fbpx

Mercedes-AMG A45S super hatch kini lebih mahal, tapi owner kisah ke?

mercedes-amg a45s 2023 20

SERENTAK dengan pengenalan barisan A-Class 2023, diperkenalkan juga hatchback prestasi tinggi iaitu Mercedes-AMG A45S 4Matic+. Ia ditawarkan dengan harga bermula RM509,888 untuk versi standard, dan RM539,888 untuk Street Style Edition.

Harga ini adalah pertambahan kira-kira RM80,000 kerana sebelum ini ia berharga sekitar RM430,000. Tetapi bila anda seorang pelanggan yang ingin melihat kereta sebegini, adakah ia menjadi masalah besar?

Apa pun, mari kita lihatkan angka-angka prestasinya. Enjin 2.0-liter M139 4-silinder turbo masih menjana 421hp pada 6,750rpm dan 500Nm tork antara 5,000 hingga 5,250rpm. Output ini dihantar ke semua roda melalui kotak gear AMG Speedshift 8-kelajuan dan sistem pacuan semua-roda 4Matic+.

Ini membolehkan A45S ini memecut dari pegun ke 100km/j dalam hanya 3.9 saat, hampir sepantas supercar. Kelajuan maksima pula ialah 270km/j.

Rupa luarannya cukup agresif dengan gril AMG bilah menegak, rim baharu, dan A45S di Malaysia juga hadir dengan AMG Night Package dengan kemasan hitam berkilat di beberapa bahagian badan. Ekzos quad masih dikekalkan.

Khas untuk Street Style Edition, ia boleh dikenal pasti dari warna cat Mountain Grey Magno dan pelakat dekal berwarna oren fluorescent.

Di bahagian dalam pula, A45S mendapat tempat duduk AMG Performance Seat Package Advance, balutan kulit sintetik Artico, balutan Microcut di seluruh kabin, disulami dengan kemasan aluminium AMG.

Sama seperti barisan A-Class lain, A45S juga dilengkapi dengan sistem MBUX generasi terkini. Ia juga didatangkan dengan sistem audio Burmester, sambungan USB Package Plus, AMG Real Performance Sound, dan sistem perekod data AMG Track Pace.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved