Arkib Kategori: Elektrik

smart #1 Brabus EV paling sporti dalam kelasnya – Pandu uji

SEBELUM pelancaran smart #1 untuk pasaran Malaysia, penulis telah hadir ke setiap sesi pratonton dan pandu uji eksklusif. Kiranya, penulis sudah cukup membelek spesifikasi kenderaan elektrik (EV) ini.

Masalahnya, penulis pada masa itu belum nampak apa keunikan sebenar smart #1. Yang penulis nampak hanyalah ciri seperti mod parti dimana ia memainkan muzik kuat di luar lengkap dengan kelipan lampu, selain avatar musang comel yang menjadi pembantu dalam infotainment, semua ini lebih kepada gimik.

Apakah ciri yang boleh membuatkan seseorang memilih smart #1 dengan lambakan pilihan yang ada dalam pasaran sekarang. Ya, seperti anda lihat, pasaran EV dengan julat harga RM150,000 hingga RM250,000 memang kompetitif buat masa sekarang.

Tetapi selepas memandu uji sendiri smart #1 Brabus yang berharga RM249,000 selama beberapa hari, penulis mula faham.

EV paling sporti dalam kelasnya

Perkara ini penulis hanya sedari pada hari terakhir meminjam smart #1 Brabus. Penulis terdetik dalam hati, “Eh betullah, mana ada EV lain dalam pasaran dengan warna seakan-akan matte grey, bumbung merah menyerlah, tempat duduk sports dengan balutan kulit suede, dan juga stereng balutan suede.”

Warna kelabu ini ialah Atom Grey dengan bumbung Radiant Red, hanya boleh didapati pada varian Brabus. Tema warna sebegini seperti throwback kepada zaman smart dan Brabus yang dulu.

smart Fortwo dulu pernah dikeluarkan dalam versi Brabus, jadi ini suatu sentuhan menarik untuk mereka yang masih ingat.

Selain dari kemasan luaran berimej sporti seperi logo dan emblem hitam (varian Pro dan Premium mendapat emblem krom biasa) dan merah-merah pada beberapa bahagian lain di badan, penulis cukup suka dengan kemasan dalam kabin.

Tempat duduk sportsnya tetap selesa dan tidak keras atau terlalu ‘memeluk’, dan kemasan kelabu pada papan pemuka dan balutan suede pada stereng memberikan kelainan untuk EV yang ada hari ini. Kebanyakan EV dalam pasaran lebih kepada minimalistik atau ke arah premium.

Tali pinggang keledar juga berwarna merah, ini memang wajib.

Dan sudah tentu dengan dua motor yang mampu menjana 422hp dan 543Nm tork, pecutan untuk smart #1 Brabus ini cukup mengujakan. Walaupun mempunyai berat 1,900kg, ia masih mampu mencapai 100km/j dalam 3.9 saat sahaja.

Ditambah dengan bunyi yang digarap oleh pembesar suara, ia sepadan dengan prestasi Brabus ini kerana bunyinya mirip enjin V8 AMG. Bila dalam pecutan laju dan ditemani bunyi sebegini, kadang-kadang anda sudah tidak peduli sama ada ia bunyi sebenar atau hanyalah palsu.

Di selekoh, getah hitam Dunlop SportMAxx bersaiz 235/46/R19 di setiap penjuru memastikan anda berada dalam kawalan dan cengkaman dengan tahap tinggi setiap masa.

Tetapi jika anda gelojoh menekan pedal ‘minyak’ semasa keluar selekoh, smart #1 ini masih boleh understeer dan sedikit terasar ke luar; sebuah karakter yang masih selamat, lebih baik dari oversteer.

Stereng tidak terlalu berat atau ringan, sesedap rasa walaupun kurang maklum balas. Tetapi pengendalian smart #1 Brabus ini tetap menyeronokkan kerana ada sedikit berat yang akan mengolengkan badan di selekoh, dan anda ada lambakan kuasa jika perlu.

Jika anda mahukan konteks, pengendalian smart #1 Brabus ini ada rasa SUV prestasi tinggi seperti Porsche Macan, Mercedes GLA250 AMG Line atau Mazda CX-5 2.5T turbo.

Kualiti binaan solid

Dari jarak-jarak panel badan kenderaan, papan pemuka, hinggalah kepada rasa dan feel setiap butang kawalan, anda dapat rasakan smart #1 ini satu tahap lebih atas berbanding EV lain yang berlumba-lumba untuk menarik pelanggan dengan harga paling mampu milik.

Kemudian cermin tanpa bingkai, bumbung panoramik, dan lampu logo smart yang menyala di tiang-C menambah kepada kecantikan dan rasa premium EV ini.

Praktikal dan seronok dipandu setiap hari

Walaupun smart #1 Brabus membawakan imej sporti dan prestasi tinggi, ia praktikal digunakan setiap hari. Bukaan pintu depan dan belakang adalah luas, dari segi ketinggian juga ideal untuk penumpang keluar dan masuk.

Ruang depan terasa lapang di kaki dan kepala, tetapi sedikit sempit di konsol tengah. Tetapi seperti biasa, konsol tengahnya menempatkan ruang-ruang simpanan, pad pengecasan tanpa-wayar.

Malah terdapat selapis lagi ruang di bahagian bawah. Inilah kelebihan EV, tiada transmisi, maka ada lebih ruang simpanan.

Ruang belakang terasa lebih lapang dengan bukaan tingkap yang luas. Walaupun tempat duduknya masih nampak sporti, ia sebenarnya agak empuk dan selesa untuk perjalanan jauh. Terdapat dua soket USB berdekatan corong pendingin hawa belakang, satu jenis Type-A dan satu lagi Type-C.

Penulis seronok memandu #1 Brabus ini untuk urusan seharian seperti menghantar anak ke sekolah dan pergi ke kedai runcit. Selain penampilan unik dan sporti, ia mudah dikendalikan di jalan-jalan sempit dan memasuki parkir.

Jika anda mahu mengetahui bagaimana pemanduan smart #1 ini untuk jarak jauh, boleh baca laporan rakan sekerja penulis semasa beliau memandunya ke Pulau Pinang.

Tetapi dari pengalaman penulis memandu dalam trafik dan lebuh raya sekitar Lembah Klang, penulis boleh katakan jarak yang dipaparkan pada kereta ini cukup realistik. Baterinya bertahan cukup baik walaupun kita memandu pada kelajuan tiga digit di lebuh raya.

Pengecasan mudah

Seperti biasa untuk sebuah EV, kita perlu sentuh bab pengecasan. smart #1 Brabus boleh dicas dari 10 hingga 80 peratus dalam masa 30 saat sahaja menggunaka DC kerana ia menyokong sehingga 150kW.

Yang menariknya ialah pengecasan AC kereta ini, yang boleh dibuat pada kadar 22kW. Kebanyakan EV dalam pasaran hanya boleh dicas pada 11kW. Jadi ini satu kelebihan besar buat smart kerana pengecasan AC dari 10 hingga 80 peratus hanya mengambil masa kira-kira tiga jam.

Sudah tentu kebanyakan pemilik akan ada pengecas AC sendiri di rumah, dan tidak perlu bergegas. Kereta boleh dicas pada waktu malam sebaik anda pulang dari bekerja, dan bateri sudah penuh menjelang tengah malam.

Tetapi apa salahnya jika boleh dicas lebih pantas, masih bagus, manalah tahu ada situasi luar jangkaan yang memerlukan kita memandu kereta ini, bukan?

Aplikasi Hello smart juga membantu dalam pengecasan sekiranya anda mahu mencari stesen pengecas awam, seperti dari pengalaman penulis.

Terdapat banyak maklumat seperti lokasi, jarak, kekosongan, dan harga dipaparkan. Kemudian semasa mengecas, anda boleh memantau status bateri dan kenderaan dari jauh melalui telefon pintar sahaja.

Padat dengan teknologi

Seperti kebanyakan EV lain, smart #1 Brabus juga padat dengan teknologi. Skrin infotainment 12.8-inci menyimpan pelbagai fungsi. Tetapi yang menariknya ialah sistem dalam smart #1 ini mempunyai paparan unik dan agak ceria.

Di menu utama terdapat imej seperti glob yang menyusun fungsi-fungsi dan terdapat avatar musang yang akan menyahut bila anda memberikan arahan suara. Sistem ini nampak agak berserabut dan sukar pada mulanya tetapi bila anda sudah biasa, sebenarnya mudah dan agak membantu.

Sudah tentu satu lagi teknologi yang menjadi keunikan untuk smart #1 ialah sistem audio Beats, jika anda masih ingat headphone Beats by Dr Dre yang pernah popular suatu ketika dulu.

Sistem audio ini hanya terdapat pada varian Premium dan Brabus. Penulis tidaklah begitu pandai menilai kualiti bunyi, tetapi untuk penulis, sistem ini memang sedap bunyinya dan menepati jangkaan anda. Padan dengan namanya.

Kemudian, sistem keselamatan juga penuh dan lengkap untuk smart #1 Brabus ini. Dari ESC, tujuh beg udara, hinggalah sistem ADAS seperti Adaptive Cruise Control, Lane Keep Assist, Lane Departure Warning dan Blind Spot Monitoring, semuanya ada. Cuma kadang-kala bunyi amarannya terlalu pelik atau kuat.

Tetapi anda boleh sahaja tukar tetapan ini dalam menu skrin.

Ada kelemahan?

Menyebut menu skrin, ini sedikit kelemahan untuk smart #1 Brabus. Kami faham jika kebanyakan fungsi yang jarang digunakan ‘disimpan’ dan disorok dalam menu skrin.

Tetapi untuk fungsi seperti pendingin hawa, anda masih perlu tekan 2-3 langkah untuk melaras suhu atau kipas, sesuatu yang sangat tidak praktikal.

Malah, pelarasan cermin sisi juga dibuat melalui skrin. Tetapi ini agak cool juga bila difikirkan, tidak begitu menjengkelkan kerana jarang untuk kita buat.

Kesimpulan

Akhir sekali, penulis mempunyai masa dan pengalaman cukup menyenangkan selama beberapa hari memandu uji smart #1 Brabus. Ia bergaya, praktikal, moden, unik, dan seronok dipandu.

Penulis juga sempat mematikan Traction Control sepenuhnya di kawasan lapang off-road, dan smart #1 Brabus ini boleh menjadi liar! Kesemua 543Nm tork dihamburkan tanpa sebarang tapisan, membuatkan penulis terasa seperti memandu jentera Rally Dakar elektrik!

smart #1 Brabus boleh menjadi calon sesuai jika anda golongan muda atau dengan keluarga kecil yang ingin mencari EV pertama.

Spesifikasi smart #1 Brabus

Harga: RM249,000
Bateri: 66kWh
Kuasa: 422hp
Tork: 543Nm

Mercedes-Benz EQS 500 4Matic – S-Class versi elektrik? – Pandu Uji

Mercedes-Benz mempunyai portfolio produk yang luas, dari sekecil-kecil hatchback hinggalah sebesar-besar SUV. Seperti yang anda tahu, S-Class atau Sonderklasse merupakan penawaran tertinggi syarikat itu dalam barisan model enjin pembakaran dalamannya (ICE).

Dalam segmen elektrik, status model flagship Mercedes-Benz dipegang oleh EQS. Huruf ‘S’ pada hujung namanya mungkin membuatkan anda menyangka yang ia adalah S-Class versi elektrik. Ini ada benarnya tetapi ia tidak semudah itu.

Pertama sekali, kedua-dua model berkenaan menggunakan platform yang berbeza. S-Class dibina di atas platform Modular Rear Architecture (MRA2) manakala EQS pula menggunakan platform Electric Vehicle Architecture (EVA) yang dibangunkan khusus untuk EV.

Kesan dari penggunaan platform yang berbeza boleh dilihat dari ukuran dimensi, di mana EQS sedikit lebih kecil daripada S-Class dengan ukuran panjang 5,216 mm, lebar 1,926 mm dan tinggi 1,512 mm. Ukuran tapak rodanya juga lebih pendek sebanyak 6 mm pada 3,210 mm.

Tidak seperti BMW 7 Series dan i7 yang kelihatan hampir 100% sama, reka bentuk luaran S-Class dan EQS juga sangat jauh berbeza – bagai langit dengan bumi, bak kata orang lama.

Tidak perlu diperkatakan lagi yang S-Class masih mengekalkan bentuk “tiga kotak” tradisional yang meletakkan model itu di peta dunia sejak ia diperkenalkan buat kali pertama.

Sementara itu, EQS pula tampil lebih futuristik dengan bentuk badan yang bujur dan garisan-garisan lembut yang mendominasi keseluruhan bahagian luarannya.

Perlu diingat yang ia merupakan sebuah EV, jadi kecekapan aerodinamik menjadi fokus utama dalam proses reka bentuk. Salah satu cara untuk mencapainya adalah dengan menutup semua lubang yang ada – sebab inilah ia mempunyai ‘wajah’ yang bulat dan licin.

Sejujurnya, saya tidak begitu menggemari rekaan luaran EQS kerana ia nampak agak pelik. Bagaimanapun, rata-rata orang yang saya temui menyatakan mereka menyukai penampilan futuristik dan uniknya.

Bahagian luaran kereta ini mungkin tidak begitu menarik bagi saya namun ruang dalamannya cukup mengagumkan. Memang menjadi kepakaran Mercedes-Benz dalam menggabungkan teknologi dan kemewahan, dan ini dapat dirasakan sendiri sebaik sahaja saya masuk ke dalam EQS.

Seperti yang anda boleh lihat, tarikan utama di sini adalah paparan yang terlindung di sebalik panel kaca selebar 141 cm yang meliputi keseluruhan papan pemuka.

Digelar sebagai MBUX Hyperscreen, ia sebenarnya adalah gabungan tiga skrin kluster instrumen digital untuk pemandu berukuran 12.3 inci, skrin sentuh tengah OLED berukuran 17.1 inci dan sebuah lagi skrin sentuh OLED 17.1 inci untuk penumpang hadapan.

