Arkib Kategori: BERITA

Proton e.MAS rai serahan kenderaan ke-40 ribu, terus tawar pelbagai manfaat pemilikan

Dalam tempoh 20 bulan, Proton e.MAS kini meraikan pencapaian terbaharu dengan penyerahan kenderaan yang ke-40,000.

Sebagai meraikan komuniti yang semakin berkembang, Proton e.MAS menawarkan pelbagai manfaat pemilikan yang dipertingkatkan.

Ia merangkumi aspek pengecasan, perkhidmatan selepas jualan, ganjaran, serta perkhidmatan digital.

Diskaun pengecasan

Gambar sekadar hiasan

Bermula 1 Oktober 2026 (11 pagi) hingga 5 Oktober 2026 (11 pagi), pemilik boleh menikmati diskaun pengecasan 40% menerusi aplikasi mudah alih Proton e.MAS.

Menerusi aplikasi yang sama, pemilik juga boleh mengakses rangkaian 12 pengendali titik pengecasan (CPO) serta menikmati manfaat berikut:

  • kadar RM1.20/kWh di pengecas DC Handal
  • diskaun 20% di stesen pengecas RExharge (dari 5 Oktober-31 Disember 2026)

Keyakinan sepanjang tempoh pemilikan

Dari segi perkhidmatan selepas jualan, Proton e.MAS menawarkan manfaat berikut:

  • diskaun 10% bagi servis dan penyelenggaraan
  • kad Touch ‘n Go eksklusif bagi 1,000 pelanggan pertama yang membuat servis

Pelanggan yang ingin menukar kenderaan pula layak menikmati rebat tukar beli tambahan sehingga RM1,000 menerusi Carsome dari 1 Oktober hingga 31 Disember 2026.

Pembelian atau pembaharuan polisi insurans (e.MAS Care Elite atau Care Flex) menawarkan manfaat berikut:

  • kredit pengecasan percuma bernilai RM100 (sah untuk 5,000 pelanggan pertama dari 1 Oktober-31 Disember 2026)
  • peluang sertai cabutan bertuah (hadiah termasuk jam Huawei Watch GT 7 dan Band 11)

Pengalaman digital lebih lancar

Aplikasi Proton e.MAS sedia ada bakal dikemas kini dan dijangka diperkenalkan menjelang akhir 2026.

Antara ciri baharu yang ditambah ialah PassGo, iaitu platform ganjaran berasaskan konsep “pandu dan nikmati ganjaran”.

Bermula 29 September, pemilik boleh mengumpulkan satu mata bagi setiap kilometer yang dipandu, tertakluk kepada terma dan syarat.

Mata terkumpul boleh ditebus untuk pelbagai ganjaran seperti baucar Grab, TnG, Foodpanda, Lazada serta barangan eksklusif.

Lebih banyak ganjaran

Tawaran yang disediakan oleh Proton e.MAS tidak terhad kepada aspek pengecasan dan perkhidmatan selepas jualan.

Pemilik yang layak boleh menikmati diskaun 10% untuk minuman di cawangan ZUS Coffee yang terpilih.

Pelanggan yang memilih penyelesaian tenaga solar kediaman menerusi Huawei FusionSolar boleh menerima rebat segera RM5,000 dan berpeluang memenangi pakej percutian selama lima hari empat malam ke Shenzhen, China.

Proton e.MAS turut mengumumkan pertandingan “Where Does Your e.MAS Take You?” yang terbuka kepada pemilik e.MAS.

Dengan berkongsi gambar atau video pengalaman dalam Facebook Rasmi Komuniti Proton e.MAS, mereka berpeluang memenangi hadiah utama berupa model diecast Proton e.MAS 7 selain 40 baucar TnG bernilai RM50 setiap satu.

Pencapaian bermakna

Menurut Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif Pro-Net, “Penyerahan 40,000 kenderaan e.MAS merupakan satu pencapaian bermakna buat kami.

“Seiring dengan perkembangan komuniti, tanggungjawab kami semakin besar untuk menjadikan pengalaman memiliki EV lebih mudah, selesa dan memberikan lebih banyak manfaat.

Jelasnya, Proton e.MAS kini mempunyai rangkaian 60 pengedar di seluruh negara dan bakal berkembang kepada lebih 70 cawangan termasuk 57 pusat servis dan 14 pusat Badan & Cat menjelang akhir 2026.

“Perkembangan berterusan ini memastikan pelanggan kami sentiasa mendapat sokongan yang diperlukan sepanjang tempoh pemilikan mereka.

 

BYD Dolphin Surf 2026 Eropah dengan 5 atau 4 tempat duduk

BYD memperkenalkan Dolphin Surf 2026 untuk pasaran Eropah atau dikenali sebagai Seagull di China.

Apa yang menarik di antara ciri baharu ialah pilihan lima tempat duduk selain sistem maklumat hibur baharu serta beberapa ciri tambahan pada bahagian dalaman.

Model elektrik kompak ini menggunakan platform e-Platform 3.0 dan bateri Blade dengan pilihan kapasiti 30 kWj untuk Active serta 43.2 kWj untuk Boost dan Comfort.

BYD Dolphin Surf Kini Dengan Lima Tempat Duduk

Dolphin Surf 2026 membawakan pilihan lima tempat duduk dengan tiga tempat duduk di baris kedua.

Setiap penumpang belakang dilengkapi penyandar kepala boleh laras.

Versi empat dan lima tempat duduk akan ditawarkan secara serentak bergantung kepada keperluan pasaran dan corak jualan tempatan.

Sebagai perbandingan, dimensi Dolphin Surf setara dengan Proton Iriz dan satu yang menarik apabila didatangkan bersama tiga atau dua tempat duduk di belakang.

Dari segi muatan, Dolphin Surf mempunyai ruang but berkapasiti 308 liter.

Skrin 12.8 Inci Dengan Google Built-in

Versi Comfort kini menerima skrin sistem maklumat hibur berukuran 12.8 inci, yang menurut BYD terbesar dalam segmen hatchback elektrik kompak.

Sistem itu turut dilengkapi Google Built-in, termasuk Google Assistant, Google Navigation dan Google Play Store untuk akses kepada pelbagai aplikasi.

Panel instrumen digital Comfort pula meningkat daripada 7 inci kepada 8.8 inci.

Kabin Dengan Ciri Baharu

Pemilih gear kini dialihkan daripada suis putar pada bahagian hadapan papan pemuka kepada tuil pada lajur stereng.

Tuil sebelah kiri digunakan untuk mengawal lampu isyarat, lampu utama dan pengelap cermin hadapan.

Stereng baharu turut diperkenalkan dan dilengkapi fungsi pemanas pada Boost dan Comfort. Boost juga menerima tempat duduk dengan fungsi pemanas.

Semua varian dilengkapi sistem kawalan suhu.

Dari segi kemasan, Active dan Boost kini menggunakan balutan fabrik, manakala Comfort mengekalkan kemasan kulit vegan.

Antara perubahan lain ialah penutup ruang but sebagai kelengkapan standard serta dua port USB Type-C di bahagian hadapan.

Warna dan Roda Baharu

Dolphin Surf 2026 mendapat pilihan warna baharu Skiing White, selain Lime Green, Obsidian Black dan Ice Blue.

Varian Active kini menggunakan roda aloi 16 inci seperti Boost dan Comfort, menggantikan roda keluli 15 inci.

Bahagian kabin pula boleh didapati dengan kemasan biru selain pilihan hitam dan kelabu.

Prestasi dan Jarak Gerak

Sistem bateri Blade dan motor elektrik dikekalkan tanpa perubahan.

Active menggunakan bateri 30 kWj bersama motor 88 PS, dengan pecutan 0-100 km/j dalam 11.1 saat dan jarak gabungan 220 km.

Boost menggunakan bateri 43.2 kWj bersama motor 88 PS. Pecutan 0-100 km/j mengambil masa 12.1 saat, manakala jarak gabungan mencapai 322 km.

Comfort turut menggunakan bateri 43.2 kWj, tetapi dipadankan dengan motor 156 PS dan 220 Nm.

Varian ini mampu mencapai 0-100 km/j dalam 9.1 saat dengan jarak gabungan 310 km.

Pengecasan

Dolphin Surf menyokong pengecasan DC sehingga 65 kW untuk Active dan 85 kW bagi Boost serta Comfort.

Boost dan Comfort boleh dicas daripada 10 hingga 80 peratus dalam 31 minit.

Pengecasan AC tiga fasa 11 kW pula menjadi kelengkapan standard untuk semua varian.

Masa pengecasan 0 hingga 100 peratus ialah kira-kira 3.5 jam untuk Active dan lebih 4.5 jam untuk Boost serta Comfort.

Ciri Keselamatan

Struktur badan berasaskan e-Platform 3.0 menggunakan 75 peratus keluli berkekuatan tinggi.

Bateri Blade pula direka untuk melepasi ujian tusukan paku yang menjadi salah satu penilaian keselamatan bateri.

Kesemua varian dilengkapi beg udara hadapan, beg udara sisi dan beg udara tirai.

Sistem bantuan pemanduan ADAS turut menjadi kelengkapan standard.

Di antaranya kawalan jelajah pintar, brek kecemasan automatik, bantuan keluar lorong dan kawalan lampu tinggi pintar.

Turut disediakan sistem pemantauan tekanan tayar, fungsi panggilan kecemasan dan kunci keselamatan kanak-kanak.

BYD Dolphin Surf 2026 akan diperkenalkan secara berperingkat ke rangkaian pengedar BYD di Eropah pada separuh kedua 2026.

Spesifikasi dan strategi jualan disesuaikan mengikut keperluan pasaran tempatan.

VW Tiguan bakal ada versi EV pada 2027, guna nama ID. Tiguan!

Volkswagen bakal memperkenalkan ID. Tiguan pada awal Oktober sebelum SUV elektrik baharu itu memasuki pasaran pada awal 2027.

ID. Tiguan model ketiga Volkswagen yang menggunakan nama sedia ada selepas ID. Polo dan ID. Cross.

Model ini akan menggantikan ID.4 dan ID.5, selain ditawarkan bersama Tiguan yang dipacu rangkaian kuasa enjin pembakaran (ICE) dan hibrid.

Tiguan merupakan model terlaris Volkswagen dan Volkswagen Group dengan lebih 8.3 juta unit Tiguan telah dihasilkan setakat ini.

Dalam tempoh setahun lalu, penghantaran Tiguan dan Tayron melebihi 1 juta unit.

Reka Bentuk Baharu

Meskipun berkongsi nama, ID. Tiguan bukan salinan versi ICE sebaliknya tampil dengan rekaan baharu.

AutoCar berpeluang memandu prototaip ID. Tiguan dan menurut mereka, model ini 44 mm lebih panjang berbanding ID.4.

Meskipun ditutup dengan pelekat, dapat dilihat rekaan keseluruhan yang kemas dan bergaya. Model ini juga lebih cenderung ke arah crossover berbanding SUV seperti Tiguan.

Dua Pilihan Bateri

Menurut AutoCar, ID. Tiguan dijangka mengekalkan dua pilihan bateri, iaitu bateri 58 kWj litium-besi-fosfat (LFP) untuk varian asas dan bateri 77 kWj nikel-mangan-kobalt (NMC).

Kapasiti bateri tidak meningkat berbanding ID.4, tetapi kemas kini pada platform dan sistem pemacu elektrik memberikan peningkatan dari segi kecekapan dan jarak.

Tiga output kuasa dijangka ditawarkan, iaitu:

  • 188 hp
  • 282 hp
  • 295 hp untuk versi dwi-motor 4Motion

Jarak pemanduan pula dianggarkan antara 280 hingga 373 batu (450 hingga 600 km), bergantung kepada varian.

AutoCar menyatakan jarak tersebut membolehkan ID. Tiguan mengatasi Hyundai Ioniq 5, selain merapatkan jurang dengan Tesla Model Y dan Renault Scenic E-Tech.

Pelancaran rasmi Volkswagen ID. Tiguan dijadualkan pada awal Oktober 2026, sebelum memasuki pasaran Eropah pada awal 2027.

Bakal Masuk Malaysia?

Berbanding pengeluar lain, Volkswagen dilihat ketinggalan dalam penawaran kenderaan elektrik di pasaran Malaysia dan Asean.

