Arkib Kategori: BERITA

Honda CB750 Hornet ‘Mugen’ dari Portugal juara Honda Customs 2026

Honda Customs 2026 melabuhkan tirai dengan kemenangan Mugen, sebuah Honda CB750 Hornet yang diubah suai oleh pengedar Honda, Mototrofa dari Portugal.

Untuk makluman, pertandingan Honda Customs sudah memasuki edisi ketujuh dan turut memperkenalkan konsep On Road Vs Off Road pada tahun ini.

Honda CB750 Hornet dan XL750 Transalp menjadi asas kepada projek-projek ubah suai edisi 2026.

Sebanyak 42,119 undian diterima secara dalam talian dari 102 negara, meningkat 39 peratus berbanding edisi 2025.

Mugen Menang Dengan 10,092 Undian

Mugen hasil binaan Mototrofa memenangi kategori On-Road dan dinobatkan sebagai juara keseluruhan.

Honda CB750 Hornet itu menerima 10,092 undian, hampir 24 peratus daripada keseluruhan undian dan 36 peratus undian kategori On Road.

Mototrofa menghasilkan motosikal tersebut dengan konsep “form should follow function”.

Ia menampilkan gaya streetfighter yang agresif dengan kemasan hijau gelap, perincian emas dan gentian karbon.

Beberapa komponen khas turut digunakan untuk melengkapkan ubah suai tersebut.

Kemenangan ini turut menjadikan Mototrofa pengedar kedua yang memenangi pertandingan Honda Customs sebanyak dua kali.

Mereka sebelum ini menang pada 2021 menerusi CB650R Fenix.

Saharja Menang Kategori Off-Road

Bagi kategori Off-Road, kemenangan menjadi milik Saharja dari Itali.

Dihasilkan oleh DRS Custom Cycles berasaskan XL750 Transalp, motosikal ini mengambil inspirasi daripada perlumbaan Dakar.

Antara perubahan utama ialah navigation tower buatan tangan dengan buku jalan digital dan meter TFT.

Turut dilengkapi lampu LED berkuasa tinggi, pelindung tangan, palang perlindungan keluli serta pelindung bawah aluminium.

Motosikal projek ini turut menerima tangki bahan api sisi aluminium, tayar berjejari kasar dan sistem ekzos dipasang pada kedudukan tinggi.

Saharja memperoleh lebih 4,800 undian, bersamaan 36 peratus daripada keseluruhan undian kategori Off-Road.

Last Lap Di Tempat Kedua

Tempat kedua kategori On-Road menjadi milik Last Lap dari Sepanyol, hasil binaan pengedar Stilmoto.

Projek berasaskan CB750 Hornet itu menggunakan gaya motosikal perlumbaan GP era 1980-an dengan rekaan badan yang lebih berkotak.

Last Lap menerima lebih 6,900 undian, bersamaan kira-kira 16 peratus daripada keseluruhan undian.

Antara perubahan yang dibuat ialah race fairing penuh di bahagian hadapan, tangki bahan api dan bahagian belakang yang dibina khas.

Ia turut menggunakan lengan ayun satu sisi serta sistem ekzos khas.

Sting Honey Lengkapkan Podium

Tempat ketiga kategori On-Road pula menjadi milik Sting Honey dari Poland.

Projek hasil kerjasama Honda Sokół dan Steel Choppers itu menggunakan CB750 Hornet sebagai asas.

Rekaan bahagian belakang, fairing, tangki bahan api, pelana dan pemegang hendal semuanya dihasilkan khas.

Ia turut menggunakan lampu hadapan CB125R dan roda jejari daripada skuter X-ADV.

’86 Dakar Tribute Di Tempat Kedua Off-Road

Tempat kedua kategori Off-Road dimenangi ’86 Dakar Tribute dari United Kingdom.

Berasaskan XL750 Transalp, projek oleh CJ Ball mengambil inspirasi daripada kemenangan Cyril Neveu dalam perlumbaan Dakar 1986 menggunakan NXR750.

Antara perubahan yang dibuat ialah sistem ekzos berkembar kedudukan tinggi, suspensi dengan jarak gerakan lebih panjang, pelindung lumpur hadapan yang dinaikkan serta tayar off-road.

Projek tersebut memperoleh 20 peratus undian kategori Off-Road.

Tempat ketiga pula menjadi milik Ocean Nomad dari Perancis.

42,119 Undian Untuk Honda Customs 2026

Jumlah 42,119 undian yang diterima tahun ini merupakan rekod baharu bagi pertandingan Honda Customs.

Daripada jumlah tersebut, kategori On Road menerima 28,775 undian atau 68.32 peratus, manakala kategori Off Road memperoleh 13,344 undian atau 31.68 peratus.

Selain undian orang ramai, projek-projek tahun ini turut dinilai oleh pereka asal CB750 Hornet dan XL750 Transalp dari pusat penyelidikan dan pembangunan Honda di Rome.

Morbidelli C252V 2026 rasmi di Malaysia, harga dari RM16,988

Morbidelli Malaysia hari ini secara rasmi mengumumkan ketibaan model cruiser C252V 2026 untuk pasaran tempatan.

Hadir dalam tiga pilihan warna (Bulk Black, Moss Green dan Urban Silver), C252V dijual pada harga RM16,998.

Spesifikasi

Cruiser ini dikuasakan enjin dua silinder bentangan V sesaran 249 cc sejukan cecair menghasilkan kuasa 25.5 hp @ 9,000 rpm dan 25 Nm @ 5,500 rpm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda menerusi kotak gear 6-kelajuan dengan sistem pacuan tali sawat, dibantu dengan klac slipper.

C252V menggunakan sistem kawalan pendikit dwi-kabel untuk pecutan yang lebih responsif.

Suspensi cruiser ini terdiri daripada fork teleskopik jenis terbalik diikuti penyerap hentak berkembar dengan larasan pra-beban, masing-masing menawarkan jarak gerak 115 mm & 47 mm.

Brek pula menggunakan unit rotor tunggal di depan dan belakang.

Antara ciri lain yang dimuatkan:

  • kunci mekanikal
  • rim 16 inci
  • tangki bahan api 15.5 liter
  • tinggi pelana 690 mm
  • skrin paparan LCD
  • port pengecasan USB Type-A
  • sistem lampu LED penuh
  • sistem ABS dua-saluran & kawalan cengkaman

Hyundai Stargazer 2026 rasmi di Malaysia – 3 varian, harga dari RM99,800

Hyundai Motor Malaysia secara rasmi melancarkan MPV tiga baris tempat duduk Hyundai Stargazer 2026 untuk pasaran tempatan.

Unit import sepenuhnya (CBU) ini ditawarkan dalam tiga varian, harga jualan seperti berikut:

  • Style 7-tempat duduk – RM99,800
  • Prime 7-tempat duduk – RM109,800
  • X 6-tempat duduk – RM121,800

HMY turut menawarkan skim perlindungan nilai jual semula untuk tahun ketiga, keempat dan kelima dengan nilai sehingga 70%.

Selain itu, promosi Early Bird menawarkan manfaat berikut:

  • jaminan 8-tahun/160,000 km
  • pakej servis percuma 8 kali atau 4 tahun
  • All-star Reward RM1,000 untuk pemilik Hyundai sedia ada
  • Yuran tempahan RM88

Unit pacuan

Hyundai Stargazer dipacu enjin 4-silinder sebaris 1.5 liter dengan hamburan kuasa 113 hp @ 6,300 rpm dan 144 Nm @ 4,500 rpm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda depan menerusi transmisi IVT (Intelligent Variable Transmission).

Empat mod pemanduan disediakan iaitu Eco, Normal, Sport dan Smart.

Dimensi

Stargazer membawakan ukuran sepanjang 4,575 mm, lebar 1,780 mm, tinggi 1,695 mm dengan jarak antara roda 2,780 mm.

Varian X pula mempunyai ukuran dimensi sedikit panjang, iaitu sekitar 4,610 mm, lebar 1,820 mm, dan tinggi 1,740 mm.

Radius putaran adalah sekecil 5.4 meter.

Ruang kargo pula sebesar 185 liter dan boleh mencapai kapasiti sehingga 1,892 liter.

Kelengkapan luaran

Secara standard, Hyundai Stargazer hadir dengan padanan rim 16 inci manakala dua varian tertinggi mendapat rim 17 inci.

Dari segi luaran, Hyundai Stargazer mendapat ciri seperti:

  • lampu utama LED dengan fungsi automatik
  • lampu nyalaan siang DRL LED
  • struktur jeriji lebar
  • lampu belakang dengan grafik huruf H

Varian X pula hadir dengan kelengkapan seperti:

  • logo H berwarna hitam
  • jeriji radiator hitam/perak
  • rekaan bampar yang lebih sporti
  • plastik pelindung gerbang roda
  • spoiler belakang
  • rel bumbung
  • brek cakera di belakang

Ruang kabin

Versi asas didatangkan dengan ciri seperti skrin paparan LCD 4.2 inci, skrin tengah 8-inci, sistem audio dengan 4-pembesar suara serta upholsteri tempat duduk fabrik.