Seperti yang boleh dijangka dengan sistem MBUX, grafik yang dipaparkan sangat tajam dan jelas, manakala operasinya lancar tanpa sebarang isu lag. Skrin penumpang hadapan membuatkan kokpit tampak canggih namun ia tidak lebih dari sekadar gimik.

Cuma, dengan penggunaan skrin yang besar ini, majoriti fungsi kenderaan hanya boleh diakses menerusi skrin sentuh tengah tersebut. Ini sedikit sebanyak menjejaskan tumpuan ketika memandu tetapi untuk pendingin hawa, terdapat ruang khas yang disediakan jadi pemandu boleh mengawalnya tanpa perlu memasuki menu.

Perkara yang sama juga boleh dikatakan mengenai stereng, di mana Mercedes memilih untuk menggunakan panel sesentuh. Memang tidak dapat dinafikan yang ia nampak cantik dan mewah anda mungkin memerlukan sedikit membiasakan diri dengannya.

Seperti S-Class, keselesaan penumpang belakang juga menjadi keutamaan. Di samping tempat duduk empuk berserta perehat kepala yang lembut, mereka juga mendapat skrin tersendiri serta tablet yang boleh digunakan untuk mengawal fungsi kenderaan atau bermain permainan yang disediakan.

Selain itu, EQS didatangkan dengan banyak ciri-ciri keselesaan lain termasuk sistem pencahayaan ambien dengan 64 pilihan warna, sistem pendingin hawa empat zon, dan sistem audio Burmester 3D lengkap dengan fon kepala untuk penumpang belakang.

Bagaimanapun, saya perasan kereta ini tidak mempunyai tirai pada pintu belakang dan cermin belakang. Agak pelik kerana saya pasti privasi adalah salah satu sebab utama kereta-kereta limosin Mercedes popular dalam kalangan golongan kaya.

 

EQS 500 yang penulis berpeluang memandu uji baru-baru ini merupakan model pemasangan tempatan (CKD) yang dipasang di Pekan, Pahang.  Ia menggantikan varian pertama EQS yang dilancarkan di Malaysia iaitu EQS 450+ yang dibawa masuk sebagai model CBU.

Varian ini lebih berkuasa namun penampilannya tidak segarang EQS 450+ yang didatangkan dengan kit AMG Line dan rim aloi AMG berukuran 21 inci. Entah kenapa, EQS 500 hanya diberikan kit Electric Art Line dan rim 20 inci dengan rekaan yang agak konservatif.

EQS 500 dikuasakan oleh dua motor elektrik yang menjana kuasa keseluruhan sebanyak 449 PS dan 828 Nm, 116 PS dan 260 Nm lebih tinggi berbanding EQS 450+ yang mempunyai motor elektrik tunggal pada gandar belakang.

 

Walaupun mempunyai berat sekitar 2.4 tan, limosin elektrik ini mencapai kelajuan 100 km/j dengan begitu mudah. Atas kertas, ia mampu melakukan pecutan 0-100 km/j dalam hanya 4.8 saat namun kadang-kala ia terasa lebih pantas daripada itu, walaupun ketika saya memandu dalam mod Comfort.

Dari segi kuasa, memang tidak dinafikan model ini mampu bersaing dengan kebanyakan kereta sport yang ada dalam pasaran namun bagaimana pula dari segi pemanduan?

Terima kasih kepada sistem suspensi udaranya, EQS sememangnya antara kereta yang paling selesa untuk dinaiki – tidak kira sama ada sebagai pemandu atau pun penumpang. Di lebuh raya, setiap permukaan yang beralun diserap dengan begitu lembut sekali sehinggakan perjalanan yang jauh tidak begitu terasa.

Namun ketika melalui bonggol had laju, saya sentiasa perlu berhati-hati kerana suspensi yang agak lembut akan menyebabkan bahagian bawah kenderaan terhentak jika terlalu laju.

Menariknya, walaupun mempunyai karakter yang agak matang, EQS boleh dikatakan agak lincah di selekoh. Mungkin kerana pek baterinya diletakkan pada kedudukan yang agak rendah, sedan ini bagaikan melekap di jalan setiap kali ia dipandu dengan agresif.

Selain talaan casis, satu lagi faktor penyumbang adalah sistem stereng roda belakang. Ia membolehkan roda belakang dipusing sehingga 10 darjah untuk mengecilkan radius putaran, sekali gus memberikan pengendalian yang lebih tajam.

Mengenai jarak pemanduan pula, bateri berkapasiti 108.4 kWj menjanjikan jarak gerak sejauh 696 km dengan satu cas penuh berdasarkan kitaran WLTP yang lebih tepat.

Walaupun kitaran WLTP boleh dikatakan agak tepat, saya sudah mengetahui yang agak sukar untuk mencapai angka tersebut di dalam situasi dunia sebenar. Sangkaan saya terbukti tepat apabila saya hanya berjaya mencapai jarak kira-kira 600 km sebelum cas bateri turun ke tahap yang membimbangkan.

Bagi saya, 600 km untuk satu cas penuh sudah cukup memadai untuk kebanyakan pemandu. Melainkan anda sering keluar outstation, anda mungkin perlu mengecas EQS beberapa kali sahaja sebulan.

Jika difikirkan balik, EQS dan S-Class secara asasnya memang dua model yang berbeza namun kedua-duanya menawarkan benda yang sama iaitu kemewahan, keselesaan dan prestasi yang terbaik dalam kelasnya.

Cuma, EQS sebagai sebuah EV tampil dengan pakej yang lebih unik dan futuristik, sesuatu yang dilihat akan menarik perhatian golongan pembeli yang lebih muda.

Spesifikasi Mercedes-Benz EQS 500 4Matic

Harga: RM648,888
Kuasa: 449 PS
Tork: 828 Nm
Bateri: 93.4 kWj
Jarak gerak: 696 km (WLTP)

Volvo Safety Driving Experience beri peluang tangani situasi kecemasan, rasai sistem keselamatan termaju

JIKA ditanya apa yang anda fikirkan dengan Volvo, pastinya keselamatan. Pengeluar Sweden itu begitu sinonim dengan keselamatan dan berbangga dengannya.

Baru-baru ini, Volvo Car Malaysia menganjurkan Volvo Safety Driving Experience yang pertama mereka di pangkalan udara pertama negara ini (bekas), di Bandar Malaysia, Sungai Besi.

Acara yang diadakan pada Sabtu beberapa minggu lepas itu menyaksikan lebih 240 pemilik dan peminat Volvo mempelajari kemahiran-kemahiran memandu melalui latihan seperti membrek, mengemudi stereng, dan menukar lorong dengan pantas.

Bagi kami pengamal media, tidaklah begitu asing dengan aktiviti sebegini, tetapi ia kali pertama dengan Volvo, jadi ia tetap sesuatu yang menarik untuk dilihat.

Aktiviti pemanduan pertama yang dibuat adalah menukar lorong ke kiri atau kanan diikuti dengan brek maksima sehingga kenderaan berhenti. Menggunakan Volvo C40 Recharge dan XC40 Recharge, aktiviti ini dilakukan pada kelajuan 60 atau 70km/j.

Walau pada kelajuan ini, dapat dilihat ia boleh terasa agresif untuk penumpang meskipun kereta kekal stabil. Bayangkan situasi kecemasa ini perlu dibuat semasa anda memandu pada kelajuan 110km/j di lebuh raya…

Seterusnya kami dibawa ke aktiviti membrek dengan jalan lurus dan sambil mengelak halangan. Di sini, dapat dilihat ABS membolehkan kereta masih boleh dikawal walaupun membrek dengan kuat.

Paling penting adalah kemampuan pemandu untuk bertindak balas dan fokus semasa pemanduan bagi mengurangkan risiko perlanggaran semasa situasi kecemasan.

Seterusnya kami dibawa ke demonstrasi sistem-sistem keselamatan yang ada pada model-model Volvo terkini.

Antaranya adalah Cross Traffic Alert yang memberi amaran kepada pemandu akan trafik di belakang semasa mahu mengundur keluar dari parker. Amaran yang diberi adalah tepat bergantung kepada arah dan jarak trafik itu.

Kami juga sempat mencuba sistem Pilot Assist dengan Volvo V60 yang membantu pemandu mengawal kelajuan dalam trafik berserta bantuan stereng.

@engear.tv #Volvo haritu jemput kita untuk join Safety Driving Experience untuk tambah ilmu memandu. #safety #engeartv #malaysia #fyp #carsoftiktok ♬ original sound – Engear TV

Paling penting, Pilot Assist juga mampu membrek secara automatik sekiranya trafik di depan semakin perlahan, dan ia melakukannya dengan lembut dan semulajadi, seperti pemandu sebenar. Ini pastinya dapat mengurangkan beban dan keletihan pemandu dalam situasi seharian.

Aktiviti terakhir adalah slalom course dan pecutan pada kelajuan tinggi. Di slalom, kami dapat merasai kelincahan Volvo S90, V60, XC60 dan XC90 dikemudi di laluan sempit dengan tangkas, tetapi dalam keadaan selamat.

Walaupun kebanyakan model-model ini mempunyai berat sekitar dua tan, ia masih stabil dan lincah malah mempunyai prestasi brek yang begitu meyakinkan.

Akhir sekali untuk aktiviti pemanduan kelajuan tinggi, kami diberi peluang memecut di landasan Lapangan Terbang Sungai Besi sepanjang 1.8km, cumanya kami bukan juruterbang yang hendak berlepas.

Sebaliknya kami memecut model-model Volvo plug-in hybrid ini hingga ke kelajuan maksima 180km/j dan terbukti kestabilan model-model ini apabila membrek dari kelajuan tinggi. Kelajuan maksima ini juga boleh dicapai begitu pantas, kira-kira 20 saat sahaja.

Secara keseluruhan, Volvo Safety Driving Experience memberikan peluang kepada peserta mengalami dan menguji sendiri kemampuan model-model Volvo dalam situasi yang membabitkan keselamatan. Semua peserta termasuk pengamal media juga diberikan sijil penyertaan.

Selain itu, di ruangan hangar, terdapat pameran semua barisan model-model Volvo, pameran oleh Pirelli iaitu penaja utama tayar, dan aktiviti-aktiviti untuk keluarga iaitu Småland untuk kanak-kanak, dan pameran oleh PURAS.

smart #1 lulus ujian perjalanan jarak jauh KL-Pulau Pinang – Pandu Uji

BEBERAPA tahun yang lalu, Mercedes-Benz menerusi Daimler AG telah menandatangani perjanjian bersama Geely untuk pemilikan 50:50 jenama smart.

Dengan termeterainya perjanjian tersebut, smart telah memasuki era kenderaan elektrik (EV) di mana setiap produk keluarannya akan menggunakan teknologi Geely dan reka bentuk Mercedes-Benz.

Model pertama yang terhasil daripada gabungan unik Jerman-China ini adalah smart #1. Ia telah dilancarkan di Malaysia pada November 2023 dengan anak syarikat Proton iaitu Pro-Net (smart Malaysia) sebagai pengedar rasmi.

Baru-baru ini, saya telah dijemput oleh pihak smart Malaysia untuk merasai sendiri pengalaman memandu uji EV berkenaan dari Selangor ke Pulau Pinang.

Secara ringkasnya, terdapat dua varian yang disediakan iaitu Premium dan Brabus dengan pihak media berpeluang memandu kedua-dua varian berkenaan secara bergilir-gilir. Berikut adalah pendapat saya mengenai smart #1:

Ia mungkin antara EV tercantik dalam segmennya

Jika anda inginkan sebuah EV yang rendah dan kelihatan agresif seperti sebuah kereta sport, #1 bukan untuk anda. Ini kerana ia merupakan sebuah SUV dengan bumbung yang agak tinggi dan garisan-garisan badannya juga agak lembut.

Bagaimanapun, terima kasih kepada Mercedes-Benz, ada beberapa elemen reka bentuk yang berjaya menarik perhatian saya. Ini termasuk lampu depan dan belakang yang mempunyai bentuk ‘X’, efek bumbung terapung dan tingkap sisi tidak berbingkai.

Bukan itu sahaja, #1 juga mempunyai party trick yang boleh digunakan untuk menarik perhatian orang. Apa yang saya maksudkan adalah logo pada bahagian sisi akan bercahaya apabila kereta dicas, manakala lampu hadapan akan memainkan welcome sequence setiap kali butang unlock ditekan.

Rekaan kabin minimalis dan futuristik

Jika anda suka rekaan luaran #1, ruang dalamannya yang ringkas tetapi bergaya pasti akan membuatkan anda teruja. Pemandu dan penumpang hadapan dipisahkan oleh papan pemuka berbentuk T yang menampilkan warna hitam pada bahagian bawah dan putih pada bahagian atas.

Anda tidak akan menemui banyak butang di sini kerana majoriti fungsi yang ada boleh diakses menerusi skrin sentuh 12.8 inci yang terletak di atas corong pendingin hawa tengah. Untuk pemandu, terdapat paparan 9.2 inci yang sebenarnya agak nipis namun mujurlah ada head-up display 10 inci yang sangat membantu.

Selain itu, terdapat pelbagai ciri premium yang bagi penulis membuatkan tanda harga #1 rasa lebih berbaloi. Antaranya adalah sistem pencahayaan ambien dengan 64 pilihan warna, pengecas wayarles, empat port USB, bumbung panoramic, penyejuk tempat duduk hadapan dan yang paling menarik, sistem audio Beats dengan 13 pembesar suara.

 Ruang dalamannya luas dan praktikal tetapi…

Dengan ukuran tapak roda 2,750 mm (lebih panjang berbanding Kia Niro EV dan Mercedes-Benz EQA), serta ditambah pula dengan bumbung yang agak tinggi, tidak dinafikan ruang kabin #1 memang terasa cukup luas dan selesa untuk perjalanan jauh.