Di sebalik pergerakan yang perlahan, Volkswagen sentiasa hadir dengan kejutan seperti Golf GTI, Touareg yang dipasang di Pekan, Pahang.

Volkswagen juga memasarkan Tayron yang masih baharu di pasaran antarabangsa.

Berbekalkan penerimaan pasaran yang positif terhadap EV, ID. Tiguan dilihat mempunyai potensi bagi mengisi ruang yang masih kosong dari Volkswagen.

BMW R 1300 GS 2026 kini dengan Automated Shift Assistant, harga dari RM145,000

BMW Motorrad Malaysia memperkenalkan model BMW R 1300 GS yang kini dilengkapi dengan sistem Automated Shift Assistant (ASA).

Motosikal adventure touring ini dijual pada harga RM145,000.

Penukaran gear lebih mudah

Ciri ASA ini membenarkan penunggang untuk melakukan penukaran gear secara manual atau automatik sepenuhnya.

Terdapat dua mod disediakan iaitu:

  • M – penunggang boleh membuat penukaran gear dengan kawalan klac dibuat secara automatik
  • D – penukaran gear dilakukan secara automatik berdasarkan kelajuan semasa

Dengan memudahkan urusan penukaran gear, ciri ASA ini menjadikan pengalaman tunggangan yang lebih selesa tanpa menjejaskan karakter dinamik BMW R 1300 GS.

ASA merupakan sebahagian daripada Pakej Dynamic yang dipertingkatkan, di mana ia turut merangkumi:

  • Larasan suspensi dinamik (DSA)
  • Gear Shift Assistant Pro
  • Riding Modes Pro
  • Brek sports

Pakej Touring & Comfort

Selain Pakej Dynamic, BMW Motorrad Malaysia turut menawarkan dua pakej tambahan terdiri daripada pakej Touring dan pakej Comfort.

Pakej Touring menawarkan pemasangan modul GPS, sistem penguncian berpusat, pelindung tangan tambahan serta pemegang beg sisi kiri dan kanan.

Pakej Comfort pula menampilkan kit penumpang, cermin penghadang angin larasan elektrik dan topang tengah.

Ciri standard yang ditawarkan termasuklah larasan ketinggian adaptif, lampu utama Deluxe dan bateri ringan M.

Enjin

Jentera ini dikuasakan oleh enjin boxer dua silinder 1,300 cc menghasilkan 145 hp @ 7,750 rpm dan 149 Nm @ 6,500 rpm.

Warna

BMW R 1300 GS ASA ditawarkan dalam pilihan warna White Aluminium Metallic dan Black Storm Metallic.

Denza Malaysia tawar penggantian penapis kabin PM2.5 percuma untuk Denza D9

Denza Malaysia mengumumkan Program Denza Care yang menawarkan penggantian penapis pendingin hawa kabin secara percuma khusus untuk model Denza D9.

Inisiatif ini menegaskan usaha Denza dalam menyediakan ruang kabin yang bersih terutama ketika kualiti udara luar merosot ketika musim jerebu.

Sistem penapisan udara kabin Denza menawarkan tiga lapisan utama:

  • penapisan mikro-sieve elektrostatik – menangkap partikel halus, habuk dan asap sehingga tahap PM2.5 dengan kecekapan lebih tinggi berbanding penapis kabin standard
  • perlindungan karbon teraktif – menyahaktif gas berbahaya, pelepasan asap industri serta bau kayu terbakar yang sinonim dengan jerebu
  • pengurusan kualiti udara masa nyata – mampu membersihkan udara dalaman dalam tempoh beberapa minit selepas kenderaan dihidupkan

Program Denza Care ini ditawarkan kepada pemilik persendirian Denza D9, sah dari 1 Oktober hingga 30 November 2026.

Ia terbuka kepada semua pemilik baharu dan pemilik Denza D9 sedia ada.

Mereka boleh menebus penggantian penapis kabin AC PM2.5 secara percuma di mana-mana pusat servis premium Denza dengan mengemukakan dokumen repair order (RO) terdahulu atau dokumen pembelian kenderaan baharu.

 

Bahrain GP: PUMA Malaysia buka pintu House of Speed kepada peminat F1 di Pavi KL

PUMA Malaysia memulakan kempen We Own The Week bersempena dengan kembalinya sukan Formula Satu (F1) ke tanah air.

Menerusi kempen ini, PUMA mahu mendekatkan peminat kepada aksi sebenar melalui siri pengalaman perlumbaan yang lebih menyeluruh di tengah ibu kota.

House of Speed di Pavi KL

Sebagai sebahagian daripada We Own The Week, PUMA akan membuka pintu House of Speed di Pavilion Kuala Lumpur.

Bermula dari 29 September hingga 4 Oktober, House of Speed akan menghimpunkan perlumbaan, prestasi, produk serta pengalaman interaktif dalam satu destinasi berkelajuan tinggi.

Pengunjung juga boleh menguji kemahiran diri di beberapa stesen cabaran dan membawa pulang barangan eksklusif PUMA.

Salah satu tarikan utama ialah simulator perlumbaan di mana peminat boleh memandu, menguji kepantasan dan masa tindak balas serta merasai sendiri pengalaman berada di dalam litar lumba.

Koleksi terkini PUMA

Peminat juga boleh meneroka koleksi terkini PUMA termasuk barangan berlesen rasmi daripada Scuderia Ferrari HP dan McLaren Mastercard F1 Team.

Peminat yang berbelanja RM400 dan ke atas akan menerima hadiah eksklusif, menambahkan lagi nilai pengalaman di House of Speed.

 

Mazda MX-5 FSW Ver.2 (2027) kembalikan warna Sunflower Yellow, cuma enam unit ditawarkan

Kali terakhir Mazda menggunakan warna luaran Sunflower Yellow pada MX-5 adalah pada generasi NC, tetapi model itu sudah meninggalkan pasaran lebih sedekad lalu.

Kini, warna kuning ikonik tersebut kembali pada MX-5 generasi ND menerusi MX-5 FSW Ver.2, namun hanya enam unit akan dihasilkan.

Dan untuk mendapatkannya, pembeli perlu menyertai cabutan bertuah secara fizikal di Fuji Speedway.