Varian Prime pula hadir dengan ciri lebih premium seperti:

  • skrin kluster digital 10.25 inci
  • skrin infohibur 10.25 inci
  • upholsteri kombinasi fabrik/leatherette
  • meja lipat baris kedua
  • brek parkir elektronik dengan fungsi Auto Hold
  • sistem audio 6-pembesar suara

Sementara varian X mendapat ciri eksklusif seperti:

  • tempat duduk kapten baris kedua
  • upholsteri balutan leatherette
  • tombol gear pada kolum stereng
  • konsol tengah jenis terapung
  • slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar

Keselamatan

Stargazer Style hanya dilengkapi dengan dua beg udara sahaja.

Varian Prime dan X pula hadir dengan enam beg udara, serta pakej Hyundai SmartSense merangkumi 13 fungsi termasuklah:

  • Bantuan Suluhan Tinggi (HBA)
  • Bantuan Pengelakan Pelanggaran Hadapan (FCA)
  • Bantuan Pengekalan Lorong (LKA)
  • Bantuan Mengikut Lorong (LFA)
  • Amaran Tumpuan Pemandu (DAW)
  • Amaran Pergerakan Kenderaan Hadapan (LVDA)
  • Bantuan Pengelakan Pelanggaran Trafik Lintasan Belakang (RCCA)
  • Bantuan Keluar Selamat (SEA)

Warna

Terdapat tiga warna yang ditawarkan iaitu Titan Gray Metallic, Creamy White Pearl, dan Midnight Black Pearl, serta warna Gravity Gold Matte eksklusif untuk varian X.

Hyundai Stargazer X

Mitsubishi Minicab EV 2027, van EV ala Juara, jarak sehingga 180 km

Mitsubishi Minicab EV 2027 diperkenalkan di Jepun dengan beberapa perubahan. Van ini mengingatkan kepada Proton Juara namun lebih canggih dengan kuasa elektrik.

Di antara ciri baharu seperti penambahan fungsi connected, sistem keselamatan yang dipertingkat serta beberapa perubahan pada kelengkapan dalaman.

Minicab EV menggabungkan prestasi alam sekitar dengan ciri praktikal sebagai kenderaan komersial ringan.

Ia direka untuk kegunaan seperti operasi penghantaran dan aktiviti jualan, selain menawarkan operasi yang senyap serta pemanduan elektrik yang lancar.

Minicab EV 2027 mula dijual di seluruh Jepun pada 17 September 2026.

Harga ditawarkan dari ¥2,541,000 (RM65,964) hingga ¥2,651,000 (RM68,820) termasuk cukai penggunaan 10 peratus.

Mitsubishi Minicab EV Dengan Fungsi Connected

Bagi kegunaan syarikat dan pengusaha perniagaan, Mitsubishi menawarkan unit komunikasi dalam kenderaan atau Telematics Control Unit (TCU) sebagai pilihan pengeluar.

TCU ini membolehkan Minicab EV menggunakan perkhidmatan sokongan operasi kenderaan yang terdiri daripada Dashboard Service untuk pengurus operasi dan MITSUBISHI CONNECT untuk pemandu.

Dashboard Service mengumpulkan serta menganalisis data seperti sejarah perjalanan, jarak perjalanan dan penggunaan tenaga.

Data operasi juga boleh diurus secara berpusat melalui pelayar web pada komputer bagi membantu pengurusan kenderaan.

Menerusi MITSUBISHI CONNECT pula, pengguna boleh mengawal beberapa fungsi dari jauh.

Antaranya termasuk tetapan pendingin hawa, kunci dan buka kunci pintu, pengurusan pengecasan termasuk tetapan pengecasan mengikut pemasa serta panggilan SOS.

Perkhidmatan ini memerlukan bayaran bulanan berasingan.

Sistem Keselamatan Mitsubishi e-Assist Dipertingkat

Mitsubishi turut meningkatkan fungsi keselamatan pencegahan Mitsubishi e-Assist pada Minicab EV.

Sistem brek mitigasi pelanggaran atau Forward Collision Mitigation System (FCM) kini diperluaskan untuk mengesan pejalan kaki dan penunggang basikal pada waktu malam.

Fungsi pencegahan salah operasi ketika bergerak ke hadapan pula turut boleh mengesan pejalan kaki yang tidak bergerak.

Minicab EV juga menerima sistem pengecaman tanda jalan atau Traffic Sign Recognition System (TSR).

Sistem ini boleh mengecam tanda berhenti dan tanda larangan masuk menggunakan kamera hadapan yang dipasang pada bahagian atas cermin depan.

Maklumat tanda jalan kemudiannya dipaparkan pada panel meter bagi memberi peringatan kepada pemandu.

Port USB Type-C Untuk Peranti Mudah Alih

Mitsubishi turut mengemas kini port pengecasan USB yang ditawarkan sebagai pilihan pengeluar.

Konfigurasi terdahulu menggunakan satu port Type-A dan satu Type-C.

Kini, ia ditukar kepada dua port Type-C bagi memenuhi penggunaan peranti mudah alih terkini yang semakin meluas.

Jarak Sehingga 180 km

Mitsubishi Minicab EV menggunakan sistem pacuan elektrik sepenuhnya dengan konfigurasi 2WD pacuan roda belakang.

Motor elektrik tunggal berkod YA1 menghasilkan kuasa maksimum 31 kW (42 PS) dan tork maksimum 195 Nm.

Motor tersebut mempunyai kuasa berkadar 25 kW.

Bateri jenis litium-ion berkapasiti 20.0 kWj dengan voltan 330V digunakan untuk membekalkan tenaga kepada motor elektrik.

Model ini turut mempunyai keupayaan pengecasan pantas DC.

Berdasarkan ukuran WLTC, Mitsubishi Minicab EV mempunyai jarak pemanduan sehingga 180 km untuk sekali cas.

Kadar penggunaan tenaga purata pula ialah 127 Wh/km, bersamaan kira-kira 7.87 km/kWj.

Pecahan penggunaan tenaga mengikut kitaran WLTC adalah:

  • WLTC-L (bandar): 102 Wh/km
  • WLTC-M (luar bandar): 119 Wh/km
  • WLTC-H (lebuhraya): 142 Wh/km

Harga Mitsubishi Minicab EV 2027

Mitsubishi menawarkan Minicab EV dalam konfigurasi dua dan empat tempat duduk.

  • CD 20.0kWj (2-tempat duduk): ¥2,541,000 (RM65,964)
  • CD 20.0kWj + Pengecas Pantas (2-tempat duduk): ¥2,596,000 (RM67,392)
  • CD 20.0kWj (4-tempat duduk): ¥2,596,000 (RM67,392)
  • CD 20.0kWj + Pengecas Pantas (4-tempat duduk): ¥2,651,000 (RM68,820)

Harga tersebut tidak termasuk bayaran kitar semula, insurans, cukai selain cukai penggunaan serta kos berkaitan pendaftaran atau pengisytiharan kenderaan.

Minicab EV Layak Terima Subsidi Di Jepun

Mitsubishi Minicab EV merupakan antara kenderaan yang layak menerima skim subsidi kerajaan Jepun.

Bagi pembelian untuk kegunaan persendirian, model ini layak menerima subsidi sebanyak ¥574,000 (RM14,901) di bawah skim subsidi kenderaan tenaga bersih bagi tahun fiskal 2025.

Bagi kenderaan yang digunakan untuk tujuan perniagaan, terdapat juga skim subsidi berasingan berkaitan peralihan kepada struktur ekonomi rendah karbon.

Selain itu, skim subsidi yang ditawarkan kerajaan tempatan turut boleh digunakan bergantung kepada kawasan.

ZXMOTO Malaysia pertonton 820R, 450 Rally & MX250, bakal masuk Malaysia

Sempena pelancaran jenama dan tiga model baharu tempoh hari, ZXMOTO Malaysia turut mempamerkan tiga lagi model motosikal yang bakal masuk ke pasaran tempatan.

Tiga model yang dimaksudkan itu ialah ZXMOTO 820R, 450 Rally dan MX250.

ZXMOTO 820R

Ini merupakan model ‘kembar’ naked kepada supersport 820RR yang dilancarkan baru-baru ini.

820R dipacu enjin 3-silinder 818.8 cc sejukan cecair dan minyak, menghasilkan kuasa 130 hp dan 78 Nm.

Antara ciri yang dimuatkan:

  • peredam stereng terbina
  • penukaran gear pantas dua-arah
  • skrin paparan TFT berwarna
  • sistem lampu LED
  • tangki bahan api 18 liter

Selain itu, ia turut mendapat suspensi boleh laras depan dan belakang, unit pengukuran inersia (IMU) enam paksi, cornering ABS, kawalan cengkaman serta beberapa pilihan mod tunggangan.

ZXMOTO 450 Rally

Ini pula motosikal endurance yang diinspirasikan daripada jentera rali Dakar.

Enjin silinder tunggal 450 cc sejukan cecair itu mampu menjana kuasa 60 hp.