Tidak cukup dengan itu, anda juga mendapat banyak ruang storan. Kereta ini mempunyai sekurang-kurangnya lapan pemegang cawan dan di bawah papan pemuka, terdapat ruang storan yang cukup luas untuk menyimpan beg kecil dan sebagainya. Masih tidak mencukupi? Terdapat satu lagi ruang storan di bawah perehat tangan.

Bagaimanapun, jika anda ingin membawa seisi keluarga bercuti, anda mungkin perlu fikir dua kali kerana kapasiti but #1 agak kecil iaitu 411 liter sahaja. Di bawah hud, terdapat frunk 15 liter yang cukup-cukup untuk memuatkan kabel pengecas.

Kuasa dan pengendalian? #1 tak kurang hebatnya

Sebelum bertolak ke Pulau Pinang, kami sempat mencuba keupayaan dinamik #1 di litar go-kart Pinnacle Kart USJ. Litar ini agak mencabar kerana laluannya agak sempit dan terdapat banyak selekoh tajam atau hairpin turn.

Di laluan lurus, varian Premium menunjukkan yang ia mempunyai prestasi pecutan setanding kebanyakan hot hatch dengan enjin pembakaran dalaman. Bagaimanapun, ia tidak begitu mengujakan seperti varian Brabus.

Ini kerana varian berkenaan mempunyai output yang jauh lebih tinggi dan ini sudah tentu menjadikan pecutan lebih pantas dan sedikit menakutkan. Bukan itu sahaja, bunyi enjin palsu juga akan disalurkan ke dalam kabin setiap pendikit ditekan dengan agresif bagi menjadikan pemanduan lebih seronok.

Dari segi pengendalian pula, jelas sekali yang #1 tidak direka untuk pemanduan agresif kerana saya dapat merasakan olengan badan yang ketara terutamanya apabila ia ‘dipaksa’ di selekoh-selekoh tajam yang ada di litar go-kart tersebut.

Di sini, #1 Brabus lebih cemerlang kerana ia mempunyai peredam yang lebih keras, menjadikan badan lebih stabil. Kehadiran motor elektrik pada setiap gandar pula memberikan varian ini kelebihan dari segi cengkaman.

Tiada lagi ‘range anxiety’

Dengan #1, penyakit range anxiety yang tidak asing lagi dalam kalangan pemandu EV sedikit sebanyak dapat diubati dengan adanya ciri Charging Map yang membolehkan anda mencari stesen pengecas terdekat dengan mudah.

Menurut smart Malaysia, ciri ini memberikan akses kepada 70% stesen pengecasan awam yang terdapat di seluruh negara.

Bukan itu sahaja, ciri ini juga boleh memaparkan peta yang menunjukkan sejauh mana #1 boleh dipandu dengan tenaga bateri yang masih ada, serta baki tenaga yang akan tinggal setelah sampai di destinasi. Pendek kata, perancangan perjalanan menjadi lebih mudah dengan adanya ciri ini.

Infrastruktur pengecasan EV kita masih belum bersedia

Secara keseluruhannya, perjalanan dari USJ ke Hotel Angsana pada hari itu lancar sahaja walaupun pemanduan dimulakan dengan kapasiti bateri sekitar 85% dengan jarak pandu kira-kira 360 km sahaja.

Kami berhenti di stesen pengecas pantas (DC) 100 kW Gentari di Sunway X Park, Ipoh dengan kapasiti bateri berbaki 30%. Walaupun terdapat sebuah lagi #1 yang sedang menggunakan pengecas tersebut ketika itu, bateri berjaya dicas sehingga 80% dalam masa kurang 30 minit.

Seperti yang dikatakan, semuanya berjalan lancar bagi pihak kami. Namun, ada rakan media lain yang menghadapi masalah teknikal dengan pengecas sehingga mereka terpaksa mencari stesen lain dengan kapasiti bateri berada pada tahap membimbangkan.

Bagaimanapun ketika dalam perjalanan pulang, giliran kereta kami pula berdepan dengan isu pengecasan. Pengecas pantas yang sepatutnya boleh menyalurkan kuasa sehingga 40 kW hanya mampu ‘menyuntik’ 8 hingga 10 kW walaupun tiada EV lain ketika itu.

Ini menyebabkan kami terpaksa menunggu lebih lama dari yang sepatutnya. Dengan kuasa bateri berbaki kurang 50%, kami tekad untuk meneruskan perjalanan ke ibu pejabat Proton di Shah Alam. Kami tiba ke destinasi dengan bateri berbaki 8% dan jarak pandu pula hanya tinggal 32 km.

Kesimpulannya…

Apa yang saya ingin sampaikan di sini adalah kebanyakan yang ada EV di pasaran ketika ini tidak mempunyai masalah untuk melakukan perjalanan jarak jauh. Dengan sedikit perancangan dan gaya pemanduan yang berhemah, perjalanan dari ibu kota ke Utara atau Selatan dengan satu cas penuh bukanlah sesuatu yang mustahil.

Isu utama di sini adalah infrastrukur pengecasan. Di samping bilangannya yang masih rendah, saya berpendapat bahawa penyedia solusi pengecasan EV perlu lebih proaktif dalam memastikan kemudahan mereka sentiasa berada dalam keadaan yang baik bagi memastikan kelancaran kepada pengguna.

BYD Seal sedia bersaing dengan Model 3 – Pandu Uji

RASANYA adil jika dikatakan bahawa setahun yang lalu, tidak ramai orang Malaysia yang pernah mendengar nama BYD.

Namun selepas pelancaran Atto 3 pada Disember 2022, pengeluar kenderaan dari China itu semakin menjadi sebutan ramai terutamanya dalam kalangan peminat kenderaan elektrik (EV).

Berikutan sambutan yang begitu menggalakkan, BYD memperkembangkan portfolionya menerusi pelancaran model EV yang kedua iaitu Dolphin.

Jika anda fikir yang dua model sudah cukup untuk sebuah jenama yang baru hendak mula bertapak, sangkaan anda sebenarnya salah.

Melihat pasaran EV negara ini yang sedang rancak berkembang, BYD berniat untuk mengambil langkah ofensif dengan membawa masuk satu lagi model yang menarik.

Kali ini, ia adalah sebuah sedan dengan perwatakan sporty yang akan memberi saingan secara terus kepada Tesla Model 3 iaitu Seal.

Walaupun masih belum diumumkan secara rasmi, Seal dijangka akan memasuki pasaran Malaysia dalam suku pertama 2024.

Dan sementara menunggu ketibaannya, baru-baru ini kami telah dijemput ke Zhuhai, China untuk melihat dengan lebih dekat Seal dan menguji kehebatan sedan elektrik itu di Litar Antarabangsa Zhuhai.

Bagi yang anda belum tahu, Seal merupakan salah satu model Ocean Series yang juga termasuk Dolphin. Seperti hatchback kecil itu, ia juga dibina menggunakan e-platform 3.0 namun seperti yang boleh dilihat, rekaannya jauh lebih menggoda.

Bagi mereka yang sudah bosan dengan SUV dan crossover, Seal pastinya menarik perhatian kerana ia sebuah sedan empat pintu yang mempunyai elemen reka bentuk yang selalunya terdapat kereta berjenama mewah.

Ini termasuk bumbung ala coupe, pemegang pintu tersembunyi, batang cermin sisi yang nipis dan sirip diffuser yang menonjol. Tidak dilupakan signatur lampu LED depan dan belakang yang begitu menyerlah.

Jika dibandingkan dengan Atto 3 dan Dolphin, ruang dalaman model ini kelihatan lebih serius dan matang dengan tema warna gelap dan rekaan papan pemuka yang lebih konvensional.

Ia juga terasa lebih premium berbanding dua model tersebut, dengan gabungan kulit berkualiti tinggi dan material ala suede, dan tombol gear seperti kristal pada konsol tengah.

Dari segi kelengkapan, kereta ini mempunyai segalanya yang diperlukan oleh pengguna masa kini seperti panel instrument digital, skrin sentuh berputar, Apple CarPlay dan Android Auto, sistem audio Dynaudio, dua pengecas wayarles, bumbung panoramik, NFC dan pendingin hawa dua zon.

Kereta ini juga cemerlang dari segi keselesaan dan praktikaliti. Walaupun mempunyai garisan bumbung yang agak rendah, ruang kepala dirasakan cukup luas. Ruang kaki juga agak besar, lebih-lebih lagi dengan ketiadaan terowong tengah pada bahagian belakang.

Kapasiti ruang but tidaklah begitu besar iaitu 400 liter namun sekiranya ini tidak mencukupi, terdapat ruang storan tambahan di bawah lantai but dan frunk sebesar 53 liter di depan.

“Sporty”, “pecutan” dan “prestasi tinggi” adalah antara perkataan-perkataan yang sering digunakan oleh BYD untuk menggambarkan Seal, jadi Litar Antarabangsa Zhuhai dilihat sebagai lokasi yang paling tepat untuk menguji kemampuan sedan ini.

Sesi pandu uji pada hari itu dibahagikan kepada empat sesi iaitu pecutan, slalom, S-curve dan pemanduan trek penuh. Hujan yang dibawa oleh taufan sedikit sebanyak menjejaskan aktiviti pada hari itu namun secara keseluruhannya, objektif kami dengan Seal tercapai.

Untuk ujian pecutan, kami diberikan varian Performance AWD yang mempunyai 530 PS dan 670 Nm yang dibekalkan oleh sepasang motor elektrik. Atas kertas, ia boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.8 saat, 0.4 lebih pantas berbanding Model 3 Long Range Dual Motor.

Angka tersebut bukanlah sesuatu yang luar biasa untuk sebuah EV dengan dua motor elektrik namun agak mengagumkan yang ia berjaya melakukannya beberapa kali walaupun dalam keadaan permukaan basah, dengan tayar biasa.

Dalam mod Sport, tindak balas yang ditunjukkan oleh pendikit sangat memuaskan dan apa yang paling penting, stereng kekal dalam keadaan lurus dan terkawal dari mula pedal ditekan hinggalah ia dilepaskan.

Sesi slalom dan S-curve memberi peluang kepada saya untuk merasai kelebihan Seal dari segi pengendalian namun kedua-dua sesi itu tidak begitu mengujakan jika dibandingkan dengan sesi pemanduan penuh di litar.

Ini kerana Litar Antarabangsa Zhuhai mempunyai beberapa selekoh berkelajuan tinggi dan laluan lurus sepanjang 900 meter – elemen yang sangat sesuai untuk menguji kuasa dan juga casis Seal.

Seperti yang dikatakan, Seal boleh memecut seperti sebuah kereta sport sebenar namun apa yang lebih mengagumkan adalah talaan casis dan suspensi yang telah dilakukan oleh BYD.

Dengan pek bateri yang agak besar, Seal sebenarnya agak berat dengan berat keseluruhan mencecah 2,185 kg namun pergerakan badannya ketika mula memasuki selekoh boleh dikatakan agak responsif dan tepat dengan input stereng.

Bercakap tentang stereng, talaannya agak seimbang atau dalam erti kata lain, tidak terlalu ringan dan tidak terlalu berat. Mungkin bukan yang terbaik untuk pemanduan agresif di litar namun di jalan raya, rasanya ia sudah cukup memadai.

Namun dengan tork yang agak tinggi, Seal dirasakan agak cenderung untuk ‘membuang’ terutamanya jika pendikit ditekan semasa stereng sedang membelok. Bagaimanapun, harus diingat bahawa tayar yang digunakan bukan jenis UHP dan permukaan litar basah ketika itu.

Sesi pandu uji di Zhuhai ini agak pendek tetapi sudah cukup untuk saya mendapat sedikit idea mengenai apa yang boleh ditawarkan oleh Seal. Dari segi reka bentuk, kelengkapan dan prestasi, ia sudah cukup bersedia untuk menandingi pesaing terdekatnya.

Untuk faktor-faktor lain seperti kebolehgunaan, terutamanya dari segi jarak pandu dan pengecasan, kita perlu menunggu pelancarannya untuk pandu uji yang lebih komprehensif.

Bolehkah Seal menyaingi Model 3 yang mendapat sambutan hangat di sini? Ia bukan satu misi mustahil namun Sime Darby Motors selaku pengedar rasmi BYD perlu menetapkan harga yang kompetitif kerana pada pendapat saya, hargalah yang akan menjadi faktor penentu terbesar untuk kejayaan Seal di Malaysia.

Audi e-tron GT tiada masalah beraksi di litar – Pandu Uji

Jika anda seorang yang kaya dan ingin memiliki kenderaan elektrik (EV), anda sebenarnya mempunyai banyak pilihan yang akan menarik perhatian anda namun berani penulis katakan bahawa tidak ada satu pun yang boleh menangkap jiwa anda seperti Audi e-tron GT.

Sekali pandang sahaja, anda tahu bawa e-tron GT adalah sebuah EV yang direka khusus untuk individu yang bergaya dan berjaya seperti anda.

Ya, mungkin akan ada orang di sekeliling anda yang akan berkata “Baik beli Porsche Taycan, lagi laju”. Benar, atas kertas, kembarnya dari Zuffenhausen itu lebih pantas tetapi ia tidak akan membuatkan anda terasa seperti Tony Stark.

Sebagai sebuah sedan empat pintu dengan jarak pandu sejauh 458 km dengan satu cas penuh, e-tron GT boleh dijadikan sebagai kereta untuk rutian harian, tidak kira jika anda masih bujang atau pun sudah berkeluarga.

Namun, anda juga perlu tahu bahawa kereta ini juga sentiasa bersedia untuk beraksi di litar. Baru-baru ini, penulis dijemput oleh Audi Malaysia untuk merasai sendiri kehebatan e-tron GT quattro dan RS e-tron GT di Litar Antarabangsa Sepang.

Untuk pengetahuan, acara Audi Driving Experience itu dijalankan di bahagian selatan litar (South Paddock) sahaja. Aktiviti pemanduan terbahagi kepada dua bahagian iaitu sesi pandu uji di litar dan ujian pecutan di laluan lurus selepas selekoh 14.