Bukan sekadar cat semula di pusat pengedar

MX-5 FSW Ver.2 bukanlah model yang dibangunkan sepenuhnya oleh Mazda Motor Corporation. Ia merupakan projek bersama empat pengedar jenama itu di Jepun, iaitu Koshin Mazda, Shizuoka Mazda, Tokai Mazda Sales dan Kanto Mazda.

Asasnya ialah versi S Special Package dengan kemasan dalaman Jet Black Mica, sebelum diberikan warna Sunflower Yellow yang sebelum ini hanya ditawarkan pada MX-5 generasi NC.

Warna yang sama pernah ditawarkan untuk MX-5 pasaran Amerika Syarikat bagi model keluaratan tahun 2009 dan 2010 namun di sana, ia dikenali sebagai Competition Yellow.

Menariknya, kerja mengecat semula dan proses pengesahan kereta ini dilakukan di Mazda Engineering & Technology (E&T) di Hiroshima, iaitu fasiliti yang sama di mana kereta-kereta konsep dihasilkan.

Setiap satu daripada enam unit FSW Ver.2 didatangkan dengan sijil daripada E&T bagi mengesahkan asal-usul dan proses pembinaannya.

Bukan sekadar beli warna eksklusif

Pakej Sunflower Yellow ini menelan kos tambahan sebanyak 1,452,000 yen atau sekitar RM37,600 berbanding harga sebuah MX-5 biasa.

Namun, pembeli bukan sekadar membayar untuk cat tersebut. Setiap pembeli bakal menikmati pengalaman istimewa lawatan dua hari satu malam ke Hiroshima, termasuk kunjungan ke ibu pejabat Mazda, Mazda Museum serta fasiliti E&T berkenaan.

Nak beli? Kena menang cabutan bertuah di Fuji Speedway

Permohonan untuk mendapatkan MX-5 FSW Ver.2 akan dibuka ketika Mazda Fan Festa 2026 di Fuji Speedway pada 3 dan 4 Oktober ini, dengan tiga unit diperuntukkan bagi setiap hari. Pemohon perlu hadir sendiri ke acara tersebut bagi mengemukakan permohonan.

Pemenang akan diumumkan dari pentas utama sebelum acara berakhir, dan hak pembelian hanya diberikan kepada nama yang didaftarkan.

Model ini juga terhad kepada pasaran Jepun, dengan jualan serta khidmat selepas jualan dikendalikan oleh salah satu daripada empat pengedar yang terlibat.

Nissan Z Kaze (2027) tampil dengan bumbung T-top, naik taraf Nismo dan gaya tuner 90-an

Nissan telah memperkenalkan model konsep Z Kaze di ZCON, konvensyen tahunan Z Car Club Association yang diadakan di Phoenix, Arizona baru-baru ini.

Dibangunkan berasaskan model Z generasi semasa, ia dihasilkan sebagai penghormatan moden kepada legasi Z dengan elemen reka bentuk serta gaya pemanduan era terdahulu.

Bumbung T-top bertemu gaya tuner era 90-an

Nama Kaze diambil daripada perkataan Jepun yang bermaksud “angin”. Konsep ini dibangunkan oleh pasukan perancang produk dan pereka Nissan sebagai projek ‘suka-suka’ yang menggabungkan warisan kereta sport Nissan dengan budaya modifikasi kereta era 1990-an.

Kemasan luaran menggunakan warna Pacific Teal, dengan beberapa naik taraf untuk memberikan Z penampilan yang lebih agresif. Antaranya ialah bonet gentian karbon ringan dengan lubang pengudaraan, fender yang dilebarkan serta kit aerodinamik badan daripada gentian karbon.

Z Kaze turut menggunakan rim Nismo LMGT2 18 inci yang ditempa dan terdiri daripada beberapa bahagian. Rim ini sebenarnya sudah lama tidak dikeluarkan, jadi Nissan telah mendapatkan satu set asal yang dibina semula khusus untuk konsep ini.

Lebar rim tersebut ialah 10 inci di hadapan dan 11 inci di belakang, sekali gus memberikan penampilan yang lebih berisi pada bahagian sisi.

Di dalam, Z Kaze menampilkan tempat duduk dibalut kulit putih, bersama kemasan gentian karbon untuk memberikan suasana lebih sporty. Tempat duduk tersebut turut dilengkapi pembesar suara Bose Personal Plus pada perehat kepala, membolehkan penumpang menikmati muzik walaupun bumbung ditanggalkan.

Enjin V6 turbo berkembar dapat sentuhan GReddy

Apa yang lebih menarik, bahagian mekanikal Z Kaze turut mendapat beberapa peningkatan, dengan sistem suspensi dinaik taraf menggunakan komponen Nismo.

Enjin asal 3.0-liter turbo V6 dikekalkan, namun sesuai dengan tema konsep ini, beberapa komponen daripada syarikat talaan Jepun GReddy digunakan bagi memberikan kuasa yang lebih mengujakan.

Antaranya ialah sistem ekzos Supreme SP, kit intercooler udara-ke-udara yang dipasang di bahagian hadapan serta kit penapis udara Airinx. Jumlah kuasanya tidak didedahkan namun ia sudah pasti lebih tinggi berbanding versi standard yang menjana 400 hp dan 475 Nm.

Z moden dengan semangat kereta sport klasik

Menurut Nissan, Z Kaze dibangunkan dengan inspirasi daripada pengalaman memandu di sepanjang Pacific Coast Highway, California, pada hari musim panas.

Konsep ini menggabungkan elemen daripada sejarah Z, budaya talaan era 1990-an serta pengalaman pemanduan terbuka yang ditawarkan oleh bumbung T-top.

Buat masa ini, Z Kaze kekal sebagai kereta konsep dan projek khas Nissan, tanpa pengumuman mengenai sebarang rancangan untuk menawarkannya dalam pasaran.

Subaru A.S turunkan harga, Impreza 2027 jadi lebih murah!

SUBARU mengumumkan harga Impreza 2027 di Amerika Syarikat (AS), dengan harga permulaan AS$24,595 (RM100,324).

Harga itu AS$2,000 (RM8,156) lebih rendah berbanding harga model aras mula Impreza 2026.

Subaru juga memaklumkan Impreza 2027 kini kereta kompak pacuan semua roda (AWD) paling mampu milik yang dijual di AS.

Model ini ditawarkan dalam dua varian iaitu Impreza dan Impreza RS.

Subaru Impreza 2027

Antara kelengkapan standard termasuk rim aloi 17 inci kelabu gelap, teknologi bantuan pemanduan EyeSight, Keyless Access dengan butang mula.

Fungsi Apple CarPlay dan Android Auto melalui sambungan berwayar.

Bahagian dalam menggunakan balutan fabrik Tricot, kawalan pendingin hawa automatik dua zon serta port pengecasan USB-A dan USB-C.

Sistem maklumat hibur menggunakan dua skrin sentuh 7 inci.

Skrin atas mengendalikan fungsi maklumat hibur, manakala skrin bawah digunakan untuk kawalan pendingin hawa dan fungsi kenderaan.

Turut tersedia radio satelit SiriusXM dengan percubaan percuma selama empat bulan, HD Radio dan Bluetooth.

Teknologi bantuan pemanduan EyeSight merangkumi brek praperlanggaran, amaran keluar lorong dan melencong dan bantuan kekal lorong.

EyeSight turut merangkumi Kawalan Jelajah Adaptif Lanjutan dengan fungsi mengekalkan kenderaan di tengah lorong serta Bantuan Berhenti Kecemasan.

Lampu utama LED dengan fungsi mengikut arah stereng dan bantuan lampu tinggi turut menjadi kelengkapan standard.

Subaru Impreza RS 2027

Impreza RS kembali untuk tahun model 2027 dengan harga AS$29,495 (RM120,479), sama seperti model sebelumnya.

Varian ini menerima rim aloi 18 inci kelabu gelap, balutan fabrik RS hitam, lampu kabus dan spoiler bumbung Crystal Black Silica.

Kabin menggunakan sistem maklumat hibur Subaru 11.6 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.

Ia turut mempunyai SiriusXM dengan 360L, HD Radio dan Bluetooth.

Pengecas telefon pintar tanpa wayar yang dinaik taraf turut ditawarkan sebagai kelengkapan baharu.

Perkhidmatan MySubaru Connected Companion termasuk dalam pakej standard dengan percubaan lima tahun.

Ia menyediakan fungsi seperti panggilan kecemasan SOS, pemberitahuan pelanggaran lanjutan dan semakan keadaan kenderaan.

Pakej MySubaru Connected Services Companion+ pula tersedia untuk tempoh tiga atau lima tahun.

Di antara fungsi seperti menghidupkan enjin dari jauh bersama kawalan suhu, mengunci dan membuka kunci dari jauh serta amaran waktu berkurung dan amaran sempadan.

Pakej semua cuaca juga standard pada Impreza RS.

Ia merangkumi kerusi hadapan dengan pemanas, cermin sisi yang dipanaskan serta penyahbeku pengelap cermin hadapan.

Sistem EyeSight pada varian ini turut ditambah dengan Pengesanan Titik Buta bersama Amaran Lintasan Trafik Belakang serta Bantuan Kekal Lorong Kecemasan.

Pakej pilihan berharga AS$2,070 (RM8,447) pula menambah sistem audio Harman Kardon 10 pembesar suara dengan penguat setara 432 watt

Turut dilengkapi, bumbung kaca berkuasa dan kerusi hadapan dengan pelarasan kuasa 10 hala serta sokongan lumbar.

Enjin Boxer 2.5 Liter

Kedua-dua varian Impreza 2027 menggunakan enjin Boxer 2.5 liter berkuasa 180 hp.

Enjin itu dipadankan dengan transmisi Lineartronic CVT dan sistem pacuan semua roda Subaru Symmetrical All-Wheel Drive.

Kedua-dua varian turut dilengkapi pedal gear, mod manual lapan kelajuan dengan nisbah pratetap serta sistem SI-Drive dengan mod Intelligent dan Sport.

Kemasan dan Warna

Bahan kemasan dalaman untuk Impreza 2027 turut ditambah baik menerusi jahitan baharu pada konsol tengah dan bahan panel pintu yang dikemas kini.

Impreza ditawarkan dalam pilihan warna Crystal Black Silica, Crystal White Pearl, Ice Silver Metallic, Magnetite Gray Metallic, Sapphire Blue Pearl dan Ignition Red (baharu).

Cat premium Citron Yellow Pearl pula ditawarkan pada harga tambahan AS$395 (RM1,610).

Harga Subaru Impreza 2027

Impreza 2027 dipasang di Gunma, Jepun dan akan tiba di pengedar Subaru di AS pada penghujung 2026.

  • Impreza: CVT, AS$24,595 (RM100,324)
  • Impreza RS: CVT, AS$29,495 (RM120,479)

Pakej pilihan Impreza RS berharga AS$2,070 (RM8,447)

Zeekr Malaysia perluas rangkaian jualan & selepas jualan dengan EON

Zeekr Intelligent Technology Malaysia menandatangani perjanjian pengedaran dengan Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON).

Kerjasama terbaharu ini menandakan satu lagi langkah strategik Zeekr Malaysia dalam usaha memperluas rangkaian runcit dan selepas jualan di Malaysia.

Pengalaman meluas EON

Sebagai salah satu peruncit automotif terkemuka, EON mempunyai pengalaman luas dalam operasi runcit automotif terutama dalam segmen EV.

Sebelum kerjasama terbentuk, wakil EON telah melawat fasiliti Zeekr di China untuk melihat sendiri teknologi, kemampuan pembuatan serta pendekatan terhadap mobiliti elektrik.

Lawatan tersebut mengukuhkan keyakinan EON terhadap Zeekr dan membuka jalan kepada perjanjian yang ditandatangani tersebut.

Perluas akses pelanggan

Di bawah fasa pertama kerjasama, EON akan membuka Zeekr Pop-up Store di AEON Mall Shah Alam yang akan mula beroperasi Oktober 2026.

Kedai dengan keluasan 1,340 kaki persegi ini membolehkan pelanggan mendekati dan meneroka barisan EV premium (X, 009 & 7X) serta mendapatkan maklumat lajut tentang tawaran pemilikan.

Pop-up store ini akan berfungsi sebagai pusat sentuhan pelanggan sementara Zeekr House Glenmarie dibangunkan yang dijangka siap suku pertama 2027.

Fasiliti baharu ini bakal menawarkan pengalaman pelanggan yang lebih menyeluruh dengan menggabungkan perkhidmatan jualan, penyerahan kenderaan dan perkhidmatan selepas jualan di bawah satu bumbung

Melangkah ke hadapan, Zeekr Malaysia akan terus bekerjasama dengan rakan automotif berpengalaman bagi membina ekosistem pemilikan yang lebih kukuh dan mudah diakses untuk pelanggan di seluruh Malaysia.

iCaur 03 RWD kini dipasang di Malaysia, harga & spesifikasi kekal

iCaur Malaysia secara rasmi memulakan operasi pemasangan (CKD) bagi model SUV elektrik iCaur 03 varian RWD bulan ini.

Penghantaran kumpulan pertama iCaur 03 RWD CKD pula dijadualkan pada bulan Oktober 2026.

Untuk makluman, program pemasangan model CKD telah bermula di kilang Shah Alam pada suku kedua tahun ini.

Sama seperti model iWD, iCaur 03 RWD mengekalkan penawaran spesifikasi seperti model CBU.

Ia dipacu motor elektrik yang menggerakkan roda belakang, dengan kuasa 184 PS dan 220 Nm dan 5 mod pemanduan.

Pek bateri LFP 65.7 kWh menawarkan jarak pandu NEDC sehingga 426 km.

iCaur 03 RWD turut menyokong pengecasan AC 6.6 kW serta pengecasan pantas DC sehingga 80 kW.

SUV ini dijual pada harga RM119,740 atas jalan tanpa insurans.

MODENAS jalin kerjasama dengan Kolej KEDA tawar latihan teknologi motosikal elektrik

Syarikat Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) dengan Kolej KEDA mengumumkan pembukaan EV Motorcycle Industry-Academia Centre of Excellence (EV-MIACE).

Fasiliti ini terletak di Jabatan Teknologi Motosikal Kolej KEDA di Sik, Kedah.

Inisiatif ini menjadikan kolej KEDA institusi pertama di Kedah membangunkan pusat kecemerlangan EV khusus untuk mengintegrasikan pengetahuan industri, teknologi dan kepakaran teknikal dalam pendidikan TVET.

Pendedahan teknologi EV

Di bawah kerjasama ini, pelajar akan didedahkan kepada sistem motosikal elektrik jenama MODENAS.

MODENAS pula akan menyediakan sokongan penasihat bagi pembangunan modul pengajaran, berkongsi teknologi semasa dan kepakaran teknikal, serta menyumbang peralatan pembelajaran.

Pelajar yang mengikuti modul akan menerima pengiktirafan kemahiran dan pensijilan daripada MODENAS.

Untuk permulaan, seramai 25 pelajar akan mengikuti program ini bermula September hingga Disember 2026 dan menerima pensijilan MODENAS.

Kerjasama ini akan diteruskan pada tahun 2027 dengan dua kursus jangka pendek untuk 60 peserta.

Bermula tahun 2028 hingga 2030, Kolej KEDA menetapkan sasaran untuk berperanan sebagai rakan latihan industri bagi program peningkatan dan pemerkasaan kemahiran di bawah skim Akademi Dalam Industri (ADI).

Harley-Davidson serah 3 unit motosikal kepada PDRM untuk tujuan penilaian

Route 77 Harley-Davidson Kuala Lumpur baru-baru ini menyerahkan tiga unit motosikal kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tujuan penilaian konsep (POC).

Tiga model yang diserahkan itu ialah:

  • Low Rider ST
  • Street Glide
  • Pan America

Program POC ini membolehkan pihak Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) meneliti aspek kesesuaian, prestasi, pengendalian serta praktikaliti terutama bagi tugasan pengiring dan tugas rasmi.

Bakal beraksi di LTdL 2026

Acara Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 akan menjadi medan terbaik untuk anggota JSPT merasai sendiri karakter setiap platform dalam persekitaran operasi sebenar.

Penggunakan sepanjang LTdL 2026 merupakan sebahagian daripada proses penilaian POC dan tidak bermaksud ia akan digunakan secara kekal oleh PDRM.

Menurut Pengarah JSPT, hasil daripada POC ini akan membantu pihaknya untuk membuat penilaian objektif berdasarkan keperluan operasi semasa.

“Dengan LTdL berlangsung sepanjang tempoh penilaian, ia menyediakan persekitaran dunia sebenar untuk anggota kami menilai motosikal ini dalam keadaan tunggangan dan operasi sebenar.

Inisiatif ini turut mencerminkan kerjasama antara sektor swasta dan PDRM dalam menilai platform serta teknologi motosikal yang berpotensi menyokong keperluan operasi trafik dan tugas pengiring yang semakin berkembang.

 

Honda City 2026 facelift rasmi di Malaysia – 4 varian, harga serendah RM89,900

Honda Malaysia secara rasmi melancarkan sedan segmen B Honda City 2026 versi facelift untuk pasaran tempatan.

Harga jualan bagi setiap varian adalah seperti berikut:

  • City 1.5L E – RM89,900
  • City 1.5L V – RM94,900
  • City 1.5L RS – RM99,900
  • City 1.5L e:HEV RS – RM111,900

Honda Malaysia menawarkan jaminan kenderaan sehingga 8-tahun tanpa had perbatuan yang turut sah untuk semua model petrol dan hibrid Honda.

Perubahan

Berbeza dengan versi terdahulu, City facelift menampilkan imej kosmetik yang diperbaharui, serta beberapa naik taraf pada ruang kabin.

Dari segi luaran, City facelift membawakan lampu utama LED yang lebih nipis, struktur jeriji serta bampar yang disemak semula.

Varian RS pula hadir dengan ciri eksklusif seperti bar LED melintang penuh, perumah lampu belakang jernih Albino Design serta rim aloi 16 inci warna dua tona (Berlina Black/Dark Clear).

Untuk ruang kabin, terdapat skrin paparan Display Audio 10 inci baharu yang lengkap dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, diikuti dengan lampu suasana.

Varian RS mendapat ciri tambahan berikut:

  • pedal sport
  • brek parkir elektrik (EPB) dengan fungsi Auto Hold
  • kamera keliling 360 darjah

Sementara varian e:HEV RS hadir dengan ciri eksklusif slot pengecas peranti pintar tanpa wayar.

Pilihan enjin

Honda City facelift masih lagi dibekalkan dengan pilihan enjin i-VTEC 1.5L DOHC (121 PS/145 Nm) yang dipadankan dengan transmisi CVT.

Varian e:HEV RS pula menawarkan kuasa keseluruhan 109 PS/253 Nm yang menggerakkan roda depan menerusi kotak gear e-CVT.

Keselamatan

Secara standard, City facelift dilengkapi dengan enam beg udara, ABS, EBD, cagak ISOFIX, serta bantuan kestabilan kenderaan.

Kelengkapan Honda SENSING ditawarkan kepada semua varian, merangkumi fungsi seperti:

  • sistem informasi titik buta (BSI)
  • sistem pemantauan trafik silang (CTM)
  • amaran pelanggaran hadapan (FCW)
  • sistem brek mitigasi pelanggaran (CMBS)
  • bantuan pengekalan lorong (LKAS)
  • amaran keluar lorong (LDW)
  • bantuan mengikut kelajuan rendah (LSF)
  • mitigasi keluar jalan (RDM)
  • kawalan jelajah adaptif (ACC)
  • peringatan pergerakan kenderaan hadapan (LCDN)

 

Proton Capital tawar lebih banyak pilihan pembiayaan kepada pelanggan

Proton secara rasmi melancarkan syarikat baharu Proton Capital Sdn Bhd sebagai cabang pembiayaan automotif khusus.

Ia bertujuan menjadikan proses pemilikan kenderaan lebih mudah diakses untuk pelanggan yang layak.

Pembiayaan untuk pelanggan yang layak

Proton Capital berhasrat menyediakan pengalaman pembiayaan bersepadu, cekap dan berfokuskan pelanggan bermula daripada permohonan sehingga proses penyerahan kenderaan.

Untuk peringkat awal, Proton Capital akan memberikan perkhidmatan kepada pelanggan individu yang layak termasuklah:

  • pekerja bergaji
  • individu bekerja sendiri
  • pelanggan yang mempunyai sumber pendapatan lain yang boleh disahkan

Permohonan boleh dibuat menerusi 12 cawangan yang mengambil bahagian di sekitar Lembah Klang.

Setiap permohonan akan diteliti berdasarkan pendapatan, komitmen kewangan sedia ada, maklumat kredit serta kemampuan pembayaran balik pemohon.

Proton Capital juga menyasarkan kelulusan dalam tempoh satu hari bekerja untuk permohonan yang lengkap.

Lebih banyak pilihan untuk pelanggan

Pada peringkat pelancaran, Proton Capital akan menawarkan pembiayaan sewa beli konvensional untuk kereta Proton baharu, termasuk pakej kadar tetap standard dan pakej khusus untuk teksi Proton S70.

Syarikat itu juga merancang untuk memperkenalkan lebih banyak produk secara berperingkat, termasuk pembiayaan khusus untuk perkhidmatan e-hailing.

Buat masa ini, pembiayaan yang disediakan adalah dalam bentuk konvensional manakala pembiayaan patuh syariah pula akan diperkenalkan menjelang awal November.

 

BMW Motorrad perkenal edisi 100 Years of Nürburgring untuk BMW M 1000 RR, M 1000 R dan M 1000 XR

BMW Motorrad memperkenalkan tiga motosikal edisi khas 100 Years of Nürburgring sempena ulang tahun satu abad Nürburgring pada 2027.

BMW M 1000 RR, BMW M 1000 R dan BMW M 1000 menjadi wakil untuk edisi ini bersama enam model empat roda BMW M.

Setiap model dihadkan kepada 100 unit di seluruh dunia.

Ketiga-tiga motosikal menerima kemasan Nürburgring Green, grafik ulang tahun serta beberapa komponen dan aksesori khas yang mengaitkannya dengan Nürburgring.

BMW M 1000 RR

BMW M 1000 RR merupakan motosikal supersport yang memberi tumpuan kepada penggunaan di litar.

Untuk edisi ini, ia menerima M Track Package, roda gentian karbon, lengan ayun belakang dan rangka belakang berwarna hitam serta pelana kemasan Alcantara dengan sulaman “100”.

Tangki petrol dicat dengan lakaran bentuk Nordschleife, manakala penutup kotak udara menggunakan reka bentuk ulang tahun bersama tanda “one of 100”.

BMW M 1000 R

BMW M 1000 R merupakan model hyper naked yang membawa prestasi motosikal superbike ke jalan raya dan litar.

Seperti dua model lain, ia menerima kemasan Nürburgring Green, M Track Package, roda gentian karbon dengan riasan Nürburgring Green dan grafik ulang tahun.

Model ini turut menerima M Cover Kit sebagai kelengkapan khas.

BMW M 1000 XR

BMW M 1000 XR pula merupakan motosikal crossover berprestasi tinggi yang menggabungkan kuasa dan kestabilan pada kelajuan tinggi dengan ergonomik untuk perjalanan jarak jauh.

Ia menggunakan kemasan dan kelengkapan edisi yang sama, termasuk roda gentian karbon dengan jalur Nürburgring Green.

Ciri istimewa lain juga sama seperti pelana kemasan Alcantara dengan sulaman “100” dan lakaran bentuk Nordschleife pada tangki petrol.

Kelengkapan khas edisi Nürburgring

Ketiga-tiga model hadir dengan M Track Package sebagai kelengkapan standard.

Antara kelengkapan lain ialah:

  • Warna Nürburgring Green.
  • Grafik 100 Years of Nürburgring.
  • Sijil ketulenan.
  • Roda gentian karbon dengan jalur Nürburgring Green.
  • Lengan ayun belakang dan rangka belakang berwarna hitam.
  • Pelana berkemasan Alcantara dengan sulaman “100”.
  • Tangki bahan api dengan reka bentuk Nordschleife.
  • Penutup kotak udara dengan reka bentuk ulang tahun dan tanda “one of 100”.
  • Karpet motosikal M dengan logo 100 Years of Nürburgring.
  • Paddock stand roda belakang termasuk cagak lengan ayun.

M Cover Kit turut disertakan untuk BMW M 1000 RR dan BMW M 1000 R.

Terhad 100 unit setiap model

BMW Motorrad mengehadkan pengeluaran BMW M 1000 RR, BMW M 1000 R dan BMW M 1000 XR 100 Years of Nürburgring kepada 100 unit bagi setiap model di seluruh dunia.

Laman rasmi BMW M kini menyatakan ketiga-tiga model tersebut boleh ditempah mulai 19 Oktober 2026.

BMW M 1000 RR 100 Years of Nürburgring

BMW M 1000 R 100 Years of Nürburgring

BMW M 1000 XR 100 Years of Nürburgring

LETBE Leaper: jentera adventure sesaran kecil, sesuai untuk pemegang lesen B2

LETBE Leaper yang dipamerkan ini merupakan sebuah jentera dwi-kegunaan khusus untuk mereka yang mempunyai bajet rendah.

Berdasarkan spesifikasi, ia dikuasakan enjin silinder tunggal 250 cc sejukan minyak, kuasa sekitar 21 hp @ 7,500 rpm dan daya kilas 21 Nm @ 6,000 rpm.

Selain itu, terdapat juga pilihan enjin 125 cc sejukan udara dengan kuasa 10 hp @ 7,500 rpm dan 10 Nm @ 6,000 rpm.

Ia menggunakan tetapan suspensi fork teleskopik jenis terbalik di depan, dibantu penyerap hentak tunggal di belakang.

Brek pula menggunakan unit cakera bagi kedua-dua roda, dibantu dengan ABS dua-saluran.

Antara ciri yang dimuatkan termasuklah:

  • unit lampu LED
  • skrin paparan LCD digital
  • tangki bahan api 15 liter
  • tinggi pelana 858 mm
  • port pengecasan USB Type-A & Type-C
  • rim 21 inci depan/18 inci belakang

LETBE Neon: Skuter bandar, comel dan bergaya premium

Antara model LETBE unik yang turut dipamerkan di fasiliti Haojin di Guangzhou ialah skuter Neon.

LETBE Neon ini dipacu enjin 125 cc dengan hamburan kuasa 8.4 hp @ 7,500 rpm dan 9.4 Nm @ 5,500 rpm.

Tetapan suspensi terdiri daripada fork teleskopik di depan dan penyerap hentak tunggal di belakang.

Brek pula menggunakan sistem brek cakera bagi kedua-dua roda.

Untuk sebuah skuter bandar, Neon turut dilengkapi dengan beberapa ciri canggih seperti:

  • sistem lampu LED penuh
  • port pengecasan USB Type-A & Type-C
  • sistem permulaan tanpa kunci

Antara ciri lain termasuklah:

  • rim 12 inci
  • tangki bahan api 5.4 liter
  • ruang storan bawah pelana 13.8 liter
  • pilihan warna kusam yang nampak premium
  • fungsi ABS dan TCS yang boleh dipadamkan
  • meter analog + skrin LCD

HLYM serah 200 unit pertama Yamaha XMax 300 Tech Max di Malaysia

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) menyerahkan 200 unit pertama skuter premium XMax 300 Tech Max kepada pemilik di seluruh negara.

Skuter tersebut dilancarkan secara rasmi di Karnival GenBlu yang berlangsung pada bulan Ogos.

XMax 300 dipacu enjin silinder tunggal 292 cc sejukan cecair berkuasa 27.6 hp @ 7,250 rpm dan 28.9 Nm @ 5,750 rpm.

Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi automatik CVT.

Hadir dengan warna Crystal Graphite, model ini dijual pada harga RM28,499 (tidak termasuk insurans dan pendaftaran).

Skuter XMax 300 Tech Max ini boleh didapati di 17 pengedar sah Yamaha Big Bike di seluruh negara.

Proton S70 2026 dapat 2 varian baharu, enjin 1.5L NA, harga dari RM56,800

Proton secara rasmi memperkenalkan dua varian baharu bagi sedan S70, iaitu S70 Lite dan S70 Prime.

Dua varian baharu ini diposisikan sebagai pengganti secara tidak langsung kepada model Persona yang bakal dihentikan penawarannya kelak.

Harga jualan (selepas rebat) adalah seperti berikut:

  • S70 Lite – RM56,800 (harga asal RM59,800)
  • S70 Prime – RM59,800 (harga asal RM62,800)

Rebat RM3,000 itu sah untuk pelanggan yang melengkapkan pendaftaran sebelum 31 Disember 2026.

Bersempena dengan pelancaran, Proton turut menawarkan pakej berikut:

  • jaminan 5-tahun tanpa had perbatuan
  • pengecualian kos buruh sebanyak 6-kali
  • pembiayaan 9-tahun dengan kadar 2.35% PA
  • nilai tukar beli sehingga RM2,000

Unit pacuan

Berbeza dengan varian S70 sedia ada, dua varian baharu S70 ini mendapat enjin 1.5 liter i-GT.

Kuasa 120 PS dan 150 Nm itu disalurkan kepada roda depan menerusi transmisi CVT jenis torque converter.

Kelengkapan

Secara standard, S70 Lite didatangkan dengan ciri seperti unit lampu utama halogen, lampu DRL LED, rim aloi 16 inci, serta jeriji dengan kemasan hitam.

Masuk ke dalam ruang kabin, S70 Lite mendapat ciri seperti:

  • tempat duduk balutan fabrik
  • panel meter analog dengan skrin MID
  • skrin infohibur 8-inci
  • brek parkir elektrik (EPB)

S70 Prime pula mendapat naik taraf ciri seperti:

  • rim aloi 17-inci
  • lampu utama LED automatik
  • cermin sisi boleh lipat automatik
  • roda stereng balutan leatherette
  • tempat duduk leatherette
  • sistem pendingin hawa automatik

Kedua-dua varian turut mendapat sokongan sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto.

Keselamatan

Ciri keselamatan standard terdiri daripada enam beg udara, penderia parkir belakang, serta kamera undur, manakala S70 Prime pula mendapat tambahan penderia parkir hadapan.

Selain itu, ia turut hadir dengan kelengkapan seperti:

  • sistem pemantauan titik buta (BSD)
  • amaran lintasan trafik belakang (RCTA)
  • amaran pelanggaran belakang (RCW)
  • amaran bukaan pintu (DOW)
  • bantuan penukaran lorong (LCA)

Warna

Terdapat lima warna tersedia iaitu Quartz Black, Marine Blue, Space Grey, Snow White dan Armour Silver.