Antara kelengkapan yang dimuatkan termasuklah:

  • sistem lampu LED
  • fork hadapan KYB jenis terbalik boleh laras sepenuhnya
  • lengan ayun aloi aluminium berkembar
  • sistem tangki berkembar, kapasiti 32 liter
  • cagak khas untuk pemasangan skrin tambahan dan sistem navigasi
  • tinggi pelana 960 mm

ZXMOTO MX250

Untuk peminat sukan motocross, ZXMOTO MX250 ini juga antara model yang bakal masuk Malaysia.

Ia dipacu enjin silinder tunggal 250 cc dengan kuasa sekitar 41 hp dan daya kilas 27 Nm.

Antara ciri yang tersedia:

  • fork hadapan KYB jenis terbalik boleh laras sepenuhnya
  • lengan ayun aloi aluminium berkembar
  • penyerap hentak belakang KYB
  • tangki bahan api 6.5 liter
  • angkup brek dua-omboh di depan
  • tinggi pelana 960 mm

Jetour T2 i-DM 2026 rasmi di Malaysia, harga dari RM162,800

Jetour Malaysia secara rasmi melancarkan Jetour T2 i-DM untuk pasaran tempatan.

T2 versi plug-in hybrid (PHEV) ini dijual pada harga dari RM162,800.

Pakej Early Bird bernilai RM3,000 ditawarkan kepada 2,000 pendaftaran terawal, merangkumi pilihan pengecas dinding 7 kW atau kredit pengecasan ChargeSini bernilai RM2,000.

Kedua-dua pilihan didatangkan dengan kabel penyesuai V2L secara percuma.

Spesifikasi unit pacuan

T2 i-DM dipacu oleh sistem PHEV yang terdiri daripada:

  • enjin 1.5L turbo TGDi
  • transmisi 3-kelajuan
  • motor elektrik berkembar

Secara keseluruhan, SUV ini mampu menjana kuasa 355 hp dan 610 Nm.

Pek bateri LFP 18.4 kWh menawarkan jarak pandu sifar emisi sehingga 100 km, serta jarak pandu gabungan sehingga 1,200 km.

Ia menyokong pengecasan AC 6.6 kW serta pengecasan pantas DC 57 kW, membolehkan bateri dicas 30-80% dalam masa 27 minit.

SUV ini turut menawarkan fungsi Vehicle-to-Load (V2L) 3.3 kW.

Kelengkapan

Dari segi penampilan, Jetour T2 i-DM mengekalkan rupa paras yang hampir sama dengan T2 2.0L turbo.

Ia menampilkan ciri seperti lampu hadapan LED automatik, skrip JETOUR bercahaya, rim aloi Trailblazer 20 inci, pintu belakang dengan fungsi Electric Suction, serta kehadiran tayar ganti.

Ruang kabin pula menempatkan ciri seperti skrin kluster 10.25 inci, skrin infohibur 15.6 inci, sokongan Apple CarPlay & Android Auto, sistem audio Sony dengan 12-pembesar suara, serta pengecas tanpa wayar 50W.

Selain itu, tempat duduk hadapan didatangkan dengan fungsi pengudaraan, fungsi memori dan fungsi aluan.

Tidak ketinggalan, ciri seperti tombol gear kristal bercahaya, cermin pandang belakang dengan fungsi kelam automatik dan pencahayaan ambien Cosmic Multicolour.

Keselamatan

Secara standard, T2 i-DM dilengkapi dengan enam beg udara, sistem pemantauan panorama serta sistem pemantauan tekanan tayar.

Kelengkapan sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) Tahap 2 pula merangkumi:

  • brek kecemasan autonomi (AEB)
  • bantuan lorong (LAI)
  • pengesanan titik buta (BSD)
  • kawalan jelajah bersepadu (ICA)
  • amaran lintasan trafik belakang (RCTA)
  • bantuan suluhan tinggi pintar (IHB)

Program Insurans Jetour

Pemilik boleh mendapatkan perlindungan tambahan seperti:

  • perlindungan pengecas dinding sehingga RM5,000
  • perlindungan liabiliti peribadi pihak ketiga sehingga RM50,000 bagi kecederaan, kematian atau kerosakan berpunca daripada penggunaan pengecas EV

Jetour Malaysia turut menawarkan Perlindungan Risiko Khas kepada 2,000 pemilik pertama yang berdaftar atau sehingga 28 Februari 2027.

Ducati Desmo450 SM 2027: Supermoto perlumbaan pertama Ducati!

Apabila Ducati memperkenalkan Desmo450 MX dan berdasarkan strategi yang sudah digunakan, syarikat itu tidak akan berdiam dengan satu projek sahaja.

Ini terbukti dengan pelbagai produk lain termasuk Desmo250 MX.

Kepakaran Ducati dalam dunia perniagaan dan perlumbaan diteruskan lagi dengan produk terbaru, Ducati Desmo450 SM.

Diperkenalkan pada 17 September 2026, Ducati Desmo450 SM ialah motosikal supermoto perlumbaan pertama daripada pengeluar yang berpangkalan di Borgo Panigale, Itali.

Model ini dibangunkan berasaskan platform Desmo450 MX yang telah dibangunkan semula secara khusus untuk perlumbaan supermoto.

Suspensi, triple clamp, roda, sistem brek, nisbah pacuan akhir, klac slipper dan sistem elektronik ditala untuk berfungsi secara bersama bagi memberikan ketepatan, kawalan dan prestasi di litar supermoto.

Ducati Desmo450 SM Dibangunkan Untuk Perlumbaan

Ducati Desmo450 SM menggabungkan pelbagai penyelesaian yang dibangunkan khusus untuk perlumbaan supermoto.

Hasilnya ialah sebuah motosikal yang sesuai digunakan penunggang profesional dan amatur.

Gabungan penyampaian kuasa enjin, casis dan sistem elektronik membolehkan motosikal ini menawarkan prestasi tinggi dengan usaha fizikal yang minimum.

Menurut Ducati, gabungan tersebut direka untuk membantu penunggang mengekalkan konsistensi, kecekapan dan masa pusingan di litar.

Suspensi Showa Khusus Untuk Supermoto

Suspensi menjadi antara fokus utama pembangunan Ducati Desmo450 SM.

Buat kali pertama bagi sebuah motosikal supermoto pengeluaran, Showa terlibat secara langsung dalam pembangunan tetapan suspensi.

Ia bertujuan memberikan sokongan ketika membrek, ketepatan ketika memasuki selekoh dan kawalan dalam pelbagai keadaan tunggangan.

Di bahagian hadapan, Desmo450 SM menggunakan fork terbalik Showa 49 mm jenis kartrij tertutup yang boleh dilaraskan sepenuhnya bagi mampatan dan lantunan.

Fork tersebut menggunakan spring serta tetapan khusus, mempunyai jarak gerakan 280 mm dan salutan Kashima pada tiub luar.

Bahagian kiri fork mempunyai tapak angkup brek jejari.

Plat hendal pula dimesin daripada aluminium dan mempunyai jarak tengah yang dipanjangkan bagi menyediakan ruang mencukupi untuk roda hadapan.

Hasilnya ialah bahagian hadapan yang memberikan sokongan ketika membrek dengan kuat, ketepatan ketika memasuki selekoh dan keyakinan ketika menunggang di jalan raya.

Suspensi ini turut direka untuk kekal berkesan ketika melalui bahagian off-road.

Di belakang, penyerap hentak Showa boleh dilaraskan sepenuhnya dan digabungkan dengan sistem pautan progresif.

Jarak gerakan roda 295 mm dan mempunyai tetapan khusus bagi membantu cengkaman serta keseimbangan motosikal sepanjang tunggangan.

Roda 16.5 Inci dan 17 Inci

 

Pelindung tangan dan pelindung lumpur yang dipendekkan direka semula mengikut keperluan supermoto.

Pelindung fork juga dipendekkan bagi menyediakan lebih banyak ruang untuk tayar hadapan berukuran 125/75.

Ducati Desmo450 SM menggunakan rim berukuran 16.5 inci di hadapan dan 17 inci di belakang.

Rim aluminium Takasago Excel menggunakan profil Excel bersama sistem Bartubeless.

Sistem tersebut menghapuskan penggunaan tiub dalam dan mengurangkan jisim berputar serta jisim tidak terpegas sebanyak 1.2 kg.

Ducati menyatakan pengurangan tersebut membantu pengendalian dan tindak balas suspensi.

Tayar standard ialah Metzeler Racetec Slick SM yang sama digunakan dalam Kejuaraan Dunia.

Sistem Brek Brembo dan Galfer

Sistem brek Ducati Desmo450 SM dibangunkan untuk memberikan kuasa dan kawalan brek dalam keadaan tunggangan supermoto.

Di hadapan, motosikal ini menggunakan angkup jejari Brembo Stylema bersama cakera terapung Galfer 310 mm dengan bebibir aluminium.

Bahagian belakang pula menggunakan cakera Galfer 240 mm bersama angkup terapung Brembo.

Enjin Desmo450 449.6cc

Ducati Desmo450 SM menggunakan enjin satu silinder Desmo450 berkapasiti 449.6 cc.