Untuk pusingan pertama, penulis diberikan e-tron GT quattro, varian entry-level yang dilengkapi dengan dua motor elektrik yang menghasilkan output keseluruhan sebanyak 476 PS dan 630 Nm.

Sebaik sahaja keluar dari pit, tujahan keras pada pedal pendikit membuatkan kereta ini terus ‘hidup’ dan memecut bagai tiada hari esok. Kepala tertolak sedikit ke belakang dan tangan mula menggenggam stereng dengan lebih kuat, menandakan kuasa pecutan yang tinggi.

Berdasarkan spesifikasi, model ini hanya memerlukan 4.5 saat untuk mencapai kelajuan 100 km/j dari keadaan pegun namun apabila memecut ketika sedang bergerak, ia boleh mencapai kelajuan 150 km/j sebelum penulis sempat menghembuskan nafas.

Salah satu kelebihan memandu EV adalah tork sentiasa tersedia. Di litar berkelajuan tinggi seperti Sepang, ini amat berguna kerana ia membolehkan anda keluar dari selekoh sepantas kilat. Dan apa yang mengagumkan, ini boleh dilakukan berulang kali.

Bukan itu sahaja, sistem pacuan semua roda quattro yang merupakan trademark Audi juga memainkan peranan penting dalam memberikan cengkaman tinggi, terutamanya ketika menghadapi chicane di selekoh 12 dan 13.

Seterusnya, penulis berpeluang mencuba RS e-tron GT yang secara asasnya merupakan varian yang lebih berkuasa dan mempunyai tahap kelengkapan yang lebih tinggi.

Seperti versi asas, ia juga mempunyai sebuah motor elektrik pada setiap gandar namun kuasa yang dihasilkan lebih tinggi iaitu 598 PS dan 830 Nm. Perbezaan kuasa ini memang boleh dirasakan dengan jelas dan bagi penulis, varian ini terasa lebih ‘liar’ ketika beraksi.

Walau bagaimanapun, ia didatangkan dengan beberapa kelengkapan tambahan yang membuatkan ia lebih hebat berbanding versi asas dari segi dinamik.

Yang pertama adalah sistem suspensi udara. Dengan peredam adaptif pada gandar hadapan dan belakang, sistem ini boleh mengurangkan ketinggian sebanyak 10 mm pada kelajuan 90 km/j dan 12 mm lagi ketika kereta bergerak pada kelajuan 180 km/j ke atas.

Bukan itu sahaja, RS e-tron GT juga dilengkapi dengan sistem stereng roda belakang (rear-wheel steering). Pada kelajuan sekitar 50 km/j, sistem ini akan memusingkan roda belakang berlawanan arah dengan roda hadapan bagi memberikan radius putaran yang lebih kecil.

Pada kelajuan 80 km/j pula, roda belakang akan dipusing mengikut arah roda hadapan. Ini secara tidak langsung akan menjadikan kereta lebih stabil terutamanya ketika mengambil selekoh pada kelajuan tinggi.

Satu lagi kelebihan versi RS adalah differential lock pada gandar belakang. Dalam konteks pemanduan di litar, komponen ini menggunakan pemvektoran tork untuk menjadikan kereta lebih lincah ketika memasuki selekoh tajam dan meningkatkan cengkaman ketika keluar.

Untuk sesi ujian pecutan, penulis melakukannya dengan RS e-tron GT sahaja. Di sini, fungsi overboost memainkan peranan penting kerana ia akan meningkatkan kuasa kepada 646 PS untuk sementara waktu bagi membolehkan kereta memecut sepantas yang boleh.

Atas kertas, model RS ini hanya memerlukan 3.3 saat untuk memecut dari 0 hingga 100 km/j namun penulis berjaya melakukannya dalam masa 3.2 saat, berdasarkan pengukur pecutan yang terpapar pada panel instrumen.

Malah, ada pihak media yang berjaya melakukan pecutan tersebut dalam masa 3.1 saat sahaja. Ini menunjukkan bahawa dalam keadaan tertentu, RS e-tron GT sebenarnya lebih pantas dari yang diperkatakan.

Konklusi

Sejujurnya, penulis tidak rasa bahawa ingin memandu di litar adalah sebab utama kenapa orang membeli EV. Apa yang penulis ingin sampaikan di sini adalah, Audi e-tron GT dan RS e-tron GT adalah EV yang cukup versatil dan sekiranya suatu hari anda ingin melepas gian untuk memandu laju, ia boleh melakukannya tanpa sebarang isu.

Anda mungkin tertanya-tanya jika jarak pandu akan menjadi penghalang untuk pemanduan di litar lumba. Untuk sebuah EV yang boleh dipandu sejauh lebih 400 km dengan satu cas penuh, penulis tidak rasa ada sebarang masalah kerana jika diambil kira jarak Litar Antarabangsa Sepang iaitu 5.543 km, anda sebenarnya boleh memandu e-tron GT berpuluh-puluh pusingan sebelum kuasa bateri turun ke tahap yang boleh dianggap ‘membimbangkan’.

Spesifikasi Audi e-tron GT quattro

Harga: RM588,790
Kuasa: 476 PS (530 PS dengan overboost)
Tork: 630 Nm (64o Nm dengan overboost)
Bateri: 93.4 kWj

Spesifikasi Audi RS e-tron GT

Harga: RM793,790
Kuasa: 598 PS (646 PS dengan overboost)
Tork: 830 Nm
Bateri: 93.4 kWj

iX3 sebuah EV BMW ‘tradisional’ kerana ia RWD – Pandu uji

BMW merupakan antara pengeluar di Malaysia yang banyak menawarkan model elektrik (EV), antaranya i4, i7, iX1, iX3, dan iX. Kali ini, Engear diberi peluang oleh BMW Malaysia untuk meluangkan hujung minggu bersama iX3.

Ada satu rahsia, walaupun iX3 ialah model EV yang boleh dikatakan sebagai baharu, futuristik dan terkini, ia mempunyai sifat sebuah BMW tradisional. Kenapa? Kerana ianya sebuah jentera RWD sejati.

Ya, BMW M3 pun kini sudah pacuan semua-roda dengan sistem xDrive, tetapi iX3 sebuah SUV EV pula RWD. Memang dunia yang pelik kita hidup sekarang.

Konfigurasi RWD

BMW iX3 mempunyai konfigurasi RWD kerana ia dipacu motor elektrik tunggal yang dipasang di gandar belakang, dengan output 282hp dan 400Nm tork. Motor ini mendapat kuasanya dari bateri 73.8kWh yang mampu memberikan iX3 jarak pemanduan sehingga 453km.

 

Kami beriya-iya cakap mengenai RWD, apa yang penting sangat? Mungkin kebanyakan pemandu tidak kisah pun. Ia satu fakta menarik kerana apabila tayar depan tidak perlu menghantar kuasa dan hanya menggalas tugas membelok, ia akan menyebabkan stereng rasa begitu telus dan tepat.

Jadi adakah ia bermakna kereta ini laju? Tidak semestinya. Ini cuma bermakna iX3 mempunyai ‘feel’ atau rasa seperti kereta sports sejati; kuasa 100 peratus di tayar belakang, stereng 100 peratus oleh tayar depan. Bila kali terakhir anda pandu kereta sebegini?

Tetapi nak kata BMW iX3 ini perlahan, tidak juga. Prestasi masih mantap. Walaupun mempunyai berat 2,200kg, ia masih mampu memecut ke 100km/j dalam masa 6.8 saat, lebih pantas dari kebanyakan kereta. Cuma kelajuan maksima dihadkan kepada 180km/j ‘sahaja’, biasalah EV.

Tetapi memang benar, sepanjang penulis pandu BMW iX3 ini, pengendalian di selekoh cukup seimbang dan memuaskan. Beratnya tertumpu di tengah, stereng yang banyak maklum balas, dan tork 400Nm boleh diakses kebanyakan masa.

Pemanduan waktu malam ditemani dengan lampu BMW Laser Light yang bukan sahaja nampak canggih, tetapi memberikan penglihatan mantap untuk pemandu. Secara tidak langsung, ini juga menambahkan aspek keselamatan.

Mewah dan praktikal untuk kegunaan seharian

 

BMW iX3 yang kami pandu merupakan varian M Sport Impressive, jadi ia mendapat kemasan badan yang sporti walaupun terdapat klu EV dari elemen-elemen biru.

Elemen biru dapat dilihat pada gril bertutup, kemasukan udara di bampar depan, dan diffuser belakang. Tetapi elemen sporti mendominasi rekaan luar iX3 M Sport ini, seperti rim 20-inci, bampar sisi yang agresif, dan rekaan diffuser belakang yang menyerlah, selain spoiler bumbung.

Profil sisi BMW iX3 ini masih klasik SUV, dan mirip X3. Menunjukkan aspek kekeluargaannya dengan model-model lain. Harus diketahui juga lantai bawah iX3 ini hampir rata seperti kereta sports, dan ia berfungsi bersama diffuser belakang.

Cuma bahagian kabin secara keseluruhan terasa biasa dan tidak terlalu istimewa. Papan pemukanya menampilkan rekaan yang sudah kita kenali, tidaklah buruk, cuma mungkin agak berusia.

Walaubagaimanapun, jika anda rajin ‘mengorek’ ke dalam skrin tengahnya, terdapat banyak kandungan yang khas pada model elektrik. Antarnya adalah menu-menu agihan kuasa, mod regenerative, dan perancangan untuk mengecas.

Penulis cukup suka dengan sistem audio Harman Kardon 464 watt pada iX3 ini yang mampu membuatkan anda rajin memandu kereta ini kerana dapat memainkan lagu kegemaran dengan alunan cukup enak. Isteri suruh beli gula sepaket pun anda akan rajin memandu BMW iX3 ini walaupun jarak dekat.

Keluasan tiada masalah untuk iX3, cukup lapang dengan kelegaan kaki dan kepala yang lebih dari mencukupi untuk lima orang dewasa.

Data perjalanan

Baik, sekarang kita jangan lupa hakikat bahawa BMW iX3 ini sebuah EV, jadi macam mana prestasi dan praktikaliti penggunaan hariannya? Cukup 453km? Sebenarnya, jujur cakap, semasa kami dapat kereta ini, baterinya pada tahap 95 peratus dengan hanya 313km jarak pemanduan. Aduh! Macam mana tu?

Harus diketahui bacaan jarak kereta EV dikira berdasarkan cara pemanduan sebelumnya. Mungkin pemandu sebelum itu melenjan iX3 ini tidak ingat dunia, seronok dengan tork 400Nm yang dibekalkan.

Dari pengalaman penulis pula, walaupun jarak dipaparkan 313km, penulis dapat pandu lebih dari 350km dengan baki 25km semasa memulangkan iX3 ini. Bagaimana?

Penulis banyak memandu dalam bandar dengan kelajuan kurang 120km/j, banyak melakukan stop and go. Jadi berat kereta 2.2 tan itu memberikan momentum untuk sistem regenerative mengembalikan semula tenaga ke dalam bateri setiap kali penulis memperlahankan kereta.

Boleh dikatakan 90 peratus situasi pemanduan penulis tidak menekan pedal brek, cukup sekadar mengangkat kaki dari pedal ‘minyak’, dan iX3 menggunakan regen untuk berhenti, bukannya brek cakera.

Sistem regen padanya juga boleh dilaras pada beberapa tahap, mengikut keadaan dan kesesuaian. Dari pengalaman penulis, anda boleh gunakan regen maksima dalam bandar dan pemanduan perlahan, manakala regen minima untuk pemanduan lebih laju seperti di lebuh raya.

Jadi, penulis tidak sempat menghabiskan bateri sepanjang beberapa hari memandu iX3 di sekitar Kuala Lumpur, satu perkara yang bagus juga lah kan?

Tetapi untuk pengetahuan anda, iX3 akan memerlukan tujuh jam setengah untuk cas penuh jika menggunakan AC. Jika menggunakan pengecasan pantas DC, ia menyokong sehingga 150kW, bermakna 80 peratus bateri dapat dicapai dalam hanya 32 minit.

Boleh beli?

Pasaran EV di Malaysia sememangnya ‘dikacau’ oleh kehadiran Tesla yang menawarkan model dengan jarak pemanduan lebih 500km pada harga bawah RM200,000.

Jadi, bagaimana dengan BMW iX3? Varian M Sport Inspiring bermula pada RM307,160 manakala varian M Sport Impressive yang kami uji ini berharga RM328,160.

Pada pendapat penulis, peminat kereta sejati tidak kisah akan semua itu, terutamanya peminat BMW. iX3 sesuai untuk pemilik BMW yang mahu teknologi EV setelah mereka ada sebuah 5-Series atau X3 di rumah.

iX3 akan menjadi EV yang praktikal untuk kegunaan bandar, di samping mengekalkan imej sporti dan ‘petrolhead’. Malah, ia juga tidak terus nampak seperti sebuah EV sekali lihat, jika itu yang anda gemarkan.

@engear.tv 3 Rahsia Pasal SUV BMW iX3 #engeartv #rahsia #bmw #ix3 #bmwix3 #suv #tiktokmalaysia #malaysia #review #fyp #reels ♬ original sound – Engear TV

Spesifikasi BMW iX3 M Sport Impressive

Harga: RM328,160
Bateri: 73.8kWh
Kuasa: 282hp
Tork: 400Nm

MINI Electric Resolute Edition yang terpaling go-kart – Pandu uji

TANYA sesiapa sahaja yang memiliki atau pernah memandu kereta MINI, pasti akan berkata pengendaliannya seperti go-kart. Atau go-kart dengan bumbung, cermin, pendingin hawa, lampu, dan nombor plat.

