemandu Formula Drift Toyota, Ken Gushi berkongsi cara memandu sebenar dan menunjukkan kebolehan hot hatch itu di litar dan juga dirt (permukaan rali).

“Ini Toyota GR Corolla, dan kami akan tunjukkan kepada anda bagaimana memandunya di litar dan di dirt, dengan cara Gazoo,” katanya.

Gushi membuat perkongsian agak mendalam mengenai tips pemanduan asas lumba yang boleh diamalkan sesiapa sahaja sama ada di litar atau dirt.

GR Corolla dilengkapi dengan sistem pacuan semua roda yang memberikan kelincahan serta cengkaman diperlukan dalam semua situasi pemanduan.

Perkongsian Gushi meliputi teknik membrek dan mengambil selekoh, sambil menerangkan perbezaan pengendalian kereta itu di litar berbanding di dirt.

Gushi juga berkongsi teknik betul untuk melakukan heel-and-toe bagi melancarkan pertukaran gear, mengekalkan keseimbangan kereta, seterusnya menjimatkan catatan masa di litar.

Toyota GR Corolla ini walaubagaimanapun dilengkapi kotak gear 6-kelajuan dengan sistem iMT (intelligent Manual Transmission) yang mampu membantu pemandu melakukan teknik heel-and-toe agar dapat lebih fokus kepada pemanduan.

Tetapi pemandu sejati pastinya mahu mematikan iMT ini dan melakuakan heel-and-toe sendiri.

Toyota GR Corolla dikuasakan oleh enjin sama dengan GR Yaris, iaitu 1.6-liter 3-silinder turbo yang mampu menghasilkan 300hp dan 370Nm tork.

Hatchback ini juga mempunyai mod pemanduan (Normal, Sport dan Track) yang akan menukar nisbah agihan kuasa antara gandar depan dan belakang.

Tonton video demonstrasi Ken Gushi di bawah, berapa ramai antara anda yang tahu mengenai teknik-teknik yang dikongsi?

Toyota GR Corolla dengan 300hp, sistem pacuan GR-Four, pakej Circuit Edition

INILAH dia tuan-tuan dan puan-puan, Toyota GR Corolla akhirnya dilancar secara rasmi, masih panas! Ia merupakan hot hatch terkini dari Toyota, bersaing dengan model-model seperti Honda Civic Type-R, Volkswagen Golf GTI dan Renault Megane RS.

Seperti dikatakan sebelum ini, GR Corolla dipacu oleh enjin 1.6-liter turbo 3-silinder. Enjin dengan kod nama G16E-GTS ini menjana 300hp pada 6,500rpm dan 370Nm tork dari 3,000 hingga 5,500rpm.

Kotak gear ialah manual 6-kelajuan dengan fungsi rev-matching. Kuasa disalurkan ke semua roda melalui sistem pacuan GR-Four dengan mod pemanduan dan agihan kuasa seperti berikut:

Normal: 40-60
Sport: 30-70
Track: 50-50

Toyota belum mendedahkan sebarang angka prestasi, jadi tiada maklumat mengenai pecutan 0-100 atau kelajuan maksima. Tetapi sebagai perbandingan, GR Yaris mampu memecut dari pegun ke 100km/j kurang dari 5.5 saat dan kelajuan maksima dihadkan secara elektronik pada 230km/j.

Dari segi berat, GR Corolla mempunyai berat sekitar 1,474kg, iaitu hampir 200kg lebih dari GR Yaris.

GR Corolla dibina menggunakan pelantar GA-C yang diubahsuai dengan poin kimpalan tambahan untuk kerangka yang lebih kukuh. Hudd an pintu depan juga dibina dengan aluminium untuk pengurangan berat.

Fendernya juga dibina lebih lebar manakala lantai bawahnya rata untuk mengurangkan daya seretan (drag).

GR Corolla menggunakan suspensi MacPherson di depan dan double-wishbone untuk belakang, dan mendapat rim 18-inci hitam berkilat dibaluti tayar Michelin Pilot Sport 4 bersaiz 235/40.

Untuk brek pula, hot hatch ini dilengkapi rotor 14-inci dengan angkup 4-piston di depan, manakala rotor belakang bersaiz 11.7-inci dengan angkup 2-piston.

Bahagian dalam GR Corolla menampilkan skrin instrumen 12.3-inci yang memaparkan maklumat seperti mod pacuan GR-Four, tekanan turbo, posisi gear, dan tachometer (rpm). Di tengah papan pemuka pula ialah skrin infotainmen bersaiz 8-inci.

Untuk pasaran luar, terdapat beberapa versi seperti pakej Core, Cold Weather dan Technology.

Circuit Edition

Untuk lebih prestasi, Toyota GR Corolla juga ditawarkan dalam pakej Circuit Edition yang memberikan bumbung gentian karbon, dan angkup brek berwarna merah dengan logo GR. Pakej ini hadir dengan warna badan putih, Supersonic Red, dan Heavy Metal.

Pakej ini juga dilengkapi dengan LSD Torsen untuk gandar depan dan belakang secara standard. LSD ini merupakan pilihan tambahan untuk model Core.

Dari segi rupa luaran, Circuit Edition mempunyai hud lebih bergelembung dengan sirip-sirip udara, gril hitam, dan spoiler hitam matte.