Enjin ini menghasilkan kuasa maksimum 63.5 hp pada 9,400 rpm dan tork maksimum 53.6Nm pada 7,500 rpm.

Teknologi injap Desmodromic membolehkan had putaran enjin ditetapkan pada 11,900 rpm.

Julat operasi yang luas membolehkan penunggang berada lebih lama dalam setiap gear dan mengurangkan pertukaran gear yang tidak diperlukan.

Casis pula menggunakan rangka aluminium twin-spar yang sama seperti motosikal motocross.

Rangka tersebut direka dengan jumlah kimpalan yang minimum bagi mengoptimumkan berat, ketegaran dan kekuatan.

Reka bentuknya turut membolehkan saluran kemasukan udara dibuat selurus mungkin supaya enjin dapat bernafas dengan lebih cekap.

Klac Suter dan QS

Sistem transmisi Ducati Desmo450 SM dilengkapi Penukar Gear Pantas (Quick Shift) aktif untuk pertukaran gear ke atas.

Motosikal ini turut menggunakan klac slipper Suter yang ditala khusus untuk Desmo450 SM.

Klac tersebut membantu penunggang menguruskan keadaan side-slip ketika memasuki selekoh.

Ducati Traction Control Untuk Supermoto

Ducati Desmo450 SM memperkenalkan sistem Ducati Traction Control di dalam segmennya.

Sistem tersebut ditala khusus untuk supermoto dan mampu menganggarkan gelinciran sebenar roda belakang.

Ducati Traction Control mempunyai empat tahap pelarasan dan boleh dinyahaktifkan.

Sistem ini bertindak terhadap parameter enjin bagi meningkatkan cengkaman dan kestabilan ketika keadaan cengkaman permukaan berubah.

Sistem elektronik lain termasuk Kawalan Mula (Launch Control), Kawalan Brek Enjin (Engine Brake Control), dan Penukar Gear Pantas.

Ducati Desmo450 SM turut mempunyai dua mod tunggangan yang boleh dikonfigurasi mengikut keperluan penunggang dan ciri litar menggunakan aplikasi X-Link sebagai aksesori.

Penyelenggaraan Ducati Desmo450 SM

Jadual penyelenggaraan Ducati Desmo450 SM ditetapkan mengikut standard kategori ini.

Penggantian omboh dan pemeriksaan kelegaan injap dijadualkan setiap 45 jam.

Baik pulih penuh enjin pula dijadualkan setiap 90 jam, manakala penukaran minyak enjin perlu dilakukan setiap 15 jam.

Bagi memudahkan kerja penyelenggaraan, penutup alternator, klac dan kepala silinder menggunakan sistem gasket.

Gasket logam digunakan pada kepala silinder, manakala gasket getah digunakan pada penutup alternator dan klac.

Desmo450 SM turut tampil dengan sistem penyelenggaraan berasaskan jangkaan untuk memantau tahap kehausan komponen enjin dan tekanan mengikut gaya pemanduan.

Dengan modul Com-Link sebagai aksesori, selang penyelenggaraan rutin boleh diuruskan dengan lebih tepat bagi mengekalkan kecekapan dan prestasi motosikal.

Ducati Desmo450 SM Tiba Disember 2026

Ducati Desmo450 SM ditawarkan dalam warna Ducati Red.

Motosikal ini akan mula tiba di pengedar Ducati terpilih di Eropah mulai Disember 2026.

Ketersediaan di pasaran lain akan menyusul selepas itu.

Spesifikasi Ducati Desmo450 SM 2027

  • Enjin satu silinder Desmo450, 449.6 cc
  • Kuasa maksimum: 63.5 hp @ 9,400 rpm
  • Tork maksimum: 53.6Nm @ 7,500 rpm
  • Rangka aluminium twin-spar
  • Tangki bahan api: 7.2 liter
  • Fork terbalik Showa 49 mm jenis kartrij tertutup
  • Pelarasan mampatan dan lantunan
  • Jarak gerakan hadapan: 280 mm
  • Salutan Kashima
  • Penyerap hentak belakang Showa boleh dilaraskan sepenuhnya
  • Jarak gerakan roda belakang: 295 mm
  • Lengan ayun aluminium tuang
  • Angkup jejari Brembo Stylema
  • Pam brek jejari PR15x19
  • Cakera Galfer 310 mm di hadapan dan 240 mm di belakang
  • Rim aluminium Takasago Excel dengan sistem Bartubeless
  • Rim hadapan: 16.5 x 3.5 inci
  • Rim belakang: 17 x 5 inci
  • Tayar Metzeler Racetec SM 125/75 R16.5 dan 165/55 R17
  • Rantai transmisi DID
  • Dua mod tunggangan
  • X-Link sebagai aksesori untuk konfigurasi mod tunggangan
  • Ducati Traction Control
  • Kawalan Mula, Kawalan Brek Enjin, dan Penukar Gear Pantas .
  • Penggantian omboh setiap 45 jam
  • Pemeriksaan kelegaan injap setiap 45 jam

Mitsubishi Malaysia umum pemenang peraduan “Buy 1 Free 1” Xforce

Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) mengumumkan Saidahtul Khairunnisa binti Martius, 39 dari Ipoh, Perak sebagai pemenang hadiah utama peraduan “Buy 1 Free 1” Xforce.

Beliau membawa pulang sebuah Mitsubishi Xforce Ultimate baharu.

Nurhidayah binti Mokhtar memenangi hadiah kedua berupa iPhone 17 Pro Max manakala Choong Ye Siew membawa pulang iPad Pro sebagai hadiah tempat ketiga.

Hadiah luar jangkaan

Saidahtul menjelaskan, “Saya terkejut dan teruja bila tiba di bilik pameran kerana langsung tidak tahu apa yang berlaku. Menang sebuah Mitsubishi Xforce baharu memang di luar jangkaan.

“Apa yang menarik perhatian saya pada Xforce ialah rekaannya yang bergaya dan selepas memandunya, saya dapati ia sangat selesa. Pengalaman pemanduan keseluruhan memberi rasa yakin dan selamat di jalan raya.

“Saya amat bersyukur kepada MMM atas pengalaman yang tidak dapat dilupakan ini, dan tidak sabar untuk mencipta lebih banyak memori indah bersama keluarga dengan Xforce kami.

Xforce sebagai teman setia

Takashi Sakamaki, Ketua Pegawai Eksekutif MMM berkata, “Kami mengucapkan tahniah kepada Saidahtul Khairunnisa atas kemenangan Hadiah Utama peraduan ‘Buy 1 Free 1’ Xforce.

“Kami berharap detik baharu ini membawa lebih banyak perjalanan bermakna, pengalaman baharu dan momen yang dinanti-nantikan.

“Kami juga berharap Xforce bukan sekadar sebuah kenderaan, tetapi menjadi teman setia dalam detik-detik penting. Inilah pengalaman yang kami mahu setiap pemilik Xforce rasai sepanjang perjalanan mereka bersama Xforce.”

 

Pro-Net serah 3 Proton e.MAS kepada PDRM untuk tujuan penilaian

Pada 10 September yang lalu, Pro-Net menyerahkan tiga unit kenderaan Proton e.MAS kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Tiga kenderaan tersebut terdiri daripada Proton e.MAS 5 Premium, Proton e.MAS 7 Premium dan Proton e.MAS 7 PHEV Premium Plus.

Nilai keupayaan dalam dunia sebenar

PDRM akan menggunakan ketiga-tiga kenderaan tersebut untuk menilai kebolehgunaan, praktikaliti serta keperluan pengecasan dalam situasi sebenar.

Ia sekali gus memberikan gambaran yang lebih jelas mengenai kesesuaian kenderaan elektrik dengan keperluan operasinya.

Sepanjang tempoh penilaian, pihak Gentari turut menyediakan perkhidmatan pengecasan secara percuma.

Dato’ Ir. Abdul Rashid bin Musa, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton berkata, “Penilaian bersama PDRM ini merupakan peluang yang baik untuk kami melihat sendiri bagaimana kenderaan e.MAS dapat digunakan dalam situasi sebenar, dan memberikan pengalaman yang lebih menyeluruh berbanding pandu uji biasa.

“Dengan tiga model iaitu e.MAS 5, e.MAS 7 dan e.MAS 7 PHEV, PDRM dapat merasai perbezaan antara setiap pilihan sistem pacuan elektrik serta menilai prestasi dan kesesuaiannya mengikut keperluan operasi mereka.”

Penilaian ini juga bertujuan membantu PDRM memahami kesesuaian teknologi EV dan PHEV dengan keperluan penggunaan kenderaannya.

Ini kerana kenderaan e.MAS berpotensi untuk menyokong tugas operasi harian PDRM termasuklah rondaan pencegahan jenayah, tertakluk kepada hasil penilaian dan pertimbangan kerajaan pada masa depan.

 

Kia PV7 2027: Van EV besar jarak lebih 460km, rekaan bergaya

Kia memperkenalkan PV7, model kedua dalam keluarga Platform Beyond Vehicle (PBV) elektrik selepas PV5.

Kia Malaysia pernah mempertontonkan PV5 di Kuala Lumpur dan model ini tampil dengan konsep tersendiri.

PV7 dibangunkan sebagai PBV elektrik bersaiz besar dengan ruang fleksibel, rangkaian kuasa elektrik, perisian kenderaan dan penyelesaian pengurusan armada (fleet).

Rekaan Besar Dengan Konsep One-Box

PV7 menggunakan reka bentuk one-box dan menggabungkan falsafah reka bentuk Opposites United dengan elemen yang menekankan penampilan moden serta ketahanan sebuah kenderaan komersial.

Dari segi dimensi, PV7 versi Long mempunyai ukuran 5,350 mm panjang, 1,995 mm lebar, 1,990 mm tinggi serta jarak roda 3,500 mm.

Bahagian hadapan menggunakan kemasan hitam pada hud dan tiang, digabungkan dengan grafik lampu nyalaan siang (DRL). Bampar bawah pula menerima skid plate.

Untuk model Passenger, kemasan hitam pada fender dan tiang D disambungkan dengan kaca sisi bagi menghasilkan visual bumbung terapung.

Garis pinggang yang lebih rendah pula memberikan pandangan yang lebih terbuka dan meningkatkan penglihatan pemandu.

Di belakang, PV7 menggunakan dua jenis pintu. Pelanggan boleh memilih pintu kuak berkembar yang dibuka ke sisi atau jenis dibuka ke atas.

Kia turut mereka beberapa bahagian badan supaya mudah diganti sekiranya mengalami kerosakan ringan.

Antaranya termasuk:

  • Hujung bampar hadapan dan belakang.
  • Arka roda.
  • Kemasan pintu.

Rekaan ini bertujuan memendekkan masa pembaikan dan mengurangkan tempoh kenderaan tidak beroperasi.

Kabin Direka Seperti Mobile Workstation

Kabin PV7 menggunakan konsep kotak alatan (tool box) dengan tumpuan kepada penggunaan ruang mengikut keperluan pelanggan.

Papan pemuka menggunakan struktur dua aras bagi menyediakan ruang penyimpanan tambahan. Di tengahnya terdapat paparan bersaiz sehingga 14.6 inci.

Fungsi yang kerap digunakan seperti kawalan pendingin hawa masih menggunakan butang fizikal bagi memudahkan operasi.

PV7 Cargo pula mempunyai ruang penyimpanan terbuka pada bahagian atas papan pemuka.

Model tiga tempat duduk dengan kerusi tengah membolehkan sandaran kerusi tersebut dilipat dan digunakan sebagai meja.

Bagi PV7 Passenger, kabin menerima stereng dua tona, pencahayaan ambien dengan grafik mendatar serta ruang penyimpanan tersembunyi.

Konsol tengah juga boleh digunakan sebagai meja ketika berehat.

Struktur lantai rata dan rendah memudahkan proses keluar masuk penumpang serta kerja memuat dan menurunkan barangan.

Platform E-GMP.S Dan Bateri Sehingga 96.2 kWj

PV7 dibina menggunakan platform elektrik khusus PBV E-GMP.S.

Platform ini membolehkan Kia menyediakan lantai rata, ruang dalaman yang luas serta ruang kargo yang lebih praktikal.

Model ini ditawarkan dengan dua pilihan bateri NCM voltan tinggi:

  • Standard: 71.5 kWj
  • Long Range: 96.2 kWj

Versi Long Range mampu mencapai jarak perjalanan lebih 460 km berdasarkan piawaian WLTP Eropah.

Sistem pengecasan pantas sehingga 350 kW pula membolehkan bateri dicas daripada 10 hingga 80 peratus dalam sekitar pertengahan 20 minit (pengukuran Kia).

PV7 juga mempunyai dua lokasi port pengecasan. Ia terdiri daripada:

  • Port pengecasan pantas dan perlahan di bahagian hadapan.
  • Port pengecasan perlahan di bahagian sisi belakang.

Motor 200 kW dan 420 Nm

PV7 menggunakan motor elektrik pada roda hadapan yang menghasilkan:

  • Kuasa maksimum: 200 kW
  • Tork maksimum: 420 Nm

Kia turut merancang untuk memperkenalkan versi pacuan semua roda pada masa akan datang.

Fungsi Vehicle-to-Load (V2L) turut disediakan.

Ia membolehkan tenaga bateri digunakan untuk membekalkan kuasa kepada peralatan kerja, elektrik dan peranti lain melalui soket di dalam dan luar kenderaan.

PV7 Cargo Muat Tiga Palet Euro

PV7 Cargo ditawarkan dalam beberapa konfigurasi untuk memenuhi keperluan operasi berbeza.

Ia tersedia dalam versi:

  • 2 tempat duduk.
  • 3 tempat duduk.
  • Model dengan dua baris tempat duduk.

Kia menyasarkan model ini untuk kegunaan seperti logistik, penghantaran dan operasi perkhidmatan.

Ketinggian lantai pemuatan ialah 550 mm, manakala kapasiti ruang kargo mengikut piawaian VDA adalah:

  • Cargo Long: 6.1 meter padu
  • Cargo High Roof: 8.0 meter padu

Ruang tersebut boleh memuatkan sehingga 3 palet Euro berukuran 1,200 x 800 mm.

Kapasiti muatan pula ialah 1,165 kg untuk versi Long dan 1,200 kg bagi versi Compact mengikut piawaian Eropah.

PV7 Cargo turut mempunyai Heavy Load Driving Mode yang mengawal prestasi pemanduan berdasarkan keadaan muatan.

Untuk model tiga tempat duduk, Load-through Bulkhead membolehkan barangan panjang dimuatkan melalui ruang di bawah tempat duduk penumpang hadapan.

Pintu belakang juga boleh dipilih antara sistem pintu kuak berkembar atau jenis dibuka ke atas.

PV7 Passenger Sehingga 11 Tempat Duduk

PV7 Passenger pula ditawarkan dalam konfigurasi:

  • 7 tempat duduk
  • 9 tempat duduk
  • 11 tempat duduk

Versi 9 tempat duduk mempunyai dua susunan berdasarkan penggunaan baris keempat.

Model 7 tempat duduk pula menggunakan sistem Long-Rail Easy Remove Seat.

Kerusi belakang boleh digerakkan atau ditanggalkan bagi mengubah susunan ruang kabin mengikut keperluan.

Pleos Connect Dengan Gleo AI Dan Pleos Fleet

PV7 menggunakan sistem maklumat hibur generasi baharu Pleos Connect berasaskan Android Automotive (AAOS).

Sistem ini ditawarkan dengan paparan 14.6 atau 12.9 inci serta paparan nipis 9.9 inci.

Pleos Connect turut menyediakan portal aplikasi terbuka untuk pelanggan memuat turun aplikasi mengikut keperluan perniagaan.

Sistem ini turut dilengkapi ejen AI generatif Gleo AI.

Gleo AI menggunakan model bahasa besar (LLM) untuk memahami perbualan secara semula jadi dan berterusan.

Selain mengawal fungsi kenderaan, Gleo AI boleh memberikan maklumat berdasarkan situasi kepada pemandu.

PV7 juga menyokong kemas kini perisian melalui Over-the-Air (OTA).

Untuk pengurusan armada, Kia menyediakan Pleos Fleet dan API data kenderaan bersambung.

Pleos Fleet membolehkan pelanggan mengurus status kenderaan serta data perjalanan.

API data pula membolehkan data kenderaan dihubungkan dengan sistem operasi syarikat.

Kia turut menyediakan perkhidmatan Uptime untuk memantau keadaan kenderaan secara masa nyata.

Sistem ini boleh mengesan tanda-tanda masalah lebih awal.

Ciri Keselamatan dan Bantuan Pemanduan

PV7 menggunakan platform EV yang direka untuk membantu mengagihkan tenaga hentaman ketika kemalangan.

Ia turut dilengkapi sistem 7 beg udara, termasuk beg udara penumpang yang dipasang pada bahagian atas papan pemuka.

Antara sistem keselamatan dan bantuan pemanduan yang ditawarkan ialah:

  • Bantuan Elak Pelanggaran Hadapan.
  • Bantuan Kekal Lorong 2.
  • Kawalan Jelajah Pintar berasaskan navigasi.
  • Bantuan Pemanduan Lebuh Raya 2.
  • Amaran jarak parkir hadapan, sisi dan belakang.
  • Bantuan Parkir Pintar Kawalan Jauh.
  • Surround View Monitor.
  • Bantuan Keselamatan Salah Operasi Pedal.
  • Bantuan Had Pecutan.

Spesifikasi keselamatan dan bantuan pemanduan PV7 berbeza mengikut model.

23 Model PV7 Bakal Diperkenalkan

Kia merancang untuk melancarkan PV7 Passenger Long dan PV7 Cargo Long di Korea Selatan serta Eropah pada separuh kedua 2027.

Selepas itu, sebanyak 23 model PV7 termasuk varian dan model conversion akan diperkenalkan secara berperingkat di pasaran global.

Naza Eastern Motors rasmi buka Pusat 1S Suzuki Juru

Naza Eastern Motors secara rasmi membuka pusat 1S Suzuki terbaharu yang terletak di Juru, Pulau Pinang.

Fasiliti tersebut dikendalikan oleh SMG Auto (MN) Sdn Bhd dan mampu memberikan perkhidmatan kepada pelanggan di Juru, Bukit Mertajam dan kawasan sekitar.

Pelaburan RM1 juta

Dengan pelaburan bernilai RM1 juta termasuk unit pandu uji dan unit pameran, ia mencerminkan komitmen pengedar dalam menyokong pertumbuhan jenama Suzuki di wilayah utara.

Kemudahan terbaharu ini menampilkan ruang pameran sebesar 1,600 kaki persegi yang boleh memuatkan tiga kereta pada satu-satu masa.

Turut disediakan ruang rehat untuk memberikan keselesaan kepada pelanggan sepanjang kunjungan.

Sebagai pusat 1S, outlet Suzuki Juru ini akan memberikan tumpuan kepada pengalaman jualan khusus kepada pelanggan.

Pusat 1S Suzuki Juru beroperasi setiap hari dari jam 9.00 pagi hingga 6.00 petang.

Ia terletak di alamat No. 3 (GF), Jalan Sentral Jaya, Pusat Perdagangan Sentral Jaya, 14000 Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Sokongan selepas jualan pula boleh didapati di pusat servis Bayan Lepas yang terletak di Jalan Sungai Tiram 7, Pulau Pinang.

Setakat ini, Suzuki mempunyai 14 pusat jualan bertauliah dan 13 pusat servis di seluruh negara.

Perkhidmatan SUZUKI CARe

Naza Eastern Motors turut memperkenakan program semua-dalam-satu SUZUKI CARe.

Ia menggabungkan perlindungan insurans Suzuki Protect dan Bantuan Tepi Jalan.

Program ini ditanggung oleh Zurich General Takaful Malaysia Berhad, menawarkan manfaat utama Suzuki Protect termasuklah:

  • Perlindungan nilai dipersetujui sehingga 12 tahun
  • Perkhidmatan tunda tanpa had
  • Perlindungan bahaya khas
  • Perlindungan untuk semua pemandu
  • Perlindungan kemalangan diri (RM20k/seorang, sehingga RM80k/seorang)

Pemilik juga akan mendapat keahlian SkyLounge 1-tahun secara percuma apabila membuat pembelian menerusi cawangan Naza Eastern Motors.

Talian khas SUZUKI CARe di 1800-888-700 akan diaktifkan dalam masa terdekat, dan setiap pelanggan akan diberitahu sekiranya perkhidmatan tersebut beroperasi sepenuhnya.

Volvo EX30 Cross Country 2026 kini di Malaysia, harga RM219 ribu

Volvo Car Malaysia secara rasmi melancarkan SUV EX30 Cross Country untuk pasaran tempatan.

Harga jualan bermula dari RM218,888 atas jalan tanpa insurans dengan tiga pilihan warna iaitu:

  • Crystal White
  • Vapour Grey
  • Cloud Blue

100 pembeli pertama bakal menikmati tawaran pelancaran seperti:

  • rebat tunai RM12,000
  • pengecas dinding Volvo (bernilai RM3,990)
  • Load Carrier (bernilai RM2,098)
  • Roof Basket (bernilai RM3,680)

Sistem pacuan

EX30 Cross Country didatangkan dengan tetapan dua motor elektrik dan sistem pacuan semua roda (AWD), kuasa sekitar 428 hp dan 543 Nm.

0-100 km/j mengambil masa 3.7 saat sementara kelajuan tertinggi dihadkan kepada 180 km/j.

Pek bateri berkapasiti 69 kWh membenarkan jarak pandu WLTP sejauh 437 km.

SUV ini menyokong pengecasan AC 11 kW, serta pengecasan pantas DC sehingga 175 kW, membolehkan bateri dicas 10-80% dalam masa 27 minit.

Kelengkapan

Dari segi luaran, EX30 Cross Country boleh dibezakan menerusi penampilan warna dua tona, skid plate, skrip Cross Country pada tiang C, logo CC serta padanan rim 19 inci.

Ia juga memiliki jarak kelegaan tanah 19 mm lebih tinggi berbanding model EX30 biasa.

Pada muka depan pula terdapat panel hitam yang mempunyai peta topografi kawasan pergunungan Kebnekaise di Sweden.

Ruang kabin pula menempatkan ciri seperti skrin tunggal 12.3 inci, sokongan Apple CarPlay/Android Auto serta perkhidmatan Google, sistem bunyi Harman Kardon dan bumbung kaca panorama.

Tempat duduk menggunakan upholsteri tekstil tenunan dengan kemasan Nordico, diikuti dengan panel hiasan denim dan corong pendingin hawa berwarna biru.

Secara standard, EX30 menawarkan ruang kargo sebesar 318 liter dan boleh mencapai kapasiti 718 liter yang lengkap dengan grafik rujukan ‘Will it Fit’.

Ciri keselamatan

Volvo EX30 Cross Country hadir dengan sistem bantuan pemandu termaju seperti:

  • Pilot Assist
  • Bantuan Pengekalan Lorong
  • Sistem Informasi Titik Buta
  • Sistem Mitigasi & Pengelakan Pelanggaran
  • Brek Kecemasan Autonomi
  • Amaran Lintasan Trafik Belakang

Tidak ketinggalan, ciri seperti pemantuan tumpuan pemandu, amaran bukaan pintu, serta sistem pemantauan tekanan tayar.

Aksesori tambahan

Volvo Car Malaysia turut menawarkan beberapa aksesori yang boleh ditambah seperti:

  • rim 20 inci
  • pelindung cahaya matahari untuk bumbung
  • alas lantai dan ruang kargo
  • rak basikal
  • kotak storan bumbung

Kemas kini EX30 varian Ultra

Selain pelancaran EX30 Cross Country, Volvo Car Malaysia turut mengemas kini penawaran EX30 Ultra.

Varian tersebut kini ditawarkan pada harga RM198,888 dengan empat pilihan warna termasuklah Onyx Black.

Volkswagen Mission Efficiency dipandu 1,278 km, cas sekali masih ada baki 164 km!

Volkswagen memperkenalkan Mission Efficiency, sebuah prototaip kereta elektrik yang hampir kepada produksi yang dibangunkan untuk menunjukkan potensi kecekapan tenaga menerusi teknologi produksi.

Model ini mencatat tiga rekod dunia, termasuk nilai pekali seretan (drag coefficient) Cd 0.158 dan penggunaan tenaga 6.48 kWj/100 km dalam perjalanan ideal.

Dalam ujian ideal itu, Mission Efficiency dipandu pada kelajuan tetap 68 km/j, tanpa laluan mendaki dan dengan penggunaan tenaga seperti pendingin hawa dimatikan.

Ujian Sebenar Sejauh 1,278 Km

Volkswagen turut menjalankan ujian penggunaan tenaga sejauh 1,278.36 km dari Wolfsburg, Jerman ke Vienna, Austria, melalui Poznań di Poland dan Olmütz di Republik Czech.

Mission Efficiency menggunakan 6.89 kWj/100 km untuk pemanduan. Jika tenaga yang hilang ketika mengecas turut dikira, penggunaan keseluruhannya ialah 7.51 kWj/100 km.

Ciri-ciri ujian tersebut ialah:

  • Jarak: 1,278.36 km
  • Kelajuan purata: 67.72 km/j
  • Kelajuan maksimum: 138 km/j
  • Kapasiti bateri bersih: 54.9 kWj
  • Pengecasan sepanjang perjalanan: sekali
  • Baki jarak ketika tiba di Vienna: 164.0 km

Aerodinamik Jadi Kunci Kecekapan

Dengan nilai Cd 0.158 dan luas permukaan hadapan 2.08 m², aerodinamik menjadi fokus utama Mission Efficiency.

Badan berbentuk titisan dioptimumkan untuk aliran udara. Beberapa ciri utama turut membantu mengurangkan rintangan udara:

  • Kepak udara penyejukan aktif.
  • Roda belakang berpenutup.
  • Bahagian bawah badan ditutup sepenuhnya.
  • Tingkap tanpa bingkai.
  • Pembuka pintu disepadukan pada permukaan badan.

Kelebihan reka bentuk ini lebih jelas apabila kereta dipandu pada kelajuan tinggi.

Pada kelajuan melebihi 80 km/j, penggunaan tenaga Mission Efficiency adalah lebih 30 peratus lebih rendah berbanding ID. Polo standard.

Pada 140 km/j, Mission Efficiency menggunakan kira-kira jumlah tenaga yang sama seperti ID. Polo pada 100 km/j.

Reka bentuknya turut mengambil inspirasi daripada Volkswagen XL1, yang diperkenalkan pada 2013 dan ketika itu merupakan kereta produksi paling menjimatkan di dunia.

Berasaskan Teknologi MEB+

Mission Efficiency menggunakan teknologi MEB+ dengan pacuan roda hadapan, sama seperti ID. Polo dan ID. Cross.

Antara teknologi produksi yang digunakan ialah:

  • Motor elektrik 99 kW (135 PS) daripada ID. Polo.
  • Bateri voltan tinggi daripada ID. Polo.
  • Platform MEB+.
  • Pacuan roda hadapan.

Volkswagen berkata pendekatan ini menunjukkan tahap kecekapan tinggi boleh dicapai menggunakan teknologi produksi berskala besar, bukannya teknologi khusus yang mahal.

Badan Coupé 2+2

Mission Efficiency mempunyai panjang 4,775 mm dan tinggi 1,392 mm. Prototaip ini menggunakan konfigurasi tempat duduk 2+2 dengan ruang bagasi berkapasiti 481 liter.

Ruang tambahan disediakan di bawah tempat duduk belakang dan pada bahagian sisi badan untuk barangan harian serta kabel pengecasan.

Tempat duduk belakang pula direka untuk penumpang dengan ketinggian sehingga kira-kira 1.60 meter.

Struktur badannya menggabungkan komponen ID. Polo dengan:

  • Struktur aluminium.
  • Polimer bertetulang gentian karbon (CFRP).
  • Komposit aramid.

Sistem Brek Elektromekanikal

Bahagian hadapan menggunakan gandar MacPherson dan sistem brek hidraulik daripada ID. Polo.

Bahagian belakang pula menggunakan sistem brek elektromekanikal buat kali pertama.

Sistem ini:

  • Mengurangkan kehilangan akibat geseran.
  • Mengurangkan penggunaan saluran dan bendalir brek.
  • Menyokong agihan daya brek berubah-ubah.
  • Membantu meningkatkan pemulihan tenaga.
  • Meningkatkan kestabilan ketika mengambil selekoh.

Sistem brek ini dibangunkan bersama AUMOVIO, yang turut membekalkan sistem brek untuk ID. Polo.

Mission Efficiency telah mendapat kelulusan jalan raya Kesatuan Eropah dan memenuhi keperluan keselamatan, kekuatan serta ujian pelanggaran berkaitan.

Rim dan Tayar Kurangkan Rintangan

Roda menyumbang sekitar 25 hingga 30 peratus daripada rintangan aerodinamik kenderaan. Justeru, Volkswagen turut memberi perhatian kepada reka bentuk roda dan tayar.

Antara penyelesaian yang digunakan ialah:

  • Ruang roda hadapan direka rapat mengikut jejari tayar.
  • Rim deflector dipatenkan digunakan pada bahagian dalam semua roda.
  • Penutup hab roda menggunakan reka bentuk rata dan dioptimumkan untuk aliran udara.
  • Tayar konsep dibangunkan bersama Continental berasaskan siri EcoContact 7.

Tayar tersebut mempunyai rintangan gelinciran 4.9 kg/t, kira-kira 25 peratus lebih rendah berbanding ambang untuk kelas label tayar EU A.

Dinding sisi dan sebatian bunga tayar turut dioptimumkan bagi mengurangkan kehilangan tenaga ketika bergolek.

Panel Solar Tambah Jarak Harian

Sistem fotovoltik dengan output 370 W disepadukan pada bumbung kaca dan penutup ruang bagasi.

Ia membekalkan tenaga kepada sistem elektrik dalam kenderaan dan, bergantung pada musim, lokasi serta cuaca, boleh meningkatkan jarak pemanduan sebenar sehingga 30 km sehari.

Kabin pula menggunakan beberapa pendekatan untuk mengurangkan berat:

  • Panel dalaman ringan.
  • Pembesar suara Bluetooth mudah alih menggantikan sistem pembesar suara.
  • Konsep Bring Your Own Device menggunakan telefon pintar atau tablet sebagai paparan maklumat hibur.

Fokus Pada Kecekapan Kereta Elektrik

Mission Efficiency menunjukkan bagaimana setiap bahagian kenderaan boleh menyumbang kepada pengurangan penggunaan tenaga.

Antara fokus utamanya ialah aerodinamik, rangkaian kuasa elektrik, tayar, sistem brek, panel solar dan pengurangan berat.

Volkswagen Mission Efficiency ialah prototaip dan bukan untuk dijual.

Ia dibangunkan sebagai demonstrasi teknologi berdasarkan penyelesaian yang boleh digunakan dalam pengeluaran berskala besar.

Mercedes-Benz CLA 200 AMG Line dipertontonkan, unit CKD, harga anggaran dari RM275,000

Selain model GLC electric, Mercedes-Benz Malaysia turut mempertontonkan sedan CLA 200 AMG Line sebagai pelengkap kepada CLA elektrik sedia ada.

CLA 200 AMG Line bakal ditawarkan sebagai unit pemasangan tempatan (CKD) dengan harga jualan  anggaran dari RM275,000.

Spesifikasi

Sedan CLA 200 AMG Line ini dikuasakan oleh enjin bersesaran 1,499 cc menghasilkan 163 hp dan 250 Nm.

Kuasa disalurkan kepada roda menerusi transmisi 8G-eDCT.

Dengan padanan motor elektrik 22 kW, ia mampu menjana kuasa keseluruhan 184 hp dan 330 Nm.

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 8.0 saat sebelum mencecah kelajuan maksimum 232 km/j.

CLA 200 AMG Line juga berkebolehan untuk dipandu dalam mod sifar emisi pada kelajuan sehingga 100 km/j terima kasih kepada bateri 1.3 kWh.

Kelengkapan

Secara standard, CLA 200 AMG Line hadir dengan kemasan luar AMG Line, rim aloi AMG 19 inci, jeriji radiator bercahaya, jalur lampu belakang melintang, bumbung kaca panorama, serta sistem lampu LED Multibeam.

Ruang kabin mendapat tetapan skrin paparan MBUX Superscreen terdiri daripada:

  • skrin kluster digital 10.25 inci
  • skrin tengah 14 inci
  • skrin paparan penumpang hadapan 14 inci

Selain itu, ia turut mendapat sokongan Apple CarPlay & Android Auto, sistem navigasi MBUX dan informasi trafik langsung MBUX.

Antara ciri lain yang disertakan termasuklah:

  • slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar
  • tempat duduk sports AMG Line dengan fungsi pemanas
  • upholsteri kulit Artico/mikrofiber Microcut
  • trim karbon ringan
  • roda stereng sports kulit Nappa
  • sistem pencahayaan ambien

Ciri keselamatan pula termasuklah MB.Drive Standard, Parking Assist 360, bunyi akustik, sistem pemantauan tekanan tayar serta peringatan tali pinggang keledar belakang.

Tawaran istimewa

100 orang pelanggan pertama yang menempah CLA 200 AMG Line akan mendapat pas eksklusif ke parti F1 Mercedes-AMG.

Mercedes-Benz GLC Electric 2026: dua varian, harga anggaran dari RM389k

Mercedes-Benz Malaysia mempertontonkan model SUV GLC elektrik generasi baharu di Mercedes-Benz Centre Singapura.

Terdapat dua varian ditawarkan, harga jualan anggaran adalah seperti berikut:

  • GLC 300 4MATIC electric Avantgarde – RM389,000
  • GLC 300 4MATIC electric AMG Line Plus – RM399,000

Spesifikasi

Kedua-dua varian hadir dengan tetapan dua motor elektrik menghasilkan kuasa 421 hp dan 800 Nm.

Pecutan 0-100 km/j mengambil masa 4.7 saat dengan kelajuan maksimum 210 km/j.

Pek bateri lithium-ion berkapasiti 85 kWh pula menawarkan jarak pandu WLTP sehingga 616 km untuk sekali cas penuh.

Senibina elektrik 800V membolehkan GLC elektrik menyokong pengecasan pantas DC sehingga 320 kW (10-80% dalam masa 22 minit), atau menambah 215 km dalam masa 10 minit.

Dengan pengecasan AC 22 kW, bateri boleh dicas penuh dalam masa 4 jam.

Kelengkapan

Varian Avantgarde mendapat kemasan Avantgarde, rim aloi ringan 20 inci, Digital Light, jeriji ikonik Mercedes-Benz bercahaya serta logo bintang bercahaya.

Selain itu, terdapat bumbung kaca panorama dengan corak hiasan bercahaya dan fungsi Sky Control yang mengawal kemasukan cahaya.

Untuk ruang kabin, ia mendapat skrin paparan MBUX Hyperscreen, sistem bunyi keliling 3D Burmester, sokongan Apple CarPlay & Android Auto, serta sistem navigasi realiti terimbuh MBUX.

Selain itu, ia turut mendapat ciri berikut:

  • tempat duduk balutan kulit dengan fungsi pemanas
  • roda stereng sport kulit nappa
  • kaca akustik penebat bunyi dan haba
  • sistem pencahayaan ambien
  • kemasan kulit Artico pada papan pemuka
  • kamera swafoto dan video
  • bonet telus pandang

Varian AMG Line Plus pula hadir dengan kemasan luaran AMG Line Plus, rim aloi AMG 21 inci, lip spoiler AMG, serta sistem pencahayaan keliling dengan projeksi logo Mercedes-Benz.

Kabin pula mendapat ciri berikut:

  • tempat duduk Sports AMG Line
  • upholsteri kulit hitam dengan kemasan jahitan merah
  • tali pinggang keledar merah

Secara standard, GLC elektrik menawarkan ruang kargo sebesar 570 liter dan boleh mencapai kapasiti sehingga 1,740 liter.