Walaupun MINI sekarang tidak begitu ‘mini’ lagi, jika kita tengok model Countryman atau Clubman pun sudah agak besar, sama saiz dengan BMW X1, Mercedes GLA atau Proton X50 sebagai perbandingan. Kita tak panggil Proton X50 sebagai kereta yang ‘mini’ atau kompak, bukan?

Tetapi talaan suspensi, stereng, dan cara penghantaran kuasa dapat menjadikan MINI yang besar ini masih mempunyai pengendalian lincah.

Untuk hari ini, kita akan lihatkan MINI Electric dan kami ingin katakan, inilah MINI yang terpaling go-kart, terpaling, bak kata budak-budak muda sekarang. Mengapa? Jom.

Elektrik, pantas, lincah

Baik, jadi jika anda buka hud depan, tiada enjin, sebaliknya di bawah penutup plastik itu terdapat motor elektrik yang dikuasakan oleh bateri 28.9kWh. Motor elektrik ini memberikan 181hp dan 270Nm tork, angka yang okey untuk hatchback seberat 1,440kg ini.

Menariknya, pecutan dan pemanduan MINI Electric ini terasa seperti ia lebih berkuasa, mungkin seperti kereta petrol dengan output 250hp dan 350Nm. Boleh dibandingkan seperti MINI atau BMW dengan enjin 2.0-liter 4-silinder turbo.

Memandangkan ini sebuah EV, kuasa dan tork maksima dapat diakses sebaik kereta mula bergerak. Tekan sahaja pedal selepas lampu isyarat bertukar hijau, anda terus dapat kuasa penuh.

Anda ingat lagi kereta Tamiya atau kereta kawalan radio (RC)? Tekan ON sahaja, terus motor berpusing laju, begitulah pecutan MINI Electric ini. Dipadankan dengan respon stereng yang laju dan tepat serta suspensi sporti, inilah MINI yang terpaling go-kart.

Malah, penulis terfikir go-kart hari ini pun sudah banyak beralih dari enjin dua-lejang dan empat-lejang kepada go-kart jenis elektrik untuk litar indoor (dalaman), jadi ini menjadikan kedua-dua jenis jentera (MINI Electric dan go-kart elektrik) lebih serupa.

MINI Electric juga tiada gear, jadi motor terus sahaja memecut dan ‘menarik’ kereta ini ke kelajuan maksima dalam satu pecutan terus-menerus, hingga ke kelajuan maksima 150km/j. Tak cukup laju? Bergantung.

Dalam kebanyakan keadaan, pemanduan dalam bandar, anda mungkin tidak akan memandu melebihi 130km/j pun. Yang penting berapa cepat untuk sampai ke kelajuan tiga angka. 100km/j boleh dicapai dalam 7.3 saat sahaja, lebih pantas dari kebanyakan sedan atau SUV segmen-B.

Talaan suspensi juga cukup seimbang, tidak terlalu keras yang anda jangkakan. Ia berada dalam ‘sweet spot’ antara sporti dan keselesaan. Semasa penulis bawa penumpang di tempat duduk belakang juga, mereka tidak merungut kata tidak selesa, sebaliknya sama seronok dan teruja dengan pemanduan EV ini.

Serius, anda pasti tidak lekang dengan senyuman bila pandu MINI Electric ini. Penulis juga rasakan MINI Electric antara kereta paling menyeronokkan penulis pandu dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Anda juga akan dahagakan selekoh. Selepas pecut, anda mahu cari selekoh untuk brek menggunakan regenerative braking, masuk selekoh dengan tepat dan lancar, ‘pegang’ di situ, kemudian berdesup tekan semula pedal kanan sebaik jalan mulai melurus. Dan ulang lagi di selekoh seterusnya.

150km je, cukup?

Tetapi masalah terbesar MINI Electric ini ialah jarak pemanduannya. Jika dilihat pada risalah rasmi, ia mempunyai jarak 232km setiap cas penuh, menurut kitaran WLTP. Ya betul, 232km sahaja.

Dalam dunia sebenar, ia jauh lebih rendah dari ini. Semasa kami ambil kereta ini dengan bateri melebihi 95 peratus, jarak pemanduannya hanya sekitar 160km. Masa untuk panik?

Jangan panik dulu. Sebenarnya ia tidak seteruk yang disangkakan. Jika anda tidak tekan pedal ‘minyak’ lebih dari separuh sepanjang masa – yang sebenarnya cara pemanduan harian – anda boleh dapat lebih dari 160km.

Tetapi jika anda ‘nakal’ dan nak berseronok, sebenarnya motor elektrik MINI ini masih agak cekap. Jaraknya tidak turun terlalu mendadak, melainkan anda pandu di lebuhraya pada kelajuan melebihi 130km/j secara berterusan.

Meluncur pada 110-120km/j, jaraknya berkurang dengan kadar yang sama dengan pergerakan anda.

MINI Electric ini juga sentiasa menggunakan regenerative braking, dengan dua tetapan; kuat atau sederhana. Jadi ini juga membantu mengembalikan sedikit tenaga kinetik kembali ke bateri semasa anda memperlahankan kereta.

Dalam pemanduan bandar pasti berpuluh kali anda membrek dan memperlahankan kereta sama ada untuk melalui bonggol, masuk simpang, atau berhenti di lampu isyarat. Bila tenaga disalurkan dan dikumpul ke bateri, anda boleh guna semula semasa memecut nanti.

Inilah situasi paling ideal untuk MINI Electric; ke sana ke sini dalam bandar melakukan tugas harian. Sudah tentu paling bagus adalah bila anda mempunyai pengecas di rumah, balik petang terus cas beberapa jam hingga malam. Esoknya bateri penuh, dengan jarak 150-160km.

Kebanyakan kita tidak pandu melebihi 100km sehari, bukan?

Tak boleh dipandu jauh? Jujur kata, anda tak mahu cuba pandu ke luar negeri dengan MINI Electric ini. Ianya praktikal dan sempurna untuk pemanduan dalam bandar, tetapi lebih seronok dari kereta lain.

Boleh sahaja MINI sumbat bateri lebih besar pada kereta ini untuk berikan lebih jarak, tetapi ada faktor berat. Bila terlalu berat, kereta tidak akan seronok dipandu, defeat the purpose, bak kata orang putih.

Gaya mesti ada!

Sebagai sebuah MINI, gaya mesti ada! Ia masih mendapat bentuk ikonik hatchback British, bumbung putih untuk warna dwi-tona, lampu belakang LED dengan nyalaan grafik Union Jack, dan beberapa kemasan untuk menunjukkan ianya bukan MINI biasa.

Anda lihat rim empat-bilah, bentuk unik seperti soket elektrik pada penutup ‘tangki minyak’, dan warna kuning-hijau fluorescent pada tulisan-tulisan dan lencana sekeliling kereta, anda akan tahu ini sebuah MINI EV.

Dan dengan Resolute Edition, ia memberikan kemasan lebih unik pada kereta ini, seperti warna khas Resolute Bronze pada gril, lampu belakang, dan hendal pintu. Kemudian bingkai gril, logo dan lencana model pula berwarna hitam.

Paling penulis suka ialah tempat duduk dengan balutan fabrik/kulit Black Pearl Light Chequered, seperti tikar atau kain pelikat. Cukup cantik, trendy, dan sesuai dengan imej serta jiwa MINI ini. Kalau anda berusia 45 tahun, automatik terasa 10 tahun lebih muda dengan MINI Electric Resolute Edition ini.

Ciri lain adalah standard seperti kluster instrumen digital, sambungan Apple Carplay, pengecas tanpa-wayar, sistem audio Harman Kardon, dan paparan Head Up Display, kesemuanya anda dapat pada MINI lain yang terkini.

Secara keseluruhan, MINI Electric Resolute Edition ini sesuai untuk anda yang mencari kereta kedua atau ketiga dalam rumah.

Anda mahu sebuah EV untuk kegunaan harian, ada pengecas di rumah, dan mahukan sesuatu yang menyeronokkan untuk dipandu mengharungi trafik sesak atau selekoh lebuh raya DASH, ini kereta yang boleh dilihat. Paling penting, ia boleh menjadi sebahagian dari outfit anda sekiranya anda jenis yang mementingkan gaya.

Spesifikasi MINI Electric Resolute Edition

Harga: RM211,164
Bateri: 28.9kWh
Kuasa: 181hp
Tork: 250Nm

BYD Dolphin bakal laku keras di pasaran? – Pandangan Awal

SEBELUM ini, nama BYD mungkin tidak pernah didengari oleh rakyat Malaysia. Namun sejak pelancaran Atto 3 pada Disember 2022, pengeluar kenderaan elektrik (EV) dari China itu semakin lama semakin dikenali terutamanya dalam kalangan peminat dan pembeli EV.

Ketibaan BYD ke negara ini bermula dengan amat positif apabila pengedar rasminya iaitu Sime Darby Motors berjaya menyerahkan sebanyak 1,000 unit Atto 3 dalam tempoh 100 hari pelancaran.

Kini, BYD ingin meneruskan momentum mereka dengan penawaran EV kedua yang dikenali sebagai Dolphin. Ia merupakan model hatchback segmen B yang ditawarkan pada harga bermula dari RM100,530 untuk varian Dynamic Standard Range dan RM125,530 untuk Premium Extended range.

Sebelum anda bertanya kenapa, model ini menggunakan nama hidupan laut kerana ia merupakan sebahagian daripada barisan Ocean Series. Satu lagi model daripada siri ini adalah Seal yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Dari segi reka bentuk, sejujurnya saya merasakan Dolphin tidak memberikan sebarang impak yang signifikan. Tidak dinafikan, grafik lampu belakang dan permukaan bertekstur pada tiang C dan gril memang cantik tetapi selain daripada itu, tiada apa yang benar-benar menarik perhatian saya.

Jika anda memilih varian Extended Range, anda akan mendapat warna dua tona dan rim berukuran 17 inci, juga dalam warna dua tona yang sama dengan badan. Lampu LED depan dan belakang disertakan secara standard pada kedua-dua varian.

Ruang dalamannya begitu mempesonakan, dengan rekaan papan pemuka seakan sayap dan corong berbentuk bulat yang mengingatkan saya terhadap jenama dari Jerman. Oh ya, segenap ruang juga dihiasi warna dua tona seperti bahagian luaran.

Apa yang lebih penting, ruang kabin Dolphin bukan sahaja cantik malah antara yang paling selesa dalam segmennya. Ia terasa cukup luas dan tempat duduk hadapan pula terasa begitu lembut, selain mempunyai sokongan yang secukupnya pada bahagian abdomen dan peha.

Material yang digunakan juga sangat memuaskan terutamanya pada bahagian papan pemuka, kerusi dan pintu. Cuma, butang-butang fizikal pada konsol tengah terasa agak longgar apabila digunakan. Ia mungkin akan terasa lebih longgar apabila digunakan secara kerap dalam tempoh masa yang lama.

Dari segi kelengkapan, Dolphin didatangkan standard dengan panel instrumen digital lima inci dan skrin sentuh 12.8 inci yang boleh dipusingkan. Turut disertakan adalah sistem navigasi satelit, Apple CarPlay serta port USB Type A dan Type C.

Aspek praktikaliti juga agak memuaskan. Terdapat beberapa ruang penyimpanan barang pada bahagian konsol tengah dan setiap panel pintu. But belakang juga agak luas dengan kapasiti 345 liter, manakala tempat duduk belakang boleh dilipat sepenuhnya untuk memuatkan kargo panjang.

Semasa sesi pandu uji media tempoh hari, saya berpeluang memandu varian Standard Range dari Kuala Lumpur ke Putrajaya. Varian ini mempunyai 95 PS dan 180 Nm, dan boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 12.3 saat.

Angka ini memang tidak mengagumkan jika dibandingkan dengan kereta-kereta segmen B dengan enjin pembakaran dalaman yang lain namun bagi saya, prestasi pecutan yang ditunjukkan sudah memadai untuk pemanduan di dalam bandar.

Sudah tentu, anda boleh menekan pedal dengan lebih agresif atau menggunakan mod Sport namun ini pastinya akan menjejaskan jarak pandu. Dan berdasarkan pengalaman saya memandu dalam keadaan trafik yang normal, mod Sport sebenarnya tidak diperlukan pun.

Bercakap tentang jarak pandu, varian Standard Range menggunakan bateri jenis Blade berkapasiti 44.9 kWk yang boleh memberikan jarak pandu sehingga 410 km mengikut kitaran NEDC. Dengan gaya pemanduan bercampur, saya hanya menggunakan kira-kira 15 hingga 20 peratus kuasa bateri dari Kuala Lumpur ke Putrajaya.

Dalam perjalanan pulang, saya berkesempatan memandu varian Extended Range yang mempunyai 204 PS dan 310 Nm. Perbezaan kuasa dan tork antara kedua-dua varian ini boleh dirasakan dengan begitu jelas, di mana varian ini memecut laju seperti sebuah kereta hot hatch yang sebenar.

Manakan tidaknya, menurut BYD, Dolphin Extended Range hanya memerlukan 7.0 saat untuk melakukan pecutan 0-100 km/j, hanya 0.6 saat lebih perlahan berbanding Volkswagen Golf GTI Mk8.

Untuk jarak gerak, varian ini dikatakan boleh dipandu sejauh 490 km dengan satu cas penuh dari bateri berkapasiti 60.48 kWj. Sama seperti varian Standard Range tadi, saya menggunakan tidak lebih 20 peratus kuasa bateri untuk perjalanan sepanjang kira-kira 50 km. Itu pun dengan gaya pemanduan yang agak agresif di lebuh raya.

Satu lagi perkara yang membuatkan saya suka dengan Dolphin adalah keselesaannya. Selain tempat duduk yang empuk tadi, saya merasakan sistem suspensinya cukup lembut dan seimbang, serta sesuai untuk mereka yang lebih suka memandu secara santai.

Untuk pengetahuan anda, kedua-dua varian menggunakan topang MacPherson pada bahagian hadapan, namun untuk suspensi belakang, Standard Range mendapat torsion beam manakala Extended Range menggunakan multi-link.

Apa yang menarik tentang kereta ini, ia akan mengeluarkan bunyi lembut seakan lori atau motosikal aiskrim. Sekiranya radio atau muzik tidak dimainkan, bunyi ini boleh didengari dengan agak jelas dari dalam kabin namun tidaklah sehingga mengganggu tumpuan.

Untuk pengetahuan anda, bunyi ini dianggap sebagai salah satu ciri keselamatan kerana ia berfungsi untuk memberi amaran kepada jalan kaki dan penunggang basikal.

Jika anda mementingkan ciri bantuan pemandu, jangan risau untuk membuat pilihan kerana kedua-dua varian Dolphin dilengkapi dengan Adaptive Cruise Control, Automatic Emergency Braking, Lane Departure Warning, Lane Keeping Support, Predictive Collision Warning, Blind Spot Detection, Rear Cross Traffic Alert dan sebagainya.

Adakah Dolphin akan mendapat sambutan yang sama seperti Atto 3? Tidak mustahil model ini boleh laku keras kerana ia mempunyai segalanya untuk menarik minat pembeli terutamanya mereka yang ingin beralih ke arah EV. Harganya cukup kompetitif, manakala senarai kelengkapan dan prestasinya amat memuaskan. Sejujurnya, saya gagal menahan diri daripada impressed dengan Dolphin.

Spesifikasi BYD Dolphin Dynamic Standard Range

Harga: RM100,530
Bateri: BYD Blade 44.9 kWj
Kuasa: 95 PS
Tork: 180 Nm

Spesifikasi BYD Dolphin Premium Extended Range

Harga: RM125,530
Bateri: BYD Blade 60.48 kWj
Kuasa: 204 PS
Tork: 310 Nm

Kia EV6 GT-Line AWD memang hebat, bukan sekadar hype – Pandu Uji

RASANYA anda semua sudah sedia maklum bahawa jenama Kia sudah jauh ke hadapan dalam industri automotif. Jenama itu yang dahulunya sering dipandang rendah kerana menghasilkan kereta yang buruk dan tidak berkualiti, kini mempunyai barisan produk yang mampu bersaing dengan pengeluar-pengeluar dari Eropah.

Malah, Kia telah mula mengorak langkah dalam segmen kenderaan elektrik (EV) sejak 2016 dengan Niro EV. Pada 2021, Kia memperkenalkan model EV kedua mereka iaitu EV6. Rata-rata reaksi yang diberikan adalah sangat positif dan kemuncaknya, ia merangkul dua gelaran berprestij iaitu European Car of the Year dan Car of the Year.

Kira-kira setahun selepas pelancarannya di peringkat global, EV6 akhirnya tiba di Malaysia menerusi Dinamikjaya Motors selaku pengedar rasmi Kia di negara ini. Saya akhirnya berpeluang untuk mencuba model ini dan menyiasat sama ada ia benar-benar mengagumkan atau sekadar hype.

Untuk pasaran Malaysia, EV6 ditawarkan dalam satu varian sahaja iaitu GT-Line AWD, pada harga RM300,668 (on-the-road tidak termasuk insurans). Ya, memang mahal namun saya boleh katakan pada harga ini, anda sebenarnya mendapat sebuah EV bertaraf premium dari segi reka bentuk, kelengkapan dan prestasi.

Apa yang anda perlu tahu, EV6 dibangunkan menggunakan platform E-GMP (Electric-Global Modular Platform) yang dibangunkan khusus untuk EV. Ini bermakna tidak ada model Kia berenjin petrol atau diesel yang dibina di atas platform yang sama.

Platform ini turut digunakan oleh Hyundai Ioniq 5 namun tidak seperti model itu yang tampil dengan tema retro futuristik, EV6 mempunyai reka bentuk yang 100 peratus moden dan futuristik. Saya secara peribadi merasakan ia adalah model Kia yang paling menarik pernah dihasilkan setakat ini.

Buat pengetahuan anda, Ioniq 5 dan EV6 kedua-duanya adalah crossover namun EV6 kelihatan lebih sleek kerana ukurannya 97 mm lebih pendek dan 55 mm lebih rendah berbanding Ioniq 5. Tapak rodanya juga lebih pendek dengan perbezaan sebanyak 10 mm.

Dari sisi, imej EV6 diserlahkan lagi menerusi rim berukuran 20 inci, manakala dari belakang pula rekaan lampu yang merentangi sepanjang bahagian tailgate dan fender membuatkan ia tampak lebar seperti sebuah kereta sport yang sebenar.

Berbeza dengan bahagian luarannya, saya mendapati ruang dalaman EV6 kekurangan ‘faktor wow’ – mungkin kerana penggunaan warna hitam dengan sedikit perincian berwarna putih pada tempat duduk dan stereng terasa agak basic untuk sebuah EV yang berharga RM300,000.

Walau bagaimanapun, setelah diamati dan disentuh, setiap permukaan terasa begitu kemas dan berkualiti tinggi. Lebih penting lagi, tiada bunyi menjengkelkan kedengaran apabila panel-panel ditekan. Tempat duduk pula dibalut dengan upholsteri suede yang terasa begitu lembut pada sentuhan.

Dari segi kelengkapan, sebenarnya banyak yang anda dapat. Ada dua skrin berukuran 12.3 inci, satu sebagai panel instrumen digital dan satu lagi sebagai skrin infohibur, Apple CarPlay dan Android Auto, sistem audio Meridian dengan 14 pembesar suara, pengecas wayarles, empat port USB-C dan dua soket 12 volt.

Satu lagi ciri yang bagi saya cukup berguna adalah Vehicle-to-Load (V2L) yang secara asasnya menjadikan EV6 sebuah power bank gergasi yang boleh digunakan untuk mengecas pelbagai perkakasan elektrik menerusi penyambung tiga poin yang disediakan.

Anda juga tidak perlu risau jika anjung kereta di rumah anda sempit kerana EV6 juga mempunyai ciri Remote Smart Parking Assist yang membolehkan anda menggerakkannya ke hadapan atau belakang dengan menggunakan kunci, tanpa perlu berada di dalam.

Ciri bantuan pemandu yang disertakan juga cukup lengkap. Selain ciri-ciri seperti Forward Collision-Avoidance Assist, High Beam Assist, Blind Spot Monitor dan sebagainya, EV6 turut didatangkan dengan Smart Cruise Control dengan Stop & Go, Lane Following Assist dan Lane Keeping Assist yang membolehkan ia dipandu secara separa autonomi.

Aspek keselesaan tidak dilupakan, dengan adanya ciri-ciri seperti sistem pendingin hawa dua zon lengkap dengan corong udara belakang, pencahayaan ambien, stereng tilt dan teleskopik serta perehat tangan. Lebih menarik lagi, tempat duduk hadapan mempunyai ciri Premium Relaxation yang membolehkan ia dibaringkan dengan sekali tekan sahaja.

Dari segi ruang dan praktikaliti, EV6 boleh memuatkan sehingga empat penumpang dewasa dengan cukup selesa. Ruang kaki belakang cukup luas tetapi ruang kepala mungkin agak terhad untuk mereka yang tinggi. Namun sekurang-sekurangnya penyandar belakang tidak terlalu tegak, bermakna perjalanan jauh selesa dan tidak memenatkan.

Memuatkan bagasi untuk trip hujung minggu tidak akan menjadi masalah kerana EV6 menyediakan ruang but sebesar 520 liter serta ruang storan tambahan sebesar 20 liter di bawah penutup bonet. Kereta ini juga sesuai untuk membawa muatan panjang kerana kerusi belakang boleh dilipat sepenuhnya.

‘AWD’ pada namanya bermakna EV6 GT-Line ini mempunyai dua motor elektrik iaitu satu pada setiap gandar. Dengan kuasa keseluruhan mencecah 325 PS dan 605 Nm, EV6 tidak syak lagi memang sebuah EV yang pantas walaupun mempunyai berat sekitar dua tan. Malah, kepala saya ditolak ke belakang setiap kali memecut dari persimpangan lampu isyarat.

Sudah tentu, setiap kali berbicara tentang EV, jarak gerak lebih penting dari prestasi pecutan. Dengan bateri Long Range berkapasiti 77.4 kWj, model ini sepatutnya boleh dipandu sejauh 506 km dengan satu cas penuh. Namun anda perlu tahu bahawa angka tersebut dicapai menerusi ujian yang dilakukan dalam persekitaran yang paling ideal.

Dalam dunia sebenar, saya boleh katakan memang mustahil untuk mendapatkan jarak seperti yang dikatakan oleh pengeluar. Ini kerana ia bergantung kepada beberapa faktor termasuk gaya pemanduan. Dalam erti kata lain, lebih agresif pedal ditekan, lebih pendek jarak yang anda akan dapat.

Namun sebagai pemandu, anda boleh memaksimumkan jarak gerak dengan memandu secara lebih ekonomik. Dengan EV6, anda juga boleh memanfaatkan teknologi brek janaan semula yang berfungsi untuk menyalur semula tenaga ke bateri setiap kali pedal brek ditekan. Terdapat tiga tahap kekuatan janaan semula yang boleh dipilih menerusi paddle shifter.

Sistem suspensi EV6 terasa sedikit keras. Ini sudah tentu memberikannya kelebihan dari segi kestabilan terutamanya ketika di selekoh. Dan dengan kuasa pecutan yang hebat, ia mampu keluar dari selekoh dengan pantas tanpa sebarang masalah.

Namun, ini secara tidak langsung menjejaskan aspek keselesaannya. Setiap lubang kecil serta bonggol boleh dirasakan dengan jelas di dalam kabin. Malah, kereta ini juga terasa melantun jika dipandu di atas jalan yang beralun.

Secara ringkasnya, saya amat berpuas hati dengan apa yang ditawarkan oleh EV6. Ia mempunyai rupa yang sangat menarik, ruang dalamannya cukup luas dan lengkap dengan segala teknologi yang sepatutnya ada, dan jarak gerak yang ditawarkan juga cukup memuaskan. Jika anda mencari sebuah EV untuk pemanduan harian dengan bajet RM300,000, ini adalah pilihan yang tepat.

Benar, harganya diakui memang tidak murah tetapi seperti yang saya katakan, anda mendapat sebuah EV yang premium. Malah, saya juga berani katakan yang EV6 lebih baik dari segala aspek dari pesaing terdekatnya dari Jerman iaitu Mercedes-Benz EQA.

Spesifikasi Kia EV6 GT-Line AWD

Harga: RM300,668
Motor elektrik: Dua, Permanent Magnet Synchronous Motor (PMSM)
Kuasa: 325 PS
Tork: 605 Nm
Bateri: 77.4 kWj

Hyundai Kona Electric Max: Yang tahu je tahu! – Pandu uji

DALAM memilih barang berjenama contohnya baju, ada terbahagi kepada dua jenis golongan. Yang pertama; mahu logo jenama besar-besar ditulis pada baju, biar semua orang tahu.

Yang kedua; mahu sorok sedikit jenama, biar ditulis kecil-kecil sahaja. Ibaratnya, hanya yang tahu je tahu!

Hyundai Kona Electric ini boleh dikatakan ibarat golongan kedua. Ini kerana rupa dan rekabentuknya yang sangat serupa dengan versi petrol menampakkannya begitu ‘normal’. Hanya sedikit perbezaan tidak begitu ketara yang membolehkan anda mengenal pasti ianya versi Electric.

Kami telah pandu uji Hyundai Kona 2.0 petrol dan 1.6 turbo sebelum ini, dan untuk versi terkini, kami cuba pula Kona Electric Max. Ia ditawarkan pada harga bermula RM149,888 untuk Kona Electric Lite, RM169,888 untuk Plus, dan RM199,888 untuk Max.

Dah macam nama telefon pintar, bukan?

Hyundai Kona Electric Max mendapat pakej bateri terbesar dan jarak pemanduan paling jauh. Ia dibekalkan dengan bateri 64kWh dengan output 204hp dan 395Nm tork, serta jarak maksima 484km.

Sebagai konteks, kuasanya boleh dikatakan lebih kurang kereta berenjin 2.0-liter NA, manakala torknya boleh dibandingkan dengan kereta 2.5-liter petrol turbo. Tetapi memandangkan ini sebuah EV, ia lebih dari sekadar angka.

Rupa ‘fly under the radar’

Jika dilihat pada rupa luaran, perbezaan pada Kona EV ini tidak banyak. Antaranya tempat mengecas di kawasan bampar depan (ke kiri sedikit) dan bampar yang kelihatan kosong kerana tiada gril.

Logo Hyundai di depan ini juga seperti ‘mendongak’ di bahagian atas bampar, tidak seperti versi petrol dimana logonya di dalam gril. Akhir sekali adalah lencana “electric” di pintu but belakang. Dari jauh, nampak seperti Hyundai Kona biasa.

Bab ini, pilihan masing-masing. Ada orang mahu kereta EV mereka nampak futuristik dan menyerlah, biar semua tahu dia pandu EV. Tetapi yang memilih Hyundai Kona, mereka mahu ‘fly under the radar’.

Perkara sama dapat dilihat di bahagian kabin, dimana binaannya 97 peratus serupa dengan versi petrol. Stereng, rekaan papan pemuka, susunan butang, skrin, semuanya sama. Dan tiada salah pun, kerana Hyundai secara umumnya mempunyai kabin yang kemas dan terasa berkualiti.

Satu perbezaan untuk Kona Electric ialah ketiadaan tombol gear, tetapi diganti dengan butang-butang P, R, N, D. Sebenarnya ada Hyundai lain yang bukan EV juga menggunakan gear butang sebegini, contohnya Sonata dan Staria.

Oh ya, sebelum penulis terlupa, dimensi luar Hyundai Kona Electric ini memang sama dengan versi petrol, tetapi lantainya lebih rendah kerana terdapat penutup bateri yang terletak di bawah kabin.

Pemanduan EV harian

Baik, seperti yang dinyatakan di atas, Kona Electric ini mampu pergi sejauh lebih 480km setiap cas, dan jarak ini pastinya bergantung kepada cara pemanduan kita. Sebagai contoh dalam satu situasi, penulis telah memandu 120km tetapi baki pada skrin instrumen bertulis 320km.

Jadi dengan cara pemanduan itu, penulis hanya akan dapat 440km. Alah, sama juga dengan kereta petrol.

Sebagai contoh Perodua Bezza diiklankan mampu mencatat lebih 20km/liter, dan kapasiti tangki petrolnya kira-kira 36 liter. Berapa ramai antara kita yang dapat lebih 700km setangki? Rata-rata mungkin mendapat 14km hingga 15km seliter, bersamaan antara 490km hingga 520km setangki.

Menariknya, segala sistem dalam kereta ini reaktif terus dengan jarak pemanduan. Sebagai contoh bila anda menurunkan suhu pendingin hawa untuk lebih sejuk, anda akan nampak baki jarak pemanduan sedikit berkurang. Begitu juga bila melaras mod pemanduan, jarak boleh bertambah bila anda tukar dari Sport kepada Normal atau Eco.

Ini secara tidak langsung memberikan rasa canggih dan sofistikated terdahap Kona Electric ini. Anda dapat rasa yang semua sistemnya bersepadu dengan baik, dan bukanlah sekadar cabut enjin petrol dan sumbat motor elektrik.

Bercakap mengenai motor elektrik, memandu Hyundai Kona EV ini tidaklah terlalu luar biasa. Jika anda ada kereta petrol lain di rumah, bila selalu bertukar-tukar kenderaan, anda akan mudah menyesuaikan diri dengan Kona Electric.

Ini kerana segala butang kawalan, panel-panel, dan suis mirip dengan Kona petrol. Jadi kereta ini sesuai untuk anda yang mahu sebuah kenderaan yang tidak terlalu ‘alien’ di jalan raya.

Hyundai Kona Electric ini juga mempunyai paddle-shifter di belakang stereng, tetapi memandangkan ini sebuah EV yang tiada kotak gear, ianya tidak digunakan untuk menukar gear. Sebaliknya paddle-shifter ini digunakan untuk melaras tahap regenerative braking.

Semakin kuat regenerative braking yang digunakan, semakin mudah untuk anda amalkan one-pedal driving. Sebaliknya jika tiada regenerative braking, ia akan rasa seperti kereta petrol yang meluncur.

Pengendalian mantap

Satu perkara umum mengenai EV ialah pengendalian mereka hampir sama kerana konfigurasi serupa digunakan iaitu bateri yang berat dan leper di bawah kabin. Berat tertumpu di tengah, dan pengendalian menjadi neutral.

Yang bagusnya, neutral ini bermakna kereta EV lincah dan stabil. Tetapi yang kurang bagusnya, ia membuatkan EV agak bosan dan terlalu mudah dijangka. Yang paling memberikan beza mungkin hanya dari segi pacuan sama ada FWD, RWD atau AWD.

Hyundai Kona mendapat output dari motor yang dihantar ke roda depan, dan jumlah kuasa adalah lebih dari mencukupi untuk pemanduan harian. Tetapi dengan tork hampir 400Nm, anda dapat baki kuasa lebih untuk kegunaan ketika memotong, keluar simpang, atau susur masuk ke lebuh raya.

Aspek stereng dan brek rata-ratanya adalah natural dan ditala dengan baik agar menyerupai kereta biasa.

Ok ke pakai Hyundai Kona Electric?

Inilah soalan yang kami dapat bila kami muat naik gambar kereta EV di media sosial Engear dan penulis sendiri. “Ok ke pakai EV?”, atau “Macam mana cas?”.

Secara umumnya, ok sangat kerana produk EV itu sendiri sudah dikira cukup matang. Satu isu ialah kemudahan mengecas. Jika anda tinggal di rumah banglo atau teres (landed), mudah untuk anda mengecas menggunakan AC setiap hari.

Tetapi jika anda tinggal di apartmen atau kondominium, mungkin menjadi halangan. Begitu juga bab pengecasan semasa jarak jauh, fasiliti DC masih terhad buat masa ini. Tetapi sama-sama kita lihat berapa banyak pertambahannya dalam masa beberapa tahun akan datang.

Hyundai Kona Electric menjadi satu calon yang sesuai jika anda mencari EV pada harga bawah RM200,000 yang penulis rasa akan menjadi satu segmen hangat tidak lama lagi.

Spesifikasi Hyundai Kona Electric Max

Harga: RM199,888
Bateri: 64kWh
Kuasa: 204hp
Tork: 395Nm

Ora Good Cat: EV bandar paling ‘ngam’? – Pandu uji

KAMI tahu kenderaan bateri elektrik (BEV) atau lebih dikenali sebagai EV kian mendapat perhatian dalam kalangan anda rakyat Malaysia dan peminat automotif khususnya.

Tetapi menurut komen dari tulisan-tulisan kami di Facebook, ada beberapa faktor yang menjadi penghalang rakyat Malaysia membeli EV buat masa ini; rangkaian pengecas dan harga. Izinkan penulis tolak ke tepi dahulu bab pengecas.

Soal harga, kebanyakan EV ‘sedap’ seperti Porsche Taycan dan Mercedes EQE berharga lebih dari setengah juta Ringgit, lebih mahal dari rumah-rumah kita. Harus difahamkan, semua teknologi pun begitu.

Mula-mula mahal, makin lama makin murah. Dan kita perlu berterima kasih kepada pembeli-pembeli awal kerana merekalah yang membantu menurunkan harga teknologi baharu ini. Anda masih ingat awal tahun 2000 dulu telefon bimbit dengan kamera berharga lebih RM1,000? Hari ini telefon RM500 pun sudah mempunyai kamera dan skrin dengan warna yang jelas.

Untuk EV, walaupun kebanyakannya masih berharga premium, tetap ada penawaran yang lebih mesra poket, bawah RM200,000. Amacam?

Kita lihatkan GWM Ora Good Cat. Varian yang kami uji ini merupakan Ora Good Cat 500 Ultra yang berharga RM169,800. Satu lagi varian ialah Good Cat 400 Pro, dengan harga RM139,800. Nama pada varian menunjukkan jarak maksima, iaitu 500km bagi Ultra.

Tak rasa macam RM170k!

Menarik mengenai Ora Good Cat ini ialah, walaupun boleh dikatakan sebagai EV permulaan atau mampu-milik, ia langsung tidak nampak murah.

Malahan jika anda telitikan perincian pada bampar depan, lampu utama, jahitan tempat duduk, kemasan papan pemukan, dan sentuhan tombol serta butang-butang di dalamnya, terasa seperti kereta yang berharga lebih RM200k. Jika Good Cat ini dari Mercedes atau BMW, senang-senang saja harganya RM250,000.

Paparan pada skrin melintang panjang bagi instrumen dan infotainmen juga cukup jelas dan beresolusi tinggi. Kereta-kereta jenama China hari ini sangat mementingkan aspek ini, mereka juga sukakan kamera. Jadi Ora Good Cat mendapat kamera 360-darjah yang sungguh jelas dan besar, walaupun kereta ini tidak begitu memerlukannya.

Pilihan warna luar dan dalam kereta ini juga menjadikannya antara model paling comel yang memasuki pasaran kita hari ini. Tidak cukup dengan rupa funky tetapi retro, warnanya jika tersilap pilih, nampak begitu feminin. Mujurlah penulis dapat warna Verdant Green ini, masih nampak maskulin.

Oh ya, memandu Ora Good Cat ini juga membuatkan anda mudah menjadi perhatian. Pandu di kawasan-kawasan kedai yang padat dengan orang, pasti ada yang menoleh lama pada kereta ini, kebanyakannya memandang pada logo di depan untuk mengenal pasti makhluk apa yang mereka sedang lihat.

Kanak-kanak pun suka dengan Good Cat ini. Semasa penulis memandu, kanak-kanak yang berjalan dengan ibunya di kaki lima menuding jarinya ke arah kereta ini sambil tersenyum, seperti mahu menunjukkan pada ibunya.

Go-kart elektrik

Jika ditanya bagaimana rasa pemanduan Ora Good Cat ini, dalam kata mudah ialah ibarat go-kart elektrik. Ini mungkin kedengaran cliché, MINI Cooper atau hot hatch biasanya dikatakan seperti go-kart.

Tetapi Ora Good Cat ini dengan motor yang responsif, terasa ringan, senyap, dan berat bateri di bawah casis menjadikannya seimbang, memang benar-benar seperti go-kart. Bezanya cuma Good Cat ini pacuan roda-depan.

Unit ini mempunyai bateri 63kWh dengan output 143hp dan 210Nm tork, lebih kurang seperti kereta 1.6-liter NA atau 1.5-liter turbo. Tetapi dengan sifat elektrik, anda tidak perlu tunggu rpm tertentu atau kotak gear pergi ke gear tertentu, tekan sahaja, sekelip mata anda ‘dilastik’ ke depan.

Ini menjadikan pemanduan Ora Good Cat cukup menyeronokkan walaupun ia tidak mempunyai bunyi dramatik seperti sebuah Golf GTi atau Civic Type-R. Ora Good Cat cukup bersahaja untuk memecut keluar simpang, malah sebaik lampu isyarat bertukar hijau, dia akan ‘makan’ kebanyakan kereta yang anda jumpa secara kebiasaan.

Kereta-kereta petrol semua makan asap sahaja. Eh sekejap, Ora Good Cat ni mana ada keluarkan asap…

Motor dan sistem eletriknya juga agak cekap menggunakan tenaga pada kelajuan dalam bandar walaupun anda memecut dan menekan minyak membabi buta. Bila memandu Good Cat ini, anda akan mengekalkan kelancaran trafik kerana kereta di jalan utama tidak perlu brek bila anda susur masuk.

Di selekoh, ia kekal menyeronokkan kerana seperti dikatakan tadi, baterinya di bawah lantai, tengah-tengah antara tayar depan dan belakang. Ini bermakna ia mampu mengambil selekoh seperti hot hatch, malah pertukaran arah di selekoh S juga cukup meyakinkan pemandu.

Cuma penumpang di belakang mungkin kurang selesa dari aspek suspensi. Mungkin kerana belakang Good Cat ini ringan, jadi mudah terasa melantun di jalan tidak rata. Tetapi ini mungkin bukan salah kereta, kerana jalan raya kita yang ‘terlalu cantik’. Jika di negara lain yang permukaan jalannya sempurna, tiada masalah. Tetapi harus diberitahu, Ora Good Cat ini begitu luas kabinnya.

Bagaimana dengan lebuh raya? Seperti anda mungkin ketahui, lebuh raya ialah salah satu musuh utama EV. Disebabkan kebanyakan EV tidak mempunyai kotak gear, kelajuan motor adalah berkadar terus dengan kelajuan kereta.

Semakin laju kereta, semakin laju juga motor bekerja, bermakna tidak begitu cekap di kelajuan tinggi. Range atau jarak pemanduan pada Ora Good Cat ini menurun dengan normal dalam pemanduan bandar, tetapi apabila anda meluncur di lebuh raya lebih 100km/j, angkanya menurun drastik.

Bagaimana dengan pengecasan?

Dari segi pengecasan, varian 500 Ultra dengan bateri 63kWh memerlukan kira-kira 10 jam untuk dicas penuh menggunakan pengecas AC. Tetapi dengan pengecasan pantas DC, hanya 40 minit diperlukan untuk mengecas dari 10 hingga 80 peratus.

Menurut pengalaman penulis, sempat penulis cas Good Cat ini menggunakan DC 60kW, dan masa diambil adalah kira-kira sejam untuk ‘mengisi’ jus bateri dari kurang 10 peratus hingga 85 peratus. Baki mulanya 88km dan penulis isi sehingga 410km dengan 85 peratus.

Masa yang diambil lebih lama sedikit, bergantung kepada pelbagai faktor seperti suhu persekitaran dan suhu jentera pengecas.

Bayaran yang dikenakan pula adalah kira-kira RM79 untuk pertambahan kira-kira 330km. Jika dibandingkan dengan petrol, tidak berbaloi. Tetapi pemilikan kereta EV adalah lebih dari sekadar penjimatan petrol. Jauh lebih besar dari itu.

Anda harus ingat, pemilik EV tidak akan mengecas menggunakan DC di tempat awam setiap hari, sebaliknya menggunakan pengecas AC di rumah. Ia lebih perlahan, boleh dicas sepanjang malam, dan cara ini lebih ‘menyihatkan’ untuk bateri.

Kadar bayaran juga bergantung kepada pengeluar, kerana ia masih pasaran terbuka, tidak dikawal seperti petrol. Mentaliti memandu EV adalah berbeza. Dan kebanyakan pemilik juga memiliki EV untuk kereta kedua atau ketiga.

Untuk itu, Ora Good Cat sebuah model yang sangat-sangat sesuai dan ideal. Kereta kedua untuk pemanduan dalam bandar setiap hari. Dan anda tidak semestinya perlu cas setiap hari. Jarak dibekalkan adalah lebih 400km, dan jika berulang-alik ke tempat kerja, jarang antara kita yang memandu lebih 100km setiap hari, bukan?

Jadi, anda mungkin cas seminggu sekali sahaja, atau dua kali maksimum. Sama seperti isi petrol, bezanya bahan yang diisi.

Secara kesimpulan, Ora Good Cat menawarkan pakej menarik dengan gaya unik, sistem dan spesifikasi lengkap, selain pengalaman pemanduan EV yang bagus, setaraf dengan jenama-jenama lain pada julat harga ini.

Spesifikasi GWM Ora Good Cat

Harga: RM169,800
Bateri: 63kWh
Kuasa: 143hp
Tork: 210Nm

Balik beraya dengan EV? Kami cuba sendiri dengan Volvo C40 Recharge

DUA benda yang diketahui umum mengenai kenderaan elektrik bateri (BEV atau EV); pecutan luar biasa oleh respon motor elektrik, dan jarak pemanduan terhad kerana lokasi mengecas yang belum menyeluruh.

Kali ini kami akan fokuskan perkara kedua iaitu jarak pemanduan terhad, atau benarkah begitu? Dan untuk itu, kami uji sendiri dengan memandu Volvo C40 Recharge Pure Electric pulang ke kampung menyambut Hari Raya.

Mahu tahu juga bab pecutan? Baiklah, Volvo C40 EV dibekalkan dengan struktur bateri 400-volt berkapasiti 78kWh. Pakej ini menghasilkan 402hp dan 660Nm tork, dihantar ke semua roda melalui dua motor elektrik.

Disebabkan C40 EV ini telah menjadi sebuah SUV pacuan semua-roda (AWD), tork setinggi 660Nm itu mampu ‘melontarnya’ ke depan mencapai 100km/j dalam hanya 4.9 saat walaupun ia mempunyai berat hampir 2.2 tan termasuk pemandu.

Bagaimana rasanya? Ada sedikit rasa seperti kapal terbang hendak berlepas, malah pecutan maksima ini mampu membuatkan penumpang anda rasa sedikit pening. Itu yang dikomen oleh rakan penulis semasa beliau ‘dibelanja’ dengan tork jentera EV.

Baik, cukup setakat itu. Seterusnya, mari penulis kongsikan ‘pengembaraan’ memandu EV di musim perayaan. Kita akan lihat segalanya dari kerisauan jarak (range anxiety), pemanduan lebuh raya, kesesakan trafik, hinggalah pengecasan.

Pengembaraan (atau cabaran?) EV di musim perayaan

Sebenarnya semasa mula ditawarkan oleh Volvo Car Malaysia untuk memandu uji C40 EV ini semasa cuti Hari Raya, penulis agak keberatan memandangkan isu-isu yang bakal dihadapi. Penulis hampir memilih model PHEV sahaja, kemudian penulis terfikir, apa kata ambil saja C40 ini. Anggap ia sebagai cabaran.

Dengan bateri penuh 100%, penulis bergerak dari ibu pejabat Volvo Malaysia menuju ke rumah. Setelah menyelesaikan beberapa urusan, petang itu penulis memulakan perjalanan balik kampung dengan bateri 89%. Penulis turut membawa isteri, dua anak kecil, dan barangan penuh.

Anda semua tahu kan macam mana orang rumah angkut barang semasa balik kampung beraya.

Ini bukan kali pertama penulis memandu jarak jauh dengan EV, tetapi ini kali pertama bersendirian. Sebelum ini dengan sesi media, jadi perancangan mengecas diatur oleh penganjur.

Kali ini, semuanya terserah kepada penulis. Volvo C40 dilengkapi dengan Google Maps binaan dalam yang diintegrasikan dengan fungsi kereta. Menurut Google Maps, penulis akan sampai ke Kuantan dengan bateri berbaki kurang 10%. Ok, gementar juga.

Di lebuh raya, penulis cuba tetapkan Adaptive Cruise Control pada 110km/j kerana lebih dari itu, ia tidak begitu cekap. Kebanyakan EV kurang efisyen di kelajuan tinggi memandangkan tiada kotak gear, maka motor elektrik beroperasi dalam keadaan ‘direct drive’.

Sangat ideal di kelajuan rendah, sangat tidak ideal di kelajuan tinggi. Walaupun anda keluarkan semua 402hp dan 660Nm sebaik lampu isyarat bertukar hijau, ia masih jimat, asalkan kelajuan tidak terlalu tinggi dalam bandar. Jadi, drag race di lampu isyarat memang makanan EV seperti Volvo C40 ini.

Berbalik kepada perjalanan penulis tadi, hanya beberapa ketika penulis pergi ke kelajuan sehingga 125km/j untuk memotong, kemudian kembali ke 110km/j.

Akhirnya penulis sampai ke bandar Kuantan dengan bateri berbaki 11%. Bila difikirkan semula, tidaklah teruk mana. Hanya 78% bateri digunakan untuk jarak kira-kira 280km tanpa perlu berhenti mengecas dalam perjalanan.

Perjalanan pulang dari Kuantan ke Shah Alam juga tidak seteruk yang disangkakan. Mulanya Google Maps menunjukkan bateri akan berbaki 8% semasa sampai, tetapi disebabkan penulis hanya tetapkan Cruise Control pada 105km/j, anggaran baki bateri perlahan-lahan meningkat kepada 15%.

Akhirnya sampai ke Shah Alam dengan bateri berbaki 16%.

Secara kasar, pemanduan EV adalah terbalik dengan kereta petrol. EV tidak risau jika tersekat dalam kesesakan berjam-jam kerana motor elektrik tidak bergerak jika kereta tidak bergerak, berbanding kereta petrol yang tetap membakar bahan api semasa kereta tidak bergerak.

Bila meluncur di lebuhraya, kereta petrol akan lebih jimat jika memandu di kelajuan tinggi kerana adanya kotak gear yang membolehkan rpm enjin beroperasi pada kelajuan optimum, berbanding motor elektrik EV yang terpaksa berpusing di kelajuan tinggi selaras dengan kelajuan kenderaan.

Di dalam bandar, tiada langsung isu kerisauan jarak. Penulis sempat menyelesaikan urusan persiapan akhir menjelang raya, menyambut raya, dan bersiar-siar tanpa gelisah. Berhenti lama di lampu isyarat atau pecut laju untuk tukar lorong dan memotong, bacaan baki bateri tidak turun mendadak.

Bila bateri dicas sehingga 90% mengikut saranan komputer Volvo untuk menjaga ‘tahap kesihatan’ bateri, ia masih berbaki kira-kira 40% selepas dipandu beberapa hari untuk perjalanan jarak dekat.

Kebanyakan masa penulis mengecas C40 di pengecas pantas DC berkapasiti 60kW di tengah bandar Kuantan, kerana lokasi pengecasan yang lain hanya menawarkan kapasiti sekitar 20kW atau 30kW sahaja.

Kadar bayaran pengecas bergantung kepada operator penyedia mesin pengecas itu sendiri. Ada yang sekitar RM0.80 setiap minit, RM1.20 hingga RM1.60 seminit. Seingat penulis, ada juga pengecas yang menawarkan kadar mengikut kW. Apa pun, pengecas EV masih mengamalkan pasaran terbuka.

Berikut disenaraikan nota setiap sesi pengecasan sepanjang lebih seminggu dan lebih 1,600km penulis memandu Volvo C40 Recharge EV ini:

1.
Baki bateri dan jarak: 9%, 45km
Kapasiti mengecas: 58kW
Tempoh masa: 64 minit
Peratus bateri dan jarak baharu: 87%, 340km

2.
Baki bateri dan jarak: 33%, 120km
Kapasiti mengecas: 58kW
Tempoh masa: –
Peratus bateri dan jarak baharu: 90%, 350km

3.
Baki bateri dan jarak: 69%, 260km
Kapasiti mengecas: 58kW
Tempoh: 18 minit
Peratus bateri dan jarak baharu: 90%, 330km

4.
Baki bateri dan jarak: 13%, 60km
Kapasiti mengecas: 89kW
Tempoh: 27 minit
Peratus bateri dan jarak baharu: 65%, 250km

5.
Baki bateri dan jarak: 12%, 55km
Kapasiti mengecas: 57kW
Tempoh: 65 minit
Peratus bateri dan jarak baharu: 90%, 380km

6.
Baki bateri dan jarak: 28%, 110km
Kapasiti mengecas: 58kW
Tempoh: 40 minit
Peratus bateri dan jarak baharu: 93%, 410km

7.
Baki bateri dan jarak: 10%, 44km
Kapasiti mengecas: 58kW
Tempoh: 16 minit
Peratus bateri dan jarak baharu: 32%, 120km

Sepanjang tujuh kali penulis sampai ke tempat mengecas, mujurlah kebanyakannya kosong dan tiada kereta yang sedang dicas sebelum itu. Cuma sekali sahaja terdapat sebuah BMW iX, itupun ia sudah melebihi 97%, dan telah penuh beberapa minit selepas itu.

Hanya sekali sahaja penulis berdepan dengan mentaliti tipikal rakyat Malaysia, semasa di R&R Gambang Arah Timur. Masa itu Hari Raya kedua, penulis dalam perjalanan balik ke Kuantan selepas beraya di Temerloh dan Jengka di hari sebelumnya.

Hari Raya kedua biasalah kereta sudah banyak di jalan raya kerana orang mula keluar berziarah, stesen minyak pun penuh. Sesampainya penulis di pengecas Gentari di Petronas itu, terdapat sebuah kereta petrol biasa parkir di depan tempat mengecas. Bukan di dalam petak, tetapi ia tetap menghalang penulis dari memasuki tempat mengecas.

Terpaksalah penulis membunyikan satu hon pendek mesra di situ. Dia malu atau marah, penulis tak mahu ambil tahu.

EV lebih jimat berbanding petrol?

Ini satu topik yang luas, sebenarnya perlukan satu artikel lain untuk dikupas. Tetapi untuk pendekkan cerita, boleh jadi jimat dan tidak jimat berbanding petrol.

Paling penting ialah, untuk hari ini, April 2023, mentaliti pemilikan EV di Malaysia ialah, “Aku beli untuk cuba teknologi baharu, untuk memahami dan mempelajarai mobiliti elektrik, dan untuk mengurangkan pelepasan karbon ke alam sekitar.”

Bukan untuk jimat belanja petrol ya. Dan penulis ingin tekankan, mentaliti ini akan berubah bergantung kepada rangkaian pengecasan di negara ini, harga purata model-model EV, dan jarak pemanduan yang ditawarkan.

Pemanduan premium, rupa unik

Secara keseluruhan, C40 Recharge EV masih sebuah kenderaan yang selesa dan nyaman dipandu, seperti model-model Volvo lain. Ianya diasaskan dari XC40 iaitu SUV kompak mereka yang cukup popular, tetapi C40 hanya hadir sebagai model EV, dan tidak ditawarkan dengan pilihan petrol atau PHEV.

C40 menampilkan rekaan lebih sporti dengan rupa SUV coupe. Walaupun harganya RM288,888 iaitu sedikit lebih mahal berbanding XC40 EV (RM278,888), C40 sebenarnya mempunyai saiz kabin lebih kecil sedikit, tetapi itulah pengorbanan yang perlu kita bayar untuk rupa yang lebih unik, bukan?

Volvo XC40 masih sebuah SUV yang sangat segak di mata penulis, tetapi C40 jauh lebih ‘segar’. Dengan lampu depan yang lebih sepet, panel gril flat yang menunjukkan ia sebuah EV, bumbung yang menurun ke belakang lebih sporti, spoiler bumbung dan spoiler di hujung but, serta rekaan lampu belakang berbeza yang cukup cantik, membuatkan ia mudah menjadi perhatian orang.

Semasa mengecas, orang merenung C40 ini kerana melihat kenderaan EV sedang dicas bukanlah suatu pandangan yang begitu biasa lebih-lebih lagi di Pantai Timur buat masa ini. Semasa dipandu perlahan di kawasan perumahan dan kampung juga orang cenderung memandang ke gril depan untuk mengenalpasti kereta apa yang mereka sedang lihat.

Mujurlah penulis pandu C40 dengan warna Crystal White yang dikira agak biasa. Jika penulis dapat unit dengan warna Thunder Grey atau Sage Green, mungkin lebih menyerlah.

Khas untuk Volvo C40 Recharge EV ialah kemasan topografi di papan pemuka yang begitu cantik, lebih-lebih lagi bila menyala di waktu malam. Ia hanya panel plastik keras, tetapi rupa dan rasa padanya cukup unik, tak pernah penulis lihat di kereta lain.

Ini sedikit sebanyak menunjukkan pereka Volvo kreatif dan membezakan kemasan kabin kenderaan mereka yang kelihatan hampir sama. Ia tidak membosankan, tetapi tidak seperti terlalu menunjuk.

Kualiti pemanduan Volvo C40 Recharge EV ini juga berada di tahap yang tinggi. Ia disumbangkan oleh gabungan seperti tempat duduk selesa, pendingin hawa nyaman CleanZone dengan sistem penapis udara PM2.5, dan sistem audio Harman Kardon 600W.

Ditambah pula dengan segala butang kawalan yang sedap dipegang dan digunakan, stereng dengan berat yang secukup rasa, semuanya membuatkan pemanduan jauh langsung tidak memenatkan.

Cuma anda jangan harapkan pemanduan sporti dari C40 ini, kerana rata-rata kenderaan Volvo bukan direka untuk mengejar catatan masa di litar atau mengacah Volkswagen Golf GTi. Ia cuma menawarkan pemanduan selesa, laju jika anda mahu, dan tetap terkawal.

Saya akan beli satu?

Soalan bonus, adakah penulis akan beli sebuah Volvo C40? Jika mampu, tetapi hanya ada dua kereta di rumah, mungkin penulis tak akan jadikan ia kereta kedua. Tetapi jika garaj lebih besar dan mampu memuatkan empat kereta, mungkin penulis akan ‘sumbat’ C40 ini.

Akhir sekali, sebagai menjawab semula tajuk artikel ini, ya, boleh pandu kenderaan EV untuk balik kampung, asalkan anda rajin merancang. Tiada perjalanan tiba-tiba di saat akhir.

Adakah penulis akan lakukannya lagi? Mungkin tidak untuk Raya Haji tahun ini. Tetapi untuk Raya tahun depan, mungkin ya. Kerana dapat dilihat semakin banyak lokasi pusat pengecasan sedang dalam pembinaan dan akan ditambah.

Spesifikasi Volvo C40 Recharge Pure Electric

Harga: RM288,888
Bateri: 400 volt, 78kWh
Sokongan pengecasan: Sehingga 150kW
Kuasa: 402hp
Tork: 660Nm