Di dalam pula, ia mendapat balutan suede Brin Naub dan kulit sintetik dengan warna hitam-merah. Ciri lain adalah sistem navigasi dan audio dengan lapan pembesar suara.

Harga juga belum diumumkan. Setakat ini, apa pendapat anda mengenai Toyota GR Corolla? Adakah anda akan pilih hot hatch ini berbanding Civic Type R, Golf GTi dan Megane RS?

Sah! Toyota GR Corolla buat pelancaran global 31 Mac ini – 1.6 turbo dengan 268hp, 6MT

SALAH satu kereta yang dinantikan kemunculannya untuk pasaran global adalah Toyota GR Corolla, dan ia sah bakal didedahkan pada 31 Mac ini.

Toyota juga mendedahkan satu video ringkas berserta dua gambar yang mengujakan lagi penantian hot hatch ini.

Salah satu gambar juga menunjukkan fender dapan GR Corolla ini dengan sirip udara menegak berwarna hitam, berkemungkinan di belakang tayar depan. Lencana GR juga jelas di sini.

Satu lagi gambar berkemungkinan dari tempat pemijak kaki di bawah pintu, bertulis “GR-FOUR” iaitu sistem pacuan semua-roda yang digunakan pada GR Yaris.

Toyota GR Corolla akan dipacu oleh enjin 1.6-liter turbo 3-silinder yang juga menjadi nadi kepada GR Yaris.

Enjin 3-silinder paling berkuasa di dunia ini menghamburkan sekitar 268hp untuk pasaran Jepun, manakala di Eropah ia menghasilkan 257hp. GR Yaris yang dijual di Malaysia mempunyai output sama dengan pasaran Eropah iaitu 257hp dan 360Nm tork.

Kami sebelum ini ada melaporkan Toyota telah menyiarkan video pendek yang menunjukkan GR Corolla ini mendapat kotak gear manual 6-kelajuan, jadi selesai bab itu. Sah, ia mendapat kotak gear yang betul untuk spesifikasinya.

Kesemua video dan gambar teaser setakat ini menunjukkan GR Corolla bakal hadir dalam bentuk hatchback.

Ini menjadikannya untuk bersaing secara terus dengan jentera-jentera seperti Honda Civic Type-R dan Volkswagen Golf GTI.

Teruja? Sama-sama kita nantikan kemunculannya nanti.

Eh ternampak Toyota GR Corolla dalam video GR86, siap dengan transmisi manual!

KITA semua sudah tahu GR Corolla akan tiba, dan sudah beberapa kali Toyota telah menyelitkan penampilannya secara bersahaja.

Kini ada satu lagi sisipan yang menampakkan hot hatch itu.

Mulanya nampak seperti satu video biasa yang mempromosikan kereta lain iaitu GR86. Kemudian tiba-tiba anda boleh lihat ada klip kurang dari satu saat menunjukkan GR Corolla.

Pause video itu di saat yang betul dan anda dapat lihat dengan jelas GR Corolla itu masih memakai celoreng merah yang mengaburi rupa luarannya.

Kemudian pause dengan cepat selepas itu anda akan dapat lihat aksi pedal seperti melakukan penukaran gear.

Semua sudah tahu Toyota GR86 menggunakan kotak gear manual, tetapi video keseluruhan menunjukkan bahagian luaran kereta itu. Jadi dari cara klip itu diletakkan, kami yakin ianya dari transmisi manual GR Corolla.

Yang menghairankan, video Instagram Toyota di bawah ialah video yang telah disunting semula. Versi awal menunjukkan GR Corolla dengan lebih jelas.

Mujurlah sumber kami di Motor1 sempat menyimpan tangkap layar (screen shot) video itu sebelum ia diturunkan.

Tidak pasti sama ada ia kesilapan dari pihak Toyota atau sekadar gimik yang sengaja dibuat.

Yang pasti, GR Corolla akan dikuasakan oleh enjin sama dengan GR Yaris iaitu unit 1.6-liter turbo 3-silinder dengan kuasa sekitar 268hp serta pacuan semua-roda.

Toyota lancar GR Corolla pada 2022, tampil lebih mengancam

TOYOTA terus mengorak langkah dengan menghasilkan produk berteknologi tinggi bagi memenuhi permintaan pelanggannya.

Terbaharu, syarikat asal Jepun itu dikhabarkan bakal melancarkan varian GR Corolla tahun depan.

Memetik laporan Best Car Web, model GR Corolla akan mendapat beberapa suntikan sama seperti GR Yaris sebelum ini.

Model GR Corolla memiliki rekaan memukau di samping kuasa pecutan terbaik.

Antara ciri-ciri tersebut termasuk penggunaan enjin G16E-GTS 3-silinder 1.6L turbocaj.

Selain itu, GR Corolla dikatakan turut menggunakan sistem pacuan semua roda (AWD) yang mampu menghantar 70 peratus tork kepada tayar belakang.

GR Corolla hadir dengan dimensi badan 20mm dan 10mm lebih rendah berbanding model Corolla biasa.

Jadi, adakah anda sudah bersedia untuk saksikan model GR Corolla tahun hadapan?

Sama-sama kita nantikan!