Terdapat juga ruang frunk sebesar 128 liter.

Ciri keselamatan termasuklah MB.Drive Assist, Parking Assist 360, bunyi amaran akustik (AVAS), serta tidak ketinggalan sistem pemantauan tekanan tayar.

Tawaran istimewa

100 orang pelanggan pertama yang menempah GLC elektrik akan mendapat pas eksklusif ke parti F1 Mercedes-AMG.

 

LETBE Punk 500: bobber gaya futuristik dan ada ciri moden

Ini pula sebuah motosikal cruiser kelas pertengahan (separuh liter) yang dinamakan sebagai LETBE Punk 500.

Motosikal gaya bobber ini dikuasakan oleh enjin dua-silinder 500 cc sejukan cecair menghasilkan kuasa 47 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 51 Nm @ 6,000 rpm.

Ia mampu mencapai kelajuan maksimum 163 km/j.

Antara ciri yang boleh dilihat termasuklah sistem lampu LED, struktur pelana tunggal terapung, rim lidi 16 inci dengan tayar yang agak tebal, serta tetapan brek cakera depan dan belakang.

Selain itu, kami difahamkan Punk 500 ini mempunyai sistem kunci jenis NFC.

Antara ciri lain yang dimuatkan:

  • Tangki bahan api 16.2 liter
  • Pelana 720 mm
  • ABS dua-saluran & TCS
  • Skrin paparan TFT berbentuk bulat
  • Fork jenis terbalik (USD)

LETBE Flygon: Scrambler dengan gaya pepatung yang unik

Jika anda sudah bosan dengan penangan skuter yang berlambak atas jalan raya, ini satu model yang cukup unik untuk dipertimbangkan iaitu LETBE Flygon.

Tengok daripada sudut hadapan, anda boleh melihat elemen haiwan yang menjadi inspirasi kepada model Flygon ini, iaitu pepatung (dragon fly).

Flygon merupakan motosikal gaya scrambler yang hadir dengan beberapa pilihan enjin, termasuklah 125 cc, 220 cc dan 250 cc.

Enjin 125 cc dan 220 cc itu menggunakan sistem sejukan udara, masing-masing menghasilkan kuasa 10 hp @ 7,500 rpm/10 Nm @ 6,000 rpm dan 17.2 hp @ 7,500 rpm dan 17 Nm @ 5,500 rpm.

Sementara varian Flygon 250 pula menggunakan enjin sesaran 231 cc berkuasa 23.5 hp @ 7,500 rpm dan 23 Nm @ 6,000 rpm.

Flygon menggunakan tetapan suspensi fork jenis USD berserta penyerap hentak tunggal di belakang.

Brek pula menggunakan tetapan cakera depan dan belakang, dibantu dengan ciri seperti ABS dan TCS yang boleh dilaras.

Antara ciri lain yang dimuatkan:

  • Lampu LED
  • Tangki bahan api 12 liter
  • Peredam ekzos posisi tinggi
  • Cagak rak barangan pada bahagian tangki
  • Skrin paparan TFT 2.8 inci berbentuk bulat
  • Tinggi pelana 780 mm

Perodua Ativa juara SUV Ogos, Proton X50 di depan Traz!

Dinamik persaingan dalam segmen SUV kompak pasaran tempatan terus bergejolak pada bulan Ogos 2026.

Selepas Perodua Traz menguasai pendaftaran bulanan pada Julai, giliran Perodua Ativa pula bangkit dan muncul sebagai SUV kompak paling banyak didaftarkan pada bulan Ogos.

Berdasarkan data pendaftaran kenderaan terbaharu, persaingan tiga segi antara Ativa, Traz, dan Proton X50 semakin panas dengan pelbagai kejutan angka.

Ativa Juara Bulanan, X50 Pintas Traz

Memasuki bulan Ogos, pendaftaran Perodua Ativa yang dipacu enjin 1.0L turbo melonjak tajam.

Ativa mencatatkan angka bulanan tertinggi antara ketiga-tiga model ini dengan 2,288 unit.

Proton X50 turut menampilkan kebangkitan semula selepas kejatuhan pada bulan Julai dengan mencatatkan 2,229 unit, memintas Perodua Traz (1,522 unit).

Walau bagaimanapun, angka X50 masih belum cukup untuk menewaskan Ativa yang menerajui pendaftaran bulanan dengan kelebihan 59 unit.

Berikut adalah pendaftaran bulanan bagi Ogos 2026:

  • Perodua Ativa: 2,288 unit (Julai: 1,959 unit)
  • Proton X50: 2,229 unit (Julai: 1,953 unit)
  • Perodua Traz: 1,522 unit (Julai: 2,244 unit)

Ativa Rapatkan Jurang Dengan Traz, X50 Di Tangga Ke-8

Impak lonjakan 2,288 unit pada bulan Ogos memberikan kelebihan besar buat Ativa dalam perebutan kedudukan terkumpul (YTD).

Walaupun Ativa berada di luar kelompok 10 teratas YTD dengan jumlah 14,357 unit, ia kini rapat mengekori Perodua Traz (14,519 unit) di tangga ke-10 YTD.

Jualan Perodua Ativa, Perodua Traz dan Proton X50 pada Ogos 2026

Jurang antara dua SUV Perodua yang berada pada paras 928 unit pada Julai mengecil secara mendadak kepada 162 unit sahaja.

Jika momentum Ativa berterusan, tidak mustahil Ativa bakal merampas semula kedudukan Top 10 YTD daripada Traz menjelang penutup suku ketiga.

Berikut adalah pencapaian terkumpul YTD sehingga 31 Ogos 2026:

  • Proton X50 (No. 8 YTD): 17,828 unit
  • Perodua Traz (No. 10 YTD): 14,519 unit
  • Perodua Ativa (Luar Top 10 YTD): 14,357 unit

Duo Perodua Terus Kuasai Pasaran

Walaupun X50 masih mempertahankan gelaran SUV kompak paling banyak didaftarkan bagi tahun 2026 (17,828 unit), strategi dua penjuru Perodua terbukti memberi cengkaman padu.

Gabungan pendaftaran terkumpul duo Perodua (Traz + Ativa) kini sudah pun mencecah 28,876 unit (YTD).

Dengan baki empat bulan sebelum melabuhkan tirai 2026, mampukah Proton Saga Cross yang disebut-sebut menggugat penguasaan Perodua?

Sumber Data: data.gov.my

LETBE Nomad 350: Sebuah lagi skuter gaya futuristik, masuk Malaysia?

Selain model LETBE Mecha, pembeli juga boleh mendapatkan skuter gaya serupa namun dengan sesaran yang lebih tinggi, iaitu LETBE Nomad 350.

Skuter ini dijana oleh enjin silinder tunggal 350 cc sejukan cecair yang dipadankan dengan transmisi CVT.

Ia mampu menghasilkan kuasa 30 hp @ 7,500 rpm dan daya kilas 34 Nm @ 5,500 rpm.

Membezakannya dengan skuter di dalam segmen yang sama ialah rekaannya bergaya futuristik, reraup berkotak, paruh depan serta ciri panel grafik yang boleh digunakan untuk memaparkan mesej (macam lampu Zeekr 7X).

Tetapan suspensi skuter ini terdiri daripada fork teleskopik jenis terbalik (USD) diikuti dengan penyerap hentak berkembar di belakang lengkap dengan sub-tangki.

Brek pula menggunakan angkup Nissin, tetapan cakera depan dan belakang, dibantu dengan sistem ABS dan TCS.

Antara ciri lain termasuklah:

  • Crash bar
  • Skrin paparan TFT 7-inci
  • Sistem pemantauan tekanan tayar
  • Tuil brek boleh laras 5-tahap
  • Port pengecasan USB Type-A dan Type-C
  • Rim 15 inci depan/14 inci belakang

LETBE Mecha: Skuter kecil dengan gaya futuristik, bakal masuk Malaysia?

Inilah dia skuter LETBE Mecha yang ada dipamerkan di fasiliti Haojin yang terletak di Guangzhou, China.

Dengan penggayaan yang futuristik dan berani, adakah skuter ini mampu menawan hati golongan penunggang motosikal di Malaysia kelak?

Di China, LETBE Mecha ditawarkan dengan pilihan enjin 125 cc (12 hp/12.5 Nm), 150 cc (15.8 hp/14.7 Nm) dan 200 cc (17.3 hp/17.6 Nm).

Ia dilengkapi dengan fork teleskopik diikuti penyerap hentak berkembar bersama sub-tangki di bahagian belakang.

Skuter ini menggunakan tetapan rim saiz 14 inci depan dan 13 inci di bahagian belakang.

Antara ciri lain yang dimuatkan:

  • Tangki bahan api 12 liter
  • Skrin paparan TFT 7-inci
  • Sistem pemantauan tekanan tayar
  • Sistem lampu LED
  • Port pengecasan USB
  • Skrip LETBE dengan cahaya berwarna-warni
  • Jalur lampu hiasan sisi
  • Penghadang angin kekal